Archive for the ‘Farid Kamil’ Category
Diskusi I’M Not Single
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
Rap
PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengajak orang ramai khususnya penggiat seni menyertai diskusi filem, I’m Not Single bertempat di Pawagam Mini P Ramlee, Finas, Hulu Klang jam 2 petang ini.
Finas menerusi Unit Latihan siri diskusi filem tempatan dan antarabangsa kembali menganjurkan program itu. Diskusi berkenaan membabitkan ahli panel yang juga pengarahnya, Piere Andre, pelakon utama, Farid Kamil dan menampilkan aktivis seni, Rokiah Hashim sebagai moderator program.
Penolong Pengarah Komunikasi Korporat Finas, Mohd Fazli Abd Aziz berkata sesi berkenaan terbuka yang kepada semua adalah sebahagian daripada usaha pihaknya mewujudkan platform untuk karyawan bertukar pandangan masing-masing.
“Sesi ini akan dimulakan dengan tayangan filem jam 2.30 petang diikuti sesi diskusi yang membabitkan panel jemputan. Tujuan program ini diadakan bukan untuk mengkritik filem yang dihasilkan oleh karyawan tempatan. Program ini adalah salah satu daripada usaha untuk karyawan tempatan bertukar idea dan mengupas lebih lanjut mengenai filem berkenaan.
“Ia juga sebagai salah satu cara untuk memperbaiki kualiti kerja masing-masing. Penganjuran siri diskusi ini juga diharap boleh menarik perhatian dan mendorong masyarakat umum menyokong penghasilan filem tempatan,” katanya.
Tambahnya, sejak program itu diperkenalkan bermula 2003, lebih 40 filem sudah diapresiasi. Setakat ini penganjuran diskusi mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penggiat seni, pelajar perfileman dan orang ramai.
“Diskusi ini juga memberi peluang kepada orang ramai mengenali lebih dekat pengarah filem. Disamping menyaksikan filem itu, program ini turut memberi ruang masyarakat mengetahui kupasan yang dibuat ketika sesi dijalankan,” katanya.
Maklumat lanjut berkenaan program layari laman web www.finas.gov.my atau www.sinemamalaysia.com.my atau hubungi Unit Latihan Finas di 03-40141300.
Harian Metro
Wayang Wakil Negara
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
FILEM Wayang arahan Profesor Hatta Azad Khan yang mengangkat seni wayang kulit dalam kehidupan masyarakat Melayu menjadi satu-satunya wakil filem tempatan yang bertanding untuk kategori Asia pada Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (Kliff) tahun ini.
Untuk kategori yang sama, filem Wayang di saingi Captain Abu Raed dari Jordan, Uri Saengae Choego-ui Sungan (Korea Selatan), Hai Jiao Qi Hao (Taiwan) dan Hamoon Va Darya (Iran).
Pengarah Kliff, Wafa Abdul Kadir berkata pemilihan Wayang untuk mewakili negara dilihat bersesuaian dengan tema acara ini iaitu Meraikan Kepelbagaian Budaya. Filem itu yang dibintangi pelakon utama, Eman Manan dan Zul Huzaimy masih ditayangkan di pawagam sejak 13 November lalu.
“Filem itu mempunyai naluri yang sesuai mengikut tema Kliff pada tahun ini. Malah pemilihan filem cereka yang bertanding untuk kategori Asia adalah sukar. Pada tahun ini, sambutan yang diterima daripada filem bertanding cukup menggalakkan.
“Namun, fokus pada budaya tidak hanya tertumpu pada paparan satu budaya saja. Filem Amal umpamanya menampilkan pelakon Kanada tetapi bercerita budaya India.
“Bagaimanapun, filem tempatan lain yang tidak dipilih mewakili negara masih berpeluang untuk menang. Tidak mustahil filem yang hanya untuk tayangan percuma mampu dipilih juri sebagai pemenang.
“Ini disebabkan juri menonton kesemua filem yang bertanding dan ditayangkan pada Kliff kali ini. Sebanyak 16 kategori dipertandingkan termasuk tiga anugerah juri.
“Hingga kini proses penjurian masih berlangsung sejak sebelum Ramadan lalu dan berakhir pada Malam Anugerah yang akan diadakan pada 29 November nanti. Seramai 21 juri profesional dari pelbagai negara yang bertanding terbabit mengadili kategori filem cereka dan pengarah U-Wei Shaari dilantik selaku Ketua Juri untuk peringkat akhir nanti,” katanya.
Bersama Wayang, 10 filem tempatan lain yang tersenarai untuk tayangan percuma adalah Kala Malam Bulan Mengambang, Evolusi KL Drift, Susuk, Congkak, Pensil, Anak Halal, Sepi, Cuci, Duyung dan Apa Kata Hati. Tayangan filem percuma ini bermula 26 hingga 30 November ini dan ia diadakan di dua lokasi iaitu GSC Mid Valley dan GSC Pavilion, Kuala Lumpur.
