Skip to content

Posts from the ‘Raja Azura’ Category

8
Sep

Pak Engku Makin Laku



Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

Rap
TERKENAL dengan masakan Melayu, nama Raja Rosly Raja Mazlan atau lebih popular dengan panggilan Pak Engku bukan asing dalam persada seni hiburan tanah air. Malah di kalangan artis, Pak Engku dikenali ramai kerana keenakan masakan yang dipersembahkan hingga menerima banyak tempahan untuk acara kenamaan, majlis perkahwinan mahupun berbuka puasa.

Pak Engku yang menguruskan perniagaan Kuzie Catering selama 15 tahun kini mampu berbangga dengan pencapaiannya dalam bidang masakan. Digelar chef selebriti, Pak Engku sebelum ini terbabit dalam pelbagai acara seperti majlis perkahwinan Datuk Siti Nurhaliza bersama Datuk Khalid Mohd Jiwa dan turut menganjurkan Konsert Seroja Bersama Mawi yang diadakan dua tahun lalu.

Dalam majlis perkahwinan penyanyi popular Ning Baizura bersama Omar Sharif Christopher Layton Dalton pada 2 Februari lalu, Pak Engku juga bertanggungjawab menyediakan masakan kampung kepada tetamu. Bagi mereka yang pernah menikmati masakan Pak Engku pasti mengetahui betapa istimewa sajian Melayu yang diperkatakan ramai.

Namun, ketibaan Ramadan pada tahun ini tidak menutup rezeki sebaliknya Pak Engku masih sibuk memenuhi tempahan majlis berbuka puasa. Malah sebelum Ramadan menjelang, pada 12 Ogos lalu, Pak Engku terbabit dalam penyediaan jamuan Aidilfitri sempena rakaman program TV, Teratak Siti Nurhaliza yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.

Pada kesempatan bulan mulia ini, Pak Engku tidak melupakan tanggungjawab untuk bersedekah apabila mengadakan majlis berbuka puasa bersama artis, pihak media dan anak yatim. Dalam majlis berbuka puasa yang diadakan di Wisma PKPS, Persiaran Perbandaran, Shah Alam Selangor, baru-baru ini, Pak Engku meraikan lebih 500 tetamu yang hadir di samping pelbagai aneka masakan Melayu yang lazat.

“Sejak awal Ramadan, sambutan yang diterima daripada pengunjung begitu menggalakkan. Sudah tentu aneka masakan Melayu menjadi tarikan kepada pengunjung yang mahu merasai masakan dari hidangan lauk-pauk hingga kuih-muih tradisional.

“Di sini, pengunjung berpeluang merasai keenakan masakan Kuzie Catering seperti kuih lopes, apam balik, mi rebus Kuala Langat, laksa Sabak Bernam, gulai daging kawah dan tiga jenis asam pedas yang tentu membangkitkan selera.

“Sebagai anak jati Selangor dari Kampung Batu Laut, Kuala Langat, saya berbangga untuk menggunakan nama tempat di Selangor sebagai nama masakan saya. Kepelbagaian resipi dalam masakan Melayu ini menjadi keistimewaan kepada pengunjung.

“Walaupun Ramadan, saya tetap menerima banyak tempahan untuk majlis berbuka puasa termasuk jamuan Aidilfitri nanti,” katanya.

Pak Engku, 48, menyatakan populariti masakannya hadir daripada resipi kedua ibu bapanya yang sebelum ini pernah bekerja sebagai tukang masak istana. Lalu, tidak hairan masakan Pak Engku begitu popular di kalangan tetamu kenamaan (VIP) hingga menjadi sebutan artis yang mahu menggunakan perkhidmatan katering.

Dalam majlis berbuka puasa kali ini, beberapa selebriti turut hadir antaranya Jeffrydin, Jaafar Onn, Rohana Jalil, Nash Lefthanded, Raja Azura, Maya, Nabil Raja Lawak dan artis Akademi Fantasia, Haziq bersama Farhan. Pada majlis itu, Pak Engku juga menyampaikan sumbangan duit raya kepada 34 anak yatim dari Yayasan Al-Ijabah, Subang Jaya, Selangor.

