Archive for the ‘Azmeer’ Category

Mahu Karya Berbekas Di Jiwa


Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

EMPAT tahun yang menyimpan banyak cerita buat penyanyi bersuara lunak, Misha Omar. Lara, manis dan tempoh itu juga menemukan Misha dengan erti cinta sebenar lantas menumbuhkan detik magis untuk dia terus berdiri di lantai seni suara.

Terlalu banyak yang berlegar dalam lingkungan seni Misha sepanjang penantian empat tahun itu bahkan turut membekas satu harapan besar di hati penyanyi kelahiran Machang, Kelantan.

“Saya ingin sekali mempersembahkan sebuah karya dengan harapan ia akan membekas di jiwa. Sebuah persembahan sederhana namun dilimpahi sejuta warna dan itu yang akan ditemui pencinta suara saya dalam karya terbaru, Misha Omar,” katanya.

Samihah @ Aisah Omar atau lebih dikenali sebagai Misha Omar mahu kembali bangkit, malah menerusi album ketiga yang mengangkat namanya sebagai judul memperlihat kelainan yang cuba dibawanya hasil ilham bersama Ramli MS yang bertindak sebagai Penerbit Eksekutif.

Memuatkan enam sentuhan terbaru, dua lagu yang pernah dipopularkan dulu manakala tiga lagi dipersembahkan secara minus one, penyanyi berusia 26 tahun itu mempunyai alasan sendiri mengapa album itu dipasarkan semalam.

“Empat tahun adalah tempoh yang terlalu panjang. Saya tidak mahu membiarkan peminat terus menanti kerana ia mungkin akan membangkitkan rasa jemu apabila penantian itu tidak juga berakhir.

“Justeru, atas perbincangan bersama syarikat rakaman maka kami relakan album ini dipasarkan dulu sebagai permulaan Misha kembali ke dunia nyanyian.

“Satu harapan saya album ini akan menjadi permulaan yang baik, seterusnya menyuntik keyakinan untuk terus berkarya kerana jiwa seni saya tidak pernah mati selama tidak melahirkan album baru,” katanya.

Barangkali penerbitan yang ditangani nama besar seperti Ajai, Cat Farish, Aidit Alfian, Nur Fatima dan Azmeer akan melontarkan Misha ke satu topik perdebatan, apatah lagi tiga daripada enam sentuhan terbaru dalam Misha Omar sudah dimainkan sejak dua tahun lalu.

Nafas Cahaya karya M Nasir umpamanya diiktiraf sebagai Lagu Irama Global Pilihan, Anugerah Era 2007 manakala Sembunyi kolaborasi bersama Andy Flop Poppy membawa mereka ke final Anugerah Juara Lagu Ke-22, Januari lalu.

Seakan dapat membaca apa yang bakal diperdebatkan, penyanyi yang mengukir nama menerusi lagu Bunga-Bunga Cinta itu sudah bersedia dengan jawapan bernas.

“Dalam situasi pasaran industri muzik yang lemah, saya bersama syarikat rakaman perlu mencari jalan tengah supaya semua pihak mendapat keuntungan bersama.

“Walaupun hanya mempunyai enam sentuhan baru, namun setiap satu lagu yang dimuatkan dalam album ini mempunyai kekuatannya tersendiri.

“Barangkali ada yang melihat kekuatan sesebuah produksi kepada jumlah lagu dimuatkan tetapi saya lebih mementingkan kualiti. Enam lagu namun semuanya mempunyai kekuatan yang sama untuk diangkat sebagai single.

“Jadi saya melihat penerbitan Misha Omar sebagai satu strategi iaitu menghadiahkan pendengar hanya dengan karya bermutu tetapi pada masa sama, cuba mencuri perhatian mereka bersama koleksi lagu memenuhi selera,” katanya memberikan rasional.

Memberikan Misha Omar lebih makna apabila penerbitan produksi ini turut mendapat dokongan insan berpengalaman dalam industri muzik seperti M Nasir, Allahyarham Loloq, Habsah Hassan dan ramai lagi.

