Archive for the ‘Anugerah Planet Muzik’ Category
Lagu The Beatles Satukan Warga
Didendang 15 artis setempat di konsert Hari Kebangsaan
OlehNurraihan Abdul Hamid
BUAT julung-julung kalinya, pentas terapung Marina Bay akan digegarkan dengan konsert rok sempena sambutan Hari Kebangsaan. Penonton akan dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu kumpulan The Beatles oleh lebih 15 artis terkemuka tanah air, termasuk Anita Sarawak.
Konsert Heart Rock pada 16 Ogos itu mengajak warga Singapura bersatu sambil berhibur. Ia juga bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peranan Pejuang Kehidupan Berkeluarga (FLC) sempena ulang tahun ke-12 badan kebajikan itu.
Dengan iringan orkestra akademi Seni Halus Nanyang (Nafa), dan sistem bunyian serupa dengan Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), konsert itu menjanjikan satu pengalaman menarik.
Pengarah Eksekutif FLC, Encik David Kan, berkata konsert itu bermatlamat menyatukan anggota keluarga dalam satu acara hiburan, selaras dengan misi FLC menggalakkan hubungan akrab keluarga.
Dalam satu sidang media Khamis lalu, pengerusi jawatankuasa konsert itu, Encik Henry Foo, berkata lagu-lagu The Beatles menjadi pilihan kerana ia diminati semua lapisan umur.
Antara artis yang akan membuat persembahan ialah penyanyi yang dicalonkan sebagai Artis Popular Singapura di Anugerah Planet Muzik (APM) tahun ini, Azyza.
‘Saya amat berbesar hati kerana dijemput membuat persembahan. Lagu berjudul Something yang saya akan dendangkan dengan iringan orkestra Nafa menjanjikan satu kelainan,’ katanya.
Turut berkongsi pentas ialah kugiran CatsinECradle, yang telah mengukir nama dalam rancangan pencarian bakat Live The Dream.
Vokalis kumpulan itu, Jeff Catz, berkata: ‘Pihak penganjur menganggarkan lebih 25, 000 penonton. Kami sememangnya ghairah untuk menghiburkan mereka. Dengan bakat yang dikurniakan, kami ingin merebut peluang untuk menyumbang kepada masyarakat.’
Konsert itu akan dihoskan oleh Suhaimi Yusof dan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Cik Eunice Olsen.
Ia bermula 5.30 petang. Sebelum itu, diadakan persembahan kugirankugiran belia berbakat. Tiket berharga $5 bagi kanak-kanak dan $10 untuk dewasa boleh ditempah melalui talian 6846-2068.
Cyberita
Peluang Keemasan Saya!
Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my
BERWAJAH cantik dan memiliki suara gemersik, mem buatkan penyanyi Norazmahwati Abd Aziz, 32 atau Noryn Aziz cepat mencuri tumpuan peminat muzik tempatan. Sekalipun namanya tidak ‘gah’ seperti Datuk Siti Nurhaliza atau Mawi namun kerjaya seninya tetap berkembang baik.
Buktinya, sebaik membuat kemunculan kembali dengan album Alam Maya selepas lapan tahun menyepi, Noryn tidak ‘menang tangan’ dengan pelbagai aktiviti terutama men jayakan persembahan makan malam.
Noryn turut mengakui kehidupan sebagai penyanyi berubah apabila orang sudah mula melihat bakat dimiliki. Ia jauh berbeza dengan zaman remajanya ketika muncul bersama duo Sister Sister.
Begitupun kejayaan diraih membuatkan ada pihak kurang senang terhadapnya. Agak mengejutkan ada yang menuduh penyanyi kelahiran Shah Alam, Selangor ini cuba meng ganggu pasaran artis lain apabila mengenakan bayaran rendah untuk setiap tawaran menyanyi.