Harian Metro

31
Aug

Kenali Gaya: Kebaya Eksklusif Untuk Ibu Menyusu Bayi

bminggu@bharian.com.my

Sutera sifon sesuai kerana ciri lembut dan tampak mewah bagi sambutan Aidilfitri

Soalan:Saya seorang ibu, mempunyai anak berusia 12 bulan dan masih menyusu badan. Pada Aidilfitri kira-kira sebulan lagi, saya ingin kelihatan menarik dan tidak terlalu ringkas dengan hanya berbaju kurung. Apakah fesyen dan fabrik sesuai digayakan ibu yang menyusukan bayi?

Apakah yang dimaksudkan dengan fesyen ‘smoking’? Adakah ia sesuai dipakai anak kecil berusia 12 bulan yang sedang lasak?

Elly, melalui emel.

Jawapan :Kali ini, saya lakarkan baju potongan kebaya moden untuk anda. Pilihan baju potongan kebaya dengan bukaan pada bahagian depan baju memudahkan anda untuk menyusukan bayi walaupun sibuk melayan kunjungan tetamu.

Bagaimanapun kelainan dibuat pada bahagian leher baju yang dipotong tinggi serta dibuat ropol supaya gaya tampil berbeza dan tampak eksklusif pada lebaran nanti.


Calvin Thoo bergaya bersama rekaannya.

Penggunaan fabrik yang sesuai akan membuatkan persalinan kelihatan lebih indah. Jadi, saranan fabrik sesuai adalah sutera sifon kerana cirinya yang lembut dan tampak mewah sesuai untuk sambutan Aidilfitri.

Perhatikan juga pilihan baju raya musim ini, kebanyakan pereka menghasilkan rekaan yang sarat dengan sulaman sama ada sulam tebuk atau tampalan renda Perancis.

Untuk anda, saya sarankan dibuat sulaman tebuk pada bahagian hujung baju, lengan dan kaki kain. Memadai sulaman tebuk dengan hiasan jemeki ringkas tapi jika anda tidak sukakan gaya sarat, buat sulaman ringkas tapi lebihkan taburan manik pada bahagian berkenaan supaya baju tampak berseri.

Teknik potongan ‘empire line’ sesuai untuk anda kerana potongan di bahagian berkenaan mampu membuatkan potongan di bahagian dada tampak kemas kerana kebiasaan ibu menyusu mempunyai payu dara yang agak besar. Tanpa sokongan baju dalam dan cara potongan sesuai boleh mencacatkan keindahan baju.

Untuk si dara kecil, pilihan baju yang tampak sedondon membuatkan gaya lebih manis. Biasanya si kecil yang sedang lasak tidak sesuai berbaju kurung seperti ibu. Jadi saya sarankan supaya disediakan gaun ringkas berhias sulam tebuk bermotif sama seperti dibuat pada kebaya anda untuk si kecil.

Fabrik menyerap peluh dan tahan lasak seperti kain kapas dan linen boleh menjamin keselesaan serta ketahanan baju. Gaun adalah gaya mudah untuk bayi yang sedang lasak kerana ia mudah disarung dan dibuka.

Menjawab pertanyaan saudari mengenai smoking, ia adalah sejenis gaya jahitan biasanya dibuat pada bahagian dada baju kanak-kanak daripada material kain kapas. Fesyen smoking menjadi kegilaan kalangan ibu yang menggemari gaya Inggeris. Kebiasaannya gaun smoking menjadi pilihan ibu untuk si kecil berusia dari enam bulan hingga 4 tahun.

Cirinya yang selesa selain tampak berbeza menjadikan ia pilihan tepat untuk digayakan pada Aidilfitri atau majlis keraian seperti majlis ulang tahun kelahiran. Gaun smoking dijahit tangan membuatkan harganya lebih tinggi dan tidak sesuai dipakai sebagai pakaian harian.

PROFIL: Calvin Thoo

Usia : 37 tahun

Asal : Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, RMIT University of Melbourne, Australia

Mempunyai pengalaman selama 12 tahun di dalam industri fesyen tanah air malah nama besar Calvin Thoo pernah menghasilkan rekaan busana indah untuk selebriti antaranya Anita Sarawak, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Raja Azura, Sazzy Falak dan Dynas.

Kunjungi butik Calvin Thoo di P17, Tingkat 4, Lot 10, Bukit Bintang atau hubungi 03-21486862 untuk pertanyaan lanjut mengenai fesyen.

INFO:Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian