Archive for the ‘Hazami’ Category

Syazliana Sibuk Urus Perniagaan


Oleh Mohd Nasif Badruddin
mnasif@hmetro.com.my

Rap

BUKAN mudah untuk membahagikan masa melakukan tiga tugas serentak apabila semuanya penting dan menjadi ‘bekalan’ pada hari tua. Namun, bagi penyanyi muda berbakat, Syazliana Abd Karim, 22, cabaran itu dapat dilaluinya dengan baik tanpa menjejaskan kosentrasinya sebagai pelajar.

Sejak menuntut di semester pertama dalam bidang seni bina hiasan dalaman di The One Academy, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Syazliana sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan selain bergelar penyanyi.

“Disebabkan minat mendalam pada kedua-dua bidang nyanyian dan perniagaan serta pada masa sama terikat dengan komitmen sebagai pelajar, saya perlu bijak membahagikan masa dan memberi perhatian penuh kepada semua bidang yang diceburi.

“Kalau diikutkan memang sukar melakukan tiga perkara serentak dalam masa sama. Namun, berkat doa dan sokongan semua pihak, saya bersyukur dapat melaluinya dengan baik sehingga lulus cemerlang dengan mendapat Gred A dalam Diploma Seni Bina Hiasan Dalaman sewaktu konvokesyen, baru-baru ini,” katanya.

Syazliana yang menghadiri majlis konvokesyen di Hotel Sheraton Subang pada 5 Oktober lalu, menyifatkan kejayaannya menamatkan pengajian dengan cemerlang tidak bermakna pembelajarannya sudah tamat. Sebaliknya gadis jelita ini menyimpan hasrat untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah di Australia pula.

Ketika menuntut di The One Academy, Syazliana mengharumkan nama kolejnya apabila memenangi Anugerah Pereka Bentuk Dalaman Muda LG (LG Young Best Designer 2007).

Minat mendalam di bidang nyanyian dan perniagaan membuatkannya tidak kisah berkorban untuk kedua-dua bidang itu. Katanya, nyanyian lebih kepada hobi dan minatnya sejak kecil, manakala perniagaan pula lebih kepada persediaan menghadapi hari tua selain mengamalkan ilmu yang dipelajarinya.

Kini Syazliana menumpukan perhatian kepada dua syarikat yang dimilikinya di Kelana Jaya iaitu Seinna Entertainment Sdn Bhd yang bertanggungjawab menguruskan kerjaya seninya dan Seinna Studio Sdn Bhd yang memfokuskan kepada rekaan grafik.

Ternyata, darah usahawan yang mengalir dalam dirinya diwarisi daripada bapa, Datuk Abdul Karim Munisar yang juga bukan nama asing dalam dunia korporat.

“Selain menyanyi, saya memang minat dengan hiasan dalaman. Insya-Allah, apabila dua syarikat saya ini stabil, saya bercadang membuka syarikat hiasan dalaman sendiri, Seinna Interior Design pula,” katanya.

Biarpun berdepan kesibukan menguruskan dua syarikat, Syazliana tetap membahagi masa meneruskan kariernya di bidang seni yang mula diceburinya sejak berusia 13 tahun lagi.

Awal bulan depan album terbaru Syazliana yang memuatkan 10 lagu akan menemui peminat di bawah edaran Sony BMG Music. Album yang dihasilkan melalui syarikat miliknya sendiri, Sienna Entertainment Sdn Bhd ini menampilkan ramai komposer ternama sebagai penerbit.

Antara komposer yang terbabit dalam album keempatnya ialah Iman Wan, Hazami, Adnan Abu Hassan, Yasin dan Neves Pretty Ugly. Selain itu, Syazliana sendiri turut menyumbang idea menjayakan pembikinan album terbarunya yang berkonsepkan pop & balada itu.

“Album kali ini memang unik dan lain daripada sebelumnya. Bukan saja mengetengahkan konsep dan idea yang segar, malah menampilkan sesuatu yang baru mengikut aliran semasa.

“Saya sebenarnya cukup teruja dan bangga dapat bekerja dengan ramai nama besar dalam industri muzik seperti Hazami yang baru pertama kali terbabit dengan saya. Walaupun berkonsepkan pop, ia menyelitkan elemen baru yang berbeza daripada album lain,” katanya.

