Skip to content

Posts from the ‘Sharifah Aleya’ Category

18
Jan

Kenali Gaya: Busana Pengantin Gempal



bminggu@bharian.com.my

Soalan

SAYA mengalami kesulitan menentukan fesyen sesuai untuk dipakai pada pernikahan saya. Saya perlukan pendapat mengenai fesyen sesuai dengan ketinggian 5 kaki 1 inci dan berat 96 kilogram. Ukuran badan 40,43,48. Warna kulit sawo matang.

Hezrin Mastom, melalui emel

Jawapan

PADA hari pernikahan, rekaan sarat dengan perincian pastinya akan membuatkan penampilan anda lebih menonjol.

Bagaimanapun, jika tidak mahu gaya nampak keterlaluan, memadai jika dibuat rekaan baju nikah penuh perincian di bahagian atas manakala di bahagian bawah (kain) dibiar kosong.


Nik Erwan Roseli

Sebagai pilihan, anda boleh tambahkan border lace pada hujung kain bagi menambahkan keanggunan busana itu nanti.

Saranan saya, disebabkan anda bertubuh rendah dan agak berisi, elakkan mengenakan baju yang terlalu labuh melepasi paras lutut kerana ia boleh menampakkan anda kelihatan rendah dan gempal.

Disebabkan baju anda sudah sarat dengan perincian dan manik, padanan aksesori sederhana sudah memadai. Elakkan gelang besar atau anting-anting labuh berjurai kerana ia bukan saja boleh mencacatkan penampilan tapi membuatkan tubuh anda tambah sarat.

Elakkan juga baju yang menampakkan badan anda terbahagi kepada banyak bahagian. Cara selamat, jauhi baju yang dipotong berlapis sama ada melalui gabungan melebihi dua warna atau rekaan melintang.

Jika anda menyukai ikatan riben dan mahu ia diaplikasikan pada baju nikah, sila lupakan hasrat itu kerana rekaan baju begitu boleh membuatkan anda tampak gempal dan keanak-anakan.

INFO

Fabrik: Renda Perancis, sifon, tafetta, satin Dutches dan satin sutera

Warna: Emas lembut, coklat, rona tanah atau perang

Fesyen: Ringkas tapi membiaskan satu kelainan

PROFIL

Nama: Nik Erwan Roseli

Umur: 23 tahun

Asal: Selangor

Adik-beradik: Kedua dari empat beradik

Kelulusan: Diploma Senireka Grafik dan Digital Media serta Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Senireka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Pencapaian: Best Collection Degree Show (Mei 2008) untuk pelajar tahun akhir.

Rekaannya pernah digayakan pelakon terkenal seperti Siti Sarah, Sharifah Aleya, Farawaheda, Noryn Aziz dan kumpulan Mendua

Untuk mendapatkan khidmat pereka muda ini, hubungi 016-2500935/017-2431482 atau emel nikerwanroseli@yahoo.com.my

INFO

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

11
Jan

Kenali Gaya: Baju Beralun Untuk Berbadan Besar

Soalan

SAYA memiliki susuk tubuh agak besar (gemuk) dengan ketinggian 164 sentimeter (sm) dan berat 100 kilogram (kg). Apakah fesyen dan fabrik sesuai untuk digunakan jika saya ingin menghadiri majlis formal. Untuk makluman, saya sudah berkahwin dan mempunyai ukur lilit pinggang yang besar.

Wakil Big Size, Kuala Lumpur.

Jawapan

SELALUNYA wanita berbadan besar sukar membuat pilihan pakaian. Mungkin kerana tiada fesyen sesuai atau tidak berani mencuba pelbagai gaya yang ditawarkan kerana gusar tersilap pilih, boleh mengundang pandangan sinis masyarakat di sekeliling.

Panduan mudah untuk wanita berbadan besar, pastikan baju yang dipakai nampak beralun sama ada melalui rekaan baju atau pilihan fabrik.

Justeru, saya lakarkan jenis rekaan sesuai mengikut bentuk badan anda menggunakan fabrik sifon yang di alas (lining) satin lembut. Efek yang terhasil menampakkan saudari tampil lebih ayu dan feminin.

Pilihan kain alas juga perlu diberi penekanan. Untuk saudari, saya sarankan supaya memilih lapisan dalam yang lebih gelap daripada sifon di bahagian luar. Jika warna cerah atau berkilat dipilih, efek terhasil boleh membiaskan bentuk badan anda yang sebenar.

Saya juga sarankan saudari membuat rekaan baju dengan potongan empayar (empire cut) iaitu potongan pada bahagian bawah dada dan lurus ke bawah supaya baju berkenaan dapat menutupi bahagian pinggang.

Jika saudari tidak mengenakan tudung, pastikan potongan leher baju dibuat terbuka (V atau boat cut) supaya tubuh kelihatan tidak terlalu sarat dan leher kelihatan jinjang.

Bagi mereka yang berani, mainan tona menonjol di bahagian atas mampu mengalih perhatian orang daripada melihat ke bahagian tubuh yang menonjol (pinggang dan pinggul).

Ingat, jika gaya sarat ropol dan sarat manik menjadi ikutan hangat musim ini, saudari dilarang sama sekali menggayakannya. Begitu juga dengan fabrik berkilau kerana bimbang penampilan saudari tampak pelik.

