Skip to content

Posts from the ‘Anita Sarawak’ Category

23
Jan

Sedia Turun Padang



Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Bukan mengajak ke zon peperangan, cuma singgah di Tingkat 3, Amcorp Mall, bantu kumpul dana untuk disalurkan kepada Tabung NSTP Untuk Gaza

ATAS nama kemanusiaan di bawah paksi kehidupan yang fana, terbit rasa kesedaran dan keprihatinan dek pergolakan kemelut kemanusiaan yang berlaku di Semenanjung Gaza, Palestin di kalangan manusia di seluruh dunia yang menyelar kekejaman rejim Zionis.

Kesengsaraan mereka di sana menimbulkan marak api kemarahan seluruh rakyat di dunia yang menentang sekeras-kerasnya peperangan, sebaliknya mendambakan sebuah keamanan yang nyata.

Hampir setiap hari laporan di dada akhbar dan laman maya menyentak perasaan kita. Tersentuh dan pilu rasa di hati menyaksikan pertumpahan darah terhadap manusia yang tidak bersalah. Mungkin saja kalau kita mempunyai kuasa dan magis hebat menghentikan darah daripada terus mengalir dan membekukan niat jahat, itu saja jalan terakhir untuk menghalang pakatan Amerika Syarikat dan Israel daripada terus berleluasa mengorbankan nyawa.

Lalu, usaha dan bantuan rakyat Malaysia menerusi medium kerajaan, pertubuhan tertentu mahupun orang perseorangan disambut baik segenap peringkat masyarakat di sini. Umum sudah tahu kepekaan negara kita yang begitu sinonim dengan sikap bermurah hati dan usaha kumpulan The New Straits Times Press (M) Sdn Bhd (NSTP) mewujudkan Tabung NSTP Untuk Gaza terus meraih sokongan dan perhatian ramai pihak apabila berjaya membuat kutipan memberangsangkan.

Biarpun tidak sebesar mana bantuan atau derma yang diberi, paling tidak pun ia mampu mengurangkan keperitan yang dialami rakyat di sana. Kesinambungan kepada usaha yang dibangkitkan ini, satu jualan dan lelongan amal membabitkan selebriti di Malaysia diberi nama ABPBH 2008 Untuk Gaza akan diadakan pada 31 Januari ini di Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya bermula jam 10 pagi hingga 6 petang. Hasil jualan ini akan disalurkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.

Bagi bakat baru yang berpotensi seperti Liyana Jasmay, Juliana Evans, Ainul Aishah, Wan Sharmila, Fizo Omar dan Kamal Adli, dalam tangis mengenang derita penduduk Gaza, mereka bersyukur kerana dilahirkan di bumi tercinta, Malaysia.

Enam bintang muda ini berjanji akan cuba meluangkan masa untuk sama-sama beramal biarpun terikat dengan komitmen kerja sebagai anak seni. Jika mahu melihat selebriti kesayangan anda dengan lebih dekat sambil membeli barangan yang bakal dilelong, pastikan temu janji anda untuk menyerbu Amcorp Mall pada hari itu.

Sentiasa berdoa agar kemelut berakhir

PELAKON genit yang bakal muncul dengan album EP Februari ini antara yang gemar melakukan amal dan melihat usaha NSTP sebagai satu tanggung jawab sosial untuk membantu mereka yang memerlukan. Semestinya sebagai manusia, dia sendiri berasa sedih dan geram dengan apa yang sedang melanda rakyat Palestin.

“Saya sendiri menentang dan membenci peperangan. Kenapa perlu kejahatan sedangkan kita boleh menyelesaikan sesuatu isu dengan cara baik. Peperangan bukan jalan terbaik dan terakhir yang boleh diambil jika tidak timbul perasaan tidak puas hati.

“Apalah sangat dengan sumbangan material yang kita dapat salurkan ke negara itu tapi atas kesedaran, usaha murni yang dibuat oleh Berita Harian melalui ABPBH2008 dan NSTP ini sebagai kebajikan tanpa mengambil kira kepentingan rakyat di negara kita saja, sebaliknya melangkaui negara lain. Selain itu, saya sendiri hanya mampu berdoa memohon supaya kemelut ini akan berakhir.

“Saya sendiri mahu mengikut jejak NSTP melakukan kempen mengatakan tidak kepada peperangan, namun soal masa yang menjadi kekangan. Kalau boleh, saya mahu mengajak rakan artis terbabit sama tanpa rasa berat hati,” katanya Liyana yang akan muncul dengan lagu pertamanya berjudul Tak Percaya Cinta.

