Skip to content

Posts from the ‘Recommended Post’ Category

2
Jun

Mahu Ke UM Macam Aznil




BAKAT cilik ini begitu menyanjungi Aznil Nawawi.

Aznil Nawawi berjaya mengikut jejak ikonnya, Sudirman untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Adakah Haziq berjaya mengikut langkah Aznil pula?

TATKALA menyaksikan filem genre komedi Nujum Pak Belalang yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, kita pasti terkenangkan keletah pelakon cilik Bad Latif yang memegang watak Belalang.

Gayanya yang bersahaja dan bijak memainkan karakter membuatkan nama Bad Latif atau nama sebenarnya M.H. Ali H.A. Latiff antara pelakon kanak-kanak yang popular pada era P. Ramlee.

Justeru tidak hairanlah Bad Latif merupakan kanak-kanak Melayu pertama dinobatkan, Pelakon Kanak-kanak Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Asia di Tokyo menerusi filem, Batu Belah Batu Bertangkup.

Kini industri seni tempatan diriuhkan dengan kehadiran pendatang baru yang cukup terkenal di kalangan kanak-kanak menerusi program, Tom-tom Bak dan Macam-macam Aznil, Muhammad Haziq Mohd Hazem.

Menurut pengacara nombor satu negara yang menjadi individu bertanggungjawab mencungkil bakat Haziq, Aznil Nawawi, Haziq seorang kanak-kanak yang begitu istimewa berbanding kanak-kanak lain. Dia begitu jujur dan tidak bersikap hipokrit ketika bergaul dan berhadapan dengan orang ramai.

AZNIL menganggap Haziq seorang kanak-kanak yang begitu istimewa dan jujur.

“Apa yang menarik mengenai Haziq ialah meskipun berusia sembilan tahun, tetapi corak pemikiran dan kelakuannya sungguh matang. Ketika mengacara dalam segmen Borak, Tom-tom Bak, Haziq begitu berhati-hati menuturkan kata-kata supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.

“Dia juga bersikap terbuka dan tidak malu beraksi di hadapan kamera serta spontan tatkala mengacara. Rasa berbangga juga apabila pihak produksi iklan dapat mengesan bakat Haziq menerusi program di Astro,” ujar Aznil ketika dihubungi selepas menjalani proses rakaman Tom-tom Bak.

Keletahnya yang bersahaja tatkala berhadapan di hadapan penonton, membuktikan dirinya seorang kanak-kanak yang berani dan yakin.

“Haziq nak jadi macam uncle Aznil. Uncle bijak, kelakar, bergaya dan baik dengan kanak-kanak. Haziq pun nak belajar rajin-rajin untuk masuk ke Universiti Malaya. Sebab uncle Aznil pun pernah belajar di universiti tu.

“Peluang bergandingan bersama uncle Aznil sememangnya impian Haziq. Sejak menonton rancangan, Macam-macam Aznil, Haziq terus meminta mama menghantar ke sesi uji bakat program tersebut,” luah bakat cilik yang begitu menyanjungi pengacara itu.

Aznil melahirkan rasa terharu apabila Haziq bercita-cita untuk mengikut jejak langkahnya, terutamanya menuntut di UM. Tambahnya: “Impian Haziq itu membayangi diri saya sendiri. Ketika kanak-kanak, saya begitu meminati Allahyarham Sudirman sehingga menanam hasrat untuk belajar di UM sama seperti Sudirman.

“Akhirnya hasrat tersebut tercapai kerana saya berpendapat untuk berjaya dan terkenal seperti Sudirman saya perlu mengikut langkahnya. Kini Haziq pula ingin mencontohi saya.

Bakat kanak-kanak berdarah campuran Melayu Arab yang bijak berhadapan dengan audiens dan bercakap tanpa bantuan skrip, menyebabkan dia terpilih sebagai pengacara dalam beberapa majlis. Antaranya Konsert Merdeka dan Festival

AZLIN sentiasa menasihatkan Haziq supaya mengutamakan pelajaran.

Astro bersama pengacara dan pelakon Zoey dan Zizan (Raja Lawak).

Bukan itu sahaja, tawaran demi tawaran iklan dan drama juga diterimanya. Namun begitu, setiap tawaran yang ditawarkan perlu dikaji terlebih dahulu oleh ibunya, Aqurina Azlin Azizol, 34.

“Buat masa ini kami hanya menerima tawaran berlakon iklan berbanding drama. Ini kerana proses penggambaran drama memerlukan komitmen dan tempoh yang lama. Perangai Haziq pula tepat sahaja pukul 9 malam adalah waktu tidurnya.

“Lagipun saya dan suami tidak mahu, Haziq keletihan pada keesokkan hari untuk ke sekolah. Bagi kami pelajaran perlu diberi keutamaan terlebih dahulu,” kata Azlin mengenai Haziq yang pernah berlakon iklan Streamyx, Singapore Tourism, Carera Bingo (alat tulis) dan Kinrara.

Tambah Azlin, sejak kecil lagi Haziq sudah mula menunjukkan minat dalam bidang seni. Di rumah selain membaca buku cerita dan bermain permainan PS2, dia akan menyanyi dan menari.

Boleh dikatakan setiap kali ada perjumpaan keluarga, Haziq pasti menghiburkan saudara-maranya dengan menyanyi lagu-lagu hit, bermain gitar dan menari.

“Haziq memang suka bidang ini kerana dapat jumpa artis dan masuk televisyen. Namun begitu, Haziq nasihatkan kepada kawan-kawan yang ingin menghadiri uji bakat Tom-tom Bak supaya lakukan yang terbaik.

