Skip to content

Posts from the ‘AC Mizal’ Category

10
Feb

Soseh Soseh: Sheila Majid Pengetua AF7?



Rap
SEPERTI biasa sebaik masuk saja musim baru program realiti TV, Akademi Fantasia, pelbagai spekulasi ditimbulkan pemerhati dan peminat setia rancangan itu.

Tidak terkecuali, rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) yang kini giat menjalankan uji bakat bagi memilih pelajar dirasakan layak.

Selain pelajar antara yang menjadi perhatian adalah pengacara, tenaga pengajar dan pengetua yang bakal mengendalikan kelas diadakan.

Tahun ini SS mendapat beberapa maklumat daripada sumber dalaman penerbitan AF7 itu sendiri.

Difahamkan pada tahun ini Sarimah dan AC Mizal masih lagi dikekalkan sebagai pengacara.

Seperti biasa Sarimah atau lebih popular dengan panggilan Kak Mah Gali akan mengacarakan rancangan Diari, disiarkan setiap hari sementara AC Mizal akan mengendalikan konsert mingguan.

Kata sumber itu lagi, pengacara tidak mungkin akan bertukar kerana masing-masing sudah menandatangani kontrak untuk lima tahun.

Bermakna Aznil tidak akan kembali sebagai pengacara seperti apa yang digembar-gemburkan sebelum ini? Menyentuh mengenai hal itu kata sumber, Aznil tetap akan kembali dalam AF7 tetapi bukan sebagai pengacara atau tenaga pengajar sebaliknya dia diberikan tugas sebagai pengkritik tetap.

Begitupun jawatannya itu boleh ditukar di saat-saat akhir kerana kontrak belum lagi ditandatangani.

Lalu siapakah yang akan mengendalikan AF7 sebagai pengetua? Apa yang SS tahu setakat ini produksi baru yang mengendalikan rancangan ini sudah bertemu dengan ramai calon sesuai termasuklah Datuk Sheila Majid.

Katanya lagi, Sheila tertarik dengan tawaran diberikan untuk menjadi pengetua AF7, bagaimanapun pengesahannya belum lagi diperoleh kerana seperti Aznil, penyanyi digelar ratu jazz itu juga belum lagi diberikan kontrak.

Takut nanti apabila berita ini SS sudah siarkan ia tidak lagi menjadi kejutan, dan terpaksa mereka menjadi calon lain.

Apapun bukankah Akademi Fantasia penuh kejutan.

Harian Metro

19
Nov

‘Bukan Komedi Dibuat-Buat’

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
PENGARAH dan pelakon versatil, Afdlin Shauki memang gemar mencuba sesuatu yang baru dalam setiap karyanya. Beberapa filem yang dihasilkannya seperti Baik Punya Cilok, Buli, Buli Balik dan Sumolah ternyata mendapat maklum balas positif.

Terbaru, Afdlin mempertaruhkan filem komedi penyiasatan, Los dan Faun yang dibintangi pelakon terkenal tanah air seperti Erra Fazira, Adlin Aman Ramlie, Hans Isaac, Ida Nerina, AC Mizal, Khir Rahman dan Stephen Rahman Huges.

Dek kesibukan berlakon dan mengarah menyebabkan filem berkenaan yang sudah hampir dua tahun tamat penggambaran baru dapat ditayangkan bulan depan.

Filem terbitan syarikatnya, Vision Works Sdn Bhd dan edaran Metrowealth International Group (MIG) itu bakal ditayangkan di 53 pawagam seluruh negara bermula 4 Disember.

Ketika ditemui pada majlis prebiu tayangan filem itu di Cathay Cineleisure, Mutiara Damansara, baru-baru ini, Afdlin berkata, walaupun tempoh penggambaran filem berkenaan berjaya disiapkan seperti dijadualkan namun masalah ketika proses post produksi disebabkan beberapa faktor sehingga filem berkenaan melalui tempoh yang panjang sebelum ditayangkan.

“Ada beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan ketika proses penyuntingan. Jika diikutkan penggambaran selama sebulan itu tamat mengikut jadual. Pada masa yang sama pula saya menyiapkan filem Sumolah. Jadi saya menumpukan satu projek terlebih dulu sebelum beralih ke projek lain.

“Idea menghasilkan filem ini pula terhasil apabila memikirkan untuk menghasilkan sesuatu yang lain daripada filem saya sebelum ini. Jadi dengan karakter yang pelbagai dan mempunyai kekuatan masing-masing saya mahu menghasilkan satu filem yang menarik.

