Skip to content

Posts from the ‘Aaron Aziz’ Category

29
Dec

Drama Melayu 477 Jam



Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap

WALAUPUN kebanyakan stesen televisyen mengurangkan perbelanjaan bagi menghadapi kemerosotan ekonomi pada 2009, Astro tetap menambah jumlah waktu tayangan drama Melayu di empat salurannya iaitu Ria, Prima, Oasis dan Ceria.

Pengumuman itu dibuat Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah di majlis sidang media pelancaran Megadrama yang diadakan baru-baru ini.

Katanya, sepanjang 2009, 477 jam waktu tayangan drama Melayu diperuntukkan berbanding tahun ini, 256 jam.

Berita ini pastinya disambut baik semua penggiat seni tempatan termasuk penerbit, pengarah, pelakon dan penulis skrip.

“Kami tidak berasakan kemelesetan ekonomi yang sudah mula dirasai ramai pihak mempengaruhi perbelanjaan Astro untuk mempertingkatkan mutu rancangan pada empat saluran berbahasa Melayu ini dengan membeli drama terbaik dihasilkan produksi tempatan.

“Saya turut mengharapkan situasi yang berlaku akan memberi kelebihan apabila kebanyakan daripada kita akan mengambil langkah berjimat-cermat dengan mencari bahan hiburan di dalam rumah.

“Kami turut percaya situasi yang membimbangkan ini akan membuatkan kebanyakan daripada kita lebih senang duduk di rumah dan menonton televisyen.

“Astro sendiri tidak bimbang untuk berbelanja lebih kerana menerusi statistik diperoleh menunjukkan jumlah penonton yang menyaksikan drama tempatan di empat saluran ini semakin meningkat.

“Mengambil contoh drama bersiri disiarkan Astro Ria sebelum ini seperti Graduan hanya ditonton sekitar 300,000 orang tetapi Awan Dania yang sedang ditayangkan sekarang, penontonnya meningkat kepada 700,000 setiap minggu,” katanya.

Astro juga tidak akan mengurangkan jumlah pembelian drama daripada produksi tempatan. Bagaimanapun, ia bergantung kepada mutu karya dihasilkan penerbit dan pengarah.

“Hendak diikutkan memang jumlah pembelian tidak tinggi kerana selalunya drama dihasilkan tidak memerlukan kos besar. Kami melihat kepada latar drama itu sendiri kalau lokasinya digunakan menggambarkan zaman sekarang sudah tentu tidak banyak belanja dikeluarkan.

“Begitu juga seperti sistem yang kami gunakan sebelum ini. Produser diminta datang dan berbincang bersama pihak pengurusan rangkaian terlebih dulu bagi membolehkan kami menilai secara keseluruhan drama mahu dihasilkan.

“Sekiranya ia memerlukan belanja lebih kami akan bantu. Mengambil contoh, jika jalan cerita drama terbabit memerlukan teknik kesan khas atau imej penjanaan komputer (CGI) sudah tentu modalnya lebih besar. Kami menilai karya mahu dibeli dari sudut itu,” katanya.

Zainir turut menegaskan, kali ini Astro mencari lebih banyak drama berbentuk telefilem berbanding bersiri. Ini kerana katanya, nisbah drama bersiri disiarkan di kebanyakan saluran yang ada tidak seimbang.

Menyentuh mengenai drama sedia ada yang sering diulang tayang, kata Zainir perkara itu tetap akan dilakukan kerana setiap tahun mereka mempunyai hampir 250,000 pelanggan baru.

“Penonton sebelum ini memang sudah menonton apa yang kami tayang, tetapi tidak bagi pelanggan baru, jadi perkara ini kalau boleh kami cuba seimbangkan. Begitu juga dengan penonton sedia ada.

“Selalunya drama kami mula ditayangkan pada waktu petang, ada yang tidak berkesempatan menontonnya boleh menyaksikan drama itu pada jam 9 malam. Pada kami kalau boleh biar semua penonton berpeluang menyaksikan drama yang kami persembahkan,” katanya lagi.