Hujung minggu ini, Syazliana akan turun padang mengadakan persembahan di booth Harian Metro sempena Jomheboh di Batu Kawan, Pulau Pinang. Sebelum ini dia pernah menjayakan persembahan sama pada Jomheboh di Johor Bahru pada Jun 2006.

Katanya, dia gembira dan terharu kerana diundang akhbar berbahasa Melayu nombor satu negara mengadakan persembahan buat kali kedua. Jemputan ini disifatkannya sebagai platform untuk bertemu peminat dengan lebih dekat di tempat berbeza.

“Saya berterima kasih kepada Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh kerana sudi menjemput saya memeriahkan program ini. Saya tidak kisah mengadakan persembahan di tempat kecil seperti booth Harian Metro. Walaupun kecil, sambutannya tetap meriah.

“Inilah masanya untuk saya berbakti kepada Harian Metro yang banyak menyokong karier seni saya terutama dari sudut publisiti. Saya tidak mengambil masa lama untuk menerima pelawaan ini kerana ia memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Profil

NAMA: Syazliana Abd Karim

TARIKH LAHIR: 25 Julai 1986

TEMPAT LAHIR: Subang Jaya Medical Centre, Selangor

STATUS: Bujang

KELUARGA: Anak ketiga daripada lima beradik

PENDIDIKAN: Diploma Seni Bina Hiasan Dalaman di The One Academy

ALBUM: Singgahsana (2001), Demi Cinta (2003), Sinar Baru (2005) dan Syaz (2008)

PENCAPAIAN: Peringkat Separuh akhir, Anugerah Juara Lagu Ke-18 (AJL18) dalam Kategori Etnik Kreatif & Irama Malaysia (2003) dan finalis AJL17 dalam kategori sama pada 2002

Harian Metro

Dengarnya…Hadiah Datuk S Untuk Azharina

Oleh Normah Becok

TERBUAI seketika kawan Cik Normah apabila mendengar lagu Rawan dendangan Azharina Azhar. Itu single terbaru penyanyi yang mesra dengan panggilan Nina ini dan lagu itu ciptaan sepenuhnya penyanyi Hazami.

Cik Normah pun tak sabar nak tunggu ‘comeback’ penyanyi ini selepas bercerai dengan Datuk Shukri Mohamed. Cik Normah dapat tahu, Nina masih berkawan baik dengan bekas suaminya yang juga dikenali sebagai Datuk S. Datuk S siap dilantik sebagai penasihat undang-undang mewakili syarikat Nina iaitu Top 3 Production Sdn Bhd dan Azharina Entertainment.

Kawan Cik Normah yang bertemunya baru-baru ini cakap lagu Rawan itu mempunyai sejarahnya sendiri. Ia adalah luahan hati Datuk S sendiri kepada Nina. Lalu, Datuk S tak pandai menggubah atau mencipta lagu, maka dia serahkan tugas itu kepada komposer Hazami. Wow! Romantis juga bekas suami Nina.

Cik Normah ramalkan lagu tu silap hari bulan akan mengembalikan kegemilangan Nina masa lagu dendangannya Elegi Sepi meledak dan meletup-letup. Tak sabar Cik Normah nak dengar lagu Rawan tu. Dengar cerita, Nina siap menyanyi ala-ala Mariah Carey gitu. Kelas you.

Berita Harian

Tranformasi Baru Nina

Oleh FERIDE HIKMET ATAK
feride.hikmet@kosmo.com.my

DEMI kerjaya, dia sanggup berbuat apa sahaja. Maksud berbuat apa sahaja itu bukannya dari segi konteks tidak baik seperti menjual maruah diri dan sebagainya, sebaliknya wanita kelahiran Sabah ini sanggup berhabis demi untuk penampilan diri.

Satu pengorbanan yang boleh dikira agak besar sebagai seorang selebriti, kerana dengan penampilan yang ditonjolkannya, ia mampu membuat khalayak mahupun dirinya sendiri yakin dan selesa.

Lalu, Azharina Azhar, pemilik vokal serak-serak basah ini dengan rela hati mengambil keputusan untuk sekujur tubuh ‘montoknya’ dibedah.

Pembedahan membuang lemak mungkin agak asing kepada umum, tetapi dalam teknologi kecantikan ia satu pendekatan yang begitu popular di kalangan wanita yang mahu tampil langsing.

