Archive for the ‘Cat Farish’ Category
Manja Dina Dipuji
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
Rap
PENAMPILAN bersahaja Faradina Mohd Nadzir atau Dina dengan watak gadis manja dalam Teater Muzikal Impak Maksima (TMIM) di Istana Budaya, baru-baru ini mendapat pujian.
Apatah lagi kemunculan di pentas teater adalah yang pertama kali buat penyanyi yang popular menerusi lagu Malu Tapi Mahu dan Cinta Datang Lagi itu, lantas ia menambah keyakinan Dina untuk terbabit dalam dunia lakonan.
Dalam TMIM, Dina membawa watak, Asmida Junaidah atau gelaran Baby daripada pasangannya Adip (Fablous Cats). Malah, Dina mendapat sorakan gemuruh daripada penonton yang menyaksikan teater muzikal arahan pengarah muda berbakat, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.
Dina turut dilamar kali kedua oleh Ahmad Idham untuk menjayakan watak Ziana teman wanita kepada Pierre Andre dalam filem terbarunya, Jangan Pandang Belakang Congkak (JPCB). Filem seram komedi terbitan Metrowealth itu turut dibarisi Mazlan Pet Pet, Pierre Andre, Cat Farish, Lisa Surihani, Azlee Senario, Piee, Zarina AF2 dan Mas Muharni.
Ketika ditemui, Dina ternyata seronok dapat merasai dan melalui pengalaman berlakon teater di bawah bimbingan pengarah berbakat di samping barisan pelakon yang tidak kurang hebatnya.
“Cabaran cukup besar ketika membawa watak Baby dalam TMIM. Walaupun menyertainya baru sebulan namun saya mendapat dorongan kebanyakan barisan pelakonnya. Karakter saya pula dalam teater itu agak garang tapi manja dengan teman lelakinya.
“Pada mulanya memang saya berasa takut dan gementar untuk menerima tawaran Ahmad Idham. Namun atas dorongan kawan, Zul Huzaimy (penolong pengarah) dan Ahmad Idham akhirnya saya memberanikan diri untuk menerima watak berkenaan. Saya gembira dapat sama-sama menjayakan pementasan teater itu. Walaupun keletihan namun ia ternyata satu pengalaman menarik dan menyeronokkan.
“Saya juga berterima kasih kepada Ahmad Idham yang memberi kepercayaan kepada saya untuk terbabit dalam pementasan teater seterusnya lakonan,” katanya.
Mengulas aktiviti nyanyian pula, Dina yang dalam rangka menyiapkan album kedua turut sibuk membuat persediaan untuk lagu Sejauh Ini ciptaan Sharon Paul dan Ahmad Fedtri Yahya yang dipertandingkan dalam kategori Balada menerusi separuh akhir Muzik-Muzik pada 5 Disember ini.
“Saingan kali ini memang sengit. Saya tidak mengharapkan apa-apa cuma mahu menampilkan persembahan terbaik. Untuk persembahan ini saya menggunakan khidmat Lah VE seterusnya latihan yang tertumpu kepada aspek vokal,” katanya.
Harian Metro
10 Lagu Etnik Kreatif Berentap Malam Ini
Oleh Mohd Nasif Baharuddin
Rap
MALAM ini bermulanya saringan separuh akhir Muzik-Muzik apabila kategori etnik kreatif membuka tirai dengan 10 lagu berentap untuk bersaing merebut tempat ke Anugerah Juara Lagu 2008 (AJL2008).
Bagaimanapun,sukar untuk meramal berapakah lagu yang akan mewakili kategori berkenaan kerana hanya 10 pencalonan diterima berbanding kategori pop rock dan balada yang masing-masing mempertaruhkan 12 pencalonan.
Tahun lalu hanya tiga lagu daripada kategori etnik kreatif layak meneruskan saingan ke AJL, manakala bagi kategori pop rock dan balada pula diwakili lima pencalonan.
Kemungkinan besar tiga lagu juga akan dipilih untuk mewakili kategori etnik kreatif tahun ini, tetapi keputusan sebenar jumlah lagu yang akan berentap ke AJL hanya akan diumumkan malam ini.
Melihatkan jumlah 10 lagu yang dipertandingkan, masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri bersandarkan melodi, lirik dan penyanyi yang menyampaikan lagu berkenaan.
Seperti tahun sebelumnya, populariti Mawi sebagai penyanyi nombor satu tanah air diramal mendapat laluan mudah untuk berentap ke peringkat akhir menerusi lagu Doa Dalam Lagu yang dinyanyikannya bersama Heliza.
Begitu juga dengan Farawahida yang mempertaruhkan lagu Persoalan Cinta dijangka menyusuli pasangan Mawi dan Heliza bertarung ke akhir. Selain kekuatan lagu yang dicipta komposer yang serasi dengannya, Julfekar, lagu ini juga berirama pantas dan disukai ramai.
