Archive for the ‘Aznil Nawawi’ Category
Agenda Era Kembali Menyengat
Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Pengurus Rangkaian Era, Nazri Noran
Nazri Noran ambil alih ‘kerusi panas’ untuk pikat pendengar
CUBA melawan arus dan mengambil risiko melakukan satu perubahan demi mengikis gambaran stesen radio Era yang cukup sinonim dengan aura glamor adalah antara manifestasi Pengurus Rangkaian Era, Nazri Noran, 31, yang baru mengambil alih tampuk pimpinan radio popular itu sejak sebulan lalu.
Menggantikan Rostam Said yang kini beralih ke Sinar FM, ia satu cabaran besar buat Nazri kerana menggalas tugas di saat nama radio Era dikatakan sedang mengalami fasa penurunan gara-gara kehadiran stesen Hot FM.
Justeru pelbagai perubahan dari segi kandungan, barisan penyampai dan jadual tugasan sedang dirangka demi memancing pendengar sekali gus menaikkan rating stesen radio.
Penyertaan Kieran ke Hot FM sejak awal November lalu meninggalkan Era mungkin antara impak hebat yang harus diterima stesen radio ini kerana hari demi hari, hampir setiap ‘ayam tambatan’ yang menjadi kekuatan stesen radio ini berkurangan.
Memikir dua tiga kali pertimbangan untuk memikul tugas di bahagian ‘kerusi panas’ yang sentiasa menjadi nadi setiap stesen radio ini, Nazri agak terkejut dan hampir selesa di tempat lamanya di Sinar FM. Bagaimanapun demi sebuah persaingan sihat dan cabaran buat diri sendiri, ia umpama menjerat diri kerana perlu memastikan stesen radio Era sama ada mengekalkan di kedudukan takhta yang sama atau menaikkan lagi nama Era.
“Tak dinafikan memang saya agak takut dan bimbang dengan pelbagai persepsi dan cabaran baru yang harus dilalui di sini. Pada mulanya saya tidak bersedia untuk kerja ini apatah lagi saya sudah berada di zon selesa di Sinar FM. Saya cuba bayangkan seperti berada di radio hitz.fm, cuma saya harus berdepan dengan bahasa dan penyampai yang berbeza saja.
“Apa yang boleh saya lakukan ialah mempertingkatkan idea yang sesuai untuk Era bersesuaian dengan perubahan dan tren semasa yang lebih mencabar. Perubahan memang akan berlaku langkah demi langkah, cuma saya belum dapat sahkan lagi kerana masih belum ada hitam putih. Insya-Allah hujung tahun ini, kami akan memaklumkan deretan penyampai tetap yang akan ada termasuklah inti pati serta kandungan program.
“Jika sebelum ini orang pandang Era penuh dengan elemen eksklusif dan glamor, kita akan cuba mengubahnya menggunakan pendekatan yang lebih dekat dengan pendengar. Tidak kiralah membabitkan skala pendengar yang besar atau kecil, kerana setiap mereka memberi sumbangan kepada kami. Bukan bermaksud saya kata glamor itu tidak penting, tapi kita kena lebih versatile,” katanya yang pernah bekerja di syarikat pengurusan acara sebelum memasuki radio.
Hampir sebulan tidurnya sering terjaga, banyak perkara yang sering berlegar-legar di benak pemikirannya. Baginya setiap perniagaan pasti akan ada turun naik. Jika selesa di tangga pertama sekalipun, ia tidak akan memberi pengajaran sebaliknya akan lebih tahu di mana kesilapan yang patut diperbaiki.
Anugerah Era sebagai contohnya pasti juga dilaksana pada tahun depan, cuma bagi Nazri dia mahu berfikir panjang kerana tidak mahu lagi anugerah ini menjadi klise seperti tahun terdahulu. Kalau dulu mungkin glamor perlu memakai pakaian cantik atau gaun meleret-leret, ia mungkin boleh dikurangkan dengan banyak cara yang lebih merendah diri dan kurang ‘mahal’.
“Perubahan pertama yang saya lakukan ialah mengambil Burn dan Cham daripada X-FM (X-Fresh FM) selepas Kieran meninggalkan Era. Lagipun saya pernah bekerja dengan mereka dan ternyata mereka mempunyai daya saing yang baik. Burn sangat rajin dan Cham juga begitu kreatif serta banyak idea. Natasha Aimee juga sudah ditukarkan ke X-FM berkuatkuasa 24 November lalu.