Pada majlis itu Astro Megadrama mengumumkan empat drama bersiri baru yang menemui penonton bermula pertengahan Disember hingga pertengahan tahun hadapan.

Antaranya, Dua Kali Aku Mencintaimu menampilkan pelakon seperti Tony Eusoff, Fatin Nuratika dan Ebi AF5; Delima dibintangi Ezany Nizarif, Dhira Abu Zahar, Liza Abdullah, Noniswara dan Khairil Anwar.

Dua lagi drama bersiri yang ditayangkan sepanjang kempen Megadrama ini Kasut Tumit Tinggi menampilkan pelakon popular dan terbaik seperti Nanu Baharudin, Norish Karman, Amy Mastura dan Juliana Evens manakala Cinta Gila mengetengahkan gandingan dua pelakon sedang hangat namanya iaitu Aaron Aziz dan Rita Rudaini. Semua drama ini akan ditayangkan di saluran Astro Prima.

Harian Metro

1
Jul

Aaron Raih ‘Emas’ Di Malaysia

Oleh FERIDE HIKMET ATAK


AARON percaya rezeki sentiasa menunggu di depan mata .

WAJAH tampannya, sentiasa menghiasi drama bersiri dan sitkom TV di Singapura.

Bermula dengan drama A War Diary, Lightyears, Missing, Heartlanders, Garisan Takdir, Phua Chu Kang dan My Sassy Neighbour, dia semakin dikenali dan jadual lakonannya hampir penuh dalam diari hidupnya.

Namun, biar pun tawaran demi tawaran diterimanya, pemilik nama Aaron Aziz ini nekad membuat keputusan beralih angin ke bumi bertuah, Malaysia.

Dan nyata pilihannya tepat. Peluang di sini cukup terbuka dan luas menantinya. Lihatlah bagaimana berkesannya dia menarik hati peminat-peminat melalui drama Janji Diana, Emil Emilda, Bulan Bertemu Matahari, Sadiq & Co, Dilemma Wanita, Cahaya Kasih dan Malam 7 Likur.

Dek kehebatannya menghidupkan watak yang diberi juga, dia diberi peluang melakonkan pula filem Evolusi KL Drift.

Dan yang terbaru, Aaron kini mengikat kontrak selama setahun sebagai selebriti eksklusif Astro bersama primadona filem Melayu, Erra Fazira. Terus, Aaron nekad untuk membawa isteri kesayangannya, Diyana Halik dan dua anaknya, Danish Anaqi,4, dan Dwi Ariana, 2, berpindah dan menetap di Malaysia.

KEMUNCULAN Aaron bersamaisteri menarik perhatian pihak media.

Bukan sengaja mahu meninggalkan tanah kelahirannya, Aaron melakukan itu kerana peluang untuk pergi jauh dalam bidang lakonan lebih terbuka luas di sini.

Satu persatu tawaran bergolek di depan matanya. Dengan pelbagai drama yang telah pun dilakonkan, Aaron turut dilantik sebagai jurucakap rasmi produk Lo’real Paris Men Expert Malaysia.

Malah tahun 2008 merupakan tahun emas bagi pelakon kacak ini sehingga dia terpaksa membuat pilihan tawaran mana yang paling sesuai baginya.

“Saya tahu, kita tak boleh tamak dan mengambil semua tawaran yang ada di depan mata. Sebab itu saya harus memilih bukan sahaja untuk saya tetapi juga untuk keluarga,” kata Aaron menjelaskan kewajaran dia berhijrah.

Menurut Aaron ada sebab kenapa dia akhirnya memilih membawa keluarga ke Bangsar, Kuala Lumpur.

“Bayangkan, dulu saya terpaksa berulang alik dari Singapura ke Malaysia dan ini sedikit sebanyak mengganggu kehidupan saya bersama keluarga.

