Himpunan Dewi, Hero Remaja
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
Rap
SEJARAHNYA bermula sebagai bahan bacaan untuk golongan muda.
Namun, kesan daripada pertandingan personaliti Dewi dan Hero Remaja yang dianjurkan majalah yang memperkenalkan nama Remaja, meninggalkan kesan yang cukup mendalam kepada industri hiburan.
Majalah itu boleh dianggap kilang melahirkan ramai gadis dan jejaka rupawan kemudian bakat mereka digilap dan akhirnya menjadi bintang disegani ramai.
Tidak hanya popular, segelintir daripada mereka dikaitkan dengan cerita kontroversi.
Aleeza Kassim, Azhar Sulaiman, Norman Hakim, Badrul Muhayat, Esma Daniel, Zed Zaidi, Rita Rudaini, Puspa Narayan, Juliana Banos, Emilia Rosnaida, Jasmin Hamid, Annahita Bakavoli, Wan Shahlim, Scha dan Kamal hanyalah sebahagian nama hebat yang dilahirkan dari pertandingan Dewi dan Hero Remaja.
Kalau diikutkan, terlalu ramai yang berjaya dalam bidang masing-masing.
Tidak hanya model, pelakon bahkan dalam bidang perniagaan juga.
Justeru, pada 27 November lalu majlis ulang tahun Remaja yang ke-26 diadakan sekali gus meraikan Reunion Dewi dan Hero Remaja.
Meskipun kebanyakan bekas juara terawal Hero dan Dewi Remaja tidak dapat menghadirkan diri, acara itu tetap berlangsung dalam suasana meriah.
Editor majalah Remaja, Rosli Ahmad berkata, dia berasa lega kerana akhirnya acara itu dapat disempurnakan kerana pihaknya sudah lama merancangnya.
“Sudah lama merancang, akhirnya dapat juga majlis ini diadakan. Sebenarnya bukan mudah untuk kami mengumpulkan juara dan bekas finalis Dewi dan Hero Remaja. Lebih-lebih lagi sebahagian besar daripada mereka sudah lama terputus hubungan.
“Bukan itu saja, ada yang terpaksa membatalkan kehadiran mereka saat-saat akhir atas sebab-sebab tertentu. Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan komitmen yang diberikan,” katanya.
Pada majlis itu Rosli turut melancarkan Pencarian Dewi Remaja bagi tahun 2009/10 yang kini masih dalam proses menjejaki gadis cantik, bijak dan berpesonaliti yang mempunyai impian menjadi bintang.
“Sekarang ini kami masih dalam proses pencarian. Belum terlambat bagi yang ingin mencubanya. Caranya mudah dengan melayari www.karangkraf.com.my. Mereka yang berminat juga boleh menghantarkan penyertaan melalui borang disediakan dalam majalah,” katanya.
Seorang juara Hero Remaja, Badrul Muhayat berkata, pertandingan itu merealisasikan impiannya untuk bergelar pelakon.
“Saya masih ingat sewaktu menyertai pertandingan itu lebih daripada 700 yang menghantar penyertaan namun saya terpilih hingga ke pusingan akhir dan muncul sebagai naib juara Hero Remaja 1991.
“Bertitik tolak dari itu, saya di tawarkan membintangi filem dan drama. Sehingga kini, saya masih meminati dunia lakonan, tetapi untuk 2009, saya merancang untuk menerbitkan drama sendiri,” katanya.
Selain Badrul, juara Hero dan Dewi yang turut hadir ialah Aleeza Kassim (1989/90), Juliana Banos (1998/99), Kamal (1907/08), Scha (2006/07), Zawen (2004/05), Zed Zaidi (1997/98) dan Esma Daniel (90/91).
Tidak ketinggalan, finalisnya, Jasmin Hamid, Puspha Narayan, Rabecca, Fizo, Rizal, Zaryn dan ramai lagi.