“Penyampai Era lain ketika ini masih kekal dan saya pasti setiap perubahan akan dimaklumkan nanti. Saya juga akan menyelidik kenapa dan apa punca yang menyebabkan ada kandungan program di Era tidak menjadi. “Mengenai penyertaan Sarimah Ibrahim ke Era, saya belum dapat sahkan tapi saya akui sudah berjumpa dengannya. Penggunaan selebriti sebagai penyampai radio antara strategi yang sering digunakan stesen radio tapi saya mahu mana-mana selebriti yang mungkin terbabit dengan Era perlu memberi komitmen.
“Biar saya kaji dulu bagaimana Anugerah Era yang bakal dipersembahkan nanti. Kita kena juga mengkaji apa permintaan dan kehendak pendengar. Tidak kisah kalau anugerah ini nanti dijelmakan dalam gaya ringkas dan kecil-kecilan, janji ia dekat dan boleh dikaitkan dengan pendengar. Sampai bila kita nak terus glamor kerana unsur itu mungkin sudah klise,” katanya.
Mengakui pendekatan klise yang sering digunakan mana-mana stesen radio mendekatkan diri dengan pendengar melalui medium konsert jelajah atau persembahan showcase, namun ia perlu disuntik dengan cara baru dan segar.
“Kami perlu lebih mementingkan kualiti dan lebih rajin lagi selepas ini untuk terus mengekalkan hayat Era. Saya lebih suka jika semua pihak yang menaungi Era sama-sama memberi idea bernas demi meningkatkan prestasi Era. Saya yakin dengan pasukan Era yang terdiri daripada orang muda, saya cabar mereka untuk memberi idea demi mengekalkan pendengar setia dan yang baru.
“Mungkin juga selepas ini Era akan membuat acara tidak kira berskala besar atau kecil, contohnya seperti konsert jalanan yang jarang dibuat dan mudah dicapai pendengar. Bukan semua pendengar kita dilahirkan kaya raya dan mempunyai pendapatan yang tinggi, lalu selepas ini kita kena mempertimbangkan kehendak pendengar sebaliknya pula,” katanya ketika ditemui pada acara memotong rambut membabitkan kumpulan Jinbara pada 24 Oktober lalu di Pasar Seni.
Profil Nazri Noran
Nama penuh: Nazri Noran
Umur: 31 tahun
Tarikh lahir: 24 Januari 1977
Tempat lahir: Kuala Lumpur
Status: Berkahwin
Bertugas di Sinar FM selama lima bulan, X-Fresh FM (empat bulan) dan hitz.fm (enam tahun)
Info Era
Frekuensi Era boleh didengari di Kuala Lumpur (103.3FM), Johor Bahru/Singapura (104.5FM), Kota Bharu, Kelantan (103.3FM), Langkawi (90.7FM),Melaka (90.3FM), Negeri Sembilan (103.6FM), Kuantan, Pahang (98.0FM), Kuching, Sarawak (96.1FM), Ipoh, Perak (103.7 FM), Pulau Pinang (103.6FM), Kota Kinabalu, Sabah (102.4FM), Taiping, Perak (95.2FM), Tapah (102.0FM) dan Kuala Terengganu, Terengganu (102.8FM).
Linda Onn antara penyampai lama yang masih kekal sehingga kini.
Sewaktu penyanyi Sheila Majid dikurniakan pangkat Datuk, stesen radio ini terpanggil untuk memutar lagu dendangannya sebagai tribute di samping menceritakan sejarah diva jazz ini.
Bakal membuat kejutan yang tidak pernah dibuat mana-mana stesen radio serentak dengan tayangan Cicak-Man 2: Planet Hitam pada 11 Disember ini. Ia adalah kerjasama antara Era, KRU Studios dan Cicak-Man.
14 November lalu, Era menganjurkan acara cabaran memakan roti canai dan teh tarik di Restoran Barra, Seksyen 7, Shah Alam membabitkan penyampai radio yang juga hos nombor satu di Malaysia, Aznil Nawawi. Ia diadakan bersempena penurunan harga roti canai dan semua yang hadir ke restoran itu dibelanja Era. Bukan sekadar cabaran, ia lebih kepada mengeratkan hubungan silaturahim sesama pendengar.