Kata mereka, sebagai penyanyi yang mempunyai reputasi baik dalam mengadakan persembahan terbuka, Noryn ma hupun pihak pengurusannya perlu bertindak bijak dengan tidak menerima bayaran rendah.
Apabila hal ini terjadi, ia secara tidak langsung membuatkan penyanyi lain terutama yang sudah ‘mantap’ kedudukannya di persada seni tanah air berhadapan dengan pelbagai masalah memandangkan mereka sudah menetapkan harga tertentu terhadap tawaran bagi mengadakan persembahan.
Noryn ditemui di majlis pengumuman artis mewakili negara di World Championship of Performing Arts (WCPA) di Los Angeles, Amerika Syarikat baru-baru ini, sedar dengan rungutan teman penyanyi lain.
Untuk menjelaskan mengenai perkara itu, Noryn me negaskan sebagai artis yang baru hendak kembali bertapak dia tidak boleh ‘meletak harga’.
“Saya terima teguran mereka dengan hati terbuka dan sebaik mungkin tidak mahu mengulas mengenai perkara ini. Ia agak sensitif dan bimbang jika saya memberikan sebarang ke nyataan mengenainya, bakal ada hati terguris.
“Bagaimanapun, sebelum dakwaan itu dibuat ada baiknya pihak terbabit menilai dulu pembabitan saya dalam industri seni.
“Ketika muncul dengan album Alam Maya saya sudah jelaskan bahawa saya harus berusaha semula membina kerjaya nyanyian seperti artis baru lain. Tambahan pula hampir lapan tahun saya menyepikan diri daripada industri seni dan orang sudah lupa siapa Noryn Aziz.
“Siapa saya hendak meletak harga. Saya bukan Datuk Sharifah Aini yang hampir 40 tahun membabitkan diri dalam bidang seni. Saya juga bukan Siti Nurhaliza yang sudah mengharumkan nama negara menerusi kerjaya seninya dan memenangi lebih 100 anugerah di dalam atau luar negara.
“Setakat ini saya hanya memperoleh satu anugerah iaitu Artis Baru Terbaik di Anugerah Planet Muzik tahun lalu. Pencapaian kecil itu tidak boleh dijadikan ukuran untuk saya menaikkan harga apabila menerima tawaran mengadakan persembahan.
“Pada saya harga dikenakan terhadap khidmat untuk meng hiburkan orang ramai berpatutan. Tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Sesuai dengan tahap pencapaian saya sekarang.
“Begitupun saya turut berharap dan berdoa agar rezeki akan berubah seperti penyanyi lain yang sudah mantap kedu dukannya dalam industri seni tempatan. Bukankah setiap orang dalam dunia ini mahu kehidupannya akan menjadi bertambah baik pada masa akan datang,” katanya.
Mengenai pembabitannya dalam pertandingan WCPA, kata Noryn dia ‘besar hati’ apabila dipelawa Pelancongan Malaysia dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) untuk menyertai pertandingan berprestij bertaraf antarabangsa itu.
“Saya menganggap penyertaan dalam WCPA sebagai pe luang keemasan untuk menimba pengalaman. Inilah yang saya tunggu dan nantikan. Saya menjadikan pertandingan itu sebagai medan untuk menguji kemampuan diri,” katanya.
Sepanjang pertandingan yang bakal berlangsung pada 17 hingga 29 Julai itu, Noryn akan menyertai lima kategori iaitu muzik kontemporari, R & B/Jazz, komposisi asli, Broadway dan terbuka. Lagu bakal didendangkan seperti Big Spender, Sayang di Sayang, One Moment In Time dan At Last.
Sebelum terbang ke Los Angeles Noryn menjelaskan dia melakukan banyak persediaan termasuk bertanyakan kepada mereka yang pernah menyertai pertandingan itu seperti Syafinaz Selamat, Deja Moss dan Dina mengenai bagaimana WCPA dikendalikan.
