Skip to content

Posts from the ‘Jehan Miskin’ Category

28
Aug

Satu Lagi Magis Untuk Azean Irdawaty



Oleh KHADIJAH IBRAHIM

Azean Irdawaty sempat merehatkan kakinya di spa yang terdapat di Bazaar Fusion.

AHAD lalu aktres Azean Irdawaty nampak ceria di Bazaar Fusion, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur. Hari itu bazaar tersebut mengadakan jualan kebajikan bagi mengisi tabung dana membantu perubatan penyakit kanser payu daranya.

Kata Azean atau Kak Yan, hari itu dia berasa lebih sihat berbanding pertemuan kami pada 16 Ogos lalu yang terpaksa menggunakan kerusi roda.

Ketika itu Kak Yan baru selesai menjalani kemoterapi.

“Selalunya, minggu pertama selepas kemoterapi Kak Yan lemah dan letih. Minggu kedua Kak Yan lebih banyak berada di atas katil dan bergerak pun kena guna kerusi roda. Minggu ketiga lebih selesa sedikit, panas badan pun kurang,” kata Azean bercerita pengalamannya.

Kak Yan yang bakal menjalani rawatan kemoterapi untuk kali ketiga itu, bagaimanapun mengakui dia tidak pernah berasa penyakit yang ditanggungnya itu sebagai satu bebanan.

Malah katanya, sejak disahkan menghidap barah payu dara peringkat ketiga pada 18 Jun lalu, dia mengalami pelbagai magis dalam kehidupannya.

“Ini adalah satu ujian untuk Kak Yan dan baru sekarang Kak Yan tahu betapa ramainya insan yang menyayangi Kak Yan. Setiap kali bertemu dengan orang yang tidak dikenali, tidak kira apa bangsa, mereka akan datang pada Kak Yan dan berkata yang mereka sentiasa mendoakan kesejahteraan Kak Yan. Sifat prihatin mereka itu membuatkan Kak Yan rasa gembira sangat,” katanya dengan wajah ceria.

Memberi contoh jualan dana di Bazaar Fusion, kata Azean, dia menyaksikan ramai rakan artis dan orang perseorangan yang begitu ikhlas membantunya.

“Dulu masa sihat, Kak Yan tidak ada masa beramah mesra begini kerana sibuk bekerja. Sekarang ini ia bagaikan satu magis. Setiap minggu ada sahaja aktiviti yang perlu Kak Yan hadir. Semua ini menjadikan Kak Yan tidak ada masa untuk memikir pasal sakit ini. Itulah keajaiban yang Allah kurniakan pada Kak Yan saat ini,” katanya tersenyum.

Pada majlis jualan amal yang dianjurkan oleh Ruhani Abd. Rahman dan Wafa Abdul Kadir itu, pelakon Sharifah Shahira menyumbang mufin, Tony Eusoffe menyediakan laksa Sarawak dan Ketua Setiausaha Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KEKKWA), Datuk Azizah Abot memasak nasi beriani.

Manakala artis yang hadir memberi sokongan ialah Serina Redzuawan, Hans Isaac, Jehan Miskin, Jue Aziz, Ako Mustapha dan ramai lagi.

Syanie yang bertindak sebagai juruwang pada acara yang berlangsung dari pukul 10.30 pagi hingga 5 petang itu berkata, pihaknya tidak menyasarkan jumlah kutipan.

“Idea buat jualan amal ini timbul sewaktu Wafa bercerita pada mummy (Ruhani Abd. Rahman) tentang aunty Yan yang perlu cari wang untuk kos perubatannya.

“Jadi salah satu cara untuk membantu aunty Yan, adalah menerusi jualan amal ini. Memang meriah kerana ramai rakan artis dan orang ramai yang datang membeli makanan,” katanya.

Sokongan anak-anak

Sementara Benjy yang turut hadir tampak selesa dengan imej botak sebagai tanda sokongan terhadap mamanya.

“Sebelum ini pun Ben pernah botakkan kepala tapi itu saja-saja. Tapi kali ini sebagai tanda sokongan terhadap mama yang tabah itu,” katanya terus terang.

Menurutnya, imej kepala botak boleh mengurangkan peluangnya untuk berlakon. Namun katanya, apa yang penting ketika ini adalah tanda sokongannya terhadap ibu tercinta.

Bagi Kak Yan pula tindakan Ben itu amat mengharukan.