“Walaupun ada karakter yang hanya terbabit dalam beberapa babak namun saya tidak mahu penonton menganggap pelakon itu watak tempelan saja. Pada saya setiap karakter mempunyai tarikan dan kekuatan masing-masing. Unsur komedi dalam filem ini pula membabitkan komedi situasi supaya ia kelihatan semula jadi dan tanpa dibuat-buat.

“Ini adalah langkah pertama saya mendedahkan filem dengan genre penyiasatan berbentuk komedi seperti siri popular di luar negara, Monk. Secara tidak langsung saya mahu membuktikan kepada karyawan seni filem Melayu juga mempunyai pelbagai genre hiburan,” katanya.

Afdlin menjayakan watak Tuan Soffaruddin memaklumkan projek berkenaan yang dijalankan selepas mendapat pinjaman daripada Bank SME berjaya dilaksanakan dengan kerjasama banyak pihak.

“Kalau diikutkan hampir semua pelakon dalam filem ini pernah berkerja sama dengan saya. Di sebalik menumpukan aspek pengarah saya juga memikirkan peranan kecil untuk menjayakan filem ini. Disebabkan itu saya tampil dengan watak Tuan Soffaruddin.

“Begitu juga penampilan khas, Stephen (Rahman Huges) sebagai Dick Johnson. Sebelum ini, saya memang mengagumi bakatnya ketika menjayakan pementasan Puteri Gunung Ledang lalu. Penampilan Stephen dalam layar perak adalah untuk memperkenalkannya kepada penonton tempatan dari sudut yang berbeza,” katanya.

Biarpun belum pasti penilaian penonton terhadap filem itu, Afdlin memaklumkan akan menghasilkan sekuel filem berkenan bergantung pada sambutan apabila ditayangkan kelak. Malah siri televisyen dijangka disiarkan pada pertengahan tahun depan di TV3.

Teraju utama filem itu, Adlin Aman Ramlie, berkata kombinasi bersama Hans Isaac dalam filem itu memainkan peranan yang tersendiri.

“Sebelum ini, saya memang tidak mempunyai pengalaman bekerja dengan Hans. Namun, saya percaya dengan penilaian dan arahan pengarah (Afdlin). Gandingan kami ternyata mempunyai kekuatan tersendiri.

“Melakonkan aksi komedi pada saya tidak perlu terlalu memaksa atau dibuat-buat. Saya percaya kepada skrip yang filem berkenaan yang cukup kuat dan mudah untuk difahami,” katanya.

Bagi pengarah terkenal, Aziz M Osman pula, filem berkenaan memainkan pendekatan yang berbeza. Walaupun menampilkan konsep yang seakan-akan siri filem Eropah namun ia ternyata mengekalkan identiti ketimuran masyarakat kita.

Filem ini mengisahkan dua budak kampung yang berasal dari Melaka yang mencari pekerjaan di ibu kota, Carlos Rodrigo Gunting atau Los (Hans) dan Ahmad Faun atau Faun (Adlin). Pelbagai kerja cuba dilakukan dua sahabat karib berkenaan namun kejujuran Faun selalunya membuatkan mereka dipecat.

Semuanya berubah apabila Faun membantu tuan kedai yang baru memecat mereka apabila dia kehilangan dompet. Kemahiran luar biasa Faun membolehkan mereka membuka suatu perniagaan baru iaitu agensi mencari barang hilang.

Perniagaan mereka bertambah maju. Sehingga pada suatu hari mereka didatangi seorang Datin yang mahu menjejaki jam tangan bernilai RM40 juta milik suaminya, Tuan Soffaruddin yang hilang selepas meninggal dunia. Dalam misi Los dan Faun menyelesaikan kes itu pelbagai persoalan timbul membabitkan penyelewengan dan konspirasi kehilangan jam berkenaan.

Harian Metro

24
Apr

Personaliti: Ustaz Dzul Dakwah Guna Multimedia

Oleh Hasliza Hassan



SAMPAIKAN ILMU: Dzulkarnain (kiri) bersama Hassan Mahmood yang menjadi tetamu program Kalam Suci.

Manfaat program bual bicara tarik semua lapisan masyarakat dalami ilmu al-Quran

BERCERAMAH, mengajar al-Quran, mengelola jemaah haji dan umrah, mengacara program televisyen, mencipta lagu hingga merancang majlis perkahwinan, semua dilakukan atas alasan membuktikan Islam adalah agama syumul yang berkait rapat dalam setiap aspek kehidupan umatnya.