Buat pertama kalinya, Azharina atau Nina mengakui dia pernah menjalani pembedahan menyedut lemak kira-kira lima bulan lalu. Dan akui Nina, bermula daripada detik-detik itu, dia merasakan telah berlaku satu transformasi baru dalam hidupnya.

Selepas bercerai pada awal tahun ini, dia bagaikan mahu menukar persepsi umum supaya melihat sisi hidupnya dengan cara berbeza.

“Memang saya pernah buat pembedahan sedut lemak. Saya tak mahu berbohong. Saya mahu Azharina yang baru. Dulu, dari segi keyakinan diri saya memang kurang sebab masa tu, ada saja yang saya rasa tak kena dengan diri saya. Lagipun saya suka cantik. Saya sanggup berhabis wang untuk kecantikan sebab itu saya sanggup buat pembedahan itu,” tuturnya berterus terang.

Bukannya obses dengan kecanggihan teknologi yang mampu memberi kelainan diri, Nina menganggap ia satu pengorbanan besar kepada peminat-peminatnya.


KEPADA Kosmo! Nina mengakui bahawa dia pernah melakukan pembedahan sedut lemak untuk kelihatan lebih langsing.

Nina sanggup berhabis wang bukan sahaja demi kepuasan diri tetapi juga untuk masyarakat peminat yang sering menjadi pemerhati setiap gerak gerinya.

Tidak hairan kenapa bicaranya penuh yakin tanpa perlu rasa malu bila bab pembedahan sedut lemak dikongsikan walaupun Kosmo! walaupun awalnya terpaksa memujuk beberapa kali untuk berterus terang.

“Bukannya apa, saya takutlah kalau ada orang salah tanggap kepada apa yang saya kongsikan ini. Kadang-kadang bila saya berkongsi sesuatu, pasti ada saja yang tidak kena. Nanti orang kata saya ni plastik (hipokrit) pula,” ujarnya dengan ketawa kecil.

Menanggung kesakitan yang perit

Untuk cantik perlukan pengorbanan. Bukan sahaja daripada segi wang ringgit,tetapi terpaksa menahan kesakitan tidak terperi. Itulah pengorbanan Nina. Pembedahan yang dijalani di sebuah hospital di Kuala Lumpur itu dirasakan cukup menyakitkan.

“Sukar untuk digambarkan apa yang saya telah alami. Sakitnya yang amat. Cara pembedahan itu bukannya dengan memotong bahagian perut tetapi perut saya ditebuk di bahagian kiri dan kanan. Kemudian, baru lemak dicairkan melalui laser. Hendak cantik memang sakit. Lima bulan saya menderita, tetapi hasilnya berbaloi. Sekarang ni saya kena jaga makan untuk mendapatkan berat badan yang ideal.

“Saya berkongsi cerita mengenai pembedahan sedut lemak ini bukan kerana bangga dengan apa yang saya telah lakukan. Biasalah, sebagai manusia, saya pun nak kelihatan cantik juga.

“Sebenarnya, banyak orang yang buat pembedahan kecantikan. Baik artis mahupun orang biasa, cuma mereka malu untuk berkongsi saja. Rasanya, sayalah orang pertama berkongsi cerita mengenai pembedahan pengurusan badan kan?” ujarnya sambil berseloroh.

Mengenai kos pembedahan tersebut, Nina bagaimanapun enggan mengulas panjang. “No comment! Nanti orang kata saya menunjuk pula,” ujarnya ringkas tapi tegas.


MENJADI lebih yakin diri selepas menjalani pembedahan walaupun prosesnya amat menyakitkan.

Bagaimanapun setahu Kosmo! kos untuk melakukan pembedahan berkenaan dikatakan boleh mencecah antara RM8,000 ke atas.

Selain pembedahan ini dilakukan demi untuk penampilan yang lebih menarik, Nina juga mahu kesihatannya seimbang. Dan yang lebih penting, sebagai seorang penyanyi, dia kini lebih mudah mencari pakaian untuk persembahan pentas serta mampu mengekalkan stamina.

“Kadang-kadang kalau baju saya ketat ketika menyanyi, satu perkara yang paling saya tak suka ialah perut saya akan nampak buncit, ambil gambar pun tak cantik. Tak pasal-pasal kena tahan perut masa menyanyi atau ambil gambar.

