Skip to content

Posts from the ‘Awal Ashaari’ Category

31
Jan

Kami Ingin Ke Gaza



Oleh ABIE ABDULLAH
abie@hmetro.com.my

Rap
KEPRIHATINAN orang kita terhadap malang yang melanda warga Palestin di Semenanjung Gaza. Buktinya semalam, ribuan menyerbu Amcorp Mall, Petaling Jaya berganding bahu dengan artis Anugerah Bintang Popular Berita Harian untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza.

Usaha artis kita tidak terhenti di situ saja. Bertempat di Laman Baiduri, Istana Budaya (Kuala Lumpur) hari ini dan esok, lebih ramai lagi penggiat seni tanah air berkumpul mencurahkan keringat dalam usaha amal mengumpul dana bagi mangsa kekejaman Zionis Israel.

Kerja amal yang dinamakan Doa Buatmu Palestin anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin Malaysia dengan kerjasama Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) ini mengatur pelbagai aktiviti selama dua hari bermula jam 10 pagi hingga 11 malam termasuk solat hajat, bacaan puisi, jualan karnival dan lelongan barangan artis.

Idea mulia ini timbul ketika Zahida Rafik yang sedang menonton berita TV mengenai serangan Israel ke atas Gaza sehingga membunuh penduduk Palestin yang kini mencatat lebih 1,200 korban nyawa. Jiwa wanitanya cepat tersentuh melihat kejadian tidak berperikemanusiaan itu.

Bagi pelakon cantik ini, dengan mempunyai ramai kenalan dalam industri seni, dia berkeyakinan mampu membuat sesuatu untuk membantu mereka yang malang itu.

“Saya tahu saya boleh buat sesuatu. Saya kenal ramai artis, orang kerajaan dan pereka fesyen. Kenapa tidak saya gabungkan mereka untuk kerja amal ini.

“Melalui Kak Erma (Fatima), saya mendapat pandangannya untuk merealisasikan hasrat ini. Selepas menubuhkan jawatankuasa, dalam tempoh lebih kurang dua minggu, alhamdulillah semua pihak memberi kerjasama dan perancangan berjalan lancar,” katanya ketika berkunjung ke Metro Ahad, minggu lalu.

Menurut pelakon Anak Mami ini, dalam tempoh berkenaan dia berjaya mendapatkan kelulusan KPKKW, penaja dan sumbangan rakan-rakan seperjuangan. Dia percaya, usaha murni ini dipermudahkan lagi oleh Allah.

Selain persembahan, acara lelongan pakaian pereka fesyen terkenal bakal menjadi tumpuan. 15 pereka ‘A List’ negara termasuk Rizalman Ibrahim, Michael Ong, Syaiful Baharim, Albert King, Calvin Thoo, Jovian Mandagie, Riezman Ruzaimi, Kapas, Zang Toi, Salikin Sidek, Bill Keith, Iszral dan Alvin Teh bersetuju menyerahkan satu rekaan setiap seorang.

Lebih menarik, rekaan ini masih baru dan sebahagian daripadanya berharga RM1,000 hingga RM3,000. Bagaimanapun untuk tujuan lelongan ini, harga diletakkan pada paras RM599 sahaja. Siapa paling tinggi bidaannya, bakal membawa pulang pakaian berkenaan.

“Sebolehnya saya tidak mahu harga yang mahal sangat tetapi saya percaya dalam urusan kebajikan ini, ramai yang sanggup menghulurkan bantuan. Saya berharap sangat, kami dapat mengumpul sebanyak mungkin untuk dana ini,” katanya.

Selain rekaan pereka tadi, ramai juga selebriti yang bersetuju untuk melelong barangan milik mereka seperti Zahida sendiri, Umie Aida, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Aleeza Kassim, Tengku Azura, Julia Zigler, Betty Benafe, Fazli Zainal, Que Haidar, Awal Ashaari, Vanida Imran, Ika Fancy dan kumpulan jurusolek terkemuka, Izatt Artistic Team (IAT).

Turut sama Maya Karin yang tampil menjual kek cawan. Hampir 70 gerai yang disertai oleh peminat dibuka dengan pelbagai jualan – baik makanan mahupun keperluan harian.

Menurut Rohaizad Shariff dari IAT, dia sendiri terkejut dengan respon dan komitmen yang ditunjukkan selebriti tempatan ke atas usaha ini.

“Sebagai manusia, kita sendiri terpanggil untuk membantu sedaya yang mungkin. Inilah masanya untuk kita sama-sama beramal. Sebenarnya dulu kami rancang untuk menjalankan aktiviti amal tetapi tiada acara untuk disesuaikan,” katanya.

Kalau boleh kata Zahida dan Rohaizad, mereka ingin ke Gaza untuk memberi bantuan terus kepada mangsa. Mereka teringin untuk menolong mana yang boleh mereka lakukan.

“Memang kami berharap dapat ke sana tetapi sedar, keadaan terlalu getir. Saya, Rohaizad, Umie dan Erma teringin ke sana. Kami sedar cabarannya tetapi tidak salahkan kalau dapat kami membantu dengan cara itu.

“Namun kalau tidak dapat, kami akan serahkan dana itu terus kepada KPKKW,” kata Zahida.

Harian Metro

14
Jan

Hadiah Artis Lelaki Juga Hebat

Oleh FAIZAL SAHARUNI
mfaizal@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Ketika banyak pihak menyangka hanya pelakon wanita berpeluang menerima hadiah istimewa daripada peminat atau keluarga tersayang, artis lelaki juga tidak kurang hebatnya.

Penyanyi muda, Gadaffi Ismail atau Dafi, 20, memberitahu, hadiah istimewa yang pernah diterimanya berupa sebuah kereta kompak Suzuki Swift 1.6 Sport Edition berharga kira-kira RM105,000 pemberian bapanya iaitu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum itu, katanya, dia juga pernah menerima hadiah sebuah kereta Perodua Kelisa berharga RM40,000 juga pemberian keluarganya.

“Setelah menjadi anak seni, saya belajar sendiri untuk mencari duit, menabung dan menggunakan wang yang diraih untuk perkara kebaikan,” kata Dafi kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Adam AF2 pula menafikan kereta Nissan Fairlady Z350 berharga melebihi RM200,000 yang dipandunya merupakan hadiah daripada seorang kenamaan berpangkat Datuk.


Keratan muka depan Kosmo! semalam.

Bagaimanapun, dia tidak menolak pernah menerima hadiah bernilai RM15,000 iaitu berupa sebuah gitar elektrik berserta sistem audio pemberian sebuah keluarga yang meminatinya kira-kira empat tahun lalu.

Pelakon kacak dan tinggi lampai, Awal Ashaari, 27, juga tidak terkecuali ada pengalaman manis mendapat hadiah berupa seutas jam tangan mewah berharga berbelas ribu ringgit yang dihadiahkan oleh seorang janda.

“Terkejut juga saya apabila menerima hadiah itu, namun setelah memikirkan niat tersembunyi daripada wanita itu, maka dengan pantas saya memulangkan semula pemberian tersebut,” akui Awal.

Lain pula halnya dengan pelawak yang pernah mencipta kegemilangan dalam dunia perfileman Melayu 1980-an, Mohd. Yusof Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Mr. Os yang kini bekerja sebagai pemandu teksi.

Kosmo