Kenali Gaya: Kebaya Eksklusif Untuk Ibu Menyusu Bayi
bminggu@bharian.com.my

Sutera sifon sesuai kerana ciri lembut dan tampak mewah bagi sambutan Aidilfitri
Soalan:Saya seorang ibu, mempunyai anak berusia 12 bulan dan masih menyusu badan. Pada Aidilfitri kira-kira sebulan lagi, saya ingin kelihatan menarik dan tidak terlalu ringkas dengan hanya berbaju kurung. Apakah fesyen dan fabrik sesuai digayakan ibu yang menyusukan bayi?
Apakah yang dimaksudkan dengan fesyen ‘smoking’? Adakah ia sesuai dipakai anak kecil berusia 12 bulan yang sedang lasak?
Elly, melalui emel.
Jawapan :Kali ini, saya lakarkan baju potongan kebaya moden untuk anda. Pilihan baju potongan kebaya dengan bukaan pada bahagian depan baju memudahkan anda untuk menyusukan bayi walaupun sibuk melayan kunjungan tetamu.
Bagaimanapun kelainan dibuat pada bahagian leher baju yang dipotong tinggi serta dibuat ropol supaya gaya tampil berbeza dan tampak eksklusif pada lebaran nanti.

Calvin Thoo bergaya bersama rekaannya.
Penggunaan fabrik yang sesuai akan membuatkan persalinan kelihatan lebih indah. Jadi, saranan fabrik sesuai adalah sutera sifon kerana cirinya yang lembut dan tampak mewah sesuai untuk sambutan Aidilfitri.
Perhatikan juga pilihan baju raya musim ini, kebanyakan pereka menghasilkan rekaan yang sarat dengan sulaman sama ada sulam tebuk atau tampalan renda Perancis.
Untuk anda, saya sarankan dibuat sulaman tebuk pada bahagian hujung baju, lengan dan kaki kain. Memadai sulaman tebuk dengan hiasan jemeki ringkas tapi jika anda tidak sukakan gaya sarat, buat sulaman ringkas tapi lebihkan taburan manik pada bahagian berkenaan supaya baju tampak berseri.
Teknik potongan ‘empire line’ sesuai untuk anda kerana potongan di bahagian berkenaan mampu membuatkan potongan di bahagian dada tampak kemas kerana kebiasaan ibu menyusu mempunyai payu dara yang agak besar. Tanpa sokongan baju dalam dan cara potongan sesuai boleh mencacatkan keindahan baju.
Untuk si dara kecil, pilihan baju yang tampak sedondon membuatkan gaya lebih manis. Biasanya si kecil yang sedang lasak tidak sesuai berbaju kurung seperti ibu. Jadi saya sarankan supaya disediakan gaun ringkas berhias sulam tebuk bermotif sama seperti dibuat pada kebaya anda untuk si kecil.
Fabrik menyerap peluh dan tahan lasak seperti kain kapas dan linen boleh menjamin keselesaan serta ketahanan baju. Gaun adalah gaya mudah untuk bayi yang sedang lasak kerana ia mudah disarung dan dibuka.
Menjawab pertanyaan saudari mengenai smoking, ia adalah sejenis gaya jahitan biasanya dibuat pada bahagian dada baju kanak-kanak daripada material kain kapas. Fesyen smoking menjadi kegilaan kalangan ibu yang menggemari gaya Inggeris. Kebiasaannya gaun smoking menjadi pilihan ibu untuk si kecil berusia dari enam bulan hingga 4 tahun.
Cirinya yang selesa selain tampak berbeza menjadikan ia pilihan tepat untuk digayakan pada Aidilfitri atau majlis keraian seperti majlis ulang tahun kelahiran. Gaun smoking dijahit tangan membuatkan harganya lebih tinggi dan tidak sesuai dipakai sebagai pakaian harian.
PROFIL: Calvin Thoo
Usia : 37 tahun
Asal : Bukit Bintang, Kuala Lumpur
Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, RMIT University of Melbourne, Australia
Mempunyai pengalaman selama 12 tahun di dalam industri fesyen tanah air malah nama besar Calvin Thoo pernah menghasilkan rekaan busana indah untuk selebriti antaranya Anita Sarawak, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Raja Azura, Sazzy Falak dan Dynas.
