Skip to content

Posts from the ‘Madonna’ Category

29
Jun

Suka Duka Perjalanan Puteri Pop, Britney Spears



BRITNEY Jean Spears merupakan puteri pasangan Jamie dan Lynn Spears. Lahir pada 2 Disember 1982 di Kenwood, Louisiana. Britney memulai karier sebagai penghibur ketika berumur sepuluh tahun. Waktu itu, Britney mengikuti program Mickey Mouse Club.

* Menjuarai carta lagu

Beliau melancarkan album single, Baby One More Time pada Februari 1999. Lagu tersebut berjaya menduduki tempat pertama carta lagu di seluruh dunia. Diikuti penghasilan lagu Sometimes pada bulan Jun pada tahun yang sama, yang turut berjaya seperti single pertamanya. Kemudian, pada bulan Julai, Britney memulakan jelajah konsertnya.

* Cinta pertama

Pada September 2000, Britney untuk pertama kalinya muncul di khalayak ramai dengan kekasihnya, Justin Timberlake (kumpulan N’Sync). Pasangan baru ini menghadiri majlis MTV VMA di New York bersama-sama. N’Sync meraih dua penghargaan malam itu, tapi seluruh perhatian lebih tertumpu dengan kenyataan Britney di mana dia mengatakan tak mahu melakukan hubungan seks sebelum berkahwin.

Sayangnya hubungan cinta mereka tidak lama. Pasangan muda ini berpisah pada Mei 2002. Akhir tahun itu pula Timberlake mengeluarkan single solo, Cry Me A River, dengan video klip kontroversi di mana ia dilakonkan oleh seorang model seiras Britney.

* Jualan patung

Hingga tahun 2001, Britney sudah menjadi bintang terkenal. Albumnya dapat dijual hingga mencecah jutaan angka dan tiket konsertnya sentiasa habis dijual. Namanya juga digunakan untuk mempromosikan pelbagai barangan dan paling mahal ialah patung yang serupa dengan dirinya.

* Meriahkan acara olahraga AS

Pada bulan Januari 2001 Britney diberi kesempatan memeriahkan pertunjukan olahraga Superbowl Amerika Syarikat (AS). Kali ini, dia bergabung dengan legenda rock Aerosmith di samping artis lain seperti Nelly, Mary J Blige, dan band kekasihnya, N’Sync. Brit berganding dengan Aerosmith untuk membawakan lagu hits kumpulan ini Walk This Way.

* Berubah seksi

Pada akhir tahun 2001, Britney membuat perubahan imej yang kelihatan lebih seksi. Untuk album ketiganya, BRITNEY, ia merakam single bertajuk I’am A Slave 4 U dengan bantuan penerbit terkenal, Neptunes.

Lagu ini awalnya ditawar kepada Janet Jackson tetapi ditolak kerana dia merasakan Britney telah menyanyikan lagu ini pada majlis penghargaan MTV.

* Pada tahun 2003, Britney tampil di acara MTV Awards dan mencetuskan kontroversi. Dia yang berduet dengan Madonna dan Christina Aguilera. Ketika di penghujung lagu, mereka bercium dengan Madonna sebagai penutup lagu Like A Virgin.

* Puteri pop

Pada tahun 2003, bukan hanya album Britney yang terjual laris, tapi apa pun yang menggunakan namanya pasti mendapat sambutan. Pendek kata para pengiklan berlumba-lumba untuk mengambilnya dan pada bulan September dia bergabung dengan dua rakannya, Pink serta Beyonce untuk tampil dalam iklan Pepsi. Mereka tampil dengan menyanyikan lagu We Will Rock You. Dikatakan iklan ini paling mahal ketika itu.

* Perkahwinan pertama

Segalanya berubah menjadi ngeri buat Britney ketika dia menjadi pujaan ramai dan ramai terkejut dengan berita perkahwinannya dengan teman sekolah, Jason Alexander. Kedua-dua remaja ini berkahwin pada 3 Januari 2004 di Little White Chapel, Las Vegas. Namun perkahwinan itu tidak lama – hanya bertahan selama 52 jam. Kononnya, ibu Britney, Lynn meminta pasukan peguam berpengaruh untuk membatalkan pernikahan tersebut secepat mungkin.