Tidak ketinggalan, lagu Songo nyanyian Amy Search turut diramal mempunyai peluang besar untuk bersaing merebut tempat ke AJL nanti. Percubaan Amy membawakan lagu etnik kreatif bukan saja mendapat pujian ramai kerana menampilkan eksperimen baru, tetapi juga bersandarkan penghayatan lagu yang dihasilkan komposer yang serasi dengannya, Edrie Hashim.
Pun begitu, saingan artis lain yang turut berentap dalam kategori ini tidak wajar dipandang sebelah mata kerana kombinasi penyanyi lama dan baru yang mewakili kategori etnik kreatif ini mempunyai tarikan dan peminat tersendiri.
Umpamanya Ifa Raziah yang sebelum ini sinonim dengan lagu berirama dangdut, kini tampil dengan pembaharuan menyanyikan lagu Panas ciptaan Cat Farish. Begitu juga dengan Fazli Zainal yang bertanding dalam kategori balada sebelum ini, mencuba nasib dalam kategori etnik kreatif menerusi lagu Lambaian.
Kemunculan Syura yang sinonim dengan lagu etnik kreatif juga turut mempunyai harapan kerana penyanyi ini sering dipuji ramai kerana nyanyiannya yang penuh penghayatan dan lenggok yang mengasyikkan. Kali ini Syura mempertaruhkan lagu Pujangga Merindu ciptaan Radeen Sri dan lirik Hairul Anuar Harun.
Namun, kehadiran penyanyi baru seperti Azfar dengan lagu Jarak Rindu, Aiman (Dusta Berkalang), Anis Aneesa (Puteri Tarian Kasih) dan Dior (Mengharap Sinar) yang baru pertama kali mencuba nasib dalam Muzik-Muzik tidak harus dipandang remeh kerana melodi yang dibawa mereka juga berbeza dan mendapat perhatian ramai.
Kehadiran mereka bukan saja disifatkan sebagai pelapis kepada irama etnik kreatif, malah menunjukkan saingan sengit seperti penyanyi senior sehingga melayakkan mereka bertanding di peringkat separuh akhir.
Format pemarkahan separuh akhir berdasarkan markah persembahan pada malam pertandingan dicampur dengan markah penilaian lagu yang dibuat sebelum persembahan bagi mendapat markah keseluruhan. Hanya lagu yang mendapat markah tertinggi layak ke AJL ke-23 yang akan berlangsung pada 18 Januari tahun depan.
Separuh Akhir Muzik-Muzik kategori etnik kreatif akan disiarkan secara langsung di TV3 dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam mulai jam 9 malam ini yang akan dihoskan bersama Faizal Ismail dan Cheryl Samad.
>KATEGORI ETNIK KREATIF
1) Doa Dalam Lagu - Mawi & Heliza (Ajai/Loloq)
2) Lambaian - Fazli Zainal (Sang Dewi/Ahmad Fedtri Yahya)
3) Dusta Berkalang - Aiman (Hafiz Hamidun/Ahmad Fedtri Yahya)
4) Persoalan Cinta - Farawahida (Julfekar/Ku Seman/Izza Rosley)
5) Songo - Amy Search (Edrie Hashim/Ahmad Farid)
6) Panas - Ifa Raziah (Cat Farish/Adeeb)
7) Pujangga Merindu - Syura (Radeen Sri/Hairul Anuar Harun)
Jarak Rindu - Azfar (M Nasir/Seth)
9) Puteri Tarian Kasih - Anis Aneesa (Adnan Abu Hassan/Faris)
10) Mengharap Sinar - Dior (Dior/ Khairafik)
Harian Metro
Jangan Pandang Belakang Congkak
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

ANTARA barisan pelakon Jangan Pandang Belakang Congkak.
Barisan pelakon tidak sabar untuk beraksi dalam filem yang gabungkan cerita seram dan komedi
DIAKUI filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak terbitan syarikat MIG Production Sdn Bhd berjaya sebagai filem bergenre seram yang mengutip kutipan tertinggi setakat ini.
Kedua-dua filem seram yang sering diperkatakan kerana keberanian memaparkan unsur ketakutan yang tersendiri menarik minat kepada syarikat penerbitan lain untuk kembali menerbitkan filem sepertinya.
Kini semakin hari semakin banyak genre seram dikeluarkan termasuklah drama bersiri yang boleh disaksikan setiap hari di televisyen.
Justeru, MIG Production seakan-akan tidak puas untuk menerbitkan filem seram tetapi berhasrat untuk meneruskannya dengan memperkenalkan konsep yang berlainan menerusi Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC).
