Archive for the ‘Erma Fatima’ Category

Tam, Farish Gabung Tenaga


Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my

Rap

ENAM tahun beza usia, namun Tam dan Farish sejiwa. Antara mereka bukan saja ’sekepala’ tetapi juga tiada jurang komunikasi.

Sememangnya dalam bersahabat perlu ada keserasian dan inilah yang menentukan sama ada seseorang itu mampu menjadi sahabat baik kepada kita atau tidak.

Mereka juga sangat rapat dengan pelakon cantik Nora Danish dan Intan Ladyana. Apa yang mengagumkan, bicara teman baik ini tidak terbatas pada hal peribadi, malah mempunyai misi untuk menjadi produser terkenal.

Tam berkata, sekian lama menceburi bidang lakonan, minatnya bercambah pula pada penulisan skrip. Langkahnya semakin meyakinkan apabila pengarah terkenal seperti Aziz M Osman dan Erma Fatima memberi kepercayaan menjadi penolong pengarah dan sekarang dia berhasrat menjadi penerbit program.

“Sampai bila hendak menjadi pelakon dan bergantung hidup dengan berlakon saja. Perlu ada peningkatan dalam hidup dan inilah yang saya usahakan.

“Dulu saya tidak percaya mampu menulis skrip tetapi kini saya yakin boleh menulis. Beberapa episod drama bersiri Puteri dan Gaia pernah menampilkan skrip hasil tulisan saya.

“Saya mensasarkan beberapa tahun lagi untuk menjadi penerbit. Bagaimanapun, sekarang ini selain sebagai permulaan saya dan Farish mahu menjual idea kami kepada stesen TV,” katanya.

Tambah Tam, mereka sudah menemui beberapa wakil stesen TV tetapi masih menantikan tawaran terbaik. Bercerita lanjut mengenai projek mereka, Farish menambah, produk sulung itu berkemungkinan sebuah program dokumentari seperti Ronda 60 darjah yang pernah dikendalikannya.

“Meskipun ramai produser menjurus kepada penerbitan drama, kami pula mahu cuba mengetengahkan program berkonsepkan dokumentari serta berkaitan dengan pelancongan.

“Kami mahu mulakan jelajah itu di Malaysia kerana saya dan Tam berpendapat masih banyak destinasi indah negara ini masih belum dibongkar dan dijelajah.

“Malah orang tempatan sendiri lebih mengenali pusat peranginan luar negara berbanding rahsia alam yang ada di negara sendiri.

“Selain itu, kami mahu menjadikan ianya satu program infomasi di mana boleh dijadikan ruang rujukan penonton. Mereka boleh melancong sendiri tanpa perlu mengikuti rombongan

“Kami akan membawa mereka mengembara ke tempat-tempat yang menarik namun berbaloi dan berpatutan untuk disinggahi,” katanya.

Harian Metro

Soseh Soseh: Man Bai Mahu Aktif Semula


Rap
RAMAI penyanyi yang mencipta nama pada era 80-an dan 90-an mahu aktif sebagai pelakon. Barangkali inilah satu cara mereka mengembangkan bakat di samping menambah sumber pendapatan.

Usahkan SS, peminat pun sedia maklum sebelum ini penyanyi rock, Ella muncul membintangi filem Pemburu Bayang dan Hanya Kawan kemudian diikuti Awie yang banyak berlakon filem sehingga kini.

Penyanyi Ziana Zain pula melebarkan bakat lakonannya ke drama televisyen menerusi arahan Erma Fatima, sementara Hattan, Fauziah Latiff dan Nurul mahu terus aktif bergelar pelakon.

Minggu lalu teman SS bertemu dengan penyanyi utama kumpulan Gersang, siapa lagi kalau tidak si kacak Man Bai yang kini bertukar bidang menjadi jurutera bunyi konsert dan persembahan makan malam.

Sesekali bertemu ‘geng lama’ pelbagai perkara dibualkan termasuk mengenai perkembangan rakan seangkatan yang kini sudah aktif berlakon filem mahupun drama.