* Suami kedua

Hanya selang sembilan bulan perkahwinan pertamanya, Britney menikah lagi dengan penari latarnya, Kevin Federline pada 18 September 2004. Dan perkahwinan itu dikatakan tidak mempunyai prestij dan paling teruk di kalangan selebriti. Para tetamu wanita diminta mengenakan seluar berwarna pink dengan tulisan ‘Maids’ di bahagian belakang dan lelaki mengenakan baju putih dengan tulisan ‘Pimps’. Malah, tetamu hanya dihidangkan ayam goreng dan burger. Brit menari sepanjang malam dan rakan serta keluarga harus membayar minuman mereka sendiri. Akhirnya pasangan ini dikurniakan dua anak, Sean Preston (lahir 14 September 2005) dan Jayden James (lahir 12 September 2006).

* Berubah buruk

Pada tahun 2006, Britney menjadi lebih dikenali kerana imej buruknya dan bukan kariernya. Bintang muda yang cemerlang ini jatuh dengan gosip dan skandal. Pada bulan Ogos, Britney mencetuskan kontroversi di Jepun apabila gambar bogel ketika hamil menjadi muka depan majalah Harper’s Bazaar, yang akhirnya dilarang dijual di negara itu.

* Britney botak

Setelah dua tahun berkahwin, Britney mengirim SMS kepada suaminya untuk meminta cerai. Selepas peristiwa ini, perangai Britney dikatakan semakin teruk.

Pada 17 Februari 2007, dia mengejutkan dunia dengan membotakkan kepala sebagai tunjuk perasaan kepada dunia betapa dia sakit secara emosional.

* Kekecohan di MTV

Britney memang pernah menjadi ratu untuk acara MTV Awards, tetapi pada 9 September 2007 dalam acara yang sama, dia menutup mulutnya kerana terlupa lirik untuk lagu Gimme More. Penampilan pertamanya ini bukannya membuatkan penonton kagum tetapi terkejut dengan tindakannya.

* Kehilangan anak-anaknya

Setelah berjuang dalam perebutan hak anak dengan Kevin Federline, mahkamah Los Angeles memutuskan demi keselamatan anak-anak ini, mereka tidak diizinkan tinggal lama bersama Britney.

* Masuk hospital

Setelah berbulan-bulan bertingkah laku pelik, Britney akhirnya ditahan di hospital. Pada 3 Januari 2008 penyanyi ini membuat kecoh dengan polis. Britney berkelakuan pelik akibat meminum ubat. Akhirnya, polis membawanya ke pusat perubatan terbaik, Cedars Sinai Medical . Britney diberi rawatan psikologi dan kini dia telah dibenarkan pulang.

* Kisah cinta dengan paparazi

Beberapa hari setelah Britney diizinkan keluar dari hospital, dia kembali membuat kejutan dengan membuat hubungan bersama salah seorang paparazi yang mengikuti ke mana pun dia pergi.

Sejak kedua pasangan ini bersama, ada berita yang mengatakan mereka telah berkahwin di Mexico dan sedang hamil.

* Kembali ke pangkal jalan

Dalam pengawasan kedua orang tuanya, perlahan-lahan Britney kembali pulih. Dia jarang ke kelab malam dan berkelakuan pelik dan dikatakan dia kini kembali fokus pada kariernya. Pada bulan Mac 2008, dia mendapat tawaran berlakon dalam sitcom As How I Met Your Mother. Penampilannya dalam satu episod sitcom ini berjaya mendapat sambutan penonton.

Tingkah laku Britney yang kembali normal dan tidak lagi liar, menyebabkan dia diterima peminat semula. Malah, pada 6 Mei tahun ini, mahkamah membenarkan Britney mengunjungi anaknya untuk tiga hari seminggu. Berita ini cukup menggembirakan Britney dan keluarganya.

Utusan Malaysia

1
Jun

Kereta Pilihan Selebriti

Sazzy Falak bersama kereta kesayangan.

Apa jua jenisnya, kereta penumpang, kenderaan utiliti sports (SUV) atau kenderaan pelbagai guna (MPV), kenderaan beroda empat yang lazimnya dipanggil kereta menjadi keperluan kepada semua, miskin atau kaya, tua atau muda dan apa juga pekerjaan yang dilakukan.

Yang membezakan antara semua ialah jenis kereta yang dipandu, sama ada mewah atau murah bergantung kepada hasil pendapatan masing-masing berdasarkan pekerjaan yang dilakukan.

Selain ahli perniagaan dan politik yang sering dilihat memandu kereta-kereta mewah berjenama antarabangsa, golongan selebriti atau lebih senang digelar artis juga adalah antara pemilik kereta-kereta mewah yang sedang menjalar di atas jalan-jalan raya.