Bakal memulakan penggambaran pada 25 November ini, JPBC gabungan kedua tajuk ini menjadi filem ke 31 terbitannya yang bakal menerapkan menggabungkan unsur seram komedi.Bagi mereka yang pernah menonton kedua filem itu tentu masih lagi dapat membayangkan babak mendebarkan, namun bagi pelakon yang pertama kali diberi peluang untuk melakonkan filem ini sudah pasti begitu teruja kerana diberi peluang membawa genre baru.
Bagi pelakon komedi, Mazlan Pet-Pet berkata, memandangkan Jangan Pandang Belakang dan Congkak berjaya sebagai filem seram yang mengutip kutipan tertinggi, menjadi tanggungjawab baginya untuk memastikan filem JPBC lebih baik dari filem sebelum ini.
“Saya akui banyak filem MIG Production sebelum ini berjaya termasuklah Jangan Pandang Belakang dan Congkak, namun apabila mendapat tawaran untuk terbabit sama dalam filem terbarunya JPBC saya ingin buktikan untuk yang terbaik.
“Memandangkan semua pelakon termasuk saya masih baru menerima skrip jadi saya masih belum melakukan apa-apa persediaan untuk menilai skripnya.
“Biasanya saya akan melakukan persediaan dengan membaca skrip berulang-ulang kali dan mencari watak. Daripada pengalaman sebelum ini saya akan memandang kepada perwatakan dari karektor asal saya,” katanya.
Menurutnya, daripada 10 filem yang pernah dibintangi, semuanya mempunyai perwatakan yang berbeza dan dia yang akan memastikan ia juga berlaku dalam filem terbarunya kali ini.
“Saya sangat mengharapkan filem ini akan berjaya menandingi filem Jangan Pandang Belakang dan filem Congkak,” katanya yang kali kedua berlakon untuk MIG Production selepas Senario The Movie..Episod 1.
Seorang lagi anggota Senario, Azlee berkata, pertama kali menerima genre seram komedi menjadi tanggungjawab besar baginya untuk memastikan filem JPBC diterima sebagai genre baru.
“Apa yang saya faham filem ini menggabungkan dua unsur iaitu seram dan komedi. Jadi ia tidak semestinya saya akan membawanya dalam bentuk komedi. Saya diberi peranan sebagai bomoh dan ini memerlukan karektor saya serius.
“Walaupun orang yang akan menilai saya sebagai pelakon komedi ia masih lagi mampu diubah dengan bantuan kostum dan solek. Saya juga akan memastikan karektor saya kali ini berlainan dari lakonan saya sebelum ini,” katanya.
Selepas menonton Jangan Pandang Belakang dan Congkak beberapa kali, pelakon dan penyanyi, Zarina Zainudin menjadikan filem JPBC bukan saja sebagai filem terbaik tetapi juga dapat memberi peluang untuk meningkatkan persembahan lakonannya juga.
“Ini adalah peluang dan landasan kepada saya untuk mengukuhkan lagi bakat saya dalam bidang lakonan, melalui filem JPBC. Harapan saya terhadap filem ini memang tinggi. Saya akan memastikan tiada sebarang komitmen yang menghalang daripada saya menyudahkan filem ini.
“Semua orang tahu filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak begitu memberi kesan kepada semua orang yang menontonnya, jadi saya harus melakukan dengan lebih baik agar filem ini dapat menyaingi filem terbaik sebelum ini,” katanya.
Tambah Zarina, walaupun wataknya tidak besar tetapi menjadi tanggungjawab bagi dirinya untuk membuat yang terbaik, tambahan pula karektor komedi yang tidak pernah lakukan sebelum ini.
“Persediaan sekarang saya harus banyak membuat kajian dan berjumpa dengan pelakon komedi untuk menimba ilmu daripada mereka,” katanya.
Selain mereka, pelakon lain yang turut terbabit dalam filem ini termasuklah Cat Farish, Pierre Andre, Piee, Lisa Suriani, Den Wahab, Belalang, Dina, Mas Muharni dan ramai lagi.
Info Jangan Pandang Belakang Congkak
Kos Penerbitan: RM1.8 juta
Filem ke-31 daripada MIG Productions
Filem MIG Production keenam diarahkan oleh Ahmad Idham selepas Tentang Bulan, Remp-It, Jangan Pandang Belakang, Brainscan dan Congkak.
Sinopsis:
Di sebuah kampung tinggal seorang tua bernama Pak Sudir, yang sangat kaya dan dikatakan memelihara saka. Sering dilihat Pak Sudir di beberapa tempat dalam satu masa. Melihat pada raut wajahnya, tiada siapa menyangka usianya sudah mencecah hampir 125 tahun. Pak Sudir tinggal dengan seorang pembantu iaitu Mustika. Di saat kematian Pak Sudir, pelbagai kejadian aneh berlaku menggemparkan penduduk kampung. Dikatakan Pak Sudir sudah lama meninggal dunia dan terlantar sakit adalah sakanya. Seorang bomoh terkenal, Pak Moh dipanggil untuk menyelesaikan masalah itu.
Berita Harian