Bagi peminat setia Man Bai, mereka tahu, dia juga boleh berlakon dan bakatnya sudah dibuktikan menerusi filem Layar Lara arahan Shuhaimi Baba.

Luah Man Bai kepada teman SS itu apabila melihat aksi rakan di televisyen membuatkan timbul rasa ‘gian’ mahu kembali ke lokasi penggambaran drama mahupun filem.

Namun, katanya kalau boleh dia mahu membabitkan diri dalam produksi yang benar-benar bagus. Maksudnya jalan cerita yang mahu dihasilkan itu menarik dan mampu memberikan sesuatu kepada penonton bakal menyaksikannya nanti.

Pada SS sendiri mengapa tidak semua penyanyi yang berbakat dalam bidang lakonan terutama orang lama kembali aktif.

Lagipun kebelakangan ini SS selalu mendengar rungutan daripada pengarah filem mahupun drama tempatan yang mengatakan kita kekurangan pelakon benar-benar bagus. Diharapkan apabila mereka ini kembali aktif kekurangan itu dapat diatasi.

Harian Metro

Eja, Erma Berangkat Ke Tanah Suci

KUALA LUMPUR, 10 OKT 2008:  Akhirnya penantian untuk sampai lagi ke Tanah Suci Makkah buat kesekian kalinya terbuka buat pelakon jelita Siti Eja, Beliau dijadual berangkat ke sana pada 17 Oktober ini.

Tidak sendirian, seruan Ilahi untuk menunaikan umrah itu, turut ditemani pengarah berkaliber Erma Fatima dan beberapa pelakon popular, Aida Radzwill, Hamidah Wahab, Datuk Rahim Razali dan Fahrin Ahmad.

Ketika dihubungi portal, murai.com.my, Eja berkata kunjungannya ke Rumah Allah itu kali bukan sekadar menunaikan ibadah umrah, malahan menjalani penggambaran drama dakwah bersiri 26 episod Tasbih Cinta arahan Erma.

“Eja belum lagi menunaikan haji, tapi masih menunaikan umrah buat kali kedua. Eja sangat bersyukur dan kali ini Eja juga ke sana untuk bekerja. Insya-Allah, Eja akan berkongsi bilik dengan Erma dan kalau tiada aral, bilik kami nanti akan menghadap dengan Kaabah yang memudahkan kami sekiranya menunaikan solat di dalam bilik,” kata Eja.

Penggambaran Tasbih Cinta akan berjalan selama 14 hari di Makkah dan akan ditayangkan di Saluran Astro Oasis tidak lama lagi. Drama yang mendapat sokongan padu Astro Oasis itu akan bakal menggandingkan Eja dan Fahrin Ahmad sebagai teraju utama. Turut berlakon Datuk Rahim, Aida Radzwill dan Hamidah Wahab.

Eja menjelaskan, penggambaran drama bersiri itu sepatutnya diadakan Julai lalu, bagaimanapun atas kesukaran mendapatkan pelepasan berada di sana, maka ia ditanggguhkan ke Oktober.

“Tak sangka kami dapat berada di sana bulan ini. Walaupun di sana sekarang sibuk dengan persiapan ibadah  haji, tapi kami masih mampu ke sana menggunakan visa kerja yang diluluskan,” katanya.

Tambah Eja, selain penggambaran drama bersiri berkenaan, Erma akan turut mengarahkan beberapa drama lain yang akan dilakonkan Ziana Zain.

“Eja anggap kunjungan ini sebagai seruan Allah SWT. Bukan mudah kita untuk kita sebagai umatnya mendapat peluang berkunjung ke sana. Daripada ceramah yang Eja ikuti, Eja difahamkan, walau sebanyak mana duit seseorang itu ada, ia belum pasti lagi dia akan mendapat seru menunaikan umrah dan haji,” katanya dengan merendah diri.

Murai