Wajah Comel Asli
Oleh HARYATI KARIM

DAGU kontroversi. Bandingkan dagu Zoey menerusi fotonya yang dirakam pada 1 Julai 2007 (foto kecil) dan foto terbarunya ini.
JIKA ditatap wajah comelnya, dia sememangnya kelihatan tidak ubah seperti remaja berusia belasan tahun walaupun hakikat yang sebenarnya jejaka yang bernama Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman atau nama glamornya, Zoey ini sudah pun berumur 23 tahun.
Mungkin kerana wajah keanak-anakannya itu, dia selayaknya diberi watak remaja sekolah dan yang pasti dia digilai oleh gadis-gadis remaja yang mengikuti perkembangannya.
Namun, selain perkembangan kerjayanya, ada sesuatu yang begitu menarik perhatian Kosmo! untuk mendekati Zoey dengan lebih dekat lagi.
Sebenarnya, ada pihak yang membuat tohmahan jahat bahawa jejaka yang memiliki kulit putih mulus ini sudah melakukan operasi pada satu bahagian wajahnya iaitu menyuntik dagunya supaya kelihatan lebih runcing. Benarkah begitu?
Peluang bertemu dengan Zoey pada sesi rakaman program Gerak Geri Gasing baru-baru ini tidak dilepaskan begitu sahaja, terus soalan ditebak bertalu-talu kepada si empunya diri.
Malah, peluang itu digunakan juga untuk menatap sepuas-puasnya bahagian dagu kontroversi Zoey yang hangat diperkatakan itu. Sememangnya fizikal dagu Zoey sungguh runcing, lengkap dengan belahan di bahagian tengah lagi.
SERONOK menjadi pengacara program kanak-kanak.
Namun, Zoey bertegas mengatakan gosip mengenai dagunya itu tidak betul.
“Mana ada saya suntik-suntik ni, tidak ada, dari dulu sampai sekarang muka (dagu) saya memang macam ni.
“Kalau tidak percaya cuba bandingkan gambar saya yang dulu dengan sekarang, pasti sama saja,” jelasnya dalam tawa.
Zoey bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut mengenai isu tersebut kerana baginya apa yang lebih penting sekarang ini adalah kerjayanya yang sedang meningkat naik, bukannya hal remeh-temeh seperti isu dagu kontroversi ini.
Kerjaya kian berkembangPernah membintangi beberapa buah drama antaranya Bong dan Impian Illyana, Zoey mengatakan selain bidang lakonan dia juga amat meminati bidang pengacaraan.
Mungkin kerana wajah dan perwatakannya itu, dia dipilih untuk tiga musim berturut-turut bagi program kanak-kanak Gerak Geri Gasing yang disiarkan di Astro Ceria.
Dia mengakui, popularitinya mula meningkat naik apabila disunting menjadi pengacara program kanak-kanak ini dan bersyukur dengan peluang yang diterima.
“Memang, nama saya lebih menyerlah apabila saya bersama program ini, dan saya seronok menghiburkan peminat cilik yang jujur dalam menyokong saya.
MENGAKUI dirinya lebih popular di kalangan kanak-kanak berbanding golongan dewasa.
“Lagipun program ini memang seronok, saya tidak rasa bosan sepanjang bersama program ini walaupun telah masuk musim ketiga,” jelasnya lagi.
Tambah duta Astro Ceria ini lagi, dia tidak kisah seandainya dia lebih dikenali di kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa kerana baginya kualiti kerja lebih penting berbanding populariti.
“Saya suka kanak-kanak. Lagipun saya buat program kanak-kanak, pastilah saya lebih dikenali kanak-kanak berbanding orang dewasa,” ujarnya.
Sungguhpun begitu, terdetik di hatinya, dia juga inginkan kerjayanya berkembang seperti mana insan seni yang lain.
Kesukaran mendapat watak yang dewasa salah satu sebab mengapa dia masih berada di dalam dunia kanak-kanak dan remaja, namun itu semua bukan penghalang buatnya untuk terus hidup dalam dunia seni.
Memang sudah hakikat bahawa wajahnya itu tidak berkembang seiring dengan peningkatan usianya.
TIDAK mahu isu dagu yang dianggapnya remeh-temeh ini mengganggu kerjaya seninya.
