Skip to content

Posts from the ‘Rozita Che Wan’ Category

3
Feb

Dengarnya…: Gelora Di Hati Sarah Bakal Kembali Lagi



Oleh Normah Becok

ATAS sambutan dan maklum balas baik penonton dan stesen RTM, drama Gelora Di Hati Sarah yang menggandingkan Rosyam Nor dan Fauziah Latif (Jee) akan menemui penonton lagi untuk musim kedua.

Kawan Cik Normah dapat cerita ini pun semasa berjumpa dengan Rosyam Nor baru-baru ini semasa dia terbabit di karnival amal, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 di Buzz-R, Amcorp Mall.

Baguslah kalau ada sambungannya lagi sebab Cik Normah pun antara peminat setia drama ini. Cuma kadang-kadang dek tugasan di pejabat, Cik Normah sudah terlepas beberapa episod. Malah episod akhir pun Cik Normah tak sempat tengok. Kalau RTM boleh ulang siar lagi drama ini, Cik Normah setuju sangat-sangat. Cik Normah yakin takkan ada yang bantah. Betul tak?

Nampaknya gandingan Rosyam dan Jee benar-benar menjadi dan tak salah percaturan Rosyam mengajak Jee berlakon. Apa yang Cik Normah perhatikan, Jee mempunyai bakat lakonan yang semula jadi dan jika digilap lagi, Jee mampu memberikan saingan kepada pelakon wanita di Malaysia. Sebelum ini pun, Rosyam berjaya mencipta gandingan yang sentiasa diingati contohnya, dia dengan Rita Rudaini, Rozita Che Wan dan Eja.

Kawan Cik Normah beritahu lagi, jika tiada aral melintang, penggambaran drama ini bagi musim kedua akan bermula pada Jun ini. Beberapa bulan lagi, insyaAllah kalau sudah selesai, kita boleh menonton kesinambungannya lagi.

Rosyam tak nak ajak Cik Normah berlakon ke? Manalah tahu kot, gandingan kita berdua meletup. Haa… siapa yang rugi. Rosyam juga kan!

Berita Harian

16
Aug

Spekulasi Sembunyi Bakal Isteri

Oleh TENGKU SUZANA RAJA HAMAT
suzana.rajahamat@kosmo.com.my

LAN Pet-Pet hendak kahwin tapi mahu sembunyi? Pelik dan keliru sekali kedengarannya, apatah lagi apabila hanya mengetahui hal berkenaan daripada pihak lain.

Tiada pengakuan rasmi daripada empunya badan, seterusnya membuatkan banyak yang keliru apabila anggota kumpulan Senario ini dikatakan seolah-olah cuba menyembunyikan perkara paling bermakna dalam kehidupan itu.

Hanya yang tampil membuat pengumuman ialah pengurus Senario, Mahathir Mohamad Sidi yang memberitahu berita pernikahan Lan dan wanita pilihannya akan berlangsung 20 Ogos depan di Alor Setar, Kedah.

Sikap berdiam diri Lan nyata telah mengundang rasa dukacita di kalangan rakan-rakan rapat sendiri. Khabarnya anggota Senario yang lain seperti Wahid dan Azlee cukup ‘terasa hati’ dengan tindakan pemilik nama sebenar Mazlan Ahmad, 39 tahun ini.

“Minta maaflah. Saya tak mahu kecoh-kecoh,” demikian tegas Lan Pet-Pet secara eksklusif kepada Kosmo! menjawab isu kekecohan cerita kahwinnya itu.


LAN tak mahu kecoh-kecoh tentang hal kahwin sebab ada alasan sendiri.

Sambung Lan lagi, “Kalau boleh, saya hendak jemput satu dunia supaya datang ke kenduri perkahwinan saya nanti. Betul saya nak kahwin 20 Ogos nanti tetapi sebagai menghormati keluarga saya dan pihak perempuan, saya tidak mahu perkara ini kecoh di akhbar. Apa-apa hal, biarlah kami sah menjadi suami isteri dulu.

“Akan tetapi apa yang menyedihkan ialah bila perkara ini dibesarkan di media. Itupun bukan keluar dari mulut saya, tetapi dari mulut orang lain yang menjaja cerita kahwin saya,” katanya lagi dalam nada kesal dan sebak.

Menurut pelawak tersohor ini, dia memilih untuk bercakap kepada teman-teman dan media apabila tarikh perkahwinannya sudah terlalu hampir.

Ini kerana sebagai manusia biasa, dalam perancangan barangkali akan ada perkara tidak disangka boleh berlaku.

