Bukan Hiburan Biasa



Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


M NASIR turut meluahkan perasaan kecewanya terhadap mangsa kekejaman Zionis di Semenanjung Gaza.

Konsert Unplugged Prihatin Palestin luahan rasa insan seni terhadap kekejaman Zionis

BUKAN sekadar hiburan biasa. Itulah yang dapat dirumuskan mengenai Konsert Unplugged Prihatin Palestin yang berlangsung di Auditorium Perdana, Angkasapuri malam Sabtu lalu.

Konsert yang diilhamkan oleh Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek, konsert ini adalah satu luahan rasa kasih sayang terhadap kedamaian dunia dan kemanusiaan apatah lagi di saat dunia sedang berdepan dengan isu kezaliman tentera Zionis terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza baru-baru ini.

Barangkali ini bukanlah usaha pertama kerana sebelum ini sudah banyak kali dianjurkan majlis yang mempunyai objektif yang sama namun konsert yang diterbitkan Ain Sabrina On ini tetap mempunyai keistimewaannya tersendiri.

Sepanjang satu jam setengah siarannya ini, penonton disajikan dengan jeritan kekecewaan, kesedihan, simpati serta perasaan amarah anak seni terhadap apa yang berlaku di negara Timur Tengah itu. Dibahagikan kepada tiga segmen, persembahan malam itu dimulakan dengan tayangan klip video serta visual yang mampu meruntun hati penonton.

Bedilan bom di sana sini, peluru sesat yang tak mengenal mangsa, tangisan kanak-kanak yang cedera, ibu yang kehilangan anak membuatkan mereka yang menyaksikannya, pasti akan terusik naluri kemanusiaannya.


HATTAN menyampaikan lagu Palestin Jangan Kau Menangis.

Sebaik saja tayangan klip video itu tamat, muncul Hattan membawakan lagu Palestin Jangan kau Menangis, hasil ciptaan Tam Spider dan lirik oleh Loloq dengan penuh penghayatan.Dek kerana liriknya yang cukup puitis dan menyentuh perasaan membuatkan bekas vokalis kumpulan FRU ini sebak sewaktu menyampaikan lagu itu.

Hattan kemudian meneruskan persembahan dengan lagu Suara Binasa sebelum pentas diambil alih M Nasir dengan lagu Masirah. Untuk segmen kedua yang bertemakan Neraka Ciptaan Zionis, kumpulan yang terkenal dengan lagu puisi, Kopratasa membangkitkan semangat perjuangan dengan lagu mereka yang berbaur menentang peperangan seperti Tragedi Di Utara dan Mesti Berani. Segmen kedua ini diakhiri dengan persembahan M Nasir menerusi lagu Di Balik Cermin Mimpi.

Seperkara yang menarik mengenai konsert ini adalah ia turut mengetengahkan artis indie yang terdiri daripada anak muda yang juga berpegang kepada paksi yang sama. Sesekali, seronok juga melihat artis ternama seperti ini berkongsi pentas dengan artis muda, melaungkan mesej kemanusiaan sejagat.

Antara artis indie yang terbabit dalam persembahan ini adalah Rendra Zawawi, Milli’z, Azmyl Yunor, Najwa mahiadin, Tony Leo, The Snow Symphony, Pete Teo dan Izzy Mohamed.


RENDRA dan Hameer menyampaikan lagu ‘No Mask’.

Konsert ini turut menampilkan penyair dan komposer terkenal Dr Wan Zawawi serta penyanyi tinggi lampai, Khatijah Ibrahim yang turut menyampaikan lagu bertemakan kemanusiaan seperti Anak Dunia, Mencari Amerika dan Rintihan Dari Palestin.

Bukan saja dari segi persembahan namun kekuatan konsert ini juga terletak kepada pemilihan genre muzik unplugged yang amat bersesuaian dengan tema persembahan malam itu.Gubahan muzik yang dialun menggunakan tiga hingga empat alat muzik unplugged menjadikan iramanya lebih sayu serta menggetarkan jiwa setiap pendengarnya.

Malah, penataan cahaya yang banyak menggunakan warna merah dan hijau amat bersesuaian dengan konsep sekali gus menterjemahkan perasaan duka setiap pendukung konsert ini.Walaupun menyedari bahawa nyanyian bukanlah satu senjata yang mampu menghentikan peperangan, namun keprihatinan dan semangat mereka untuk bersama-sama berganding bahu menentang kezaliman sewajarnya diberi pujian.

Konsert yang dipancarkan secara langsung menerusi TV2 ini turut menyaksikan syarikat Golden Heritage Sdn Bhd memberikan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Tabung Gaza RTM sambil disaksikan oleh Duta Palestin ke Malaysia, Abdelaziz Aboughosh.

Sebelum melabuhkan tirainya, konsert ini diakhiri dengan persembahan nyanyian beramai-ramai lagu Knocking On The Heaven’s Door yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Gun’s N’Roses.

Berita Harian

This entry was posted in Hattan, Khatijah Ibrahim, M.Nasir. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>