“Satu hari dia melawat Kak Yan di hospital dan terus buka topi. Katanya, Ben tidak boleh bantu mama dengan wang ringgit tapi ini sebagai tanda Ben menyokong mama. Waktu Ben cakap begitu, Kak Yan terasa hiba.

“Entahlah, mungkin dia tidak mahu mamanya rasa rendah diri kerana mamanya pun dah botak sekarang. Tapi bagi Kak Yan, botak pun satu fesyen. Macam hari ini Kak Yan sikat belah tepi dan tetap guna spray rambut,” ceritanya.

Kata Kak Yan seorang lagi anaknya, Elza Irdalynna yang sedang mengikuti Diploma Kursus Persembahan Seni dan Media di Sunway University College juga mahu menunjukkan tanda sokongannya.

“Elza kata, dia tidak boleh botakkan kepala tapi sebagai tanda sokongan pada Kak Yan, dia lulus semua subjek dengan cemerlang. Bagi Kak Yan itu pun sudah mencukupi. Alhamdulillah, selama ini anak-anak Kak Yan tidak pernah mengecewakan Kak Yan baik dari segi perbuatan atau kata-kata,” katanya penuh bangga.

Pada majlis itu juga Azean ditemani oleh suami, Khairil Anwar dan anak bongsu, Irnessa Irdayanty yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia tidak lama lagi.

Powered by Utusan Malaysia

15
May

Naga Chini Lakonan Ako Mustapha, Jehan Miskin Di Istana Budaya

Oleh: ANI AWANG

BARISAN artis yang terlibat menjayakan bangsawan Naga Chini di Istana Budaya dari 6 hingga 13 Jun ini.

ISTANA Budaya Kuala Lumpur bakal meneruskan kesinambungan menjayakan pementasan bangsawan. Kali ini yang dipersembahkan ialah bangsawan Naga Chini yang akan berlangsung pada 6 hingga 13 Jun ini.

Pementasan ini menggabungkan pelakon teater dan artis bagi menarik khalayak agar menonton bangsawan.

Antara artis yang terpilih menjayakan Naga Chini ialah Ako Mustapha, Jehan Miskin, Serena Redzuawan, Zuliana Aziz, Juhara Ayob, Yalal Chin dan Ebby Yus.

Pada sidang media di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, pengarah persembahan bangsawan itu, Sufiat Mukri menjelaskan, pementasan Naga Chini menampilkan beberapa elemen bangsawan moden dengan menggunakan teknik multimedia.

Sufiat yang merupakan penulis skrip Naga Chini yakin elemen moden dan tradisional yang digabungkannya itu mampu menjadikan bangsawan sebagai seni yang boleh dikomersialkan.

Bagaimanapun, pementasan itu tidak akan lari daripada elemen tradisional, terutama kostum pelakonnya.

Selain itu, kata Sufiat, dia juga mempertaruhkan lakonan mantap oleh para artis yang terlibat.

Pementasan Naga Chini menelan kos produksi mencecah kira-kira RM400,000.

Tiket-tiket bagi pementasan itu dijual pada harga RM20, RM30, RM50, RM70, RM100 dan RM150. Orang ramai yang membeli tiket sebelum 25 Mei ini akan diberikan diskaun 30 peratus untuk tiket RM50, RM70, RM100 dan RM150.

Pembelian tiket boleh dibuat di Box Office Istana Budaya. Tempahan juga boleh dibuat melalui talian 03-4026 5558 atau secara online di www.ticket2u.biz.

Apa komen pelakon?

Ako Mustapha

“Saya rasa bertuah kerana dipilih untuk berlakon dalam teater ini. Malah diberikan watak yang penting sebagai Gempita Sakti. Sudah lima tahun saya tidak berteater,” kata Ako Mustapha.

Pelakon drama dan filem terkenal ini memulakan kerjaya dalam bidang lakonan melalui pentas teater pada tahun 1996. Antara teater lakonannya ialah Kuala Lumpur Knock Out, The Storyteller dan Mahkamah Keadilan.

Jehan Miskin

“Saya diberikan watak Orang Asli bernama Arus Putra. Memang berat watak ini tapi saya anggap itu sebagai cabaran,’’ kata Jehan Miskin yang pernah muncul dalam beberapa telemovie dan filem Qaisy dan Laila.

Powered by Utusan Malaysia