“Agak mengejutkan kerana saya difahamkan peserta hanya diberikan satu minit saja untuk mendendangkan lagu di pertandingkan. Dalam tempoh singkat itu mereka tidak hanya menilai vokal tetapi turut mengambil kira penampilan, personaliti dan dan cara kita berinteraksi.
“Perkara ini benar-benar membuat saya rasa bimbang memandangkan lagu yang saya dendangkan mengambil masa panjang untuk ‘panas’ sekali gus mampu menonjolkan ke mampuan vokal.
“Untuk itu pihak pengurusan saya sudah membuat minus one khas dan setiap lagu disusun semula bagi menonjolkan kemampuan vokal,” katanya.
Kalangan penyanyi yang pernah menyertai pertandingan itu turut menasihatkan Noryn agar mendendangkan lagu Ing geris agar corak penyampaian mudah difahami juri.
Turut bersama Noryn ke pertandingan itu, bintang muda Ikhwal Hafiz Ismail (Iqwal), artis budaya Istana Budaya dan dua orang model ternama Tengku Norazura Tengku Awang (Azura) dan Zainab Abdul Aziz (Zeia) yang menyertai kategori peragaan.
>Profile
NAMA SEBENAR: Norazmahwati Abdul Aziz
PANGGILAN: Noryn Aziz
USIA: 32 tahun
TARIKH LAHIR: 26 November 1976
TEMPAT LAHIR: Shah Alam, Selangor
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Muzik dari Kolej Muzik Antarabangsa
(ICOM)
ALBUM: Fantasi O Realiti dan Alam Maya
PENCAPAIAN: Artis Baru Terbaik Wanita di Anugerah Planet Muzik (2007), Mewakili Malaysia di Festival Muzik Antarabangsa Jazz di Indonesia, Singapura dan Vietnam
Harian Metro
Tak Sabar Gegar Medan

“BEEP, beep, beep.” Itu antara kata-kata yang kerap diucapkan oleh Din, Hanafi dan Andy sepanjang temu ramah dengan Rich.
Mereka mengusik nakal kerana sang vokalis gemar berada dalam khayalannya sendiri - dunia alien yang Rich percaya ia wujud. Inilah gambaran kemesraan anggota Estranged yang sedang mencipta nama.
Kehadiran anak muda berempat ini semakin dirasai setelah memenangi beberapa anugerah yang merupakan tangga kepada peningkatan populariti nama dan bakat mereka.
Rich, Andy, Din dan Hanafi juga berjaya mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai band indie pertama yang memenangi Anugerah Juara Lagu tahun lalu.
Terbang ke seberang
Anak muda berempat ini bakal membawa nama Malaysia di sebuah pentas konsert tahunan berskala besar di Indonesia. A Mild Soundrenaline 08, pentas yang menghimpunkan band-band rock Indonesia, kini telah menyelitkan sebuah nama band Malaysia - Estranged.
Kota Pekan Baru pada tanggal 13 Julai dan Medan pada 20 Julai bakal menyaksikan lagu-lagu Malaysia bergema. Estranged sendiri tidak pernah menonton atau merasa kehangatan pentas Soundrenaline, namun mereka membuat kerja rumah dengan belajar mengenai penonton yang bakal mereka hadapi.
Yang pasti mereka datang sebagai anak muda dari Malaysia, membawa jiwa dan lagu Malaysia serta bahasa Melayu walau mungkin lenggok muzik berbeza rasa.
“Kami sedang melalui proses jamming yang ketat di samping menjadikan pentas show sebagai salah satu latihan kami. Estranged akan memperdengarkan muzik Malaysia yang mempunyai identiti kita.
“Kami campurkan lagu bahasa Inggeris dan Melayu. Tetapi apa yang penting kami mahu sesiapa yang menonton nanti dapat mengaitkan band ini dengan Malaysia,” Din bersuara mewakili yang lain.