Kunjungi butik Calvin Thoo di P17, Tingkat 4, Lot 10, Bukit Bintang atau hubungi 03-21486862 untuk pertanyaan lanjut mengenai fesyen.
INFO:Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.
Berita Harian
Kereta Pilihan Selebriti
Sazzy Falak bersama kereta kesayangan.
Apa jua jenisnya, kereta penumpang, kenderaan utiliti sports (SUV) atau kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan beroda empat yang lazimnya dipanggil kereta menjadi keperluan kepada semua, miskin atau kaya, tua atau muda dan apa juga pekerjaan yang dilakukan.
Yang membezakan antara semua ialah jenis kereta yang dipandu, sama ada mewah atau murah bergantung kepada hasil pendapatan masing-masing berdasarkan pekerjaan yang dilakukan.
Selain ahli perniagaan dan politik yang sering dilihat memandu kereta-kereta mewah berjenama antarabangsa, golongan selebriti atau lebih senang digelar artis juga adalah antara pemilik kereta-kereta mewah yang sedang menjalar di atas jalan-jalan raya.
Seperti juga artis-artis luar negara antaranya pasangan suami isteri, David dan Victoria Beckham, Rowan Atkinson yang lebih dikenali oleh peminatnya sebagai Mr. Bean serta Cameron Diaz, artis-artis tempatan juga selesa memandu kereta mewah pelbagai jenama.
David dan Victoria Beckham atau Posh Spice itu adalah antara selebriti terkemuka yang memiliki banyak kereta mewah antaranya yang berjenama Bentley, Ferrari, Porsche 911, Range Rover, Jaguar, Rolls-Royce Phantom, BMW M3, Audi Q7, Lamborghini Gallardo dan Mercedes S500.
Yang menariknya ialah kebanyakan daripada kereta-kereta ini dilengkapi dengan kerusi bayi berkulit bagi menempatkan anak-anak pasangan tersebut agar selamat sepanjang perjalanan sejajar dengan gelaran sebagai ibu-bapa penyayang buat pasangan itu.
Rowan Atkinson yang sering memandu kereta kodok dalam siri drama komedi popular, Mr Bean pula sebenarnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam automotif dengan memiliki beberapa kereta eksotik seperti Aston Martin V8 Zagato, McLaren F1 dan Audi A8.
Mr Bean membeli McLaren F1 berikutan kejayaan filem “Bean – The Movie.” dan berbanding watak beliau yang seakan-akan naif dan lurus bendul itu, beliau suka memandu laju kereta tersebut yang boleh memecut sehingga 240 batu sejam.
Tidak seperti Victoria Beckham, Mr Bean yang rajin menulis mengenai cerita-cerita permotoran dalam beberapa majalah tidak menggemari Porsche tanpa mengetahui sebab sebenarnya walaupun mengakui kereta-kereta berjenama itu adalah hebat.
Pelakon watak Charlie’s Angels, Cameron Diaz yang pernah menjadi peminat kereta- kereta antik buatan Jerman memiliki beberapa kereta mewah seperti Porsche 911 Carrera, Mercedes SL dan Toyota Prius.
Kereta-kereta itu dilengkapi enjin hybrid yang boleh beralih antara enjin petrol konvensional dan enjin elektrik bergantung kepada keadaan sejajar dengan sikap pelakon itu yang cintakan alam sekitar bersama-sama rakan artis lain antaranya Gwyneth Paltrow, Leonardo DiCaprio, Billy Crystal, dan Harrison Ford.
Sistem navigasi Madonna pula, yang berhijrah ke London pada tahun 2001, memiliki rangkaian kereta mewah antaranya BMW 7-Series, Audi A8 dan Maybach super-limousine serta Cooper S yang dilengkapi sistem navigasi kawasan bagi membantu bintang itu semasa di luar daerah.
Anak kepada jurutera motor terkemuka itu sangat meminati Mini Cooper itu sehingga memuatkan nama kereta itu dalam satu daripada lagu-lagu terbarunya. Artis yang turut memiliki kereta yang sama ialah Sting, Goldie Hawn dan Elijah Wood.
Sementara itu, di kalangan artis tempatan pula, ramai antara mereka memandu kereta mewah terutama buatan Jerman dan Jepun yang terkenal dengan teknologi automotif termaju dan boleh dibeli pada harga yang agak tinggi, menjangkaui kemampuan seseorang pekerja berpendapatan sederhana di negara ini.
