Archive for the ‘Fahrin Ahmad’ Category

Babak Lesbian Scha - Yana Mengejutkan!


Teks oleh Razif Rosdi

Ketika preview filem thriller seram terbaru daripada Tayangan Unggul Sdn Bhd, Histeria, baru-baru ini, ramai penonton terjerit-jerit. Bukan sahaja terjerit melihat babak-babak pembunuhan hantu jembalang yang menakutkan tetapi juga adegan ‘lesbian’ membabitkan 2 pelakon cantik.

Mereka adalah Scha (buah hati Fahrin Ahmad dan pelakon siri Awan Dania) serta Liyana (Yana - pengarah filem Selamat Pagi Cinta).

Dalam babak itu, mereka berdua yang berpakaian seragam sedang berada dalam satu bilik yang kosong apabila pelajar sekolah itu pulang bercuti. Awalnya, Yana bertanya sama ada Scha sudah ada teman lelaki atau tidak dan seterusnya mula menggoda Scha.

Akhirnya Yana dengan gerak yang perlahan, cuba mengucup bibir Scha dan … apakah tindakan Scha?

Jawapan itu ada dalam filem Histeria yang akan mula ditayangkan kepada umum mulai 18 Disember 2008 ini.

Ketika ditanya kepada Scha, bekas pramugari AirAsia tentang babak kontroversi itu, dia berkata: “Mula-mula saya ingat James hanya main-main saja, yakni tidak serius. Apabila dia cakap dia memang hendakkan adegan itu, terus berderau darah saya! Saya rasa sungguh pelik dan tidak sanggup mahu buat.

“Tapi saya difahamkan, ia tidak akan nampak keterlaluan kerana kami masih berpakaian lengkap. Saya juga faham, James mewujudkan babak ini bagi menambahkan konflik dalaman dalam karektor lakonan Yana terutamanya sebagai gadis songsang. 

“Malah selepas melakonkan babak itu, saya terus menghubungi ibu bapa untuk menjelaskan tentang perkara itu supaya mereka tidak salah anggap dan saya gembira mereka faham. Saya bukannya lesbian dan saya tidak ada kawan-kawan rapat dari jenis lesbian,” kata Scha.

Bagi Yana pula, dia hanya tahu tentang tambahan babak itu ketika tiba di lokasi penggambaran Histeria.

“Niat saya hanyalah untuk menguatkan karekter semata-mata. Kalau boleh, saya tidak mahu berlakon lagi watak sebegitu. Tapi untuk menjadi seorang pelakon yang baik, saya ingin mencuba sesuatu yang baru dan saya suka watak Zeta. Bagi saya gadis lesbian adalah golongan yang masih misteri.

“Yang penting, saya bukan lesbian, Saya wanita straight (normal)!” ujar Yana.

James sendiri sebagai pengarah berkata, dia menyelitkan babak itu kerana perkara adalah fenomena yang seringkali terjadi di sekolah terutama sekolah yang hanya mempunyai pelajar perempuan.

“Zeta hanyalah satu karekter dan lakonan. Saya hanya mahu mewarnakan lagi watak-watak dalam Histeria kerana semuanya pelakon perempuan. Bagi saya tujuannya bukanlah hendak menggalakkan kegiatan lesbian di kalangan pelajar kerana sama ada diselitkan atau tidak babak itu, fenomena itu (lesbianism) tetap berlaku,” katanya kepada media.

Histeria mengisahkan tentang rasukan dan pembunuhan yang terjadi di sebuah sekolah membabitkan sekumpulan pelajar perempuan.

Ketujuh-tujuh pelajar nakal itu terpaksa tinggal di asrama sekolah mereka selepas membuat satu satu penipuan. Namun ketika di situ mereka telah diganggu jembalang saka yang muncul selepas mereka membaca mantera di satu busut di perkarangan sekolah itu.

Turut berlakon filem itu adalah Liyana Jasmay, Adiputra, Kazar, Vanidah Imran, M Rajoli dan Adlin Aman Ramlie selain sekumpulan bintang baru sebagai kumpulan pelajar terbabit.

 

Murai

Hikmah Dugaan Eja

Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
KALI pertama pelakon popular Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah ialah ketika bersama anggota keluarga terdekatnya pada 1995.Ketika itu, Eja, masih bertugas sebagai pramugari dengan Penerbangan Malaysia.