Bagi Estranged, kemenangan pada Anugerah Planet Muzik baru-baru ini banyak memberi ruang dalam memperkenalkan mereka ke negara luar.
Bakal berkongsi pentas dengan band besar Indonesia seperti Nidji, Ungu dan Andra and The Backbone, mereka menganggap inilah peluang keemasan untuk memanjangkan langkah.
Andy pula menganggapnya sebagai langkah awal untuk memecah pasaran Indonesia. Untuk proses pengenalan, lagu mereka sudah diputarkan di radio di Medan.
“Kami mahu menggunakan ruang ini untuk berkenalan dengan pemuzik dan syarikat rakaman di sana untuk meluaskan lagi kenalan kami,” tambah Andy.
Dibayar RM10 untuk persembahan
Seperti sudah tersurat, setiap band pasti melalui pahit getir perjalanan termasuk berdepan masalah kewangan.
“Kami pernah dibayar dengan harga RM10 untuk sebuah persembahan, namun itu tidak mematahkan semangat. Wang yang kecil ini dikumpulkan untuk merakamkan lagu-lagu kami,” ujar Hanafi.
Nah, melihatkan kejayaan yang mereka kecapi kini dengan satu demi satu trofi dan penganugerahan berada dalam genggaman mereka, pasti titik peluh dan kesabaran lalu terbayar jua. Ditambah pula dengan penerimaan peminat terhadap material yang mereka hidangkan dalam album pertama.
Namun sebenarnya, masalah kewangan masih lagi menguasai grup yang dibina pada sekitar tahun 2001 ini. Tidak semua penganugerahan berhujung dengan bahagia berterusan.
Perjalanan mereka ke Indonesia belum mendapat sebarang tajaan. Segalanya masih ditanggung sendiri. Pun begitu ini bukanlah satu keluhan besar buat mereka. Ini semua masih dianggap proses pembelajaran dalam meniti hidup sebagai anak seni di bumi Malaysia.
Yang penting buat mereka kini ialah melakukan yang terbaik untuk mengukir nama Estranged pada permukaan dunia nyanyian Indonesia yang masih dianggap sukar menerima individu atau grup luar, Malaysia khususnya.
Isu sekeliling lebih penting dari cinta
Persiapan album kedua mereka ini memanglah lebih baik berbanding album debut In Hating Memory.
Ujar mereka, masa bukanlah yang mereka kejar-kejarkan untuk menyiapkannya. Jauh sekali merasa tekanan atas meledaknya lagu Itu Kamu.
“In Hating Memory mempersembahkan identiti muzik kami. Dan album kedua adalah sesuatu yang lebih mendalam daripada itu,” ujar sang vokalis.
Kalau dalam album pertama banyak ditumpahkan rasa benci dan amarah terhadap apa yang pernah dilalui, berbeza dengan persembahan kedua ini pula.
Album yang bakal diedarkan dengan judul Remain Unknown adalah lebih selesa. Mereka tidak mahu terperap dengan formula rasa lirik yang itu-itu dalam bermuzik.
Setidak-tidaknya harus ada pembaharuan dalam karya-karya berikutnya.
Mereka melihat mesej yang memupuk kesedaran terhadap masalah kehidupan, persekitaran dan isu di sekeliling lebih penting daripada sesuatu yang dinamakan cinta.
Ujar mereka lagi, Remain Unknown berisi 13 buah lagu yang dibuat dengan sepenuh hati oleh segerombolan sahabat yang melalui liku-liku hidup yang bukan sedikit.
Dan persembahan lagu Yang Pernah sebagai single pertama mereka merujuk kepada arah tuju album ini dari segi muzik. Dan mereka bercerita tentang perkara yang pernah dilalui dan mahu diperbetulkan.
Sudah berputaran di corong radio dan pembikinan klip video lagu ini juga telah mereka tempuhi, penghasilan album kedua ini sedang berada dalam tahap peratusan terakhir.
Kosmo