Antaranya ialah Erra Fazira yang memandu kereta berjenama BMW, Fasha Sandha dan Noryn Aziz memandu Honda CRV, Hattan dan Fauziah Latif bergegas ke sana ke mari dengan Mini Cooper manakala Ziana Zain dan Misha Omar bergaya dengan kereta Mercedes Benz.
Bagi Datin Seri Tiara Jacquelina yang kini sedang berhempas-pulas menjayakan teater P. Ramlee, kenderaan pacuan empat roda BMW X5 bukan sahaja memenuhi selera automotif tetapi juga memudahkan pengangkutan segala barangan keperluan, sama seperti Awie yang selesa dengan Toyota Harrier.
Tidak kira artis, ahli perniagaan atau ahli politik, pengenalan skim subsidi harga minyak baru di negara ini yang bertujuan memberi lebih keadilan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana pastinya menggoncang sedikit poket semua pemilik kereta mewah ini, walaupun tidak begitu dirasai bebannya selama ini.
Powered by Utusan Malaysia
Zahnita Tumpuan Kepada Peragaan
Oleh AQMAR ALLADAD
SEPI dalam bidang lakonan tidak bermakna Zahnita Dorothy Husein Wilson, 23, tidak berminat lagi untuk meneruskan kerjaya di kaca TV. Pelakon dan model jelita tinggi lampai ini sebenarnya mempunyai alasan tersendiri kenapa dia ‘bersembunyi’.
Zahnita yang berdarah kacukan New Zealand dan Melayu pernah membintangi dua buah filem berjudul Gila-Gila Pengantin Remaja dan Kuliah Cinta (2004), menyepi seketika dalam bidang lakonan setelah mendirikan rumah tangga pada 3 Jun 2005.
Tidak terlibat langsung dalam lakonan bukannya kerana kerana alasan dia tidak mendapat tawaran daripada penerbit dan pengarah.
Sebaliknya dia sendiri memilih untuk menolak tawaran yang datang. Keputusan itu dibuat kerana watak yang diberikan mungkin tidak bersesuaian dan dia sedang menginginkan watak yang lebih mencabar setelah muncul dengan dua peranan yang ‘biasa-biasa’ sahaja sebelum ini.
“Tawaran berlakon memang ada dan saya sebenarnya tidak kisah bagaimana watak yang diberikan. Tetapi kalau boleh saya tidak mahu melakonkan watak sebagai remaja gedik.
“Kalau boleh saya mahu watak yang lasak dan tidak terlalu stereotaip. Bila terlalu stereotaip ia membosankan,” katanya sambil ketawa kecil ketika ditanya ke mana dia menyepi selama ini.
Selain itu, jelas Zahnita faktor terkini dirinya juga banyak menjadi kekangan. Status ibu kepada Zahra Feena Zeckery yang kini berusia satu setengah tahun juga menjadikan komitmen personalnya tertumpah kepada rumah tangga. Dia terpaksa berfikir secara bijak sebelum menerima sesuatu tawaran yang datang.
Zahnita mengakui, sejak bergelar isteri dan ibu, kasih sayang dan perhatian terhadap keluarga semakin bertambah serta dia perlu teliti membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.
Ungkapnya, sudah tentu keluarga adalah segalanya-galanya dan perlu diutamakan memandangkan kini banyak pendedahan tentang kes perceraian. Itu yang membuatkan dirinya juga sentiasa berhati-hati.
“Sebab rumah tangga juga saya tolak tawaran untuk berlakon. Risau juga nanti, jika terlalu kejar kerjaya, anak dan suami entah ke mana.
“Jadi untuk kerjaya biarlah saya memilih untuk tawaran memperaga terlebih dahulu kerana ia lebih selesa, lagipun bidang ini lebih dekat di hati saya,” jelas Zahnita yang mengakui sesekali rasa rindunya kepada dunia lakonan, datang bertandang.
Kecewa modelling
Walaupun memiliki raut wajah yang seksi dan bentuk badan yang menawan, Zahnita tidak menafikan pernah mengalami kekecewaan dalam bidang peragaan disebabkan faktor berat badannya setelah melahirkan anak pertama.
