Skip to content

Posts from the ‘Fara Fauzana’ Category

12
Sep

Hot FM Terbit Drama



Oleh HARYATI KARIM
haryati.karim@kosmo.com.my


KELUARGA besar Hot FM ketika majlis berbuka puasa baru-baru ini.

STESEN radio yang semakin meningkat naik Hot FM, kini telah pun menerbitkan sebuah drama radio sempena raya berjudul Macam-Macam Cinta yang dibawa khas oleh Astro.

Menariknya, drama 20 episod yang bermula pada 8 September lalu ini menggabungkan suara-suara deejay Hot FM sendiri dan juga artis-artis kelahiran Astro.

Antaranya Farah Diana, Farish Aziz, Sharifah Aleya, Azura, Shawal, Kartini, Anne, Ikhwan, Faizal Ismail, Farah Fauzana, Afik dan Tokwan Halimah.


FARA FAUZANA dj kesayangan ramai dan kesayangan Hot FM juga.

Drama yang memaparkan kisah tentang persahabatan dan kasih sayang ini buat pertama kalinya disiarkan di stesen radio ini. Idea untuk menerbitkan drama radio ini bermula dengan satu proposal dan pihak Astro merupakan pihak yang pertama berminat dengannya.

“Walaupun Hot FM di bawah Media Prima dan Astro merupakan stesen yang berlainan yang juga merupakan pesaing, tetapi dalam situasi ini mereka adalah pelanggan.

“Lagipun, kami radio dan mereka stesen televisyen, jadi setakat ini tiada apa-apa masalah selagi tidak menggunakan mana-mana penyampai radio daripada Astro,” kata Pengurus Rangkaian Program Hot FM, Anida Mohd Tahrim ketika ditemui di majlis berbuka puasa Hot FM baru-baru ini.


SEELAN (kanan) mengharapkan acara seperti ini dapat mendekatkan lagi krew Hot FM dan anggota media.

Sungguhpun, Astro yang menaja keseluruhan kos pembikinan drama radio ini, hak milik siaran hanya kekal untuk Hot FM sahaja dan tidak akan ditayangkan di mana-mana stesen radio milik Astro.

“Sebelum memulakan perjanjian ini, kami telah memikirkan baik buruk serta telah mengadakan perbincangan antara kedua-dua belah pihak, malah di pihak kami tiada masalah begitu juga dengan mereka,” tegasnya lagi.

Meskipun ramai yang melihat pembikinan drama radio seperti sesuatu yang ketinggalan zaman, Hot FM masih menganggap ia relevan dan masih boleh diguna pakai sebagai bahan hiburan di radio.


ALEEYA turut terlibat dalam drama raya terbitan Hot FM.

“Kami ingin beri kelainan, dan ia masih relevan untuk pendengar kerana ia bukan selalunya tersiar di radio, jadi sangat menarik untuk diikuti.

“Jika orang sudah mula mengikuti cerita ini, pasti mereka akan terus mengikutinya dan saya pasti dengan cara pelakon-pelakon ini melontarkan dialog, tidak sukar untuk mereka menarik minat pendengar,”ulasnya lagi.

Walaupun drama ini hanya ke udara selama dua hingga tiga minit, tetapi kos untuk pembikinannya boleh dikatakan agak besar dan ia diakui sendiri oleh Anida.

“Kosnya memang besar kerana ia melibatkan banyak pihak, ia nampak ringkas tetapi tetap mempunyai pengarah yang merangka dan mencorakkan jalan cerita ini untuk menjadi lebih menarik,” katanya.

Drama radio Macam-Macam Cinta ini akan ke udara setiap hari pada pukul 8.40 pagi dan ulangannya pada 3.40 petang.

Buka puasa Hot FM meriah

Sementara itu, Hot FM sempat meraikan rakan media dalam satu majlis buka puasa yang dijalankan dengan penuh sederhana.

Majlis itu tetap meriah dengan kehadiran penyampai Hot FM dan Fly FM selain orang-orang kuat mereka termasuklah, Pengurus Besar Rangkaian radio Media Prima, Seelan Paul dan Ketua Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar.


ANIDA MOHD. TAHRIM

Menurut Seelan, majlis berbuka puasa ini merupakan majlis terbesar yang pernah dilakukan pihak Hot FM berbanding tahun sebelumnya yang dibuat secara kecil-kecilan.

“Selain makan-makan, ia bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan antara krew-krew Hot FM, dj dan juga media. Acara ini boleh dikatakan seperti acara tahunan yang kami lakukan, yang bezanya cuma besar atau kecil majlis itu.

“Kami berharap tahun ini akan meningkatkan lagi pengaruh radio Hot FM dan Fly FM ke seluruh negara. Walaupun kami masih baru, tetapi peningkatan kami ditahap yang agak baik dan kami ingin terus berikan yang terbaik kepada pendengar setia dan bakal pendengar kami di luar sana,” katanya.

Kosmo