Skip to content

Posts from the ‘Anugerah Industri Muzik’ Category

30
May

Raihan Lari Konsep?



Oleh AQMAR ALLADAD

JUDUL Praises For The Prophet dipilih untuk album terbaru dan kesembilan kumpulan nasyid popular Raihan kali ini amat menarik dan memunculkan suatu kelainan.

Mahu tahu kenapa? Ini kerana ia diterbit tanpa vokalis utama dan tanpa muzik iringan.

Ini bermakna paduan suara harmoni keempat-empat anggota Raihan iaitu Abu Bakar Md. Yatim, Amran Ibrahim, Che Amran Idris dan anggota baru Zulfadhli Mustaza yang menggantikan Nazrey Johani memainkan peranan penting. Masing-masing perlu bergabung tenaga memberikan lontaran vokal terbaik mereka.

Bagi memecah kesunyian para peminat nasyid yang dahagakan kemunculan album terbaru mereka, Raihan membawa pendengar untuk menikmati kesegaran alunan selawat kepada Rasulullah s.a.w dengan konsep tanpa muzik iaitu acapella.

Kehebatan keharmonian vokal kumpulan Raihan terserlah dan tidak boleh disangkal lagi kerana mereka telah pun membuktikan segala-galanya menerusi pelbagai kemenangan-kemenangan besar yang diraih sebelum ini.

Ia termasuklah Vokal Terbaik Berkumpulan Anugerah Industri Muzik (AIM) untuk enam tahun iaitu album Syukur (1999), Senyum (2000), Demi Masa (2001), Gema Alam (2002), Allahu (2005) dan Tawakkal (2007).

Namun, persoalannya tidakkah album terbaru Raihan ini lari dari konsep asal album-album Raihan sebelum ini?

Ketua Pegawai Eksekutif Raihan Records, Mubbin Abdul Latiff dalam pada itu menjelaskan, kemunculan album Raihan kali ini berkonsepkan beberapa ciri yang mempunyai banyak cerita untuk dikongsi bersama peminat.

“Album selawat terapi merupakan alunan merdu bagi penawar kepada sebarang masalah sama ada fizikal, minda dan rohani kerana album ini memuatkan koleksi-koleksi selawat yang popular di seluruh dunia.

“Antaranya Solawatul Murtadha, Solawatul Burdah, Ya Rasulallah Salamun ‘Alaik, Solawatus Syafa’ah, Solawatul Mustafa, Assubhu Bada, Solawatul Fathilah dan Thola’al Badru,” katanya pada sidang media majlis pelancaran album Raihan di Bora Asmara di sini baru-baru ini.

Tambah Mubbin, album ini juga melakar sejarah yang tersendiri apabila turut pernah dilancarkan di Royal Albert Hall, London pada 23 Mac lalu.

Justeru, apakah harapan Raihan menerusi album terbaru mereka ini?

Menurut salah seorang anggota kumpulan itu, Che Amran, dia percaya peminat akan berpuas hati dengan kehadiran album Raihan terbaru ini.

“Ini kerana perubahan konsep yang dilakukan bakal mengubat hati peminat untuk mendengar alunan nasyid yang asal iaitu tanpa sebarang muzik.

“Konsep acapella yang digunakan belum lagi dibuat oleh mana-mana penyanyi di negara ini maka ini merupakan perkara baru kepada para pendengar,” jelasnya yang memilih selawat untuk dimuatkan dalam album kali ini sebagai budaya yang sentiasa diamalkan untuk keberkatan hidup umat Islam.

Dia juga memberitahu, perjuangan lagu-lagu nasyid masih diteruskan walaupun sejak akhir-akhir ini penjualan album nasyid jatuh menjunam.

Namun, semangat untuk menaiktaraf serta meletakkan martabat irama berunsur keagamaan itu setanding dengan genre arus perdana yang lain, Raihan tetap kukuh melaksanakannya.

Kumpulan Raihan pada ketika dulu pernah menggegarkan industri muzik tempatan apabila jualan album sulung mereka yang berjudul Puji-Pujian dijual melebihi 750,000 unit pada tahun 1997.

Album terbitan Warner Music Malaysia dulunya itu mencipta sejarah sebagai album tempatan yang paling tinggi jualannya dan rekod itu masih dipegang oleh Raihan sehingga kini.

Bagaimanapun selepas 10 tahun, kumpulan nasyid empat anggota itu terpaksa akur bahawa jualan album mereka kini tidak lagi mencecah ratusan ribu seperti sedekad yang lalu.

Tidak lagi hebat tanpa Nazrey?


RAIHAN kini muncul dengan album terbaru tanpa sumbangan vokal Nazrey.

Walaupun dikatakan Raihan tidak lagi sehebat dulu setelah pengunduran salah seorang tonggak utama kumpulan itu iaitu, Nazrey, Che Amran menegaskan, sangkaan itu tidak benar sama sekali.

“Persembahan pentas masih lagi diterima dari banyak negara yang merupakan sumber pendapatan utama kami sekarang ini.

“Undangan dan persembahan Raihan terus mendapat sambutan ramai,” ungkapnya lagi.

Malah album kali ini turut berada di pasaran antarabangsa seperti United Kingdom, Afrika Selatan, Yemen, Kanada, Thailand, Indonesia, United Arab Emiriyah dan Perancis.

Taktik bijak Raihan

Lebih menarik, semasa Raihan berkunjung ke Abu Dhabi pada 24 April lalu, mereka telah berkesempatan untuk merakamkan dua buah klip video untuk album tersebut.