Memang sukar untuk mengembalikan susuk tubuh seperti asal tetapi dengan membuat terapi dan senaman, akhirnya kekecewaannya terubat jua apabila selepas lapan bulan berpantang, Zahnita kembali dipanggil untuk memenuhi tawaran peragaan.
“Memang tiga bulan dalam pantang saya tak boleh kembalikan bentuk badan asal tetapi disebabkan ‘ghairah’ sangat untuk membuat peragaan saya tidak sedar waktu itu badan saya berisi.
“Dalam gambar memang tak perasaan saya gemuk, semasa mengandung berat saya bertambah sebanyak 30 kilogram, jadi pernah satu ketika, saya tidak mendapat sebarang tawaran,” jelasnya yang mampu menurunkan berat badan sehingga 55 kg dan mengekalkannya sehingga kini.
Untuk mengembalikan bentuk badan asal bukan mudah, Zahnita mengawal pemakanan dan mengamalkan senaman sebanyak tiga kali dalam seminggu sehingga lengannya kini sudah berotot.
Rahsia rumah tanggaJangan pandang mudah setelah mendirikan rumah tangga. Itulah konsep yang tekankan oleh Zahnita yang telah mengahwini seorang ahli perniagaan kereta mewah, Zackery Ghouse, 30, sejak tiga tahun lalu.
Walaupun berkahwin pada usia yang muda, Zahnita mengakui dia perlu mematangkan diri bagi memastikan rumah tangga yang dibina bersama orang tersayang kekal sehingga ke akhir hayat.

PERSONALITI lain yang turut memeriahkan acara.
Ditanya, adakah dia juga pernah berselisih faham dengan suaminya?
Lantas Zahnita mengakui, selisih faham memang wujud tetapi dia dan suami tidak akan berdiam diri dan terus berbincang dan masing-masing akan meluahkan apa yang terbuku di hati.
“Tipulah kalau tidak pernah ada masalah kan? Tetapi kami tidak ego, masing-masing akan duduk berbincang untuk selesaikan masalah tanpa bantuan pihak lain,” ujarnya yang sedar hanya dengan cara itu, hubungan antara suami dan isteri dapat berkekalan. Zahnita ditemui dalam majlis Anugerah Inspirasi Triumph 2008 di Pavilion, Bukit Bintang.
Selain Zahnita, seramai 11 orang selebriti popular yang hadir antaranya Nora Danish, Fazura, Nurul, Sazzy Falak, Nasha Aziz, Andrea Fonseka, Belinda Chee, Amber Chia dan Ezlynn.
Powered by Kosmo
Fazura Buat Kerja Diam-Diam
Oleh Norhadiani Baharom
yanie@hmetro.com.my
GAUN kembang warna putih gading yang digayakan pelakon manis, Nur Fazura Sharifuddin, 24, memang padan dengan susuk tubuhnya yang langsing.
Walau dengan hanya solekan ringkas, kejelitaannya tetap terserlah. Pastinya gaun digayakan membuatkan hati Fazura berbunga-bunga menjadi pengantin sebenar.
Katanya, gaun rekaan Riezman Ruzaini itu hasil ideanya sendiri diilhamkan daripada gaun pengantin yang digayakan pelakon antarabangsa, Grace Kelly ketika majlis perkahwinannya dengan Putera Monaco.
“Sejak dulu lagi saya memang meminati Grace Kelly baik dari segi lakonan, penampilan sehinggalah konsep majlis perkahwinannya. Mungkin gaun seperti ini akan saya pakai pada majlis perkahwinan nanti.
“Saya juga inginkan majlis perkahwinan yang ringkas tetapi meriah. Paling penting, makanan yang disediakan perlulah banyak dengan pelbagai jenis lauk-pauk.
“Maaf cakaplah, kebanyakan majlis perkahwinan orang Melayu agak kedekut dalam hal ini sebaliknya lebih mengutamakan perkara lain. Tapi kalau majlis saya nanti, saya akan pastikan makanan dihidangkan diberi keutamaan,” katanya ketika ditemui di majlis M’sian Bridal Gown Designers Showcase, baru-baru ini.
Mengenai bila hari bahagianya itu akan berlangsung, Fazura mengatakan buat masa ini dia belum mempunyai calon tetapi sekadar kawan rapat memang ada.
