Shila Semakin Gigih Bina Nama



Oleh Farihad Shalla Mahmud
farihad@bharian.com.my


SHILA senang bekerjasama dengan kumpulan Ran yang juga menjadi duta produk aiskrim Wall’s Cornetto.

Gandingan bersama artis Indonesia dalam kempen Wall’s Cornetto terus popularkan naib juara OIAM 2

REZEKINYA semakin melimpah sejak menyandang gelaran naib juara dalam program realiti One In A Million musim kedua lalu. Malah lagu nyanyiannya, Memori Tercipta ciptaan Aubrey Suwito semakin mendapat tempat di stesen radio tempatan. Biarpun sudah lama menceburi bidang seni namun baru kini populariti anak dara penyanyi ND Lala ini naik mencanak.

Bukan saja namanya semakin meniti di bibir peminat tetapi popularitinya mula mendapat perhatian pelbagai pihak. Berbekalkan bakat, paras rupa serta keupayaan untuk memikat hati golongan remaja membuatkan Siti Nurshahila Amir Hamzah atau lebih akrab disapa Shila dilamar untuk menjadi duta baru Wall’s Cornetto.

Seperti Dafi dan Gita Gutawa, Shila menjadi duta kepada aiskrim popular itu bersama kumpulan trio remaja dari Indonesia, Ran. Dua bakat hebat dari Malaysia dan Indonesia ini dipilih berdasarkan pencapaian mereka dalam arena muzik yang dilihat sesuai bagi kempen Wall’s Cornetto yang menggabungkan antara bakat dan muzik.

Sambil melahirkan kegembiraannya kerana berpeluang menjadi duta kepada jenama ini, Shila berkata dia melihat peluang yang diberikan itu dalam erti kata yang lebih meluas iaitu mengembangkan lagi kerjaya seni nyanyiannya.

“Sebagai artis baru, saya bersyukur kerana ada juga pihak yang sedar akan kewujudan saya dalam industri ini. Lagipun bukan mudah untuk artis baru seperti saya diberi peluang seperti ini iaitu digandingkan pula dengan artis Indonesia. Saya akan cuba gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk melebarkan saya ke Indonesia.


Siti Nurshahila Amir Hamzah – Shila

“Memandangkan lagu tema untuk iklan aiskrim ini iaitu Tunjukkan Cintamu juga sudah mula diputarkan di radio Indonesia sejak Disember lalu, jadi saya harap ia menjadi satu permulaan yang baik buat saya. Dan sewaktu menjalani rakaman klip video lagu ini di Jakarta tidak lama dulu, saya turut ditemubual oleh media Indonesia.

“Begitupun, saya tak kisah kalau saya tak popular di sana asalkan mereka dapat menerima lagu nyanyian saya,” ujar Shila yang ditemui pada majlis pelancaran dan pengumuman duta baru Cornetto di The Curve, Mutiara Damansara, petang Khamis lalu.

Klip video serta iklan komersial produk ini yang membabitkan dua artis muda ini mempromosikan dua perisa aiskrim baru Cornetto, Cornetto Disc Chocolate dan Cornetto Disc Vanilla juga akan mula disiarkan di kaca televisyen tempatan dan bakal menyusul di Indonesia tidak lama lagi.

Berkongsi pengalaman berkolaborasi dengan Ran yang dianggotai oleh Nino, Asto dan Rayi ini, Shila berkata walaupun mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain sebelum ini namun mereka mudah mesra.

“Sebaik saja saya mendapat tahu yang saya akan digandingkan dengan kumpulan Ran untuk menjadi duta jenama ini, saya selidik latar belakang dan muzik mereka menerusi internet. Apabila dipertemukan, saya dapati mereka ini memang senang untuk didekati dan ceria.

“Kami juga saling usik mengusik antara satu sama lain terutama membabitkan bahasa pertuturan kami yang ada kalanya sedikit berbeza maknanya. Keserasian itu membuatkan kami saling berhubungan sehingga kini,” ujar gadis berusia 19 tahun ini.

Ditanya mengenai projek album solonya, Shila berkata album yang sudah siap sepenuhnya itu terpaksa ditangguhkan pengedarannya memandangkan jadual hariannya begitu ketat.

“Saya terbabit dengan pelbagai projek besar selepas ini dan kalau album itu diedarkan sekarang mungkin akan menjejaskan program promosi yang akan diatur syarikat rakaman. Jadi mereka terpaksa menangguhkan dulu hasrat untuk mengedarkan album ini. Bukan saja album terpaksa ditangguhkan tetapi saya juga terpaksa menangguh pengajian saya di Kolej Segi sehingga tarikh yang saya sendiri tidak pasti,” cerita Shila yang turut terbabit dalam projek jelajah negara anjuran produk syampu, Clean & Clear

Pilih lelaki berusia

SEBELUM ini memang heboh orang mengatakan yang Shila dikatakan bercinta dengan bekas pengacara program Remaja, Aliff OIAM. Pun begitu, cerita itu bagaikan lenyap begitu saja. Justeru, di saat soalan itu diajukan kepada penyanyi ini, Shila berkata antara dia dan Aliff tidak lebih dari sekadar teman biasa.

“Kami hanya kawan baik. Lagipun saya masih muda dan ingin memberi tumpuan sepenuhnya pada kerjaya saya sebagai penyanyi. Tetapi seandainya saya ingin mempunyai kekasih, saya lebih suka lelaki yang lebih tua dari saya. Bukannya apa, selain matang saya mahu bakal teman lelaki saya nanti lebih dominan.

“Kalau sebaya, rasa nanti macam saya yang kena bimbing dia,” ujar Shila malu-malu.

Berita Harian

This entry was posted in Gita Gutawa, One In A Million. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>