Gabungan hebat antara nama hebat lama dan baru juga diharapkan Misha akan memberi impak kerana setiap mereka memberikan sentuhan listrik sebagai penguat produksi.

“Boleh dikatakan saya berpuas hati, cuma agak kecewa kerana tidak mempunyai masa lebih banyak untuk memberikan yang lebih kepada pendengar.

“Tetapi, dengan jumlah lagu yang ada ini juga memberi keyakinan untuk saya terus bertapak kerana setiap satu mempunyai kekuatan, malah memberi landasan kepada saya untuk terus bertapak dalam bidang seni suara,” katanya.

Kata Misha mengenai:

Jawapanmu

Trek pertama dalam album Misha Omar yang terpilih sebagai single ketiga ini pasti membuatkan jiwa anda berasa relaks dan akan mula bergerak mengikut irama tari yang perlahan dan mendamaikan. Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Cat Farish ini dimainkan di pelbagai stesen radio tempatan dan sentiasa menjadi pilihan pendengar.

Sampai Di Sini

Lagu yang mengisahkan perasaan terluka dalam percintaan ini amat puitis dan begitu mendalam maknanya ini diilhamkan Ajai manakala lirik hasil nukilan Slen.

Sembunyi

Lagu duet bersama penyanyi yang mempunyai suara serak basah tidak asing lagi iaitu Andy Flop Poppy. Walaupun ini kolaborasi pertama di antara Misha dan Andy, namun gandingan mantap dan keserasian mereka dapat didengar menerusi kejayaan mereka membawanya. Lagu yang dicipta Aidit Alfian dan Allahyarham Loloq ini pernah terbaris sebagai finalis Anugerah Juara Lagu Ke-22 (2008) dan finalis Hits 1 Musim Ke-5 (2008).

Cinta Adam dan Hawa

Single terbaru album ini diilhamkan Azmeer dan lirik ditulis Loloq. Bermelodikan balada-rock-moden, lagu ini berkisar mengenai percintaan.

Nafas Cahaya

Single pertama mendapat sentuhan daripada sifu M Nasir dan sekali lagi cetusan kreatif tinta Allahyarham Loloq pernah menjulang trofi Irama Global Pilihan di Anugerah Era 2007.

Cinta Suci

Lagu cinta memang sinonim dengan Misha, justeru Cinta Suci ini dicipta sepenuhnya oleh Nur Fatima dan Omar K istimewa untuknya sebagai luahan hati kepada mereka yang sedang enak dalam alunan cinta.

Profil:

Nama Penuh: Samihah @ Aisah Omar

Tarikh lahir: 6 Januari 1982

Asal: Kota Bharu, Kelantan

Pendidikan: Jurusan Pengurusan Perniagaan dari Universiti Tun Abdul Razak (Unitar)

Album: Misha Omar, Aksara dan Misha Omar

Lagu popular: Bunga-Bunga Cinta, Pulangkan dan Ku Seru

Filem: Gerak Khas 3 (GK3) dan Main-Main Cinta

Pencapaian: Artis Harapan Pilihan Anugerah Era 2003, Anugerah Juara Lagu Ke-18 (Bunga-Bunga Cinta), juara kategori balada & vokal terbaik Anugerah Juara Lagu Ke-19 (Pulangkan), Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2003 dan Anugerah Emas Festival Muzik Asia Ke-6 di Shanghai, China.

Perhatian kepada peminat Misha Omar. Anda mahukan album CD original terbaru Misha secara percuma? Apa tunggu lagi? Seramai 50 panggilan pertama yang berjaya menembusi talian Sony Music Entertainment Sdn Bhd 03-4252 3233 pada 3 Disember 2008 antara jam 6.00 hingga 7.00 petang saja akan berjaya memiliki album ini secara percuma. Jadi, tangkaskan jemari dan rebutlah peluang!