“Jangan kata saya sorok perkahwinan. Saya macam orang lain juga, takut dan bimbang kalau-kalau apa yang dirancang tidak menjadi.

“Saya pun bukan jenis yang suka jaja kisah peribadi kepada orang lain. Hidup saya hanya untuk menggembirakan hati orang lain. Kisah peribadi saya, biarlah saya sendiri tahu bersama keluarga terdekat,” katanya.


INILAH Rubytah, kekasih hati yang bakal menjadi permaisuri hidup Lan.

Dalam perbualan kami, Lan beberapa kali menyatakan rasa bersalah kerana dianggap telah melukakan hati dan perasaan kawan-kawan termasuk anggota Senario.

“Saya minta maaf kepada semua, kawan-kawan saya serta pihak media. Bukan niat saya hendak menyembunyikan perkara sebenar tetapi saya sangat memikirkan perasaan ibu bapa saya, mereka dah tua,” jelas Lan.

Faham sangat status dirinya sebagai selebriti, ke hujung dunia sekalipun dia tidak boleh lari daripada bersemuka dengan media atas isu ini, Lan walau bagaimanapun terpaksa akur, apa sahaja perihal khususnya soal kahwin sebegini tidak boleh didiamkan sahaja.

“Saya memang tidak pernah dan membuka hal peribadi saya selama ini. Kalau boleh saya nak tunggu kahwin dulu, kemudian baru tunjukkan kepada semua bahawa inilah isteri saya.

“Tapi tak mungkin, sebab saya artis dan orang media sudah tahu awal. Sebenarnya saya cuma tak mahu kecoh-kecoh tentang hal kahwin sebab ada alasan sendiri,” tegas Lan penuh permintaan.


RUBY dan anggota keluarga lain termasuk Rozita (kanan) dan Ayu Raudah (dua dari kanan).

Apabila hal itu menjadi kecoh tanpa kerelaannya, tidak ada sebab lagi untuk dia bersembunyi dan dengan tegas sedia bercerita dari hati tentang seruan jodohnya yang telah ditentukan bersama Rubytah Che Wan atau Ruby.

Kisah cintanya dengan adik pelakon popular Rozita Che Wan ini sebelum ini berjalan dengan senyap, tanpa pengetahuan banyak media.

Dikatakan hajat Lan mahu menikahi Ruby baru diputuskan tiga bulan lepas, saya tanyakan Lan, apa yang membuatkan dirinya menanam tekad untuk mengakhiri zaman bujang bersama wanita yang telah dikenalinya sejak lima tahun lepas ini.

Tergamam seketika sebelum mengeluarkan kata-kata, anggota tunggal Senario yang masih bujang ini ternyata membuang sifat humornya apabila bercakap soal hati dan perasaan.

Mahu menyimpan dan enggan lagi membuka lipatan kisah cinta terhadap wanita yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini, Lan memilih untuk berhujah dalam alasan yang bersifat rasional.


KHABARNYA teman-teman Senario terasa hati dan kecewa dengan sikap Lan Pet-Pet yang dikatakan tidak berterus terang dalam soal perkahwinannya.

“Umur saya pun dah nak masuk 40 tahun, nak bercerita kisah cinta, seganlah. Sebelum ini juga, saya banyak mengikuti ceramah dan sering dinasihatkan oleh para pendakwah.

“Antara nasihat mereka yang paling saya ingat, “kalau masih belum berkahwin pada usia yang dah melebihi 40-an, seseorang lelaki itu boleh jatuh sakit”. Lagipun sudah sampai masanya, sayapun sudah sedia untuk ikut sunnah Rasulullah,” beritahu Lan berhati-hati.

Tentang persiapan majlis perkahwinannya, Lan menyerahkan urusan itu kepada abang-abangnya kerana tidak mahu menyusahkan ayah dan ibu yang sudah tua.

Majlis nikah Lan dan Ruby dijadualkan berlangsung di rumah pengantin perempuan di Alor Setar, Kedah manakala majlis resepsi pula akan dibuat pada 23 Ogos di sebuah hotel di Kedah juga.

Janji Lan Pet Pet kepada semua, segala rahsia dan bagaimana cinta hatinya berputik terhadap Ruby akan dibuka seluas-luasnya selepas ijab yang menyatukan mereka sebagai suami isteri, Rabu ini.

“Datanglah ke majlis saya, di sana nanti kita boleh bercerita lanjut,” ujar Mazlan ingin menutup bicara.

Kosmo