Berpegang kepada prinsip, jika orang lain boleh buat kenapa orang Islam tidak boleh, mendorong pengelola haji dan umrah, Dzulkarnain Hamzah Al-Hafiz, 43, mencuba pelbagai perkara termasuk mempelajari teknologi multimedia untuk dimanfaatkan dalam setiap urusan dilakukannya.

Jika dulu hanya berceramah di depan jemaah dan mengajar al-Quran, tetapi berkat kesungguhan belajar serta berani mencuba, beliau mampu mengendalikan peralatan audio serta membuat rakaman ceramahnya sendiri.

Malah, sesi ceramahnya turut dilengkapi peralatan yang membolehkan hadirin menonton tayangan animasi hasil karya beliau yang bukan saja bertujuan menarik minat, juga sebagai nota tambahan yang menguatkan mesej disampaikan.

Bukan itu saja, majlis perkahwinan yang dirancangkan beliau bersama teman turut menggunakan kelebihan penggunaan lampu, asap serta alunan zikir irama kemelayuan diiringi kumpulan pemuzik.


“Orang kata Ustaz Dzul ini pelik. Sebenarnya, saya nampak teknologi mampu bantu buat orang dengar. Oleh itu, kenapa saya tidak gunakan teknologi untuk menyebarkan ilmu jika dengan itu akan memudahkan saya menyentuh jiwa mereka.

“Saya yang pertama menganjurkan Konsert Malam Kesenian Islam di Masjid As-Syakirin KLCC sempena menyambut kemerdekaan sejak tiga tahun lalu. Program yang menggabungkan ceramah dan hiburan berjaya menggamit ribuan orang datang,” katanya.

Katanya, ayat al-Quran serta zikir adalah penyembuh dan beliau menggunakan kecanggihan teknologi untuk menyentuh jiwa orang yang mendengar kerana apabila jiwa sudah disentuh, maka mudah melentur hati mereka.

Justeru katanya, pemilihan sebagai pengacara program Kalam Suci yang disiarkan di saluran 106 Astro Oasis memberi kelebihan kepadanya untuk mencapai satu lagi golongan iaitu mereka yang ingin mempelajari cara membaca al-Quran dengan betul.

Dazulkarnain berkata, program yang disiarkan setiap Khamis jam 10 malam, memberi peluang peserta yang menelefon membaca al-Quran, memahami hukum dan menjelaskan kembali hukum dengan bantuan tetamu jemputan.

Pada episod pertama yang disiarkan Khamis minggu lalu, tetamu jemputan ialah Hassan Mahmood Al-Hafiz yang turut menjelaskan kepada penonton mengenai sebab turunnya ayat dan ilmu dhobit (tanda baris yang ada dalam al-Quran).

Program Kalam Suci juga banyak menggunakan grafik dan gambar rajah sebagai pemudah cara bagi membantu penonton yang baru hendak mendekati al-Quran supaya dapat memahami apa disampaikan dengan lebih berkesan.

“Apabila berceramah, hanya golongan tertentu saja yang datang. Ketika mengendalikan ibadat haji dan umrah, hanya membabitkan jemaah haji dan umrah saja. Peluang mengacarakan Kalam Suci, saya harap dapat menarik semua golongan.

“Pendekatan program ini juga agak santai kerana kita hendak menarik penonton termasuk yang baru belajar membaca al-Quran supaya mereka tidak berasa kerdil dan bagi yang sudah pandai, dapat mempertingkatkan bacaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman mengendalikan jemaah haji di Tanah Suci Makkah dengan amalan berzikir dan bacaan ayat al-Quran hingga berjaya menyentuh jiwa mereka dimanfaatkan untuk program berkenaan.

Katanya, alunan zikir yang indah dan halus mampu melentur serta memujuk hati yang jumud, beku dan kaku. Apabila jiwa sudah tersentuh, adalah mudah untuk mendekatkan mereka kembali kepada jalan Allah.

Mendekati anak kelahiran Kampung Jasin, Melaka itu, banyak pengalaman dilalui beliau yang pernah menjadi imam muda Istana Negara, berkhidmat selama 13 tahun sebagai guru agama di Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) dan kini aktif berceramah serta mengelola jemaah haji dan umrah.

Pembabitan beliau secara aktif dalam ilmu al-Quran bermula seawal di sekolah rendah kerana minat serta kemampuan membaca al-Quran dengan baik. Beliau pernah menjadi johan dalam Pertandingan Membaca al-Quran Peringkat Sekolah Negeri Melaka.