Bagi Zoey itu satu kelebihan buatnya kerana boleh menjadi remaja lebih lama berbanding orang lain.
“Kalau orang lain umur macam saya sudah kelihatan dewasa tetapi tidak saya, bayangkan semua drama yang saya lakonkan semua watak remaja, seronok memang seronok tetapi kedang-kala teringin juga watak yang berbeza.
“Saya sudah memilih bidang ini, mahu tidak mahu saya harus bekerja keras kalau tidak sudah lama saya tinggalkan dunia seni,” tuturnya.
Mulakan bisnes sendiriKecil-kecil cili api, itulah perumpamaan yang sesuai digunakan buat Zoey. Selain sibuk berlakon dan mengacara, Zoey tidak ketinggalan berusaha menambah duit poketnya dengan membuka perniagaan bersama abangnya.
Jelas anak keempat daripada lima beradik ini lagi, syarikat hiasan dalaman Calista Design yang dibuka kira-kira setahun yang lalu itu penting untuk masa depannya.
“Bayangkan kalau tiba-tiba rezeki dalam dunia seni tidak ada, saya tidaklah pening memikirkan mana mahu mencari wang kerana ada sumber kedua untuk mendatangkan rezeki. Apa yang penting hanya usaha,” ujarnya yang menjadikan Aznil Nawawi sebagai idolanya.
Katanya lagi, perjalanan hidup umpama roda, ada kala di bawah dan ada kalanya di atas, dan hidupnya sebagai insan seni masih jauh dan hanya waktu yang akan menentukan kejayaannya.
Powered by Kosmo
Mahu Ke UM Macam Aznil

BAKAT cilik ini begitu menyanjungi Aznil Nawawi.
Aznil Nawawi berjaya mengikut jejak ikonnya, Sudirman untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Adakah Haziq berjaya mengikut langkah Aznil pula?
TATKALA menyaksikan filem genre komedi Nujum Pak Belalang yang diarahkan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, kita pasti terkenangkan keletah pelakon cilik Bad Latif yang memegang watak Belalang.
Gayanya yang bersahaja dan bijak memainkan karakter membuatkan nama Bad Latif atau nama sebenarnya M.H. Ali H.A. Latiff antara pelakon kanak-kanak yang popular pada era P. Ramlee.
Justeru tidak hairanlah Bad Latif merupakan kanak-kanak Melayu pertama dinobatkan, Pelakon Kanak-kanak Lelaki Terbaik pada Pesta Filem Asia di Tokyo menerusi filem, Batu Belah Batu Bertangkup.
Kini industri seni tempatan diriuhkan dengan kehadiran pendatang baru yang cukup terkenal di kalangan kanak-kanak menerusi program, Tom-tom Bak dan Macam-macam Aznil, Muhammad Haziq Mohd Hazem.
Menurut pengacara nombor satu negara yang menjadi individu bertanggungjawab mencungkil bakat Haziq, Aznil Nawawi, Haziq seorang kanak-kanak yang begitu istimewa berbanding kanak-kanak lain. Dia begitu jujur dan tidak bersikap hipokrit ketika bergaul dan berhadapan dengan orang ramai.
AZNIL menganggap Haziq seorang kanak-kanak yang begitu istimewa dan jujur.
“Apa yang menarik mengenai Haziq ialah meskipun berusia sembilan tahun, tetapi corak pemikiran dan kelakuannya sungguh matang. Ketika mengacara dalam segmen Borak, Tom-tom Bak, Haziq begitu berhati-hati menuturkan kata-kata supaya tidak menyinggung perasaan orang lain.
“Dia juga bersikap terbuka dan tidak malu beraksi di hadapan kamera serta spontan tatkala mengacara. Rasa berbangga juga apabila pihak produksi iklan dapat mengesan bakat Haziq menerusi program di Astro,” ujar Aznil ketika dihubungi selepas menjalani proses rakaman Tom-tom Bak.
Keletahnya yang bersahaja tatkala berhadapan di hadapan penonton, membuktikan dirinya seorang kanak-kanak yang berani dan yakin.