Tentunya menerusi kategori filem cereka yang dipertandingkan, penonton tertarik untuk mengetahui senarai filem antarabangsa yang bertanding kategori benua Eropah, Afrika, Amerika Utara dan Amerika Selatan. Kategori benua Eropah menyaksikan hanya tiga filem layak bertanding iaitu Darling dari Perancis, La Maison Jaune (Perancis/ Algeria) dan Chrysalis (Perancis).
Benua Afrika pula mempertandingkan lima filem iaitu Hassan We Morcos dari Egypt, Tissee De Mains Et D’Etoff (Morocco), Divizionz (Afrika Selatan/ Uganda), Lilet II Baby Doll (Egypt) dan Al Koloub Al Mouhtariqua (Morocco). Di samping itu, filem dari benua Amerika Utara disertai tiga filem Amerika Syarikat iaitu The Last Lullaby, Year Of The Fish dan American East serta dua filem Kanada, Amal dan Fugitive Pieces manakala kategori Amerika Selatan, filem bertanding adalah Cuando Me Toque A Mi (Ecuador), A Casa De Alice (Brazil), Mare, Nossa Historia De Amor (Brazil/ Perancis/ Uruguay) dan Esas No Son Penas (Ecuador).
Bagi tayangan perdana bermula 27 dan 28 November di GSC Pavilion jam 6 petang, penganjur memilih dua filem iaitu Kinta dan Amal. Filem Kinta yang diarahkan Hor Chee Leong mengisahkan persaingan dendam dua beradik ditayangkan pada 27 November diikuti Amal pada keesokan harinya. Menariknya, tayangan filem ini disertai acara permaidani merah dan dihadiri artis tempatan dan antarabangsa.
Kelainan Kliff kali ini, penganjur memberikan hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 berserta trofi dan sijil untuk setiap pemenang kategori Animasi Terbaik, Dokumentari, Filem Pendek Terbaik, Pengarah Terbaik, Aktor Terbaik, Aktres Terbaik, Sinematografi Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Bunyi Terbaik, Skor Muzik Terbaik, Suntingan Terbaik dan tiga anugerah juri. Lima anugerah perdana untuk setiap kategori yang mewakili benua akan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.
Bagi anugerah keseluruhan iaitu Mercu Perdana Terbaik bakal membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000. Wafa turut berkata pemberian wang tunai adalah satu galakan pada pemenang. Pada malam anugerah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 29 November jam 9 malam dan disiarkan secara langsung menerusi Astro Kirana, akan membawakan enam persembahan iaitu Datuk Siti Nurhaliza, Yusry berduet Melly Goslow, kumpulan Ladylike dari Sweden, Ning Baizura, Point Blank, medley Zahid, Suki dan Dafi serta kumpulan teater Impak Maksima.
Penganjur juga memaklumkan antara artis antarabangsa yang mengesahkan kehadiran adalah Mallika Sherawat dari India, Tanaka Chie (Jepun), Van Fan (Taiwan), Rano Shodiyeva (Uzbekistan) manakala artis tempatan antaranya Maya Karin, Farid Kamil dan Carmen Soo.
Harian Metro
Nina Sudah Berubah
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
Rap
WALAU masih baru di bidang lakonan, namun nama Siti Fazurina Mohd Famir, (Nina), 26, cepat meniti di bibir peminat. Segalanya bermula sebaik dia membintangi drama bersiri Puteri arahan Aziz M Osman.
Menerusi drama itu, Nina digandingkan dengan Nora Danish dan Kanchana Dewi. Begitupun, pembabitannya dalam dunia lakonan lebih awal daripada itu selepas menyertai pertandingan Dewi Remaja 2003 yang turut mencungkil bakat Anahita Bakavoli dan Pushpa Narayan.
Bakatnya yang begitu menyerlah sewaktu menjadi pelakon pembantu dalam Puteri memberikan idea kepada TV3 untuk menghasilkan sitcom Dunia Anita dan Nina menjadi teraju utama.
Lakonan bersahaja dan mencuit hati menjayakan watak Anita menyebabkan pelakon berasal dari Sungai Petani, Kedah ini turut mendapat perhatian daripada penerbit lain.
Bertemu dengan Nina buat pertama kali di lokasi drama terbaru lakonannya, Rebab Tidak Bertali, ternyata personalitinya berbeza dengan apa yang ditonton dalam Dunia Anita.
Pemegang diploma pengurusan perniagaan daripada Kolej Shahputra, Kuantan, Pahang ini begitu serius sepanjang berada di lokasi dengan skrip sentiasa berada dalam genggaman.
“Sejak mula-mula berlakon, saya memang begini. Sudah terbiasa skrip di tangan. Ia membawa makna yang saya sudah cukup bersedia untuk masuk lokasi.