“Buat apa yang uncle Aznil minta. Jangan buat uncle Aznil sedih sebab dia suka kanak-kanak periang dan sporting,” kata Haziq yang teringin berlakon di samping Aznil dan Awal Shaari. – IZYAN LIYANA MOHD. DARIF

Powered by Kosmo

1
Jun

Kereta Pilihan Selebriti

Sazzy Falak bersama kereta kesayangan.

Apa jua jenisnya, kereta penumpang, kenderaan utiliti sports (SUV) atau kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan beroda empat yang lazimnya dipanggil kereta menjadi keperluan kepada semua, miskin atau kaya, tua atau muda dan apa juga pekerjaan yang dilakukan.

Yang membezakan antara semua ialah jenis kereta yang dipandu, sama ada mewah atau murah bergantung kepada hasil pendapatan masing-masing berdasarkan pekerjaan yang dilakukan.

Selain ahli perniagaan dan politik yang sering dilihat memandu kereta-kereta mewah berjenama antarabangsa, golongan selebriti atau lebih senang digelar artis juga adalah antara pemilik kereta-kereta mewah yang sedang menjalar di atas jalan-jalan raya.

Seperti juga artis-artis luar negara antaranya pasangan suami isteri, David dan Victoria Beckham, Rowan Atkinson yang lebih dikenali oleh peminatnya sebagai Mr. Bean serta Cameron Diaz, artis-artis tempatan juga selesa memandu kereta mewah pelbagai jenama.

David dan Victoria Beckham atau Posh Spice itu adalah antara selebriti terkemuka yang memiliki banyak kereta mewah antaranya yang berjenama Bentley, Ferrari, Porsche 911, Range Rover, Jaguar, Rolls-Royce Phantom, BMW M3, Audi Q7, Lamborghini Gallardo dan Mercedes S500.

Yang menariknya ialah kebanyakan daripada kereta-kereta ini dilengkapi dengan kerusi bayi berkulit bagi menempatkan anak-anak pasangan tersebut agar selamat sepanjang perjalanan sejajar dengan gelaran sebagai ibu-bapa penyayang buat pasangan itu.

Rowan Atkinson yang sering memandu kereta kodok dalam siri drama komedi popular, Mr Bean pula sebenarnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam automotif dengan memiliki beberapa kereta eksotik seperti Aston Martin V8 Zagato, McLaren F1 dan Audi A8.

Mr Bean membeli McLaren F1 berikutan kejayaan filem “Bean – The Movie.” dan berbanding watak beliau yang seakan-akan naif dan lurus bendul itu, beliau suka memandu laju kereta tersebut yang boleh memecut sehingga 240 batu sejam.

Tidak seperti Victoria Beckham, Mr Bean yang rajin menulis mengenai cerita-cerita permotoran dalam beberapa majalah tidak menggemari Porsche tanpa mengetahui sebab sebenarnya walaupun mengakui kereta-kereta berjenama itu adalah hebat.

Pelakon watak Charlie’s Angels, Cameron Diaz yang pernah menjadi peminat kereta- kereta antik buatan Jerman memiliki beberapa kereta mewah seperti Porsche 911 Carrera, Mercedes SL dan Toyota Prius.

Kereta-kereta itu dilengkapi enjin hybrid yang boleh beralih antara enjin petrol konvensional dan enjin elektrik bergantung kepada keadaan sejajar dengan sikap pelakon itu yang cintakan alam sekitar bersama-sama rakan artis lain antaranya Gwyneth Paltrow, Leonardo DiCaprio, Billy Crystal, dan Harrison Ford.

Sistem navigasi Madonna pula, yang berhijrah ke London pada tahun 2001, memiliki rangkaian kereta mewah antaranya BMW 7-Series, Audi A8 dan Maybach super-limousine serta Cooper S yang dilengkapi sistem navigasi kawasan bagi membantu bintang itu semasa di luar daerah.

Anak kepada jurutera motor terkemuka itu sangat meminati Mini Cooper itu sehingga memuatkan nama kereta itu dalam satu daripada lagu-lagu terbarunya. Artis yang turut memiliki kereta yang sama ialah Sting, Goldie Hawn dan Elijah Wood.

Sementara itu, di kalangan artis tempatan pula, ramai antara mereka memandu kereta mewah terutama buatan Jerman dan Jepun yang terkenal dengan teknologi automotif termaju dan boleh dibeli pada harga yang agak tinggi, menjangkaui kemampuan seseorang pekerja berpendapatan sederhana di negara ini.

Antaranya ialah Erra Fazira yang memandu kereta berjenama BMW, Fasha Sandha dan Noryn Aziz memandu Honda CRV, Hattan dan Fauziah Latif bergegas ke sana ke mari dengan Mini Cooper manakala Ziana Zain dan Misha Omar bergaya dengan kereta Mercedes Benz.

Bagi Datin Seri Tiara Jacquelina yang kini sedang berhempas-pulas menjayakan teater P. Ramlee, kenderaan pacuan empat roda BMW X5 bukan sahaja memenuhi selera automotif tetapi juga memudahkan pengangkutan segala barangan keperluan, sama seperti Awie yang selesa dengan Toyota Harrier.

Tidak kira artis, ahli perniagaan atau ahli politik, pengenalan skim subsidi harga minyak baru di negara ini yang bertujuan memberi lebih keadilan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana pastinya menggoncang sedikit poket semua pemilik kereta mewah ini, walaupun tidak begitu dirasai bebannya selama ini.

Powered by Utusan Malaysia