“Cubit paha kiri, paha kanan terasa”

BAGI pelakon dan pengacara, Juliana Evans dia menyanjung tinggi inisiatif pihak yang sanggup berusaha untuk membantu mengurangkan beban dan kesusahan. Gadis kacukan ini tidak teragak-agak untuk memberi sokongan tidak kira melalui apa cara sekalipun, lalu acara yang bakal diadakan nanti disambut baik Juliana. Katanya, kita patut bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang dikecapi negara kita.

“Di Malaysia majoriti rakyatnya adalah penduduk beragama Islam dan ibarat mencubit paha kanan, paha kiri juga terasa, apa yang dialami rakyat Palestin turut dirasai kita di Malaysia. Mereka juga saudara Islam kita dan tidak salah kita membantu. Ia tanggungjawab kita bersama,” katanya yang akan muncul dengan drama Kasut Tumit Tinggi di Astro Ria mulai 22 Januari ini.

Tersentuh penderitaan rakyat Gaza

“SAYA sedih dan cukup tersentuh melihat kekejaman yang dilakukan tentera Israel kepada kanak-kanak yang tidak berdosa di Semenanjung Gaza. Saya memang tidak sanggup nak tengok kekejaman yang dilakukan,” kata pelakon dan model, Ainul Aishah mengenai peperangan di Palestin.

Malah setiap hari, Ainul atau mesra dengan panggilan Ain, membaca berita terkini di surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui perkembangan pergolakan ini. Menurut pelakon yang mula digilap bakatnya oleh Prof A Razak Mohaideen ini dia memuji usaha NSTP yang melakukan promosi besar-besaran untuk mengumpul bantuan kepada rakyat Palestin.

“Ain sendiri bergenang air mata kerana tidak sanggup melihat penderitaan dan azab yang rakyat Palestin lalui. Isu ini juga sering dibincang Ain bersama keluarga dan teman, sambil mempersoalkan bila ia akan berakhir.

“Sebagai rakyat Malaysia, Ain menyambut baik niat murni NSTP mengelolakan tabung ini. Ia sesuatu yang harus dihargai dan disokong seluruh pelosok masyarakat di negara kita,” ungkap Ainul yang akan ke set penggambaran filem keenamnya berjudul Sari Pulang. Februari ini juga dia akan terbabit dengan penggambaran drama Merah Putih arahan Isma Yusof untuk slot Lagenda TV3. Drama ini mengikut perancangan akan disiarkan April nanti.

Selebriti luang masa untuk aktiviti amal

SEMENTARA itu, Wan Sharmila juga beriya-iya untuk menyertai aktiviti amal yang buat julung kali disertainya. Bagaimanapun, kata Sharmila dia akan cuba untuk memboloskan diri ke sana, andai terikat dengan jadual seni. Seperti rakyat lain, isteri kepada penerbit, Fazli Baharom ini turut menderma.

“Ini antara ikhtiar yang mampu kita lakukan demi keamanan sejagat. Dermalah seikhlas yang mungkin dan tidak kiralah berapa nilai derma yang diberi kerana ia cukup bermakna kepada rakyat Palestin. Kita harus bersyukur berada di Malaysia dan saya sendiri mengharapkan keamanan yang dikecapi kita selama ini akan terus berkekalan. Insya-Allah,” kata Wan Sharmila yang kini drama lakonannya Rona Roni Makaroni sedang ligat disiarkan di Astro Ria.

Turut sama melahirkan pandangan yang sama ialah dua pelakon yang bergandingan di dalam drama terbitan KRU Studios berjudul Bionik, Kamal dan Fizo. Penggambaran drama itu akan berakhir pertengahan Februari ini.

Kata Fizo yang juga adik tiri kepada pelakon Noniswara ini, kesusahan yang dialami negara kita jauh sekali peritnya yang sedang di alami penduduk Gaza. Begitu juga dengan Kamal yang begitu bersemangat dan sanggup untuk ke negara itu dengan harapan dapat membantu rakyatnya. Mereka sendiri ada menderma melalui SMS dan secara berdepan ke tabung yang disediakan.

Info ABPBH2008 Untuk Gaza:

Tarikh: 31 Januari 2009

Tempat: Tingkat 3, Amcorp Mall, Petaling Jaya

Masa: 10 pagi sehingga 6 petang

Antara aktiviti: Jualan barangan peribadi milik artis dan selebriti, lelongan barangan artis dan selebriti, jualan kek yang ditaja hotel di Lembah Klang oleh artis, sesi bergambar artis bersama peminat, nyanyian oleh artis popular.