“Haziq nak jadi macam uncle Aznil. Uncle bijak, kelakar, bergaya dan baik dengan kanak-kanak. Haziq pun nak belajar rajin-rajin untuk masuk ke Universiti Malaya. Sebab uncle Aznil pun pernah belajar di universiti tu.
“Peluang bergandingan bersama uncle Aznil sememangnya impian Haziq. Sejak menonton rancangan, Macam-macam Aznil, Haziq terus meminta mama menghantar ke sesi uji bakat program tersebut,” luah bakat cilik yang begitu menyanjungi pengacara itu.
Aznil melahirkan rasa terharu apabila Haziq bercita-cita untuk mengikut jejak langkahnya, terutamanya menuntut di UM. Tambahnya: “Impian Haziq itu membayangi diri saya sendiri. Ketika kanak-kanak, saya begitu meminati Allahyarham Sudirman sehingga menanam hasrat untuk belajar di UM sama seperti Sudirman.
“Akhirnya hasrat tersebut tercapai kerana saya berpendapat untuk berjaya dan terkenal seperti Sudirman saya perlu mengikut langkahnya. Kini Haziq pula ingin mencontohi saya.
Bakat kanak-kanak berdarah campuran Melayu Arab yang bijak berhadapan dengan audiens dan bercakap tanpa bantuan skrip, menyebabkan dia terpilih sebagai pengacara dalam beberapa majlis. Antaranya Konsert Merdeka dan Festival
AZLIN sentiasa menasihatkan Haziq supaya mengutamakan pelajaran.
Astro bersama pengacara dan pelakon Zoey dan Zizan (Raja Lawak).
Bukan itu sahaja, tawaran demi tawaran iklan dan drama juga diterimanya. Namun begitu, setiap tawaran yang ditawarkan perlu dikaji terlebih dahulu oleh ibunya, Aqurina Azlin Azizol, 34.
“Buat masa ini kami hanya menerima tawaran berlakon iklan berbanding drama. Ini kerana proses penggambaran drama memerlukan komitmen dan tempoh yang lama. Perangai Haziq pula tepat sahaja pukul 9 malam adalah waktu tidurnya.
“Lagipun saya dan suami tidak mahu, Haziq keletihan pada keesokkan hari untuk ke sekolah. Bagi kami pelajaran perlu diberi keutamaan terlebih dahulu,” kata Azlin mengenai Haziq yang pernah berlakon iklan Streamyx, Singapore Tourism, Carera Bingo (alat tulis) dan Kinrara.
Tambah Azlin, sejak kecil lagi Haziq sudah mula menunjukkan minat dalam bidang seni. Di rumah selain membaca buku cerita dan bermain permainan PS2, dia akan menyanyi dan menari.
Boleh dikatakan setiap kali ada perjumpaan keluarga, Haziq pasti menghiburkan saudara-maranya dengan menyanyi lagu-lagu hit, bermain gitar dan menari.
“Haziq memang suka bidang ini kerana dapat jumpa artis dan masuk televisyen. Namun begitu, Haziq nasihatkan kepada kawan-kawan yang ingin menghadiri uji bakat Tom-tom Bak supaya lakukan yang terbaik.
“Buat apa yang uncle Aznil minta. Jangan buat uncle Aznil sedih sebab dia suka kanak-kanak periang dan sporting,” kata Haziq yang teringin berlakon di samping Aznil dan Awal Shaari. – IZYAN LIYANA MOHD. DARIF
Powered by Kosmo
Personaliti: Ustaz Dzul Dakwah Guna Multimedia
SAMPAIKAN ILMU: Dzulkarnain (kiri) bersama Hassan Mahmood yang menjadi tetamu program Kalam Suci.
Manfaat program bual bicara tarik semua lapisan masyarakat dalami ilmu al-Quran
BERCERAMAH, mengajar al-Quran, mengelola jemaah haji dan umrah, mengacara program televisyen, mencipta lagu hingga merancang majlis perkahwinan, semua dilakukan atas alasan membuktikan Islam adalah agama syumul yang berkait rapat dalam setiap aspek kehidupan umatnya.
Berpegang kepada prinsip, jika orang lain boleh buat kenapa orang Islam tidak boleh, mendorong pengelola haji dan umrah, Dzulkarnain Hamzah Al-Hafiz, 43, mencuba pelbagai perkara termasuk mempelajari teknologi multimedia untuk dimanfaatkan dalam setiap urusan dilakukannya.
