Kami Ingin Ke Gaza
Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my
Rap
KEPRIHATINAN orang kita terhadap malang yang melanda warga Palestin di Semenanjung Gaza. Buktinya semalam, ribuan menyerbu Amcorp Mall, Petaling Jaya berganding bahu dengan artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza.
Usaha artis kita tidak terhenti di situ saja. Bertempat di Laman Baiduri, Istana Budaya (Kuala Lumpur) hari ini dan esok, lebih ramai lagi penggiat seni tanah air berkumpul mencurahkan keringat dalam usaha amal mengumpul dana bagi mangsa kekejaman Zionis Israel.
Kerja amal yang dinamakan Doa Buatmu Palestin anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) ini mengatur pelbagai aktiviti selama dua hari bermula jam 10 pagi hingga 11 malam termasuk solat hajat, bacaan puisi, jualan karnival dan lelongan barangan artis.
Idea mulia ini timbul ketika Zahida Rafik yang sedang menonton berita TV mengenai serangan Israel ke atas Gaza sehingga membunuh penduduk Palestin yang kini mencatat lebih 1,200 korban nyawa. Jiwa wanitanya cepat tersentuh melihat kejadian tidak berperikemanusiaan itu.
Bagi pelakon cantik ini, dengan mempunyai ramai kenalan dalam industri seni, dia berkeyakinan mampu membuat sesuatu untuk membantu mereka yang malang itu.
“Saya tahu saya boleh buat sesuatu. Saya kenal ramai artis, orang kerajaan dan pereka fesyen. Kenapa tidak saya gabungkan mereka untuk kerja amal ini.
“Melalui Kak Erma (Fatima), saya mendapat pandangannya untuk merealisasikan hasrat ini. Selepas menubuhkan jawatankuasa, dalam tempoh lebih kurang dua minggu, alhamdulillah semua pihak memberi kerjasama dan perancangan berjalan lancar,” katanya ketika berkunjung ke Metro Ahad, minggu lalu.
Menurut pelakon Anak Mami ini, dalam tempoh berkenaan dia berjaya mendapatkan kelulusan KPKKW, penaja dan sumbangan rakan-rakan seperjuangan. Dia percaya, usaha murni ini dipermudahkan lagi oleh Allah.
Selain persembahan, acara lelongan pakaian pereka fesyen terkenal bakal menjadi tumpuan. 15 pereka ‘A List’ negara termasuk Rizalman Ibrahim, Michael Ong, Syaiful Baharim, Albert King, Calvin Thoo, Jovian Mandagie, Riezman Ruzaimi, Kapas, Zang Toi, Salikin Sidek, Bill Keith, Iszral dan Alvin Teh bersetuju menyerahkan satu rekaan setiap seorang.
Lebih menarik, rekaan ini masih baru dan sebahagian daripadanya berharga RM1,000 hingga RM3,000. Bagaimanapun untuk tujuan lelongan ini, harga diletakkan pada paras RM599 sahaja. Siapa paling tinggi bidaannya, bakal membawa pulang pakaian berkenaan.
“Sebolehnya saya tidak mahu harga yang mahal sangat tetapi saya percaya dalam urusan kebajikan ini, ramai yang sanggup menghulurkan bantuan. Saya berharap sangat, kami dapat mengumpul sebanyak mungkin untuk dana ini,” katanya.
Selain rekaan pereka tadi, ramai juga selebriti yang bersetuju untuk melelong barangan milik mereka seperti Zahida sendiri, Umie Aida, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Aleeza Kassim, Tengku Azura, Julia Zigler, Betty Benafe, Fazli Zainal, Que Haidar, Awal Ashaari, Vanida Imran, Ika Fancy dan kumpulan jurusolek terkemuka, Izatt Artistic Team (IAT).
Turut sama Maya Karin yang tampil menjual kek cawan. Hampir 70 gerai yang disertai oleh peminat dibuka dengan pelbagai jualan – baik makanan mahupun keperluan harian.
Menurut Rohaizad Shariff dari IAT, dia sendiri terkejut dengan respon dan komitmen yang ditunjukkan selebriti tempatan ke atas usaha ini.
“Sebagai manusia, kita sendiri terpanggil untuk membantu sedaya yang mungkin. Inilah masanya untuk kita sama-sama beramal. Sebenarnya dulu kami rancang untuk menjalankan aktiviti amal tetapi tiada acara untuk disesuaikan,” katanya.