Antara artis, personaliti dan selebriti yang sudah mengesahkan kedatangan dan pembabitan:

Datin Seri Tiara Jacquelina, Anita Sarawak, Rosyam Nor, Ramli MS, Faizal Tahir, Erra Fazira, Anuar Zain, Mawi, Meet Uncle Hussain, Aizat, Jaclyn Victor, Dayang Nurfaizah, Diana Danielle, Stacy, Chef Wan, Serina Redzuwan, Farah Annuar, Diddy, Nikki, Nubhan, Marsha, Zahid, Nita, Nabil Raja Lawak, Adi Putra, Farawahida, Sofaz, Foziah Gous, Ifa Radziah, Ally Iskandar, Maria Tunku Sabri, Shamsul Ghau Ghau, Eira Shazira, Dafi dan ramai lagi.

Info Tabung NSTP Untuk Gaza

Kepada mereka yang prihatin hulurkan sumbangan ikhlas anda ke

Bahagian Kewangan NSTP, 31 Jalan Riong, Kuala Lumpur atau menerusi akaun Maybank 514105-320501, atas nama Tabung NSTP Untuk Gaza.

Sumbangan juga boleh diserahkan ke cawangan NSTP di seluruh negara termasuk syarikat bersekutu NSTP iaitu TV3, 8TV, NTV7 dan TV9 serta rangkaian radio miliknya sehingga 7 Februari ini.

Maybank juga menawarkan khidmat berkenaan menerusi cawangannya di seluruh negara, melalui www.maybank2u.com, perbankan telefon KawanKu, mesin deposit cek/tunai atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Fizo Omar

Nama asal: Wan Hafizol Wan Omar

Umur: 23 tahun

Tarikh lahir: 19 Julai 1985

Tempat lahir: Kota Bharu, Kelantan.

Emel: who_pjo@yahoo.com

Kejayaan: Tempat kedua Hero Remaja.

Ainul Aishah

Nama penuh: Ainul Aishah Azizun

Tarikh lahir: 16 April 1985

Asal: Kuala Lumpur

Filem: Nana Tanjung 1 dan 2, Otai, Skrip 7707 dan Histeria

Drama: KL Menjerit The Series, Enigma dan Anak Mami

Myspace: www.myspace.com/ainulaishah

Juliana Evans

Nama penuh: Juliana Sophie Johari Evans

Tarikh lahir: 5 Julai 1989

Asal: Petaling Jaya, Selangor

Darah campuran: British (bapa) dan Melayu (ibu)

Keluarga: Anak bongsu daripada tiga beradik

Drama: Kami The Series (8TV) dan Kasut Tumit Tinggi (Astro)

Filem: Kami The Movies dan Hooperz

Liyana Jasmay

Nama penuh: Liyana Jasmay

Asal: Kuantan, Pahang

Tarikh lahir: 28 Mac 1988

Kerjaya: Pelakon, pelajar

Pencapaian: Pelakon Harapan Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-19

E-mel/facebook: liyana_loves@yahoo.com

Kamal Adli

NAMA: Ahmad Kamal Ahmad Adli

PANGGILAN: Kamal

LAHIR: 16 April 1986 di Pekan Pahang

DRAMA: Impian Sunsilk, Renjis 2 dan Bionik

PROGRAM: Pandanganku Ceritaku (Astro) dan Rentak Juara

Wan Sharmila

Nama penuhnya Wan Sharmila Wan Mohamed. Walaupun tubuhnya kecil tetapi usianya sudah 27 tahun.

Berasal dari Johor Bahru, Johor dan dilahirkan pada 12 Oktober 1981.

Profesionnya ketika ini sebagai pelakon dan pengacara.

Wan Sharmila pernah terbabit dalam Yayasan Warisan Johor dan dia juga adalah bekas penari kepada ratu irama tradisional, Noraniza Idris.

Wan Sharmila juga adalah anak saudara kepada pelakon filem dan drama tidak asing lagi, Wan Maimunah. Malahan Wan Maimunah pernah membantu untuk mengembangkan bakatnya dalam bidang muzik tetapi pada waktu itu, usianya masih terlalu muda.

Banyak berlakon drama bersiri seperti Kisah Kaisara 1 & 2, Sindarella, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni dan Rebab Tak Bertali.