Jika dulu hanya berceramah di depan jemaah dan mengajar al-Quran, tetapi berkat kesungguhan belajar serta berani mencuba, beliau mampu mengendalikan peralatan audio serta membuat rakaman ceramahnya sendiri.
Malah, sesi ceramahnya turut dilengkapi peralatan yang membolehkan hadirin menonton tayangan animasi hasil karya beliau yang bukan saja bertujuan menarik minat, juga sebagai nota tambahan yang menguatkan mesej disampaikan.
Bukan itu saja, majlis perkahwinan yang dirancangkan beliau bersama teman turut menggunakan kelebihan penggunaan lampu, asap serta alunan zikir irama kemelayuan diiringi kumpulan pemuzik.
“Orang kata Ustaz Dzul ini pelik. Sebenarnya, saya nampak teknologi mampu bantu buat orang dengar. Oleh itu, kenapa saya tidak gunakan teknologi untuk menyebarkan ilmu jika dengan itu akan memudahkan saya menyentuh jiwa mereka.
“Saya yang pertama menganjurkan Konsert Malam Kesenian Islam di Masjid As-Syakirin KLCC sempena menyambut kemerdekaan sejak tiga tahun lalu. Program yang menggabungkan ceramah dan hiburan berjaya menggamit ribuan orang datang,” katanya.
Katanya, ayat al-Quran serta zikir adalah penyembuh dan beliau menggunakan kecanggihan teknologi untuk menyentuh jiwa orang yang mendengar kerana apabila jiwa sudah disentuh, maka mudah melentur hati mereka.
Justeru katanya, pemilihan sebagai pengacara program Kalam Suci yang disiarkan di saluran 106 Astro Oasis memberi kelebihan kepadanya untuk mencapai satu lagi golongan iaitu mereka yang ingin mempelajari cara membaca al-Quran dengan betul.
Dazulkarnain berkata, program yang disiarkan setiap Khamis jam 10 malam, memberi peluang peserta yang menelefon membaca al-Quran, memahami hukum dan menjelaskan kembali hukum dengan bantuan tetamu jemputan.
Pada episod pertama yang disiarkan Khamis minggu lalu, tetamu jemputan ialah Hassan Mahmood Al-Hafiz yang turut menjelaskan kepada penonton mengenai sebab turunnya ayat dan ilmu dhobit (tanda baris yang ada dalam al-Quran).
Program Kalam Suci juga banyak menggunakan grafik dan gambar rajah sebagai pemudah cara bagi membantu penonton yang baru hendak mendekati al-Quran supaya dapat memahami apa disampaikan dengan lebih berkesan.
“Apabila berceramah, hanya golongan tertentu saja yang datang. Ketika mengendalikan ibadat haji dan umrah, hanya membabitkan jemaah haji dan umrah saja. Peluang mengacarakan Kalam Suci, saya harap dapat menarik semua golongan.
“Pendekatan program ini juga agak santai kerana kita hendak menarik penonton termasuk yang baru belajar membaca al-Quran supaya mereka tidak berasa kerdil dan bagi yang sudah pandai, dapat mempertingkatkan bacaan mereka,” katanya.
Beliau berkata, pengalaman mengendalikan jemaah haji di Tanah Suci Makkah dengan amalan berzikir dan bacaan ayat al-Quran hingga berjaya menyentuh jiwa mereka dimanfaatkan untuk program berkenaan.
Katanya, alunan zikir yang indah dan halus mampu melentur serta memujuk hati yang jumud, beku dan kaku. Apabila jiwa sudah tersentuh, adalah mudah untuk mendekatkan mereka kembali kepada jalan Allah.
Mendekati anak kelahiran Kampung Jasin, Melaka itu, banyak pengalaman dilalui beliau yang pernah menjadi imam muda Istana Negara, berkhidmat selama 13 tahun sebagai guru agama di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan kini aktif berceramah serta mengelola jemaah haji dan umrah.
Pembabitan beliau secara aktif dalam ilmu al-Quran bermula seawal di sekolah rendah kerana minat serta kemampuan membaca al-Quran dengan baik. Beliau pernah menjadi johan dalam Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Sekolah Negeri Melaka.
