Archive for the ‘Awal Ashaari’ Category
Kelainan Dalam OIAM 3
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
KEHANGATAN program realiti One In A Million (OIAM) kini kembali. Memasuki musim ketiga penganjuran tentunya program mencungkil bakat nyanyian ini terus mendapat sambutan hebat dari kalangan penonton 8TV khususnya remaja yang menyimpan impian bergelar penyanyi.
Namun, peserta yang berjaya menjadi juara program ini bukan hanya diangkat sebagai penyanyi tetapi habuan RM1 juta yang dimenangi membolehkan juara menjadi jutawan segera. Berdasarkan sambutan untuk musim lalu, ramai yang mencuba nasib pada uji bakat yang diadakan di seluruh negara.
Untuk musim kali ini, uji bakat diadakan sejak dua minggu lalu. Selepas mengambil lokasi di Kota Kinabalu, Sabah, Kuching, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor Bahru, kini uji bakat berlangsung hari ini di Berjaya Time Square, Kuala Lumpur.
Bermula jam 9 pagi hingga 3 petang, penyertaan terbuka pada mereka berusia 16 tahun hingga 32 tahun. Peserta bebas memilih lagu dan persembahan tanpa minus one. Syarat lain, peserta perlu membawa gambar sendiri berukuran 4R dan salinan kad pengenalan.
Uji bakat artis pula diadakan pula pada 1 Disember bertempat Tingkat 28, Skyview, Hotel The Garden Kuala Lumpur.
Dalam memilih peserta yang layak untuk ke peringkat saringan seterusnya, tiga juri dipertanggungjawabkan mengadili bakat peserta. Mereka adalah wakil syarikat rakaman Monkey Bone yang bernaung di bawah 8TV, komposer Eka Shareen dan produser 8TV.
Pada musim ketiga ini, Pengurus Besar New Media, Paul Moss dan penyanyi Syafinaz Selamat masih kekal sebagai juri. Mengekalkan kehebatan musim lalu, dua pengacara iaitu Awal Ashaari dan Marion Caunter ditugaskan untuk mengendalikan program ini.
Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata sambutan diterima dari empat lokasi uji bakat sebelum ini menggalakkan. Katanya, ketika uji bakat diadakan di Kota Kinabalu dan Kuching, terpaksa dilanjutkan hingga tengah malam disebabkan ramai hadir.
“Untuk musim terbaru ini, kelainan juga ditampilkan. Ramai artis dijangka menyertai program ini dan 8TV ingin memberi fokus pada saingan antara artis dan bukan artis. Malah kita akan ceritakan mengapa mereka berhasrat menyertai program ini.
“Menariknya, program Diari OIAM 3 akan ditayangkan selama tiga kali seminggu selepas program ini dijangka mula siaran pada penghujung Januari tahun depan. Seramai 80 peserta dipilih pada uji bakat di lima lokasi dan mereka kemudian dipilih Paul dan Syafinaz untuk layak ke peringkat seterusnya hingga top 12.
“Undian seratus peratus daripada penonton masih dikekalkan sebaik program ini bermula. Kali ini, penonton boleh memberi komen terhadap persembahan peserta menerusi Internet dan beberapa komen menarik ditayangkan di skrin atas pentas.
“Pada saya, impak program ini masih kuat hingga ramai yang hadir pada uji bakat. Undian berdasarkan SMS penonton penting kerana mereka adalah pembeli album,” katanya.
Bersama wang kemenangan RM1 juta, juara diberi kontrak selama tiga tahun bersama Monkey Bone dan selama tempoh itu, tiga album akan diterbitkan. Monkey Bone juga bertanggungjawab menguruskan wang kemenangan yang akan digunakan sebahagian besar untuk pembikinan album dan promosi.
Harian Metro
Impak Maksima Tarik Minat Penonton Remaja
Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my

IMPAK Maksima The Musical di Istana Budaya.
Teater muzikal turut memikat golongan bukan Melayu untuk menjejak kaki ke Istana Budaya
PEMENTASAN teater Impak Maksima The Musical yang akan berakhir malam esok, bukan sekadar menyajikan hiburan semata, malah berhasrat menarik kelompok remaja agar meminati bidang seni itu.
Sejak dipentaskan, ternyata teater muzikal ini ternyata menarik penonton pelapis dalam dunia teater apabila majoritinya adalah kalangan remaja. Bahkan, teater seperti ini adalah untuk memupuk generasi muda kita mula memahami dan meminati seni lakon pentas.