Penghargaan
Pakaian lelaki: Lord’s Tailor
Pakaian wanita: Hatta Dolmat

Berita Harian

31
Aug

Kenali Gaya: Kebaya Eksklusif Untuk Ibu Menyusu Bayi

bminggu@bharian.com.my

Sutera sifon sesuai kerana ciri lembut dan tampak mewah bagi sambutan Aidilfitri

Soalan:Saya seorang ibu, mempunyai anak berusia 12 bulan dan masih menyusu badan. Pada Aidilfitri kira-kira sebulan lagi, saya ingin kelihatan menarik dan tidak terlalu ringkas dengan hanya berbaju kurung. Apakah fesyen dan fabrik sesuai digayakan ibu yang menyusukan bayi?

Apakah yang dimaksudkan dengan fesyen ‘smoking’? Adakah ia sesuai dipakai anak kecil berusia 12 bulan yang sedang lasak?

Elly, melalui emel.

Jawapan :Kali ini, saya lakarkan baju potongan kebaya moden untuk anda. Pilihan baju potongan kebaya dengan bukaan pada bahagian depan baju memudahkan anda untuk menyusukan bayi walaupun sibuk melayan kunjungan tetamu.

Bagaimanapun kelainan dibuat pada bahagian leher baju yang dipotong tinggi serta dibuat ropol supaya gaya tampil berbeza dan tampak eksklusif pada lebaran nanti.


Calvin Thoo bergaya bersama rekaannya.

Penggunaan fabrik yang sesuai akan membuatkan persalinan kelihatan lebih indah. Jadi, saranan fabrik sesuai adalah sutera sifon kerana cirinya yang lembut dan tampak mewah sesuai untuk sambutan Aidilfitri.

Perhatikan juga pilihan baju raya musim ini, kebanyakan pereka menghasilkan rekaan yang sarat dengan sulaman sama ada sulam tebuk atau tampalan renda Perancis.

Untuk anda, saya sarankan dibuat sulaman tebuk pada bahagian hujung baju, lengan dan kaki kain. Memadai sulaman tebuk dengan hiasan jemeki ringkas tapi jika anda tidak sukakan gaya sarat, buat sulaman ringkas tapi lebihkan taburan manik pada bahagian berkenaan supaya baju tampak berseri.

Teknik potongan ‘empire line’ sesuai untuk anda kerana potongan di bahagian berkenaan mampu membuatkan potongan di bahagian dada tampak kemas kerana kebiasaan ibu menyusu mempunyai payu dara yang agak besar. Tanpa sokongan baju dalam dan cara potongan sesuai boleh mencacatkan keindahan baju.

Untuk si dara kecil, pilihan baju yang tampak sedondon membuatkan gaya lebih manis. Biasanya si kecil yang sedang lasak tidak sesuai berbaju kurung seperti ibu. Jadi saya sarankan supaya disediakan gaun ringkas berhias sulam tebuk bermotif sama seperti dibuat pada kebaya anda untuk si kecil.

Fabrik menyerap peluh dan tahan lasak seperti kain kapas dan linen boleh menjamin keselesaan serta ketahanan baju. Gaun adalah gaya mudah untuk bayi yang sedang lasak kerana ia mudah disarung dan dibuka.

Menjawab pertanyaan saudari mengenai smoking, ia adalah sejenis gaya jahitan biasanya dibuat pada bahagian dada baju kanak-kanak daripada material kain kapas. Fesyen smoking menjadi kegilaan kalangan ibu yang menggemari gaya Inggeris. Kebiasaannya gaun smoking menjadi pilihan ibu untuk si kecil berusia dari enam bulan hingga 4 tahun.

Cirinya yang selesa selain tampak berbeza menjadikan ia pilihan tepat untuk digayakan pada Aidilfitri atau majlis keraian seperti majlis ulang tahun kelahiran. Gaun smoking dijahit tangan membuatkan harganya lebih tinggi dan tidak sesuai dipakai sebagai pakaian harian.

PROFIL: Calvin Thoo

Usia : 37 tahun

Asal : Bukit Bintang, Kuala Lumpur

Pendidikan : Ijazah Sarjana Muda Fesyen, RMIT University of Melbourne, Australia

Mempunyai pengalaman selama 12 tahun di dalam industri fesyen tanah air malah nama besar Calvin Thoo pernah menghasilkan rekaan busana indah untuk selebriti antaranya Anita Sarawak, Erra Fazira, Datuk Siti Nurhaliza, Raja Azura, Sazzy Falak dan Dynas.

Kunjungi butik Calvin Thoo di P17, Tingkat 4, Lot 10, Bukit Bintang atau hubungi 03-21486862 untuk pertanyaan lanjut mengenai fesyen.

INFO:Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.

Berita Harian