Kesemua rakaman album itu telah dijalankan di sekitar kota Mekah dan Madinah dan dua lagu yang dipilih untuk dijadikan ‘single’ klip video ialah Assubhu Bada dan Selawat Burdah.

Bagaimanapun, Raihan tidak terlepas daripada menghadapi kesukaran ketika pembikinan klip video di Tanah Suci, memandangkan penggunaan sebarang alat rakaman seperti kamera dilarang sama sekali terutama berada di dalam Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.


RAIHAN bersemangat kental demi memanjangkan hayat mereka di persada seni.

Che Amran mengakui, memang ada kesukaran kerana penggunaan kamera tidak dibenarkan tetapi disebabkan peralatan elektronik kini semakin canggih maka ia tidak menjadi alasan untuk meneruskan juga rakaman di sana.

“Pengalaman kami boleh dikatakan agak kelakar juga. Ia tidak dirancang dan secara kebetulan sahaja. Kami terpaksa menyorokkan kamera kecil untuk membuat rakaman.

“Polis di sana pun tak boleh nak halang sebab orang terlalu ramai. Cuma kami diingatkan jangan keterlaluan sangat, kena sorok-sorok juga,” jelasnya yang turut membuat rakaman klip video di sebuah ladang kurma.

Powered by Kosmo

28
Jan

Artis Baru Dominasi IKON Malaysia 2

Oleh: NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

BARISAN artis yang bakal memberi variasi kepada IKON Malaysia 2.

KESEKIAN kalinya, stesen televisyen berbayar, Astro melalui saluran interaktifnya, Astro RIA akan membawakan pertandingan yang menampilkan artis-artis tempatan untuk bersaing merebut gelaran IKON Malaysia musim kedua dalam kategori solo dan berkumpulan.

Pertandingan berprestij yang dijangka bersiaran sekitar Jun ini bakal menyaksikan seramai 10 artis solo dan 10 artis berkumpulan yang telah disenarai pendek berentap sesama sendiri dalam mempersembahkan kehebatan bakat dan keunikan masing-masing dalam misi memastikan bahawa merekalah yang paling layak bergelar IKON Malaysia untuk musim kali ini.

Artis-artis kategori solo yang bakal menyahut cabaran tersebut ialah Noryn Aziz, Bob AF2, Farah Asyikin, Juwita Suwito, Liza Hanim, Farawahida, Faizal AF4, Khai AF1, Zehra Zambri dan Mila AF5.

Manakala barisan artis yang bakal berentap untuk kategori berkumpulan pula terdiri daripada The Fabulous Cats, New Boyz, SilentScream, Khalifah, Dragon Red, AlamBand, 6ixth Sense, Aboi, Kluk Kluk Advanture dan Deja VooDoo Spells.

Pengurus saluran Astro RIA, Khairul Mizan yang ditemui pada majlis sidang media IKON 2008 yang diadakan di Bar SaVanh Too, Mont Kiara baru-baru ini menyatakan bahawa objektif pertandingan tersebut adalah untuk mempromosikan artis-artis dan muzik tempatan ke peringkat ASEAN.

“Kerjasama dengan IKON Malaysia memperlihatkan bertapa Astro menyokong perkembangan industri muzik tempatan seterusnya memberikan artis-artis tempatan platform untuk mendapat pengiktirafan ke di luar negara,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Khairul Mizan, format pemarkahan untuk musim kali ini masih belum ditentukan lagi.

Secara positifnya, pertandingan seperti ini mampu mengetengahkan bakat dan kebolehan tersendiri seseorang artis yang mana barangkali sebelum ini terlepas pandang oleh para peminat mereka atau mungkin masih belum ditonjolkan lagi.

Cuma yang menjadi persoalannya, mengapakah pertandingan yang dianggap menggalas harapan dan nama negara ini lebih banyak didominasi oleh artis-artis baru?

Bukan bermaksud mengatakan bahawa artis-artis baru tidak mampu menggalas harapan tersebut, cuma terfikir kemana perginya artis-artis senior yang rata-rata berkebolehan menggalas tanggungjawab itu.

Apakah kerana mereka (artis-artis senior) tidak mahu memberikan kerjasama ataupun kerana syarat-syarat penyertaan pertandingan itu sendiri yang tidak melayakkan mereka untuk menyertainya?

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Andrian Lim ada jawapannya.

“Ada beberapa kriteria yang perlu dipatuhi sebelum memasuki pertandingan ini. Antaranya, seseorang artis itu mestilah merupakan ahli RIM dan album mereka mestilah tercalon dalam Anugerah Industri Muzik (AIM).

“Kalau kita lihat di negara ini, artis-artis berkumpulan memang tak ramai. Band-band yang lama memang ada tetapi banyak yang tak ada album, jadi secara tidak langsung kelayakan itu lucut dengan sendirinya.

“Pun begitu, ada juga beberapa band yang kami lihat boleh diketengahkan tetapi ditolak oleh mereka atas sebab-sebab peribadi,” kata Andrian.

Tambah Khairul Mizan: “Walaupun banyak melibatkan artis-artis baru, namun persembahan yang dibuat dengan gaya tersendiri dengan mempersembahkan sesuatu yang berlainan dari persembahan sebelumnya boleh membantu meningkatkan lagi karier mereka.

“Untuk merancakkan lagi IKON Malaysia musim ini, beberapa roadshow akan dibuat diseluruh negara bagi mempromosi dan memperkenalkan barisan artis yang terlibat dalam IKON Malaysia.

“Ini peluang kepada artis-artis yang bertanding terutamanya artis baru dimana kebolehan diri masing-masing boleh ditunjukkan kepada para peminat sepanjang roadshow itu nanti,” katanya.

Powered by Utusan Malaysia