Berita Harian
‘Saya Jijik Jamah Makanan’
TETAP CERIA…Shuhaila menemani anaknya, Mohamad Daniel
minum susu setiap hari.
KUALA KUBU BHARU: “Saya jijik menjamah makanan sebaliknya hanya minum susu tepung 16 kali sehari,” kata kanak-kanak menghidap penyakit ‘misteri’, Mohamad Daniel Mohd Idham, 7.
Menurutnya, sejak dilahirkan dia serasi minum susu walaupun sering kali dipaksa ibunya, Shuhaila Saidon, 34 untuk makan makanan lain yang berkhasiat.
Katanya, dia tidak malu masih ‘berbotol’ susu ke sekolah walaupun sudah belajar di Tahun Dua di Sekolah Kebangsaan Kuala Kubu Bharu 2, dekat sini, setiap hari.
“Waktu rehat di sekolah, fikiran saya agak terganggu kerana lapar dan dahagakan susu. Ibu membawa bekal susu dalam botol ke sekolah. Saya minum susu dengan kuantiti 250 mililiter (ml) dalam kereta mengelakkan rakan lain mengetahuinya.
“Saya hanya boleh minum susu tepung berperisa coklat jenis Sustagen Coklat 6 Plus yang boleh mengenyangkan dan tidak memberi kesan sampingan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.
Dia juga menyimpan impian besar bertemu pengacara nombor satu negara, Aznil Nawawi menceritakan tabiatnya yang pelik itu.
Anak sulung pasangan Shuhaila dan Mohd Idham Atan, 34 ini mampu hidup dan tetap ceria seperti kanak-kanak lain yang normal walaupun hanya minum susu setiap hari.
Shuhaila berkata, anaknya ini mempunyai tingkah laku berbeza dengan adiknya, Muhammad Irfan, 30 bulan yang boleh memakan makanan lain mengikut peringkat umurnya.
Katanya, Mohamad Daniel ‘geli’ dan termuntah apabila menyaksikan iklan pelbagai jenis makanan ringan di televisyen setiap hari.
“Kami rasa aneh melihatkan tabiatnya ini. Dia pasti tidak berselera dan muntah sekiranya disuruh dan dipaksa makan makanan pejal yang mengenyangkan.
“Sudah banyak kali kami memujuk dan memaksanya, tetapi sia-sia belaka. Hanya susu dalam botol menjadi kegemarannya,” katanya yang juga pengusaha syarikat katering di sini.
Menurutnya, mereka beberapa kali membawa Mohamad Daniel bertemu doktor pakar di Hospital Selayang untuk mendapatkan khidmat nasihat dan panduan pemakanan.
Harian Metro
Nyanyian Tetap Diutamakan
Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my

ANTARA peminat Roslan yang diundang untuk memeriahkan sambutan hari jadinya.
Roslan Shah hanya menceburi lakonan dan pengacaraan kalau diberi peluang
ADA yang menganggap kehadiran Roslan Shah dalam dunia hiburan tanah air ibarat hidup segan mati tak mahu. Malah ada juga yang menyifatkan jejaka dari Kota Singa ini ibarat melukut di tepi gantang.
Namun mengenali Roslan, dia tidak pernah menghiraukan kata-kata seperti itu. Cakaplah apa saja pada penyanyi ini. Dia tetap bersikap selamba dan tidak pernah ambil hati apa saja pandangan orang terhadapnya. Baginya, itu adalah asam garam serta duri ranjau yang perlu dilaluinya sebagai seorang anak seni.
Siapa sangka, sudah 13 tahun Roslan menceburkan bidang seni. namun sepanjang tempoh itu, khalayak bagaikan terkeliru, apakah sebenarnya fokus Roslan tatkala membuat keputusan untuk bergelar penyanyi.
Asalnya, dia ingin menjadi penyanyi namun kalau dilihat, kerjaya nyanyiannya tidak banyak yang boleh dihebahkan secara meluas. Kemudian, dia mula menjinakkan diri dalam bidang lakonan. Tetapi, masih tidak nampak hasilnya. Namun sejak kebelakangan ini dia lebih banyak mengacarakan majlis hiburan. Persoalannya, apakah Roslan mahu jadi seorang yang serba boleh atau sekadar merebut apa saja peluang yang ada di depan mata?