Berita Harian

Mesra Tapi Bukan Cinta

Oleh Nor Akmar Samudin (Yang mengikuti Percutian Spa dan Istirahat di Bali bersama Hotlink dan Gang Starz)
akmar@hmetro.com.my

Rap

KEINDAHAN pantai Kuta dengan deruan ombak tidak berhenti menghempas pasir yang memutih, menjadi saksi kemesraan dua anggota One Nation Emcee (ONE), Shamimi Amalina Norhisham (Mimi), 22 dan Nur Hassan Baias, 33 (Jojoe).

Melihatkan betapa eratnya mereka berdua, pasti sesiapa pun tidak dapat menyangkal mereka berdua dilamun cinta. Apatah lagi Bali adalah pulau peranginan yang cukup romantik dan menjadi pilihan pasangan bercinta serta yang baru berumahtangga memadu kasih.

Mata yang sering kali terpandang akan kemesraan dan keakraban ‘luar biasa’ antara Mimi dan Jojoe itu sukar untuk menidakkan yang mereka berkongsi mimpi indah.

Bagaimanapun apabila pertanyaan mengenai cinta diajukan kepada mereka, pantas Mimi menepis persoalan itu dan hanya memberitahu mereka berkawan baik. Tidak lebih daripada itu kerana Mimi masih mengejar cita-citanya untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Sudah lama kenal, mestilah mesra, tetapi kami bukan bercinta. Masih banyak yang perlu saya lakukan untuk diri sendiri dan keluarga. Belum tiba masanya memikirkan soal cinta. ONE pun baru hendak membina nama. Jadi biar saya selesaikan satu persatu dulu,” katanya ketika menyertai Percutian Spa dan Istirahat di Bali bersama Hotlink dan Gang Starz, baru-baru ini.

Mimi yang baru saja menamatkan peringkat diploma jurusan Sains Farmasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), cawangan Sabah, ingin menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda pula dalam pengkhususan sama.

Katanya, dia ingin mengikuti pengajian di universiti tempatan yang menyediakan kursus berkembar dengan universiti luar negara iaitu United Kingdom (UK).

“Saya akan belajar di sini selama dua tahun dan baki dua tahun lagi akan sambung di UK. Selepas itu, saya bercadang untuk memiliki farmasi sendiri. Apapun, saya tidak akan meninggalkan ONE.

“Rakan-rakan lain, Jojoe, Zaidi (Mohd Norzaidi Edris Jekeria, 27) dan Korzae (Mohd Fareezan Mohd Murtaza, 26) tahu cita-cita saya dan mereka memberi ‘lampu hijau’.

“Dunia sudah maju dan semakin mudah untuk menghubungi rakan-rakan walau di mana saja berada. Ada cuti saya balik ke Malaysia,” katanya.

Bagi Jojoe pula, dia mengerti dalam mana-mana pertandingan realiti pasti tidak dapat dipisahkan cerita cinta sesama peserta. Tapi katanya, mereka berkawan biasa saja.

“Mungkin kerana ketika menuntut di UiTM Kota Kinabalu, Mimi berjauhan dengan keluarga. Jadi rakan-rakan menjadi sandarannya untuk menghilangkan kerinduan itu.

“Bersama-sama menjadi anggota ONE menjadikan hubungan kami tambah rapat, tetapi walau apa pun, biar kami mantapkan kedudukan ONE sebelum memikirkan perkara lain,” katanya.

Juara musim kedua Gangstarz itu bukan saja menerima hadiah lumayan AS$100,000 atau RM350,000, mereka juga mendapat hadiah sampingan RM10,000 dan pakej percutian ke Bali selama empat hari tiga malam apabila menjadi kumpulan yang paling banyak mendapat undi sepanjang pertandingan itu berlangsung.

Menurut Mimi, mereka terharu dengan sokongan peminat sehingga memperoleh undian tertinggi setiap minggu.

“Kami ingatkan Paragon Child (Filipina) yang menang kerana mereka mempunyai vokal yang bagus. Tetapi, mereka hanya mendapat tempat ketiga dan D’Reborn (Indonesia) tempat kedua.

“ONE ditubuhkan enam tahun lalu oleh Zaidi dan Korzae kemudian disertai Jojoe dan saya. Jojoe juga bekas penari Adam AF.