“Satu lagi sikap saya suka lakukan waktu bekerja, menghubungi pengarah dua atau tiga hari sebelum penggambaran dimulakan bagi berbincang mengenai watak yang mahu dilakonkan.
“Saya masih ingat masa mula berlakon dulu, pemenang Anugerah Pengarah Drama Terbaik, Anugerah Skrin 2008, Mohd Murali Abdullah yang membawa saya masuk dalam dunia seni dan menjadi anak wayang sepenuh masa. Walhal, dulu ibu tidak berapa menggalakkan saya berlakon.
“Dia lebih senang saya bekerja sebagai pegawai kerajaan. Katanya, saya tidak perlu berlakon kerana dengan kelulusan yang ada, pasti saya boleh memegang jawatan yang baik. Waktu sama, selepas menyertai Dewi Remaja, saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran.
“Bagaimanapun, berasakan saya mempunyai bakat, Murali sanggup datang ke kampung bertemu ibu dan memujuk agar membenarkan saya berlakon. Drama pertama lakonan saya terbitan Pena Kreatif dan waktu itu, saya kurang yakin dengan kemampuan diri.
“Murali banyak mengajar. Di samping itu, saya akan membaca skrip berkali-kali agar saya faham karakter yang harus dilakonkan.
“Melihatkan usaha saya itu, Murali memberi saya peluang berlakon lima drama sekali gus sebelum Aziz melihat lakonan saya di televisyen dan menawarkan untuk membintangi Puteri,” katanya.
Kini selepas empat tahun terbabit secara serius dalam bidang lakonan, kata Nina, dia berpuas hati dengan apa yang diperoleh sekarang.
“Cuma timbul sedikit kekesalan apabila saya sebelum ini tidak melihat publisiti penting sebagai anak seni. Dulu, saya ingat cukuplah sekiranya saya tonjolkan bakat menerusi filem dan drama dan promosi diri tidak perlu.
“Saya jarang menghadiri majlis penganugerahan kerana berasakan ia tidak penting, sedangkan di situlah pihak media dapat bertemu dengan artis seperti saya. Dalam pada itu, saya sendiri agak pemalu hendak bertemu wakil media.
“Rupa-rupanya apa yang saya fikirkan itu salah terutama apabila sekarang ini semakin ramai bakat baru muncul. Kadang-kadang melihat ada pelakon baru yang popularitinya menjangkaui pembabitan dalam bidang lakonan, terdetik juga hati. Namun itulah kelebihan publisiti untuk pelakon seperti saya.
“Sekarang, saya nekad tidak mahu menoleh ke belakang. Saya akan lakukan perkara yang sepatutnya saya buat dari dulu. Saya bersedia bertemu wakil media sekiranya saya diperlukan untuk mempromosikan drama mahupun filem lakonan saya,” katanya penuh bersemangat.
Ternyata kerana bakat Nina turut dilihat pengarah filem apabila dilamar Mamat Khalid untuk filem Estet bergandingan dengan Farid Kamil dan bakal ditayangkan awal tahun depan.
“Sebelum ini, saya turut berlakon dalam filem Senario XX. Banyak tawaran lain tetapi kerana bertembung jadual penggambaran, saya terpaksa tolak. Saya tidak mengeluh kerana rezeki saya akan datang juga.
“Pada awal pembabitan, pernah terlintas di fikiran sama ada langkah saya untuk menjadi anak seni sepenuh masa ini membuahkan hasil. Namun, melihat perkembangannya, saya sangat bersyukur.
“Bayangkan dengan wang hasil lakonan, saya dapat membantu persekolahan tiga adik yang kini sedang menuntut di universiti dan membantu perbelanjaan ibu. Hendak harapkan ibu seorang pun tidak boleh kerana dia jururawat pencen.
“Pencapaian saya peroleh sekarang sebenarnya datang daripada doa ibu dan restunya. Jika dia berkeras tidak membenarkan saya berlakon dulu, pasti semua ini tidak akan terjadi,” katanya.
>Profil
NAMA PENUH: Siti Fazurina Mohd Famir
PANGGILAN: Nina
USIA: 26 tahun
TARIKH LAHIR: 9 Jun 1982
ASAL: Sungai Petani, Kedah
TINGGI: 5 kaki 5 inci
BERAT: 52 kg
KELUARGA: Anak kedua dari lima beradik
KERJAYA: Pelakon
KELULUSAN: Diploma Pengurusan Perniagaan daripada Kolej Shahputra,
Kuantan, Pahang
FILEM: Senario XX dan Estet
DRAMA: Puteri, Dunia Anita, Pusara Ku Pelamin Ayah, Ingin Terbang Jauh, Biarlah Rahsia dan Cinta Rahsia, Rebab Tidak Bertali
Harian Metro