Namun, kunjungan kedua Eja, 36, ke Tanah Suci tahun ini berbeza sama sekali kerana selain beribadat, dia juga terbabit dengan penggambaran drama bersiri 26 episod, Tasbih Cinta arahan pengarah berkaliber Erma Fatima.

Eja bersama pelakon dan kru drama itu berada di sana lebih dua minggu membabitkan lokasi penggambaran di Makkah, Madinah dan Taif bermula 18 Oktober dan kembali ke tanah air pada 3 November lalu.

“Terus terang, ketika saya menunaikan umrah bersama keluarga dulu, perasaannya tidak sama seperti sekarang, mungkin kerana usia masih terlalu muda. Kunjungan kedua ini, saya lebih bersedia untuk menjadi tetamu Allah berbanding dulu. Walaupun, kunjungan saya kali ini untuk bekerja tapi tujuannya tetap sama iaitu untuk menjadi tetamu Allah.

“Sebagai persediaan untuk ke Tanah Suci, rombongan kami diberikan taklimat terlebih dulu dan diberi buku panduan untuk menunaikan umrah. Saya juga mempunyai Mutawif di sana, Zakariah Ibrahim yang banyak membantu ibadat umrah ketika di sana,” katanya.

Bagaimanapun, kata Eja, bukan sedikit dugaan yang dihadapinya sebelum menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah.

“Saya memang teruja untuk ke Makkah sejak awal lagi tapi ketika taklimat dengan ustaz, kami diberitahu bukan senang untuk dipilih menjadi tetamu Allah.

“Selain penggambaran drama ini tertunda selama tiga bulan kerana masalah visa sehari sebelum kami dijadualkan berangkat ke Tanah Suci, saya dimaklumkan pasport saya ada masalah dengan pihak Imigresen.

“Saya menangis kerana bimbang tidak dapat ke tanah suci dan selepas dinasihatkan buat solat Taubat, akhirnya dengan izin Allah masalah pasport saya diselesaikan. Tapi, saya terpaksa berangkat ke tanah suci sendirian sehari selepas pelakon dan kru terbabit berlepas ke sana.

“Sebelum berangkat ke sana, saya juga diminta membetulkan tujuan ke tanah suci kerana jika bekerja sekalipun, saya tetap menjadi tetamu Allah. Janganlah fikir berkunjung ke tanah suci adalah sekadar ziarah dan bersiar-siar, sebaliknya ia untuk beribadah.

“Saya bukanlah manusia yang sempurna di dunia ini kerana sebagai insan biasa banyak kesilapan yang kita lakukan tanpa kita sedar atau tidak?,” katanya.

Sepanjang tiga minggu penggambaran drama ini, Eja berkata, jadualnya dan pelakon lain tidak ketat kerana Erma memberi peluang kepada mereka untuk beribadah ketika di sana.

“Saya dapat menunaikan umrah sebanyak tiga kali pada waktu malam. Kami beruntung kerana tidak perlu bersesak untuk menunaikan ibadah umrah disana kerana belum masuk musim Haji lagi ketika itu.

“Saya juga dapat mencium Hajarul Aswad, Sembahyang di Makam Ibrahim, Sembahyang Hijr Ismail dan berdoa di tempat yang mustajab untuk berdoa iaitu di Multazam,” katanya.

Eja berkata, hatinya juga berasa begitu tenang dan tenteram ketika berada di Tanah Suci Makkah.

“Mungkin, saya sudah melancong ke serata dunia tapi perasaannya berbeza sama sekali bila berada di Makkah.

Bagi saya, tiada tempat yang lebih hebat di dunia ini selain berada dekat dengan Kaabah.

“Kali pertama melihat Kaabah, saya berasa diri ini begitu kerdil sekali. Saya juga tidak fikir perkara lain ketika itu kerana ingin menunaikan ibadah sebaik mungkin.

“Saya juga berasa diri lebih dekat dengan Allah kerana di sana segala rahsia saya berkongsi dengannya dan tiada apa yang dapat disembunyikan dariNya. Antara doa saya di sana ialah meminta keampunan dariNya atas dosa dilakukan dan semoga hidup diberkati di dunia dan akhirat. Saya juga meminta segala doa dimakbulkan Allah dan dosa diampunkanNya,” katanya.