One Drop Perfumes by Egyptian selaku penaja keseluruhan, turut mengambil kesempatan melancarkan wangian terbaru keluaran mereka.
Kedua-dua kotak yang mengandungi lapan jenis haruman itu diilhamkan dari pewangi selebriti terkenal Hollywood antaranya Sarah Jessica Parker, Mariah Carey, Paris Hilton, Britney Spears dan Beyonce Knowles untuk wanita. Manakala haruman seperti David Beckham dan Sean John untuk lelaki.
Acara malam itu diserikan lagi dengan persembahan artis remaja popular dan berbakat besar seperti Siti Sarah yang menyampaikan lagu Mimpi Pun Sama, I Turn To You dan Penasaran manakala Aizat memperdengarkan lagu Hanya Kau Yang Mampu dan Lagu Kita.
Sementara Mila pula dengan dua lagu salah satunya, Mila Bila Cinta dan kumpulan Altimate menyampaikan lagu Cantik.
Harian Metro
Bicara Hati Zed, Elly Mazlein
Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED
metra.mohamed@utusan.com.my

Zed Zaidi (kiri) dan Elly Mazlein mahu memberi tumpuan pada karier seni sebelum menamatkan zaman bujang.
DUA pelakon ini iaitu Rozaidi Jamil atau Zed Zaidi dan Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi (Elly Mazlein) masih hidup membujang. Tidak diketahui siapa yang bakal bertakhta di hati, namun kedua-dua mereka amat selesa hidup bersendirian ketika ini bagi memberikan tumpuan terhadap karier masing-masing terlebih dahulu.
Sibuk menguruskan hal kerjaya, hakikatnya, Zed, 28, dan Elly, 27, masih mencari-cari peluang untuk menamatkan zaman solo bersama insan yang dicintai.
Di bidang lakonan, kedua-duanya cukup berjaya namun, untuk meniti tangga kejayaan tersebut, pasti ada sahaja rintangan yang dilalui sehingga membuatkan mereka matang dalam mengharungi kehidupan.
Elly contohnya, terpaksa mendiamkan diri seketika dari bidang nyanyian lantaran industri muzik tempatan yang agak menurun ketika ini.
Untuk itu, kita ikuti bicara hati Elly dan Zed mengenai kerjaya dan kisah cinta masing-masing ketika ditemui Hits semasa pelancaran drama bersiri Amanah Karmila di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Menerusi drama yang diarahkan oleh Salehuddin Sani dan bakal ditayangkan hujung tahun ini, Elly memegang watak Karmila manakala Zed sebagai Herman iaitu suami kepada Karmila.
Elly rindu dunia nyanyian
Sekitar tahun 2000, nama Elly Mazlein cukup popular dan lagu hitsnya iaitu Usah Ditambah Bara Yang Tersimpan sering berkumandang di corong radio.
Hari berganti hari, nama Elly sebagai penyanyi bagai pudar sehingga membuatkan dia terpaksa beralih arah ke dunia lakonan.
“Sememangnya Elly rindu hendak masuk ke studio merakamkan lagu macam dulu. Tetapi, Elly terpaksa akur dengan kehendak pasaran masa kini.
“Walaupun aktif berlakon, Elly tidak pernah melupakan bidang nyanyian. Elly masih diundang mengadakan persembahan di majlis-majlis tertentu,” jelasnya.
Ujar Elly, dia pasti akan aktif semula menyanyi dan merakamkan album andai industri muzik tempatan kembali rancak seperti dulu.
Menerusi lakonan pula, katanya, dia masih tidak dapat melupakan pengalaman pertamanya ketika berlakon dalam drama Bukan Yang Pertama pada 2005.
“Selepas daripada itu, Elly banyak menerima tawaran berlakon seperti filem Gerak Khas The Movie, Janji Diana selain drama Gerak Khas.
“Tidak tamat di situ, lakonan terbaru Elly ialah menerusi Spa Q dan Bella. Ini adalah rezeki dan syukur kerana orang sudah mula sedar akan bakat Elly,” ujarnya.