Ditemui di majlis sambutan ulang tahun yang ke-38 di Restoran Cerana, Cheras, baru-baru ini, Roslan meleraikan kekeliruan itu apabila dia menegaskan bidang nyanyian sudah menjadi darah dagingnya sejak dulu lagi.

GELEK maut Roslan dan Ifa gamatkan tetamu yang hadir malam itu.
“Saya memang suka menyanyi dan saya memang ingin berjaya dalam bidang ini. Sebab itu saya berusaha menghasilkan album bagi merealisasikan impian itu. Saya sudah pun menghasilkan single hasil ciptaan Wan Oney berjudul Propaganda yang kini sedang hangat diputarkan menerusi KLFM.
“Album saya memang memakan masa untuk disiapkan dan kebetulan pada bulan Ramadan lalu, proses rakaman album ini dihentikan buat seketika. InsyaAllah, album ini akan segera menemui peminat sebaik saja ia disiapkan,” ujar Roslan dalam nada teruja.
Bukan kerana tamak ataupun hilang fokus. Sebaliknya, Roslan mengatakan sebagai seorang yang menjadikan bidang seni sebagai sumber periuk nasi, dia tidak boleh bersifat memilih.
“Apabila ada orang yang menawarkan saya berlakon atau menjadi pengacara, takkan saya nak menolak. Itulah rezeki saya dan selagi saya boleh lakukan, saya buat. tapi dalam hati ini, bidang nyanyian tetap menjadi keutamaan,” tegasnya.
Sewaktu menjalankan tugas sebagai pengacara majlis Anugerah Oskar baru-baru ini, Roslan dikritik hebat kerana dikatakan tidak membuat persediaan. Menyedari kesilapannya itu, Roslan memohon supaya dia terus diberi peluang kerana dia mengaku terlalu baru untuk tugasan seperti itu.
“Saya minta maaf dan saya sedar kesilapan seperti itu tidak harus berlaku. Ia banyak memberi pengajaran pada saya supaya berhati-hati dan banyakkan membuat kajian supaya tidak nampak gelabah di atas pentas.
“Saya akui, saya orang baru dalam bidang pengacaraan ini dan mengendalikan sebuah majlis formal yang memerlukan protokol membuatkan saya tertekan. Jadi saya harap berilah saya peluang kedua untuk memperbaiki kesilapan ini,” katanya yang menjadikan Aznil Nawawi dan AC Mizal sebagai pengacara contoh untuk memperbaiki diri.
Air mata di malam ulang tahun
SABAN tahun, Restoran Cerana tempat di mana mula-mula Roslan mencari rezeki dalam bidang seni tidak pernah lupa meraikan sambutan hari jadi penyanyi ini. Bertemakan hitam dan putih, Roslan sekali lagi meraikan ulang tahun yang ke-38 bersama rakan seperjuangan.
Walaupun acaranya sederhana namun kemeriahan tetap dirasakan apatah lagi pelbagai generasi anak seni berkumpul pada malam itu. Bukan saja rakan artis malah peminat Roslan juga turut memeriahkan acara malam itu.
Tetamu bukan saja dihiburkan dengan persembahan nyanyian tetapi juga disulami dengan lawak jenaka hasil dua pengacara yang ‘bermulut laser’, Jaafar Onn dan Haiza. Ada saja idea nakal terpacul dari mulut dua artis ini sehingga membuatkan tetamu yang hadir pecah perut mendengarnya.
Lebih menggamatkan apabila Roslan dan Ifa Raziah bergelek sakan sewaktu mendendangkan lagu Memori Daun Pisang, nyanyian duet oleh Iwan dan Amelina.
Pada majlis itu, sempat juga tetamu menyaksikan babak ‘sedih’ apabila Roslan memeluk pelakon terkenal, Datuk Jalaluddin Hassan sambil menitiskan air mata lelakinya. Mungkin hati Roslan tersentuh kerana kesudian pelakon berkarakter ini meraikan hari bersejarahnya serta dengan rela hati mendendangkan dua buah lagu sebagai halwa telinga.
Berita Harian