“Tapi sekarang ni dah okay sikit. Nyanyilah macam mana sekalipun perut tak adalah nampak buncit dan saya jadi lebih yakin di pentas,” tawanya lagi.

Tidak perlu ditaja

Walaupun usia karier nyanyian Nina boleh dikatakan masih hijau, namun dia boleh tahan dari segi menjadi bahan kontroversi di media massa. Belum pun masalah sebelum ini mengenai isu perkahwinan dan kemudian perceraiannya itu surut, timbul pula kontroversi baru.

Seperti biasa, apabila seseorang itu bergelar janda apalagi golongan artis yang jelita dan menggiurkan seperti Nina ini , mulut masyarakat umum mula berkata-kata. Kononnya Nina masih lagi ditaja oleh individu-individu dari golongan atasan untuk terus mengecapi kehidupan mewahanya.

Dalam nada keras, Nina menjawab persoalan berkenaan dan nyata dia cukup kecewa dengan panadngan sebegitu.

“Sampai bila orang mahu memperkatakan saya begitu? Siapa yang baik hati sangat nak taja saya? Kalau ada, saya nak orang itu taja saya RM40,000 sebulan sebab terus-terang saya katakan belanja hidup saya tinggi. Sanggup ke?

“Tolonglah. Saya tak perlu ditaja kerana dengan kemampuan saya menguruskan syarikat Top 3 Production Sdn Bhd. dan Azharina Entertainment, saya mampu berdikari dan dapat apa yang saya hendak.

“Lagi sekali saya katakan, kalau ditaja tak ada, tetapi dari segi sokongan memang banyak. Kalau dah ada duit sendiri, buat apa nak makan duit orang lain pula?

“Biarlah apa orang nak kata. Orang kata hidup saya senang, saya terima sahaja. Setiap perkara yang mereka kritik, saya menerimanya dengan hati terbuka dan mengambilnya secara positif,” ujarnya dalam penuh kepasrahan.

Seperkara lagi yang kelihatan sedikit berbeza mengenai penyanyi ini ialah penampilannya seolah-olah lebih matang berbanding usianya.

Namun, apa yang digayakan Nina kini menunjukkan dirinya sebenar. Dirinya turut mengakui, proses kematangannya lebih cepat berbanding usianya yang baru saja mencecah 23 tahun.

“Apa yang saya pakai sekarang adalah diri saya. Buat apa saya nak pakai pakaian yang tidak selesa untuk saya? Saya masih orang yang sama.

“Mungkin kerana saya membesar dengan dikelilingi oleh orang-orang yang berumur membuatkan saya kelihatan matang. Pekerja saya pun orang berumur.

“Bekas suami saya seorang peguam. Takkanlah saya nak buat perangai atau menunjukkan imej kanak-kanak? Mestilah kena lebih matang. Kadang-kala pergaulan saya juga membuatkan orang berfikir begitu kerana saya suka berborak mengenai hal-hal semasa, bukannya cakap kosong,” tuturnya.

Bekas suami hadiahkan lagu

Mengenali diri Nina, pasti ramai yang tahu dia dan bekas suaminya masih lagi akrab biarpun telah berpisah.

Namun, apa yang membuatkan Nina terharu ialah apabila bekas suaminya itu telah menghadiahkannya sebuah lagu khas untuknya berjudul, Rawan.

“Saya menganggap ia satu pemberian yang begitu bermakna buat saya. Bayangkan, dia meminta bantuan Hazami menghasilkan lagu dan lirik mengikut luahan hatinya. Sebab itu, lagu Rawan dijadikan sebagai single terbaru saya nanti.

“Kemudian saya panggil dalam 10 hingga 15 orang untuk mendengarkan lagu ini, dan hasilnya kebanyakan mereka begitu sukakan lagu ini. Hadiah ini akan saya kenang sampai bila-bila.

“Saya tahu, kami sememangnya tidak boleh bersatu sebagai suami isteri, tetapi kami tetap akrab sebagai teman walaupun saya masih sayangkannya,” ujarnya yang lebih selesa menjadi rakan kongsi membina perniagaan bersama bekas suaminya yang dikahwini hanya dalam masa sekitar setahun.

Kosmo