Kalau boleh kata Zahida dan Rohaizad, mereka ingin ke Gaza untuk memberi bantuan terus kepada mangsa. Mereka teringin untuk menolong mana yang boleh mereka lakukan.
“Memang kami berharap dapat ke sana tetapi sedar, keadaan terlalu getir. Saya, Rohaizad, Umie dan Erma teringin ke sana. Kami sedar cabarannya tetapi tidak salahkan kalau dapat kami membantu dengan cara itu.
“Namun kalau tidak dapat, kami akan serahkan dana itu terus kepada KPKKW,” kata Zahida.
Harian Metro
Harmoni Raya
Oleh Zul Husni Abdul Hamid, Nurulhisham Abdul Latiff dan Zaidi Mohamad

Berbeza agama dan bidang tetapi Aidilfitri satukan lapan selebriti
SEBULAN berpuasa menahan lapar dan dahaga, Syawal kembali bertandang. Membawa seribu keberkatan dan rahmat, sebagai lambang kemenangan umat Islam selepas sebulan menahan godaan dan cabaran.
Sepuluh jari disusun, memohon ampun dan maaf atas segala kesilapan. Terlanjur bicara, terkhilaf perbuatan Aidilfitri membentangkan ruang untuk menyuci dosa, mengerat semula jalinan kemesraan serta ukhuwah sesama insan.
Aidilfitri juga menyatukan lapan selebriti yang menghiasi laman Hip kali ini. Berbeza agama dan bidang, namun mereka bernyawa di bawah satu nafas seni. Aidilfitri mengerat persahabatan antara mereka, menyuburkan silaturahim kerana pada hari biasa, mereka jarang bertemu.
Tuntutan karier yang berbeza menjarakkan mereka, namun Syawal menemukan lapan selebriti ini untuk meraikan hari kemenangan bersama.
Lahir daripada keluarga berbeza latar, Aidilfitri bagi mereka membawa maksud yang satu – bermaafan dan saling mengunjungi. Mengerat semula hubungan yang selama ini terpisah dek tuntutan kerjaya.

QUE HAIDAR dan Mark merebus ketupat sambil diperhatikan Mahesh.
Terlalu banyak yang dikongsi Misha Omar, Que Haidar, Nabila Huda, Winnie K, Suki, Mark, Ainul Aishah dan Mahesh Jugal Kishor ketika sesi fotografi yang diadakan di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay, Kuala Lumpur ini.
Gurau senda melatari pertemuan ini, menterjemahkan betapa Syawal menghadiahkan suasana harmoni sekali gus membangkitkan penyatuan bangsa Malaysia di bawah langit seni.
Bagaikan tidak percaya, juara One In A Million (OIAM) musim pertama, Low Sook Yee atau mesra disapa Suki begitu mahir menganyam ketupat. Helaian daun kelapa yang awalnya tadi tidak berusik, berubah wajah apabila penyanyi yang sedang popular dengan lagu Usah itu mempamerkan kemahiran.
“Sejak 10 tahun saya sudah biasa membantu ibu membuat dekorasi termasuk hiasan ketupat kerana ibu membuka kedai bunga di Seremban,” kata Suki yang pulang ke kampungnya di Seremban untuk berhari raya bersama temannya yang beragama Islam.

WINNIE K, Misha Omar, Ainul Aishah, Nabila dan Suki begitu teruja menjayakan sesi fotografi sempena raya.
Misha yang hanya tersipu melihat kebolehan Suki, awal-awal lagi sudah mengangkat tangan menyerah kalah. Akui gadis yang menyambut 1 Syawal di kediaman keluarganya di Kota Bharu, Kelantan, dia memang tidak cekap mengendalikan kerja dapur.
Memilih warna ungu sedondon satu keluarga, Misha berkata, Aidilfitri kali ini cukup bermakna apatah lagi diraikan bersama anak kesayangan, Muhammad Adam Emir yang kini menjangkau usia dua tahun.
“Saya selesa bersederhana, cukuplah pakai apa yang ada kerana persiapan raya lebih diutamakan kepada anak. Sejak Jun saya sudah membuat sedikit demi sedikit persiapan. Senang siap awal supaya tidak terkocoh-kocoh pada saat akhir,” katanya.