Malah, beliau turut terpilih mewakili Melaka dalam Pertandingan Tahfiz al-Quran Peringkat Kebangsaan pada 1984 dan 1985. Pada 1985, beliau mewakili Malaysia dalam Pertandingan Taranum dan Tahfiz Peringkat Antarabangsa di Arab Saudi.

Walaupun bersekolah di sekolah menengah aliran Inggeris, kecintaan terhadap ilmu membaca al-Quran tidak pernah luntur dan kerana itu Dzulkarnain mengambil keputusan berhenti belajar di tingkatan empat dan memasuki sekolah pondok.

Beliau menyambung pelajaran di Maahad Muhamadi, Kota Bharu dan kemudian mendalami ilmu al-Quran di Darul Quran, Masjid Negara sebelum melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Jamiah Islamiah Madinah.

Pengalaman berdakwah ditimba ketika bertugas sebagai guru agama Kagat kerana selain memberi ceramah, beliau juga bertindak sebagai imam, bilal, pentadbir, menjadi jurunikah serta menguruskan jenazah.

Tugas semua dalam satu itu mendedahkan beliau kepada banyak perkara yang kini dipraktikkan apabila dijemput memberi ceramah, mengendalikan program motivasi, sebagai tetamu program agama di televisyen dan aktiviti dakwah yang lain.

Pengalaman menarik turut dikongsi beliau ialah ketika berdakwah di setiap kem tentera Malaysia yang bertugas di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Batambang, Kemboja yang dikelilingi tentera Khmer Rouge pada 1992.

“Tugas saya nak bagi kekuatan iman kepada tentera kita. Maklumlah, negara tengah perang banyak gejala tidak sihat yang mungkin mempengaruhi tentera di sana. Bercakap dengan tentera saya guna pendekatan banyakkan unsur jenaka untuk menarik minat mereka.

“Berdakwah dalam suasana perang, saya banyakkan qiamulail sebab kekuatan manusia ini ialah apabila bangun tengah malam. Alunan zikir memujuk hati kita untuk cinta kepada Allah. Setahun tiga bulan di sana, saya rasa kesan tarbiah apabila melihat perubahan mereka,” katanya.

Dzulkarnain berkata, mengelolakan jemaah haji di kalangan golongan atasan juga memerlukan beliau memahami kerenah manusia terutama ketika berada di rumah Allah supaya niat mereka menunaikan rukun Islam kelima itu mendapat keberkatan.

Justeru, selain ilmu psikologi beliau menggunakan zikir dan ayat al-Quran yang diajarkan kepada jemaah sebagai usaha melentur sifat ego serta mementingkan diri supaya mereka sedar tujuan kehadiran di Tanah Suci itu.

Kini, melalui program Kalam Suci beliau berharap dapat memujuk hati penonton untuk belajar ilmu al-Quran dan pada masa sama meneruskan minat dalam bidang seni termasuk mencipta lagu di samping melihat peluang merealisasikan cita-cita untuk mempunyai program bual bicara sendiri.

Katanya, kemampuan pengacara Aznil Nawawi dan AC Mizal menarik pelbagai lapisan masyarakat daripada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas, mengikuti program mereka, menguatkan semangat beliau untuk menghasilkan program berunsur keagamaan yang boleh menarik pembabitan semua ahli keluarga.

“Pastinya program saya tidak sama dengan mereka, tetapi apa yang saya idamkan, program itu mampu menarik perhatian semua lapisan masyarakat. Saya selalu berkata, jika mereka boleh tentu saya boleh.

“Saya juga hendak lari daripada konsep kalau ustaz mesti duduk. Dunia berubah dan begitu juga program agama, perlu keluar dari kepompong. Cuba nampakkan Islam boleh buat untuk Islam itu sendiri,” katanya yang mengakui memang suka menonton televisyen dan menghadap komputer pada masa lapang.

Profil

Dzulkarnain Hamzah

Tarikh lahir: 19 April 1965

Tempat lahir: Kampung Jasin, Melaka

Pendidikan: Ijazah sarjana muda dalam bidang tahfiz Jamiah Islamiah Madinah.

Isteri: Junaidah Zakaria, 35

Anak: Mohd Ikram, 19 Rabiatul Adawiyah, 16 Abdul Mughni, 11 Fathur Rahman, 7 Juyairiah, 5

Powered by Berita Harian