“Saya berasal dari Petaling Jaya, Selangor sementara mereka bertiga dari Sabah. Saya mengenali Jojoe ketika saya belajar di UiTM cawangan, Sabah, selama empat tahun mengambil jurusan Sains Farmasi.

“Ketika itu tubuh saya agak berisi. Oleh itu, saya menyertai kelas tarian di sebuah studio di Kota Kinabalu dengan harapan dapat menguruskan badan. Saya berkenalan dengan Jojoe yang menjadi kreografer di situ.

“Sepatutnya ONE dianggotai empat lelaki iaitu Nas, tetapi dia sudah berkahwin dan tidak berminat untuk bersama dengan ONE lagi. Saya menganggotai ONE pun secara kebetulan iaitu ketika kumpulan ini hendak menghadiri uji bakat Gang Starz. Jojoe, Zaidi dan Korzae kata saya boleh menyanyi. Kami pun mencuba nasib dan berjaya,” katanya.

Selepas program realiti berakhir, kumpulan itu kini ada empat bulan kontrak dengan TV3. Kumpulan itu masih mendapatkan khidmat nasihat daripada bekas tenaga pengajar program itu, Azmeer dan Damian VE. Azmeer sudah dianggap seperti bapa mereka yang banyak memberikan teguran terutama dari segi vokal.

“Berikutan kemenangan itu, Jojoe, Zaidi dan Korzae menetap di KL (Kuala Lumpur). Bagaimanapun kami mendapat banyak jemputan menyanyi di Sabah kerana ONE sudah terkenal di sana. Paling kurang, sebulan sekali kami akan membuat persembahan di sana,” katanya.

Kata Jojoe pula, buat masa ini ONE bercadang menghasilkan lagu single dan mereka sedang meneliti beberapa lagu. Untuk perancangan selanjutnya mereka tidak pasti lagi kerana masih terikat dengan TV3.

“Biar kami selesaikan satu persatu dulu. Bergerak perlahan-lahan lebih baik daripada tersungkur di pertengahan jalan. Kami merancang untuk menubuhkan syarikat sendiri kerana setiap daripada kami ada kepakaran tersendiri dalam bidang muzik.

“Menyertai Gangstarz juga berjaya ‘membuka mata’ kami terhadap dunia hiburan serta banyak belajar perkara baru. Ketika kami dalam program Gangstarz, kami mencipta tarian rap sendiri. Apa yang kami persembahkan kepada penonton adalah idea asal daripada kami berempat,” katanya.

Percutian mereka ke Bali disertai enam pelanggan Hotlink, Siti Helaliana Chumiran, Halimatus Shakdiah Abd Kahar, Zaleha Ismail, Mohd Nor Jumaat Ahmad, Erni Farahidura Rosmani dan Aizasyarina Jalaluddin.

Masing-masing yang kali pertama menjejakkan kaki di Pulau Dewata itu begitu girang tatkala menjejakkan kaki di Lapangan Terbang Ngurah Rai.

Mimi dan rakan-rakan tidak sabar untuk melihat keindahan pantai Kuta yang menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Kedatangan rombongan Hotlink itu menerima kalungan bunga cempaka pelbagai warna.

Menyandang gelaran juara, ONE menerima layanan istimewa apabila diberi kenderaan khas untuk mereka berempat yang disertakan pemandu pelancong manakala ahli rombongan lain menaiki bas berasingan.

Aktiviti hari pertama di Bali lebih kepada berehat dan bersantai sementara menunggu makan malam. Rombongan Hotlink ditempatkan di Kuta Paradiso Hotel Bali di tengah bandar pulau itu.

Keesokannya selepas bersarapan, rombongan dibawa melawat Kuil Mengwi dan selepas menikmati hidangan tengah hari di pusat peranginan Bedugul, lawatan singgah sebentar di Alas Kedaton Monkey Forest dan seterusnya ke Tanah Lot untuk melihat matahari terbenam.

Tanah Lot juga antara destinasi pelancongan tercantik di Bali dan menawarkan pelbagai barangan cenderahati. Namun, pelancong perlu bijak tawar-menawar.