Nabila pula berusaha membuktikan kebolehannya menganyam ketupat sebaik mungkin biarpun hasilnya tidak sekemas sentuhan Suki.
Dalam kehangatan menyambut lebaran, gadis berkarakter ini diselubungi debaran untuk melangkah ke fasa baru kehidupan. Tanggal 2 Disember ini, Nabila bakal bergelar isteri kepada Zaidy Zailani atau Edy.
“Persiapan kahwin kebanyakannya diuruskan ibu tiri, Norish, manakala saya lebih menumpukan perhatian kepada majlis pertunangan dan pernikahan,” kata Nabila yang mengacarakan Hits 1 Raya pada Syawal keempat ini.
Anak kepada rocker tersohor, Amy Search ini bakal menyambut hari raya bersama keluarganya di tiga lokasi berbeza iaitu Klang, Selangor, Johor dan Pulau Pinang.
Meskipun tidak menganut Islam, kemeriahan sambutan 1 Syawal tetap dirasai penyanyi yang sedang meledak dengan lagu Kau Ada Di Mana, Winnie K.
Sebagai rakyat Malaysia, Winnie bangga dapat meraikan hari bermakna itu bersama teman beragama Islam. Lebih menyeronokkan Winnie, jumlah teman beragama Islamnya semakin bertambah sejak merakamkan album Melayu.
“Saya paling menggemari kuih tradisional yang manis seperti kuih bahulu. Entah kenapa selera saya lebih tertarik kepada kuih tradisional berbanding biskut moden.
“Saya juga seronok berkunjung ke rumah teman dan suasana itu menyemarakkan lagi kehangatan hari raya yang penuh dengan suasana ceria,” kata Winnie yang turut melebarkan empayar seninya di negara jiran, Indonesia.
Pelakon baru yang sedang mencipta nama, Ainul Aishah pula memilih untuk mengunjungi saudara mara di Pulau Pinang dan Kedah sebagai destinasi berhari raya. Peluang itu jarang diperoleh pelakon yang pernah menghiasi filem seperti Nana Tanjung dan drama, Anak Mami sejak mempunyai karier sendiri.
Kata Ainul, raya inilah peluang terbaik untuk terus mengeratkan silaturahim sesama keluarga dan sanak saudara.
“Paling seronok dapat bertemu semula anak buah yang sebelum ini jarang ditemui kerana terikat dengan kerja. Walaupun tidak banyak, saya tetap memperuntukkan sedikit bajet duit raya untuk dihulurkan kepada kanak-kanak,” katanya.
Menggemari lontong dan ayam masak merah, Ainul kini menaungi DZMS Modeling Agency untuk menguruskan aktiviti seninya selepas dibebaskan Line Clear.
Bagi tiga jejaka, Que, Mahesh dan Mark, ketibaan Syawal lebih berupa detik untuk mereka mengeratkan silaturahim sesama insan. Que yang pulang beraya di Kulai, Johor, menganggap minggu pertama Syawal saat terbaik untuk merapatkan semula ikatan kekeluargaan, selepas setahun tidak bersua muka bersama sebahagian daripada saudara-mara.
Manakala Mahesh yang pertama kali beraya sebagai pelakon, biarpun tidak menyambut Aidilfitri, namun dia tidak asing dengan perayaan ini. Apatah lagi, sebahagian rakannya terdiri daripada orang Melayu. Cuma, pergaulannya dengan artis Melayu kian meluas sebaik saja dia menjayakan filem Talentime arahan Yasmin Ahmad.
Pada sesi fotografi ini sendiri, Mahesh tidak kekok melayan artis lebih senior, termasuk Ainul yang kelihatan cukup mesra di sampingnya.
Aidilfitri tahun ini pula membawa erti besar buat seorang lagi peserta OIAM, Mark, kerana kali ini dia menyambutnya sebagai seorang Muslim. Lebih-lebih lagi, setelah dia berjaya berpuasa selama sebulan seperti rakan Islam yang lain.
Tajaan lokasi: Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay (www.serimelayu.com)
Penghargaan: Penolong Pengurus – Pemasaran, Pengiklanan & Promosi Restoran Seri Melayu, Noorulazwaliza Noh
Solekan: Chomel (012-2259616) untuk Misha Omar dan Bosco (016-6091614) – Nabila Huda
Pakaian: Bill Keith (Suki) dan Syaiful Baharim (Misha Omar)
Berita Harian