Pelakon yang mula diperkenalkan Datin Rosnani Jamil menerusi filem Bicara Hati kemudian Qaisy & Laila ini tidak pernah sepi dikaitkan dengan lelaki. Kini Fazura dikatakan sedang berkawan rapat dengan pemuda dari kalangan kerabat raja.
Ada mengatakan hubungan mereka lebih daripada kawan malah ada tanda-tanda bakal diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Malah Fazura juga pernah memaklumkan dia tidak mempunyai masalah untuk berkahwin muda.
“Kawan rapat itu adalah tetapi teman lelaki serius belum ada. Saya pun bukannya budak-budak lagi untuk tepis atau menafikan soalan begini.
“Untuk mencari pasangan hidup bukan seperti petik buah tepi jalan kerana perkahwinan bagi saya adalah untuk selama-lamanya. Kalau ikutkan, memang teringin berumah tangga lebih-lebih soalan ini sering diajukan kepada saya sejak kawan-kawan seperti Dynas dan Sazzy Falak mengakhiri zaman bujang.
“Justeru, sementara belum bertemu jejaka yang sesuai, eloklah saya fokus kepada kerja dulu. Bekerja puas-puas serta cari duit banyak-banyak kerana tidak mahu apabila sudah berumah tangga kelak, baru menyesal.
“Apabila berkahwin nanti, saya mahukan lebih masa bersama keluarga dan mungkin tidak akan sesibuk sekarang ini,” katanya.
Kata Fazura, dia tetap sibuk memenuhi undangan berlakon tetapi mengakui kebelakangan ini publisiti untuknya tidak begitu banyak.
Bagaimanapun berita mengenainya kini lebih kepada kesnya naik turun mahkamah berhubung ‘isu gaduh’ dengan seorang wanita di kelab malam. Ia belum selesai meskipun sudah empat tahun perkara itu berlaku.
“Kes itu sudah masuk empat tahun. Kalau hendak kata susah, saya sudah lama pun susah sepanjang tempoh itu. Namun bohonglah kalau saya kata tidak tertekan dengan kes itu.
“Selagi ia tidak selesai, selagi itu saya tidak berasa bebas dan lega. Sampai sekarang setiap kali pulang ke rumah, fikiran saya masih dibelenggu kes ini hingga membuatkan saya rasa sedih dan tertekan tetapi tidaklah sampai menjejaskan karier lakonan.
“Sebenarnya saya masih aktif berlakon selain bakal terbabit dalam beberapa projek terbaru cuma mungkin saya bukan jenis individu yang suka kecoh atau cuba mendapatkan perhatian apabila melakukan sesuatu pekerjaan.
“Sebaliknya saya lebih selesa duduk diam-diam buat kerja kemudian selesai tanggungjawab, pulang ke rumah serta jalani kehidupan seperti orang lain. Barangkali kerana sikap saya itulah yang membuatkan ramai tidak tahu perkembangan terbaru saya.
“Contohnya, baru-baru ini saya baru saja selesai menjayakan penggambaran drama bersiri Bicara Hati arahan Rashid Sibir. Drama mengisahkan cinta empat segi ini menggandingkan saya dengan Aqasha sebagai pasangan kekasih.
“Percintaan kami begitu mengasyikkan tetapi berhadapan tekanan daripada orang sekeliling. Selain saya dan Aqasha drama ini turut dibintangi Beego dan Zizie Ezette,” katanya.
Fazura turut menjadi pelakon utama telefilem Izora arahan Ahmad Idham. Ia mengisahkan kepayahan seorang kakak memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan perlu menyara adiknya (lakonan Diana Rafar) selepas kematian ibu.
“Selain berhadapan dengan kepayahan itu, Izora menuntut janji daripada kekasih yang menghilangkan diri tanpa sebarang khabar selepas berhijrah ke kota.
“Pemergian buah hatinya itu untuk mencari rezeki supaya mereka boleh berkahwin dan membina masa depan bersama,” katanya.
Selain drama, Fazura akan kembali ke set penggambaran filem terbarunya Julai ini yang belum berjudul. Filem itu diarahkan pengarah Gol & Gincu, Bernard Chauly dan skrip ditulis pengacara 3R, Rafidah.
Powered by Harian Metro