Oleh Zaidi Mohamad
zaidim@bharian.com.my

Natasha Hudson
Sokongan suami, keluarga dan rakan membuatkan Natasha teruja beraksi dalam teater muzikal arahan Rosminah Tahir
HATINYA agak berat untuk meninggalkan anak tersayang yang membesar di depan mata sejak lapan bulan lalu demi meneruskan minatnya terhadap bidang seni.
Malahan kalau dibiar berenggang sesaat pun, pasti hati si ibu jelita ini resah gelisah. Tambahan pula, anak perempuan comel bernama Nessa Helena, 8 bulan ini adalah anak sulungnya dan hampir setiap detik, kalbu rindu pasti mencengkam jiwa. Namun peluang berharga untuk melebarkan sayap buat kali pertama ke pentas teater yang mungkin hanya singgah sekali dalam seumur hidup, membuatkan pelakon dan model jelita berdarah campuran Melayu dan Australia ini mengubah keputusannya.
Demikianlah gambaran perasaan Datin Natasha Hudson apabila nekad menerima tawaran berlakon teater muzikal Ibu Zain arahan Rosminah Mohd Tahir. Berani mengambil risiko biarpun agak sukar membuat keputusan pada mulanya, calon Pelakon Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-20 menerusi filem Chermin ini sedar peluang yang menjelma di depan mata bukan selalu ada.
Apabila penerbit teater ini, Siti Rohayah Atan menghubunginya penghujung Januari lalu bagi menawarkan watak Pengetua di Sekolah Perempuan Methodist Melaka, Miss Ruth, dia bagaikan tidak percaya dan berasakan semua ini hanyalah mimpi kosong.
Isteri kepada usahawan dan ahli politik, Datuk Shahrin Zahari ini pada mulanya memang berbelah bahagi untuk mempertimbangkan watak yang ditawarkan kepadanya. Biarpun peranannya hanya diperlukan untuk tiga babak saja, saat keemasan ini tidak sesekali dipersiakan.

PERCUBAAN sulung Natasha di pentas teater muzikal Ibu Zain mampu menjadi daya penarik untuk peminat teater menontonnya.
Tidak salah andai dikatakan, wajah dan bakatnya mampu menjadi pelaris untuk menghangatkan pementasan teater ini.
“Saya memang sudah lama memendam hasrat untuk melangkah ke pentas teater bahkan minat ini sudah mula bercambah semasa saya di bangku sekolah lagi. Ia semakin membara dan menjadi-jadi apabila saya memilih jalan seni. Ketika saya menuntut pengajian Performing Arts School di Amerika Syarikat pun saya mula berjinak-jinak dengan dunia teater.
“Ahli keluarga dan teman rapat mempersoalkan kenapa saya harus menolak tawaran itu. Suami juga turut beri sokongan 100 peratus dan atas keizinan dia, saya mencabar diri untuk menjadi Miss Ruth. Dia (suaminya) menggalakkan saya untuk terus menunjukkan bakat yang ada dan bertemu peminat.
“Cerita teater ini mengenai seorang tokoh terkenal tanah air bernama Tan Sri Zainun Munshi Sulaiman. Saya kena buat penyelidikan yang betul supaya tidak tersasar penyampaiannya. Saya tidak berpeluang menonton persembahan teater ini pada tahun lalu, jadi saya hanya menontonnya kembali menerusi blog dan banyak bertanya termasuklah kepada Catriona Ross yang memegang watak ini pada tahun lalu. Malah, Catriona Ross termasuk Melissa Saila yang mencadangkan nama saya sebagai ganti,” katanya yang harus bertutur bahasa Malaysia dengan slanga dan pelat Inggeris gara-gara watak Miss Ruth.
Teater mengasah kemampuan berlakon
MENGAKUI sangat teruja untuk ke pentas teater, dia yakin dengan sokongan pelakon lain yang sangat menyokong antara kekuatan untuk dia terus memberikan lakonan yang terbaik.