“Jadi bila mendapat peluang ini, saya nekad, mahu membawa isteri dan anak-anak ke sini. Saya lebih senang kalau mereka sentiasa di sisi, senang untuk kami menjalani kehidupan. Dan sekarang ini, saya masih lagi sedang mencari rumah dan sekolah untuk anak-anak,” kata Aaron yang ditemui di majlis Wajah Ekslusif Astro Erra Fazira dan Aeron Aziz di Carcosa Seri Negara di ibu negara baru-baru ini.

Namun, dalam perkiraannya untuk berpindah, Aeron juga terpaksa membuat pengorbanan kerana terpaksa meninggalkan ibu dan ayahnya di Singapura.

AKSI romantis Aaron di samping wanita kesayangannya.

“Apa boleh buat. Saya tak dapat membawa mereka bersama. Tetapi saya akan pastikan selalu pulang ke Singapura untuk menziarah mereka,” katanya.

Isteri Aaron yang turut di sisi di majlis ini dilihat cukup terbuka. Malah dia turut ceria melayan sapaan rakan media dan tidak bermasalah apabila suaminya sentiasa di sisi wanita cantik jelita, Erra Fazira.

Yang pasti dari kejauhan, Kosmo! dapat melihat bagaimana romantisnya lelaki ini dengan insan tersayang. Mungkin di kaca tv dan layar perak, wanita lain sering dalam pelukan, tetapi di alam realiti kecintaannya sangat jelas untuk keluarga. Memang patut kalau Aaron digelar lelaki romantis.

Kerana bayaran kurang enakCuba mencungkil lagi sebab-sebab mahu berhijrah ke Malaysia selain daripada tawaran Astro yang diterimanya, Aaron akui, selain mahu mengembangkan lagi sayapnya, bayaran yang diberi di Singapura kurang memberangsangkan.

“Saya memang suka bekerja di sana. Tetapi sampai bila saya mahu membuat kebajikan kepada orang? Saya pun perlu hidup dan menyara keluarga saya.

“Di sana saya tidak banyak terima bayaran yang ‘enak’. Dan kadang-kala juga saya tidak dibayar kerana ia lebih kepada kebajikan. Bila saya cakap macam ini jangan ingat saya ‘demand’ pula ya,” tuturnya berterus terang.

Berkenaan dengan bayaran yang diterima daripada Astro pula, Aaron lebih selesa enggan mengulas lanjut mengenainya.

“Cukup untuk saya katakan yang ia memang berbaloi dan tawaran yang diberi lebih hebat berbanding tawaran-tawaran yang pernah saya terima.

“Apa pun, tidak bermakna saya boleh bergoyang kaki dengan sesuka hati. Saya dan Erra diambil untuk menarik perhatian peminat-peminat drama. Jadi kami akan membuat yang terbaik agar tiada rasa kurang puas hati di kemudian hari,” katanya yang baru sahaja selesai penggambaran drama bersiri, Cinta Gila untuk saluran Astro Prima.

Hijrah seorang ratu Sementara itu, bagi Erra Fazira pula, satu pengalaman baru buatnya kerana pertama kali penyanyi dan pelakon popular ini cuba beralih ke versi drama.

Itupun, kerana bekas ratu cantik ini melihat sendiri rakan-rakan yang berlakon drama mahupun filem mempunyai pendekatan yang berbeza.

Mengikat kontrak selama setahun, Erra sudah pun memulakan penggambaran telefilem, Joe dan Farida di bawah arahan Adlin Aman Ramli dan seterusnya, drama bersiri Rona-Roni Makaroni pula.

“Beza dengan filem, masa penggambaran yang diambil biasanya lebih singkat dan kita boleh merancang untuk mendapatkan sesebuah lokasi yang tidak jauh dari KL.

“Tetapi, walaupun masanya singkat, kami bekerja hampir 24 jam setiap hari. Mula-mula pening juga. Tapi ia satu pengalaman yang menyeronokkan,” tutur Erra yang jelas kelihatan gembira dengan kerja barunya.