Seperti juga artis-artis luar negara antaranya pasangan suami isteri, David dan Victoria Beckham, Rowan Atkinson yang lebih dikenali oleh peminatnya sebagai Mr. Bean serta Cameron Diaz, artis-artis tempatan juga selesa memandu kereta mewah pelbagai jenama.

David dan Victoria Beckham atau Posh Spice itu adalah antara selebriti terkemuka yang memiliki banyak kereta mewah antaranya yang berjenama Bentley, Ferrari, Porsche 911, Range Rover, Jaguar, Rolls-Royce Phantom, BMW M3, Audi Q7, Lamborghini Gallardo dan Mercedes S500.

Yang menariknya ialah kebanyakan daripada kereta-kereta ini dilengkapi dengan kerusi bayi berkulit bagi menempatkan anak-anak pasangan tersebut agar selamat sepanjang perjalanan sejajar dengan gelaran sebagai ibu-bapa penyayang buat pasangan itu.

Rowan Atkinson yang sering memandu kereta kodok dalam siri drama komedi popular, Mr Bean pula sebenarnya mempunyai cita rasa yang tinggi dalam automotif dengan memiliki beberapa kereta eksotik seperti Aston Martin V8 Zagato, McLaren F1 dan Audi A8.

Mr Bean membeli McLaren F1 berikutan kejayaan filem “Bean – The Movie.” dan berbanding watak beliau yang seakan-akan naif dan lurus bendul itu, beliau suka memandu laju kereta tersebut yang boleh memecut sehingga 240 batu sejam.

Tidak seperti Victoria Beckham, Mr Bean yang rajin menulis mengenai cerita-cerita permotoran dalam beberapa majalah tidak menggemari Porsche tanpa mengetahui sebab sebenarnya walaupun mengakui kereta-kereta berjenama itu adalah hebat.

Pelakon watak Charlie’s Angels, Cameron Diaz yang pernah menjadi peminat kereta- kereta antik buatan Jerman memiliki beberapa kereta mewah seperti Porsche 911 Carrera, Mercedes SL dan Toyota Prius.

Kereta-kereta itu dilengkapi enjin hybrid yang boleh beralih antara enjin petrol konvensional dan enjin elektrik bergantung kepada keadaan sejajar dengan sikap pelakon itu yang cintakan alam sekitar bersama-sama rakan artis lain antaranya Gwyneth Paltrow, Leonardo DiCaprio, Billy Crystal, dan Harrison Ford.

Sistem navigasi Madonna pula, yang berhijrah ke London pada tahun 2001, memiliki rangkaian kereta mewah antaranya BMW 7-Series, Audi A8 dan Maybach super-limousine serta Cooper S yang dilengkapi sistem navigasi kawasan bagi membantu bintang itu semasa di luar daerah.

Anak kepada jurutera motor terkemuka itu sangat meminati Mini Cooper itu sehingga memuatkan nama kereta itu dalam satu daripada lagu-lagu terbarunya. Artis yang turut memiliki kereta yang sama ialah Sting, Goldie Hawn dan Elijah Wood.

Sementara itu, di kalangan artis tempatan pula, ramai antara mereka memandu kereta mewah terutama buatan Jerman dan Jepun yang terkenal dengan teknologi automotif termaju dan boleh dibeli pada harga yang agak tinggi, menjangkaui kemampuan seseorang pekerja berpendapatan sederhana di negara ini.

Antaranya ialah Erra Fazira yang memandu kereta berjenama BMW, Fasha Sandha dan Noryn Aziz memandu Honda CRV, Hattan dan Fauziah Latif bergegas ke sana ke mari dengan Mini Cooper manakala Ziana Zain dan Misha Omar bergaya dengan kereta Mercedes Benz.

Bagi Datin Seri Tiara Jacquelina yang kini sedang berhempas-pulas menjayakan teater P. Ramlee, kenderaan pacuan empat roda BMW X5 bukan sahaja memenuhi selera automotif tetapi juga memudahkan pengangkutan segala barangan keperluan, sama seperti Awie yang selesa dengan Toyota Harrier.

Tidak kira artis, ahli perniagaan atau ahli politik, pengenalan skim subsidi harga minyak baru di negara ini yang bertujuan memberi lebih keadilan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana pastinya menggoncang sedikit poket semua pemilik kereta mewah ini, walaupun tidak begitu dirasai bebannya selama ini.

Powered by Utusan Malaysia