Elly pernah merakamkan empat album solo dan dua kompilasi iaitu album Sutera Kasih, Satu Persatu, Elly dan Atas Nama Cinta serta The Best of Elly Mazlein ketika masih bersama NAR Records.
Peluang bertemu dengan Elly, persoalan mengenai kisah percintaannya turut diajukan.
Ringkas dalam mengeluarkan jawapan, Elly berkata, dia lebih suka berbicara mengenai karier berbanding hal peribadi dan cinta.
“Semuanya Elly serah pada takdir. Bagi Elly, kalau segalanya sudah tetap (kahwin), tidak mengapa jika ia dihebahkan di media.
“Elly juga merasakan adalah tidak manis soal peribadi dijaja kepada umum,” jelas Elly.
Kebangkitan Zed Zaidi
Sementara itu, bagi Zed Zaidi pula, jika mahu diulas mengenai kariernya dalam lakonan yang sudah menjangkau usia sembilan tahun, pastinya dia tidak dapat melupakan segala kritikan di awal kemunculannya dahulu.
Kritikan berbunyi ‘kau berlakon macam kayu’ antara yang masih tersemat di sanubarinya tatkala dirinya membintangi drama bersiri pertamanya iaitu Sembilu.
Pedih rasa dalam hati namun Zed tidak memendam perasaan sebaliknya menjadi kritikan yang diterima daripada pelbagai pihak itu sebagai pembakar semangat dalam mengharungi karier sebagai pelakon.
“Kini, apa yang saya mahu buktikan adalah kemampuan dalam meningkatkan prestasi lakonan.
“Pernah juga saya berkata dalam hati, jika lakonan saya ‘dungu’ macam dulu juga, baik tinggalkan sahaja karier tersebut. Namun, Alhamdulillah, saya masih diterima berlakon,” katanya.
Ujar Zed, sebagai usaha meningkatkan mutu lakonan, dia banyak mendapat tunjuk ajar daripada beberapa pelakon senior antaranya Rosyam Nor serta Faizal Hussein.
“Mula-mula memang sedih apabila dikatakan kayu tetapi saya berjaya buktikan yang kritikan itu tidak benar,” jelasnya.
Drama bersiri Sembilu merupakan drama yang berjaya mengangkat nama Zed di dunia lakonan meskipun drama itu pernah dikritik.
Selepas banyak menerima tawaran berlakon di layar kaca, Zed menjelaskan, dia bakal membintangi sebuah teater yang akan dipentaskan di Istana Budaya tidak lama lagi.
Menurut Zed, selain berlakon, dia turut berjinak-jinak dalam dunia perniagaan seperti penjualan maruku dan syarikat pembinaan.
“Sampai bila saya hendak mengharapkan pendapatan dalam bidang seni sahaja.
“Justeru, saya perlu memikirkan masa depan dan berkecimpung dalam dunia perniagaan,” ujarnya.
Kata Zed, dalam perniagaan, dia juga mempunyai pengalaman pahit apabila ada rakan karibnya yang sanggup menikam dari belakang.
Cerewet pilih pasangan
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai soal cinta, Zed yang masih membujang memberitahu, dia tidak cerewet dalam memilih pasangan.
Tidak menetapkan sasaran umur untuk melangsungkan perkahwinan, Zed terpaksa lebih selektif selepas beberapa kali dikecewakan oleh wanita.
Justeru, dia mahukan wanita yang memahami kerjaya serta mampu berdikari sendiri.
“Saya tidak suka wanita yang suka mengambil kesempatan. Masa kita senang, ramai yang datang tetapi kenapa melarikan diri ketika saya ditimpa kesusahan.
“Pengalaman saya banyak berhadapan dengan wanita-wanita sebegini. Bukan saya tidak percayakan mereka tetapi saya perlu cerewet dalam mencari pasangan hidup,” katanya.
Utusan Malaysia