Anggun mengenakan gaun rekaan Zeri Zamri, Erra mensasarkan ingin meraih pelbagai jenis penonton dan bukan khalayak filem semata-mata.

“Sasaran pertama saya untuk menarik peminat-peminat drama pula kerana saya tahu penonton dapat merasa diri kita lebih dekat lagi berbanding dengan di layar perak. Inilah impian saya sejak lima tahun lalu,” ujarnya.

Ditanya pula bagaimana jika peminat-peminatnya bosan dengan wajahnya yang sentiasa ditonjolkan di televisyen lebih-lebih lagi nilai komersialnya mungkin akan berkurangan, Erra teruskan bicara: “Saya rasa tiada kebosanan di fikiran penonton kerana bukan semua drama di Astro yang kami lakonkan.

“Setiap watak yang diberi, akan dibincang bersama supaya ia bersesuaian dengan saya. Tentang nilai komersial pula, bukan saya nak mengabaikannya, tetapi saya lebih ke arah karakter lakonan yang berbeza. Tidak menjadi masalah untuk saya tentang itu.”

Melakonkan watak dalam drama kepada Erra tidak banyak berhadapan dengan masalah. Ini termasuklah jika sekiranya dia ditakdirkan mengandung dalam jangka masa terdekat ini.

“Kalau mengandung? Kita boleh berlakon watak perempuan mengandung pula. Itulah yang seronok berlakon drama,” kata Erra dengan maksud penuh tersirat.

Kosmo

12
May

Nine Faces Of Channel 5

SINGAPORE : Here’s a quick pop quiz: What do Gurmit Singh, Adrian Pang, Fiona Xie, Michelles Chia and Chong, Andrea Fonseka, Utt, Aaron Aziz and Jas Arora have in common?

If you don’t know, you’re obviously not watching enough TV. Suffice it to say, these are the nine faces of Channel 5 who are tasked with spearheading the channel’s latest re-branding exercise, which aims to put more home-grown talent on air.

Their faces certainly are familiar enough: Gurmit is a 13-year Channel 5 stalwart; you could say that Adrian has been in almost every drama, variety, comedy and game show; Andrea became TV’s “it” girl just after one season on Deal Or No Deal; Fiona and Michelle Chia have successfully crossed over from Channel 8; Michelle Chong is known for her comic turns on TV; Utt’s perennial hosting duties have given him a wider demographic; while Aaron and Jas had impressive outings on Heartlanders and Achar!, respectively.

So why then?

Powered by Channel News Asia

11
Mar

Syamsul Buat Yusoff Bangga

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED (metra.mohamed@utusan.com.my)

TAHUN lalu, penggemar dunia pemotoran dihidangkan dengan filem bertajuk Impak Maksima arahan Ahmad Idham.

Melalui babak-babak aksi lumba yang ditayangkan, ia merupakan formula paling mudah untuk memikat generasi muda bertandang ke pawagam.

Bulan depan, kelangsungan filem bercorak sedemikian diteruskan lagi apabila Syamsul Yusof memberanikan diri menghasilkan filem sulungnya iaitu Evolusi KL Drift.

Egoisme, dendam dan gelodak jiwa yang membara merupakan intipati yang menjadi nadi serta nafas kepada filem tersebut.

Apa yang menarik, Evolusi KL Drift menghidangkan deruman dan pelbagai aksi lumba yang diperhebatkan melalui kemunculan barisan kereta berkuasa tinggi seperti Skyline, RX7 dan 180SX.

Meskipun dikatakan mampu menandingi filem Impak Maksima, sutradara muda yang juga anak kepada jutawan filem, Datuk Yusof Haslam itu bagaimanapun, lebih senang mengambil pendekatan merendah diri.

Menurut Syamsul, penghasilan Evolusi KL Drift bukanlah untuk bersaing dengan mana-mana filem tetapi ia merupakan sebuah karya yang bakal membawa perubahan kepada industri perfileman.