Walaupun tidak disenangi oleh pihak tertentu, tetapi keberanian IB untuk membenarkan pementasan teater seperti ini wajar dipuji kerana penonton yang hadir bukan saja golongan remaja tetapi dikalangan bukan Melayu. Memang jarang berlaku remaja bukan Melayu datang ke IB untuk menonton teater Melayu tetapi inilah yang dapat dibuktikan oleh Impak Maksima.
Bahkan, persembahan memikat daripada teater muzikal Impak Maksima ini mendapat pengiktirafan dari Singapura apabila mereka juga mahu teater ini dipentaskan di Panggung Esplanade, iaitu panggung teater kebanggaan negara di seberang Tambak Johor.
Teater yang diilhamkan Excellent Pictures dengan kerjasama Global Network Entertainment Sdn Bhd turut memaparkan kisah realiti remaja yang diluahkan ke pentas.
Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Saarani berkata, pihaknya mengharapkan teater ini akan mendapat sambutan terutama dari kelompok remaja.
“Pihak IB sebelum ini sudah melakukan pelbagai cara semata-mata untuk menarik penonton dari kelompok remaja tetapi tetap tidak mendapat sambutan. Kita cuba menyelami apa yang diinginkan remaja hari ini.
“Menerusi teater muzikal Impak Maksima ini semua yang diinginkan remaja ada di dalamnya dan kami berharap ini adalah apa yang diperlukan mereka. Teater ini adalah teater mereka, cara hidup mereka yang cuba dipentaskan ke dalam dunia teater.
“Saya juga berbangga dengan pengarahnya Ahmad Idham yang cuba mencari kelainan dalam bidang teater masa kini. Ini menjadi idea terbaru kepada pihak kami untuk mempelbagaikan genre teater dipentaskan di IB,” katanya.
Teater muzikal ini membarisi pelakon seperti Zul Huzaimy, Zarina, Dinaz, Zack Zaidi, Adip, Dina (Malaysia Idol), Mohd Zulfarqar Awaluddin (Belalang), Rosli dan ramai lagi.
Selain itu, Pengarah Artistik yang juga pelakon teater ini, Zul Huzaimy berkata, bebanan yang dipikul dalam melakukan dua kerja pada satu masa memberi keseronokan berganda kepadanya.
“Jika nak diikutkan memang beban kepada saya kerana sebelum ini saya hanya ditugaskan untuk mengajar teknik vokal kepada pelakon dan untuk memastikan elemen artistik harus ada dalam teater ini, namun selepas Awal Ashaari menarik diri di saat akhir, pengarah meminta untuk saya menggantikan tempatnya sebagai pelakon.
“Bagaimanapun saya cukup berbangga dan sedia menerima cabaran ini dalam memastikan teater ini berjaya menarik ramai remaja hadir menyaksikan kisah hidup mereka dipaparkan diatas pentas teater,” katanya.
Menurut Zul, disamping berlakon dan memastikan nilai artistik pada teater itu, dia turut menegaskan teater muzikal ini bukan sekadar hiburan semata tetapi mementingkan penceritaan yang ingin disampaikan.
“Walaupun tugas saya sebelum ini sudah diserahkan kepada Adip (Fablous Cats) dalam menghasilkan lagu-lagu dalam teater ini, namun ia harus menekankan penceritaan di dalamnya.
Berita Harian
Zul Tidak ‘Perasan Bagus’
Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetro.com.my
Rap
PELAKON kelahiran Grik, Perak ini, Zul Huzaimy Marzuki, 29, antara generasi baru yang dikata bakal menggantikan Rosyam Nor suatu hari nanti. Malah dia sendiri begitu mengkagumi lakonan Rosyam yang sudah beberapa kali menggondol anugerah pelakon terbaik.
Lebih daripada itu, mereka juga pernah berkongsi kejayaan pada malam anugerah Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, Ogos lalu apabila pada malam itu, Rosyam menang Pelakon Lelaki Terbaik dan Zul pula membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi lakonan mantapnya dalam filem Wayang.
Pun begitu dalam keghairahan Zul memburu kejayaan dan mencipta nama dalam persada seni, dia tidak terlepas daripada kontroversi. Bukan kehendak yang empunya diri namun anak seni memang begitu rentetan hidupnya.
Kebelakangan ini timbul rungutan kononnya ramai tidak senang cara Zul yang dikatakan kurang mesra media, suka berlagak pandai dan dituduh punca dua pelakon Impak Maksima The Musical (IMTM), Awal Ashaari dan Jue Aziz meninggalkan produksi itu.