Info

Pilihan sesuai wanita gempal

Fabrik: Sifon, satin lembut, strech tulle, lycra dan jersey

Warna: Gelap seperti hitam, merah hati, ungu gelap dan coklat

Profil

Nama: Nik Erwan Roseli

Umur: 23 tahun

Asal: Selangor

Adik-beradik: Kedua dari empat beradik

Kelulusan: Diploma Senireka Grafik dan Digital Media dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Senireka Fesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Pencapaian: Best Collection Degree Show (Mei 2008) untuk pelajar tahun akhir.

Rekaannya pernah digayakan pelakon terkenal seperti Siti Sarah, Sharifah Aleya, Farawaheda, Noryn Aziz dan kumpulan Mendua

Untuk mendapatkan khidmat pereka muda ini, hubungi 016-2500935/017-2431482 atau emel nikerwanroseli@yahoo.com.my

Info

Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian

12
Sep

Hot FM Terbit Drama

Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


KELUARGA besar Hot FM ketika majlis berbuka puasa baru-baru ini.

STESEN radio yang semakin meningkat naik Hot FM, kini telah pun menerbitkan sebuah drama radio sempena raya berjudul Macam-Macam Cinta yang dibawa khas oleh Astro.

Menariknya, drama 20 episod yang bermula pada 8 September lalu ini menggabungkan suara-suara deejay Hot FM sendiri dan juga artis-artis kelahiran Astro.

Antaranya Farah Diana, Farish Aziz, Sharifah Aleya, Azura, Shawal, Kartini, Anne, Ikhwan, Faizal Ismail, Farah Fauzana, Afik dan Tokwan Halimah.


FARA FAUZANA dj kesayangan ramai dan kesayangan Hot FM juga.

Drama yang memaparkan kisah tentang persahabatan dan kasih sayang ini buat pertama kalinya disiarkan di stesen radio ini. Idea untuk menerbitkan drama radio ini bermula dengan satu proposal dan pihak Astro merupakan pihak yang pertama berminat dengannya.

“Walaupun Hot FM di bawah Media Prima dan Astro merupakan stesen yang berlainan yang juga merupakan pesaing, tetapi dalam situasi ini mereka adalah pelanggan.

“Lagipun, kami radio dan mereka stesen televisyen, jadi setakat ini tiada apa-apa masalah selagi tidak menggunakan mana-mana penyampai radio daripada Astro,” kata Pengurus Rangkaian Program Hot FM, Anida Mohd Tahrim ketika ditemui di majlis berbuka puasa Hot FM baru-baru ini.


SEELAN (kanan) mengharapkan acara seperti ini dapat mendekatkan lagi krew Hot FM dan anggota media.

Sungguhpun, Astro yang menaja keseluruhan kos pembikinan drama radio ini, hak milik siaran hanya kekal untuk Hot FM sahaja dan tidak akan ditayangkan di mana-mana stesen radio milik Astro.

“Sebelum memulakan perjanjian ini, kami telah memikirkan baik buruk serta telah mengadakan perbincangan antara kedua-dua belah pihak, malah di pihak kami tiada masalah begitu juga dengan mereka,” tegasnya lagi.

Meskipun ramai yang melihat pembikinan drama radio seperti sesuatu yang ketinggalan zaman, Hot FM masih menganggap ia relevan dan masih boleh diguna pakai sebagai bahan hiburan di radio.


ALEEYA turut terlibat dalam drama raya terbitan Hot FM.

“Kami ingin beri kelainan, dan ia masih relevan untuk pendengar kerana ia bukan selalunya tersiar di radio, jadi sangat menarik untuk diikuti.

“Jika orang sudah mula mengikuti cerita ini, pasti mereka akan terus mengikutinya dan saya pasti dengan cara pelakon-pelakon ini melontarkan dialog, tidak sukar untuk mereka menarik minat pendengar,”ulasnya lagi.

Walaupun drama ini hanya ke udara selama dua hingga tiga minit, tetapi kos untuk pembikinannya boleh dikatakan agak besar dan ia diakui sendiri oleh Anida.

“Kosnya memang besar kerana ia melibatkan banyak pihak, ia nampak ringkas tetapi tetap mempunyai pengarah yang merangka dan mencorakkan jalan cerita ini untuk menjadi lebih menarik,” katanya.

Drama radio Macam-Macam Cinta ini akan ke udara setiap hari pada pukul 8.40 pagi dan ulangannya pada 3.40 petang.

Buka puasa Hot FM meriah

Sementara itu, Hot FM sempat meraikan rakan media dalam satu majlis buka puasa yang dijalankan dengan penuh sederhana.

Majlis itu tetap meriah dengan kehadiran penyampai Hot FM dan Fly FM selain orang-orang kuat mereka termasuklah, Pengurus Besar Rangkaian radio Media Prima, Seelan Paul dan Ketua Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar.


ANIDA MOHD. TAHRIM

Menurut Seelan, majlis berbuka puasa ini merupakan majlis terbesar yang pernah dilakukan pihak Hot FM berbanding tahun sebelumnya yang dibuat secara kecil-kecilan.

“Selain makan-makan, ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara krew-krew Hot FM, dj dan juga media. Acara ini boleh dikatakan seperti acara tahunan yang kami lakukan, yang bezanya cuma besar atau kecil majlis itu.

“Kami berharap tahun ini akan meningkatkan lagi pengaruh radio Hot FM dan Fly FM ke seluruh negara. Walaupun kami masih baru, tetapi peningkatan kami ditahap yang agak baik dan kami ingin terus berikan yang terbaik kepada pendengar setia dan bakal pendengar kami di luar sana,” katanya.

Kosmo