“Saya sedar impak berlakon teater cukup besar kerana ia antara medium terbaik untuk mengasah bakat menjadi pelakon yang baik. Keupayaan melontarkan vokal dengan baik dengan tuntutan emosi yang perlu boleh dipraktikkan untuk lakonan drama dan filem.
“Saya juga perlu membina keyakinan diri untuk berdepan dengan penonton secara langsung. Tambahan pula watak ini juga memerlukannya melontar suara untuk menyanyi. Sebelum ini pun saya menyanyi untuk album runut bunyi filem Tipu Kanan Tipu Kari, setidak-tidaknya ia menjadi asas dan pengalaman berguna untuk saya.
“Setiap gerak geri kita diperhatikan dan kalau tersilap melontarkan dialog, tiada istilah ‘cut’ yang akan keluar seperti berlakon dalam drama dan filem. Di sinilah akan menguji pelakon teater untuk menutup kelemahan yang ada. Ia memberi cabaran baru kepada saya untuk terus mengasah kemampuan berlakon,” katanya yang berkahwin buat kali kedua dengan suaminya pada 29 Julai 2007.
Menyingkap mengenai pengalamannya bergelar ibu, kata Tasha yang pernah mengacarakan Fesyen TV, ia memang satu pengalaman yang agak memenatkan, namun agak berbaloi untuk dikenang.
Selama melahirkan anak, dia memilih untuk memberi tumpuan kepada rumah tangga hingga terpaksa mengecewakan beberapa pihak produksi yang ingin menggunakan khidmatnya sebagai pelakon.
Katanya, selepas bergelar ibu dan isteri orang, dia sentiasa peka dengan tanggungjawab yang harus ditunaikan. Lebih selesa mengambil tawaran berlakon tidak terlalu kerap pada tempoh masa yang rapat, Natasha bagaimanapun tidak terlalu suka merancang dan andai ada tawaran berlakon pada masa mendatang, dia akan cuba mempertimbangkan sewajar mungkin mengikut kesesuaian masa.
Sesi latihan raptai teater ini akan bermula 10 Februari dan selama sebulan juga Natasha akan memberi tumpuan kepada pementasan teater yang akan dipentaskan di Auditorium Tunku Abdul Rahman, Pusat Pelancongan Malaysia (MTC), Jalan Ampang, Kuala Lumpur dari 13 hingga 22 Mac depan. Berminat untuk membeli tiket dengan harga RM20, RM30 dan RM50 boleh menghubungi talian: 03- 61866592
Teater muzikal Ibu Zain pernah dipersembahkan pada Ogos tahun lalu di Istana Budaya. Selain Natasha, Datuk Jalaluddin Hassan, Hamzah Tahir dan Zuhairi Ibrahim antara muka baru yang diperkenalkan pada pementasan kali kedua ini.
Beberapa pelakon asal seperti Catriona Ross, Hisham Ahmad Tajuddin dan Shahronizam tidak dapat bersama kerana terlebih dulu terikat dengan komitmen kerja lain.
Profil
Nama Penuh: Natasha Liana Hudson
Usia: 26 tahun
Tarikh Lahir: 9 September 1982
Tempat Lahir: Ipoh, Perak
Pendidikan: Sarjana dalam Rekaan Grafik di The One Academy, Sunway dan Performing Arts School, Chicago
Profesion: Model, pengacara, pelakon dan penulis buku
Iklan: Nesquick, McDonald’s, Pantene, Ambi Pur dan L’Oreal Rancangan
TV: Fesyen TV, Girls Club, Kediaman Idaman
Drama: Pei Pan & Rahsia Cemara
Filem: Dayang, Chermin, Sumolah dan Tipu Kanan Tipu Kiri
Suami: Datuk Shahrin Zahari
Anak: Nessa Helena
Berita Harian