Eja berkata, dia berusaha menjaga solat dan setiap tutur katanya supaya tidak menyingung perasaan .

“Selepas kembali dari tanah suci, sudah pasti kita inginkan perubahan dalam diri menjadi insan yang lebih baik berbanding dulu.

Kalau kita masih tidak berubah dan melakukan kejahatan bermaksud kita tidak takut dengan Allah. Bagi saya, biarlah hidup kita ada keseimbangan antara dunia dan akhirat,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai penggambaran drama Tasbih Cinta, Eja berkata, ia berjalan lancar seperti direncanakan.

“Sepatutnya, saya bergandingan dengan Fahrin Ahmad dalam drama ini tetapi Fahrin terpaksa balik lebih awal kerana terbabit dengan program realiti Sehati Berdansa.Justeru, wataknya digantikan dengan Sahronizam Nor. Pelakon lain terbabit ialah Datuk Rahim Razali, Hamidah Wahab dan Aida Radziwill.

“Walaupun cuaca panas melebihi 40 darjah celcius dan kami memakai jubah hitam tapi pelakon dan kru tidak terasa bahangnya.

Selain tidak berpeluh, badan juga tidak berbau sepanjang penggambaran sehari suntuk.

“Kami beruntung kerana penginapan di sana ditaja pemilik Hotel Al-Safwah Royale Orchid yang juga hotel pertama dimiliki rakyat Malaysia di sana. Kami dapat bilik suite yang mengadap ke Kaabah. Manakala, di Taif, kami menetap di Hotel Ramada,” katanya.

Pada masa sama, kata Eja, berat badannya turun sebanyak 2 kilogram sepanjang penggambaran berkenaan.

“Saya memang ada masalah untuk menyesuaikan diri dengan cuaca dan makanan setiap kali berada di luar negara. Saya juga kurang makan dan lebih banyak minum air kerana kebayakan makanan yang disajikan di sana adalah daging kambing,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Eja menyambung penggambaran drama Juwita Asmara arahan Erma selepas kembali dari Tanah Suci Makkah. Drama ini turut dibintangi barisan pelakon seperti Fahrin Ahmad dan Nasha Aziz

Dua lagi drama lakonannya yang baru selesai penggambaran ialah telefilem Layang-layang arahan Osman Ali dan drama bersiri 26 episod, Wadi Unung arahan Raja Ahmad Alauddin. Manakala, dua lagi filem lakonannya yang bakal menjengah pawagam tahun depan ialah Malaikat Maut arahan Bade Azmi dan Janin arahan Yeop Hitler.

Harian Metro

Giliran Mazin-Anisa Mengundur Diri

KUALA LUMPUR, 23 NOV 2008:   Malam Rock ‘N’ Roll yang berlangsung semalam adalah detik terakhir bagi pasangan Mazin & Anisa apabila mereka terpaksa mengucapkan Selamat Tinggal kepada program tarian Sehati Berdansa 2.

Dalam keputusan yang diumumkan oleh pengacara Linda Onn dan Fahrin Ahmad sebentar tadi, pasangan suami isteri itu terpaksa menerima kekalahan mereka selepas 5 minggu bersaing dengan bersungguh-sungguh.

Keputusan itu juga seolah-olah mahu memberi ruang rehat yang secukupnya buat Anissa yang sedang berbadan dua.

Walaupun melangkah keluar, mereka berjaya mengumpul dana berjumlah RM5,000 untuk pertubuhan kebajikan yang diwakili mereka iaitu Persatuan Orang Pekak Malaysia.

Kedua-dua mereka yang juga bekas peragawan dan peragawati bagaimanapun kelihatan tenang menerima keputusan itu yang berdasarkan markah juri profesional dan khidmat pesanan ringkas (SMS) penonton.

Anisa atau nama sebenarnya Ida Chairunias P, 26, disahkan hamil selepas bersaing pada minggu kedua program popular di Astro Ria itu. Suaminya, Mazin atau nama sebenarnya, Mazin Amen Siraj, 28, ternyata gembira menerima berita itu tetapi pada masa yang sama sedar mereka terpaksa berjuang di lantai tari.

Sejak mendapat tahu Anisa hamil, mereka berdua mula beraksi mengikut pengawasan doktor serta dinasihatkan  membuat gerak tari yang sesuai dan tidak keterlaluan.

 

Murai