Hari ketiga di Bali, rombongan ke kuil lama Uluwatu. Selepas makan tengah hari rombongan diberi peluang melakukan aktiviti bebas termasuk membeli-belah sekitar Kuta yang menyediakan pelbagai pilihan barangan.

Mimi yang diibaratkan ‘bunga’ menyerikan tiga kumbang, mengambil kesempatan itu untuk membeli-belah aneka aksesori apatah lagi artis sepertinya perlu mengambil berat penampilan diri.

Berpeluang menghirup udara pagi di pantai Kuta pada hari keempat di Bali bersama Mimi, Zaidi, Jojoe dan Korzae, mereka melahirkan kesyukuran dan gembira dengan percutian itu. Julung kali berada di pulau serba unik itu memberi pengalaman baru kepada mereka berempat yang melahirkan hasrat untuk kembali ke sana.

Dalam manisnya percutian, tercalit juga sedikit kenangan pahit buat Mimi apabila terpaksa membayar ganti rugi sejuta rupiah (RM380) kepada pihak hotel kerana dia yang mengukir tatu menggunakan inai terkena tuala dan cadar hotel itu.

“Hendak buat macam mana, bayar saja walaupun saya rasa tidak patut mereka meminta ganti rugi sebanyak itu,” katanya.

Mimi dan beberapa ahli rombongan lain melukis tatu inai itu sementara menunggu untuk makan malam di restoran Natrabu. Dengan bayaran 5 ribu rupiah mereka boleh memilih corak yang disukai.

Bukan saja Mimi, malah Penolong Penerbit Gang Starz, Mohd Azlan Abdollah juga terpaksa membayar ganti rugi 500,000 rupiah (hampir RM200) kerana sebab sama. Dek kerana geram, Azlan sanggup membawa balik cadar yang dikatakan terkena inai itu ke tanah air.

Harian Metro

Atas Nama Cinta

Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima&bharian.com.my


SAMA cantik sama padan, Intan dan Iskandar kelihatan anggun dengan persalinan
nikah rona sedondon.

Intan Sarafina dan Iskandar Ezzahuddin sah bergelar suami isteri pada Jumaat lalu

HANYA dengan satu kali lafaz, penyanyi yang pernah dikenali dengan lagu Kembali, Intan Sarafina atau nama sebenarnya Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 27, tidak lagi berstatus solo.

Bekas peserta program realiti musim kedua One In A Million (OIAM) itu kini sah bergelar isteri kepada jejaka kacak berasal dari Petaling Jaya, Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkifli, 32.

Kelembutan, keperibadian mulia serta kejelitaan dimiliki wanita berasal dari Stulang Darat, Johor itu membuatkan hati Iskandar tertambat untuk memperisterikannya. Setelah mengenali hati budi masing-masing lebih setahun, dua insan ini mencapai kata sepakat untuk disatukan.

Memilih 17 Oktober lalu untuk disatukan, kata Intan tiada sebab musabab istimewa kenapa tarikh itu dipilih. Kata sepakat itu dicapai hasil perbincangan dua keluarga lalu tepat jam 9.40 malam, Jumaat lalu dua hati ini kini menjadi satu.

Majlis pernikahan yang berlangsung di kediaman keluarga Intan di Bandar Sri Permaisuri, Cheras berlangsung cukup pantas dan lancar. Tiada air mata yang tumpah malam itu, malah Intan yang kelihatan anggun dengan busana rekaan Man Kajang kelihatan cukup tenang. Sementara Iskandar pula kelihatan sedikit gugup sehingga mengundang tawa tetamu apabila melafazkan nikah dengan cukup laju.


ISKANDAR mengucup dahi Intan pada majlis pembatalan air sembahyang.

Suami Intan yang bertugas di sebuah syarikat kewangan ketika ditemui meluahkan kelegaan selesai dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk yang juga Iman Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak, Mohamad Afandi Che Haron.

Dedah Iskandar, kebimbangan menghadapi saat untuk dinikahkan menyebabkan dia berlatih melafazkan nikah sejak Selasa lalu. Selain itu, dia turut melayari Youtube sebagai persediaan lebih rapi.