Zul yang dilantik sebagai Pengarah Artistik teater muzikal itu dikatakan memberi latihan yang agak keras kepada pelakon teater itu menyebabkan mereka menarik diri.
Pertemuan dengannya di Istana Budaya (IB) baru-baru ini, merungkaikan persoalan yang bersarang di fikiran kerana Zul yang dikenali selama ini seorang yang mudah memberikan kerjasama.
Menjelas isu yang dia kurang mesra media dan sukar dihubungi, kata Zul jarang sekali dia tidak melayan wartawan kecuali jika waktu itu dia sibuk di lokasi di mana tumpuannya sudah tentu pada kerja.
“Jika saya tidak menjawab panggilan telefon, mereka boleh meninggalkan pesanan SMS dan Insya-Allah saya akan membalasnya. Jika ‘miss call’ itu tertera nama pemanggil yang nombornya ada dalam telefon bimbit saya, saya pasti akan menghubunginya semula.
“Tetapi masalahnya apabila ‘miss call’ nombor yang saya tidak kenali ataupun kelihatan seperti nombor pejabat, sudah tentu saya tidak akan menghubunginya semula kerana tidak tahu hendak bercakap dengan siapa. Saya tiada masalah memberikan kerjasama kepada sesiapa pun,” katanya.
Zul juga menafikan dia punca Awal dan Jue tidak dapat meneruskan hasrat mereka berlakon dalam IMTM yang dipentaskan di IB mulai 11 November lalu dan berakhir 22 November ini.
Menjelaskan perkara itu, kata Zul ini kali pertama dia diberi kepercayaan menjadi Pengarah Artistik teater yang dipentaskan di IB. Yang mana ia semestinya menjadi impian anak seni untuk beraksi ataupun menabur bakti di kompleks kesenian yang indah dan tersergam megah itu.
“Sebelum ini saya pernah menjadi penolong pengarah teater tetapi bukanlah pementasan besar seperti IMTM. Teater arahan Ahmad Idham ini adalah projek besar dengan kos tinggi. Justeru, amanah yang diberi beliau kepada saya amat besar untuk memastikan segalanya berjalan lancar dan berjaya serta menjadi kebanggaan industri kita.
“Saya tidak tahu sebab utama dia memilih saya menjadi Pengarah Artistik projek ini. Mungkin kerana kami selalu bekerjasama dalam drama dan filem, dia tahu saya boleh memikul amanah itu. Kami mengambil masa lama untuk berbincang termasuk membuat skrip IMTM ini.
“Tugas Pengarah Artistik termasuk memberi latihan berlakon kepada pelakon IMTM. Saya tidak boleh ambil mudah dengan tanggungjawab itu. Walaupun saya tahu mereka pelakon berpengalaman tetapi saya perlu melaksanakan kewajipan saya sebaik mungkin.
“Saya mengajar mereka teori dan praktikal. Saya susah hati memikirkan macam mana hendak berkongsi idea lakonan dengan nama besar seperti Awal, Dynas dan Zed Zaidi. Timbul rasa takut sekiranya ada yang menyalahertikan tindakan dan cara saya mengajar mereka nanti.
“Setiap pengalaman yang dilalui sebagai pelakon dan penolong pengarah teater, saya gunakan untuk mendidik mereka. Saya turut aplikasikan apa yang pensyarah saya ajar di Aswara dulu dengan menambahkan teori baru dalam aspek lakonan,” katanya.
Namun Zul mengaku dia mengajar agak ‘keras’ kerana dia bertujuan menjadikan mereka pelakon yang lebih baik. Bagi Zul, guru yang baik tidak akan membiarkan pelajarnya melakukan kesalahan sama berulang kali.
“Ketegasan itu perlu untuk melahirkan pelajar cemerlang. Saya terpaksa garang kerana saya sayangkan kawan-kawan saya dan mahu mereka menjadi yang terbaik. Pentas teater adalah medan terbaik untuk menambah ilmu lakonan.
“Jika persembahan mereka tidak bagus, saya terpaksa berterus terang dan mereka perlu menerimanya dengan hati dan minda terbuka. Saya diberi amanah supaya setiap langkah dan lakonan yang dipersembahkan kelihatan cantik di pentas.