Malah, beliau turut terpilih mewakili Melaka dalam Pertandingan Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1984 dan 1985. Pada 1985, beliau mewakili Malaysia dalam Pertandingan Taranum dan Tahfiz Peringkat Antarabangsa di Arab Saudi.
Walaupun bersekolah di sekolah menengah aliran Inggeris, kecintaan terhadap ilmu membaca al-Quran tidak pernah luntur dan kerana itu Dzulkarnain mengambil keputusan berhenti belajar di tingkatan empat dan memasuki sekolah pondok.
Beliau menyambung pelajaran di Maahad Muhamadi, Kota Bharu dan kemudian mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran, Masjid Negara sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Jamiah Islamiah Madinah.
Pengalaman berdakwah ditimba ketika bertugas sebagai guru agama Kagat kerana selain memberi ceramah, beliau juga bertindak sebagai imam, bilal, pentadbir, menjadi jurunikah serta menguruskan jenazah.
Tugas semua dalam satu itu mendedahkan beliau kepada banyak perkara yang kini dipraktikkan apabila dijemput memberi ceramah, mengendalikan program motivasi, sebagai tetamu program agama di televisyen dan aktiviti dakwah yang lain.
Pengalaman menarik turut dikongsi beliau ialah ketika berdakwah di setiap kem tentera Malaysia yang bertugas di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Batambang, Kemboja yang dikelilingi tentera Khmer Rouge pada 1992.
“Tugas saya nak bagi kekuatan iman kepada tentera kita. Maklumlah, negara tengah perang banyak gejala tidak sihat yang mungkin mempengaruhi tentera di sana. Bercakap dengan tentera saya guna pendekatan banyakkan unsur jenaka untuk menarik minat mereka.
“Berdakwah dalam suasana perang, saya banyakkan qiamulail sebab kekuatan manusia ini ialah apabila bangun tengah malam. Alunan zikir memujuk hati kita untuk cinta kepada Allah. Setahun tiga bulan di sana, saya rasa kesan tarbiah apabila melihat perubahan mereka,” katanya.
Dzulkarnain berkata, mengelolakan jemaah haji di kalangan golongan atasan juga memerlukan beliau memahami kerenah manusia terutama ketika berada di rumah Allah supaya niat mereka menunaikan rukun Islam kelima itu mendapat keberkatan.
Justeru, selain ilmu psikologi beliau menggunakan zikir dan ayat al-Quran yang diajarkan kepada jemaah sebagai usaha melentur sifat ego serta mementingkan diri supaya mereka sedar tujuan kehadiran di Tanah Suci itu.
Kini, melalui program Kalam Suci beliau berharap dapat memujuk hati penonton untuk belajar ilmu al-Quran dan pada masa sama meneruskan minat dalam bidang seni termasuk mencipta lagu di samping melihat peluang merealisasikan cita-cita untuk mempunyai program bual bicara sendiri.
Katanya, kemampuan pengacara Aznil Nawawi dan AC Mizal menarik pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas, mengikuti program mereka, menguatkan semangat beliau untuk menghasilkan program berunsur keagamaan yang boleh menarik pembabitan semua ahli keluarga.
“Pastinya program saya tidak sama dengan mereka, tetapi apa yang saya idamkan, program itu mampu menarik perhatian semua lapisan masyarakat. Saya selalu berkata, jika mereka boleh tentu saya boleh.
“Saya juga hendak lari daripada konsep kalau ustaz mesti duduk. Dunia berubah dan begitu juga program agama, perlu keluar dari kepompong. Cuba nampakkan Islam boleh buat untuk Islam itu sendiri,” katanya yang mengakui memang suka menonton televisyen dan menghadap komputer pada masa lapang.
Profil
Dzulkarnain Hamzah
Tarikh lahir: 19 April 1965
Tempat lahir: Kampung Jasin, Melaka
Pendidikan: Ijazah sarjana muda dalam bidang tahfiz Jamiah Islamiah Madinah.
Isteri: Junaidah Zakaria, 35
Anak: Mohd Ikram, 19 Rabiatul Adawiyah, 16 Abdul Mughni, 11 Fathur Rahman, 7 Juyairiah, 5
Powered by Berita Harian