Mendapat pujian daripada bapanya, Syamsul memberitahu, Evolusi KL Drift mempunyai kekuatan tersendiri dan tidak perlu dibandingkan dengan filem-filem lain.

“Filem lain ada kekuatan masing-masing dan begitu juga dengan Evolusi KL Drift. Saya tidak mahu meninggi diri dan penontonlah yang layak memberikan penilaian nanti,” ujarnya.

Menghasilkan Evolusi KL Drift kata Syamsul, bukan satu kerja yang mudah.

Banyak pengorbanan terpaksa dilakukan sehinggakan waktu tidurnya selama menjalani penggambaran sekadar terbatas untuk tiga hingga empat jam sahaja.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan ibu bapa serta semua pelakon dan krew filem ini,’’ katanya pada majlis pelancaran Evolusi KL Drift di ibu negara, baru-baru ini.

Evolusi KL Drift mengisahkan dua sahabat, Zack, lakonan Syamsul dan Sham (Farid Kamil) berkongsi hobi dan minat dalam perlumbaan kereta drift.

Kelazimannya bidang permotoran didominasi golongan maskulin tetapi ia tidak menghalang Fasha (Fasha Sanda), teman wanita Zack untuk memecah monopoli itu.

Dalam hubungan Zack dan Fasha dilanda pergolakan, Sham dalam diam menaruh rasa cinta terhadap Fasha.

Apakah kesudahan kekalutan yang melanda? Di manakah garisan penamat sebenar dalam perlumbaan kehidupan Zack dan Shah? Adakah keintiman Fasha dan Sham mampu membina satu ikatan?

Kesemua konflik ini akan terjawab setelah anda menonton Evolusi KL Drift yang bakal ditayangkan di pawagam bermula 3 April ini.

Evolusi KL Drift diiterbitkan secara usaha sama dengan antara Skop Productions Sdn. Bhd., dengan Grand Brilliance Sdn. Bhd.

Filem tersebut turut dibintangi Aaron Aziz, Iqram Dinzly, Shaifuddin Hashim, Rizal Ashraf, Hetty Sarlene dan Diana Danielle.

Merajuk dengan bapa?

Sementara itu, pada majlis pelancaran Evolusi KL Drift baru-baru ini, Yusof mendedahkan rahsia yang anaknya itu pernah merajuk sebelum filem itu dihasilkan.

Menurut Yusof, ia berlaku begitu kerana kerana skrip asal filem itu yang diserahkan oleh anak terunanya pada tiga tahun lalu itu bukan sahaja dipandang sepi tetapi menerima kritikan keras oleh Yusof.

Disebabkan itu, Syamsul bagaikan mengasingkan diri sehingga menyerahkan sekali lagi skrip Evolusi KL Drift kepada Yusof pada tahun lalu.

Menjawab mengenai perkara itu, Syamsul berkata: “Ketika itu saya memang marah tetapi disebabkan kritikan bapa, saya akhirnya kembali dan dapat menghasilkan satu skrip yang mantap.”

Kata Syamsul, filem yang mengambil masa 38 hari pengambaran itu pada awalnya direncanakan penerbitannya dengan kos sebanyak RM1 juta tetapi terbabas kepada RM2 juta.

“Aksi di jalan raya terpaksa menggunakan ramai stuntman. Kamera juga perlu banyak. Sebab itu bajet terbabas.

“Tapi, Alhamdulillah, akhirnya siap juga filem ini,’’ ujarnya sambil menambah bapanya turut menyumbang idea dalam pembikinan Evolusi KL Drift.

Pada masa yang sama, ada khabar yang menyebut Evolusi KL Drift bakal ditayangkan di Jepun.

Menjawab persoalan itu, Syamsul berkata: “Memang ada sebuah syarikat pemotoran di Jepun berminat untuk membawa filem ini ke sana. Tetapi, sama ada ia menjadi kenyataan atau tidak, kena tunggulah nanti,’’ katanya ringkas.

Powered by Utusan Malaysia