“Dalam ketegasan memberikan didikan, saya masih ada timbang rasa terhadap mereka. Apabila ada yang datang berlatih dalam keadaan tidak sihat saya suruh mereka balik kerana tidak guna meneruskan latihan jika hanya memudaratkan keadaan. Elok balik berehat sehari dua dan datang balik dalam keadaan segar.
“Pelakon perlu faham adakala lakonan dalam drama atau filem tidak sesuai untuk pentas teater. Lontaran suara dan lenggok badan adakalanya tidak sama. Saya pernah tanya Idham adakah saya garang. Jawapnya, teruskan asal hasilnya bagus.
“Dulu saya belajar berlakon dengan mereka yang garang dan sangat tegas. Mereka tidak pernah bekerja dengan aktivis teater hebat seperti Ahmad Yatim. Bukan calang-calang orang boleh bekerja dengannya.
“Datuk Jalaluddin Hassan yang mendengar cerita ketegasan saya mengajar pelakon IMTM bertanya saya kenapa garang sangat - apa dah jadi. Selepas saya jelaskan kepada beliau barulah Datuk Jalal faham dan mengakui yang pelakon sekarang manja sangat.
“Saya tidak pernah ‘angkat tangan’ kepada mereka, marah saja. Saya minta restu dengan Datuk Jalal dengan apa yang saya lakukan dan dia kata apa yang saya buat itu betul. Saya ikhlas menurunkan ilmu kepada mereka dan kesannya jika dulu mereka tension dengan saya tetapi sekarang saya boleh peluk mereka. Kini mereka faham apa yang diajar dan dapat mempersembahkannya dengan baik,” katanya.
Tegasnya, ketiadaan Awal dan Jue dalam IMTM bukan kerananya tetapi keputusan dibuat Idham.
Menurut Zul selepas beberapa kali menjalani latihan, Idham dapati persembahan Awal tiada peningkatan. Begitu juga dengan Jue. Mereka tidak dapat memberikan apa yang Idham mahu untuk teater itu.
“Sayang melepaskan mereka pergi kerana jika diberi masa mungkin ada perubahan. Saya sanggup melatih mereka tetapi selaku pengarah dan penerbit teater itu, Idham lebih bijak menilai kemampuan mereka. Mungkin Awal belum bersedia untuk beraksi dalam sebuah pementasan teater.
“Pun begitu, ketiadaan mereka berdua dalam IMTM bukanlah masalah besar. Tetapi apabila orang luar tahu ia berubah menjadi isu besar. Dynas pun hampir keluar daripada IMTM tetapi selepas berbincang dia setuju berlakon semula.
“Dengan apa yang berlaku saya harap Awal, Jue atau sesiapa saja tidak memusuhi saya. Saya tidak berniat jahat terhadap mereka. Kalau saya ada niat macam itu, saya akan biarkan apa saja mereka buat. Hendak jadi apa, jadilah.
“Jika mereka buat yang terbaik di pentas, yang untung mereka juga. Lantaran itu, apabila Idham mengambil kata putus mengeluarkan mereka dari projek ini timbul rasa kasihan kerana mereka berpotensi menjadi pelakon yang bagus,” katanya.
Ketiadaan Awal dalam IMTM, Idham mencari pelakon baru menggantikan tempatnya tetapi tidak berjumpa. Idham mahukan pelakon yang pernah berlakon drama dan filem. Ada pelakon yang dirasakan sesuai tetapi ada komitmen lain pula.
“Akhirnya Idham pujuk saya berlakon dalam teater itu tetapi saya tidak membawakan watak dipegang Awal. Saya bukan menggantikan Awal tetapi Idham cipta watak baru untuk saya iaitu sebagai DK,” katanya.
Mengulas isu dia dikatakan ‘perasan bagus’, jelas Zul dia hanya menunjukkan perkara (berlakon) yang bagus dan bukannya dia perasan bagus.
“Dan jika mereka kata saya bagus, saya mahu mereka jadi lebih baik dari saya,” katanya.
Selama hampir tiga bulan menumpukan kepada teatar itu, Zul tidak mengambil sebarang projek drama atau filem. Dengan pengorbanannya itu, barangkali ada yang beranggapan Zul menerima bayaran lumayan.
“Saya berlakon teater sudah lama dan sejak dulu saya tidak pernah tanya pasal bayaran, terpulang kepada mereka hendak bayar berapa. Apatah lagi berlakon teater adalah perkara yang menyeronokkan dan benda yang saya suka buat,” katanya.
IMTM terbitan bersama Ahmad Idham dengan Den Wahab.
Harian Metro