“Alhamdulillah, lega kerana semuanya sudah berakhir. Sejak awal minggu saya sibuk berlatih sendiri untuk memastikan tidak gugup pada hari pernikahan,” katanya yang mengenakan baju Melayu warna putih sedondon dengan Intan.

Pada majlis pernikahan itu, Iskandar menyerahkan mas kahwin sebanyak RM80 dan wang hantaran bernilai RM15,000 berserta tujuh dulang hantaran dibawa tujuh hulu balang yang segak dengan baju Melayu warna hitam. Antara yang terisi di dalam dulang untuk diserahkan kepada Intan adalah sirih junjung, beg tangan jenama Fendi, wangian, sejadah serta telekung, coklat serta manisan, cincin dan juga cek.


INTAN bersama ayah dan ibu serta lima adik beradiknya.

Manakala pihak perempuan pula membalas sembilan dulang hantaran yang dihias cukup indah dengan bunga ros dari rona putih berupa sirih junjung, kek, kemeja serta kasut, sejadah, coklat, telur pindang dan wangian.

Mengenai perancangan perkahwinan, ujar Iskandar mereka tidak mempercepatkan majlis perkahwinan ini. Sebaliknya kata sepakat sudah dicapai sejak pertengahan tahun ini sebelum mereka akhirnya mengambil keputusan untuk bertunang pada 31 Ogos yang lalu.

“Memang sejak awal lagi keluarga sudah menetapkan tarikh 17 Oktober. Tarikh itu tidak dipercepat mahupun diperlambatkan. Pada mulanya kami tidak bercadang untuk bertunang tetapi demi mengikut adat, diadakan juga majlis pertunangan pada Ogos lalu,” katanya.

Menyingkap detik perkenalan mereka, Intan ternyata tidak begitu banyak bercerita berbanding suaminya yang lebih ramah. Kata Intan, mereka berkenalan sekitar April 2007 melalui seorang rakan. Pada mulanya dia tidak begitu tertarik kepada Iskandar, namun kesungguhan ditunjukkan Iskandar lama-lama memikat hati Intan.

Sementara itu, kata Iskandar pula, Intan pada mulanya agak sombong. Namun tidak mengenal erti putus asa, Iskandar berusaha bersungguh-sungguh untuk menambat hati Intan. Setelah hampir setahun berkenalan, dua insan ini kemudian mengambil keputusan untuk berkahwin.

Lagipun kata Iskandar, tiada apa yang perlu ditunggu. Dia tidak mahu berkawan terlalu lama, apatah lagi usia mereka bukan lagi muda. Justeru, sebaik bertemu wanita diidamkan lebih baik ia diakhiri dengan sebuah ikatan sah dan suci.

Bercerita soal cahaya mata, Intan mahukan empat cahaya mata. Manakala soal bulan madu pula, pasangan itu akan berbulan madu selesai majlis resepsi pihak lelaki yang dijadualkan berlangsung Januari tahun depan. Destinasi bulan madu pula, pasangan ini bercadang memilih pulau Bali.

Majlis resepsi keluarga Intan pula diadakan di kawasan rumah Intan sehari selepas majlis pernikahan mereka. Menurut Iskandar, dia terpaksa memilih bulan Januari kerana ramai saudara maranya akan berkahwin dalam waktu terdekat ini. Mereka sudah melakukan perancangan lebih awal daripadanya, justeru dia perlu memberi laluan kepada mereka terlebih dulu.

Bercerita soal karier pula, Intan berkata Iskandar tidak menghalangnya untuk terus aktif dalam bidang seni. Selain nyanyian, Intan juga kini turut bergelar pelakon. Dia bakal muncul dengan sebuah drama yang bakal disiarkan di Astro berjudul Suara Hati. Dalam drama berkenaan, Intan turut menyumbangkan suaranya untuk tiga buah lagu yang dijadikan soundtrack drama bersiri berkenaan. Lagu ciptaan Azmeer itu juga akan dijadikan singlenya.

Berita Harian