Bos Metrowealth Simpati Nasib Palestin
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
nurul@bharian.com.my

DAVID menyampaikan replika cek sumbangan untuk Gaza kepada Anthony.
David Teo puji usaha dilakukan akhbar kumpulan New Straits Times tubuh tabung khas
PENDERITAAN yang dialami penduduk Gaza akibat bedilan bertalu-talu tentera Israel sememangnya membuatkan penduduk dunia bangkit menghulurkan simpati. Rakyat Malaysia sendiri tidak terkecuali daripada berasa terpanggil untuk membantu sama, apatah lagi apabila media tempatan saban hari memaparkan kesengsaraan terpaksa ditempuh mereka.
Akhbar kumpulan New Straits Times Press (NSTP) sendiri mengelolakan tabung khas bagi membolehkan penduduk prihatin negara ini turut sama-sama menyalurkan sumbangan mereka.
Baru-baru ini pula, Karnival Amal Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza diadakan di Amcorp Mall, Petaling Jaya, dengan matlamat memungut derma bagi tabung berkenaan. Pembabitan begitu ramai selebriti dan kehadiran ribuan peminat sungguh di luar dugaan, apabila akhirnya lebih RM64,000 berjaya dikumpulkan.
Jumlah itu dikumpul hasil jualan dan lelongan barangan selebriti, jualan kek yang ditaja beberapa hotel, sumbangan terus ke Tabung NSTP Untuk Gaza dan sebagainya.
Produser gigih, David Teo, tidak ketinggalan melahirkan keprihatinannya terhadap krisis kemanusiaan yang melanda Semenanjung Gaza sejak penghujung tahun lalu. Penderitaan anak kecil kehilangan ibu bapa, kakak kehilangan adiknya serta pelbagai wajah derita sebagaimana dipaparkan media menyentuh hati pemilik Metrowealth International Group ini.
Lalu, pada 4 Februari lalu, David tidak mahu menangguhkan lagi niat murni untuk sama-sama menderma apabila dia datang ke Balai Berita bersama sekeping cek bernilai RM5,000 untuk tabung bantuan kemanusiaan berkenaan. Sumbangan terbabit diserahkannya kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NSTP, Datuk Anthony Firdaus Bujang.
“Apabila tabung berkenaan dilancarkan NSTP awal Januari lalu, saya sudah pun menyimpan hajat untuk turut menderma bagi meringankan penderitaan mangsa kekejaman di Palestin. Sayangnya, ketika itu saya amat sibuk kerana terikat dengan pelbagai projek yang diterbitkan syarikat kami,” katanya.
David memuji tindakan NSTP mengelolakan tabung kemanusiaan itu kerana ia membolehkan rakyat negara ini menyemai sikap suka membantu apabila sesuatu keadaan memerlukan.
“Tidak kisah berapa banyak sumbangan yang mampu seseorang itu hulurkan, asalkan ia dibuat dengan penuh keikhlasan. Tabiat suka menderma ini sebenarnya membantu kita menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri dan sikap inilah yang seharusnya wujud dalam setiap diri penduduk negara ini,” katanya.
Menurut penerbit berjaya ini, pada hari ini, mungkin rakyat Malaysia dengan rela hati menghulurkan sedikit sumbangan untuk mangsa perang di Gaza. Siapa tahu jika suatu hari nanti, penduduk negara ini pula yang mengharapkan bantuan daripada orang luar?
Semakin aktif menerbitkan filem, drama
SELEPAS Brainscan: Aku dan Topi Ajaib menemui penonton akhir Disember lalu, MIG nampaknya terpaksa menunggu beberapa bulan lagi bagi menyaksikan filem keluaran mereka yang seterusnya memasuki pawagam. Filem arahan Ahmad Idham, Syurga Cinta, dijadualkan tayangan umumnya pada 21 Mei depan.
Kata David, filem komedi cinta berunsurkan dakwah itu mendapat klasifikasi PG13 daripada pihak penapisan filem. Begitupun dia menerima klasifikasi berkenaan dengan hati terbuka.
Kemudian, sebuah lagi filemnya, Jangan Tegur, yang menyaksikan Pierre Andre sekali lagi diberikan peluang mengarah, akan berputar di panggung pada Jun. Filem seram itu turut mendapat klasifikasi PG13. Manakala filem komedi yang dilakonkan kumpulan Senario, Jangan Pandang Belakang Congkak, berkemungkinan besar menemui penonton pada musim Aidilfitri.
Filem yang kini berada pada proses akhir pasca produksi, Remp-It V3 arahan Farid Kamil pula akan menghangatkan panggung negara ini sebelum berakhirnya 2009.
“Biarpun tiada filem MIG yang ditayangkan sehingga Mei ini, namun kami sentiasa sibuk di lokasi kerana menghasilkan beberapa filem serta drama. Jangan Pandang Belakang Congkak dirakam pada penghujung tahun lalu, manakala Remp-It V3 pula pada Januari. Pada minggu kedua atau ketiga Februari, kami merakam pula filem seterusnya, Senario The Movie Episode 2: Beach Boys.
“Ketika ini, kru MIG berada di lokasi menghasilkan siri Jangan Pandang Belakang untuk siaran RTM, diikuti beberapa lagi siri untuk slot Samarinda, Legenda dan Lestary di TV3,”ῠkatanya.
David turut memberitahu, pada tahun lalu, beberapa siri keluaran syarikatnya berjaya mencatat kejayaan tersendiri. Mertua Vs Menantu (setiap Rabu, jam 10 malam, Astro Prima) yang dilakonkan Erra Fazira dan Aqasha umpamanya mencatat 880,000 jumlah penonton. Pada kebiasaannya, siri yang disiarkan di saluran berbayar berkenaan hanya mencatat sekitar 400,000 penonton.
Dijangkakan, selepas pelakon utama wanitanya itu selamat melahirkan anak sulung sekitar Mac, penggambaran sebanyak 26 episod lagi bagi musim kedua akan dimulakan.
Sebuah lagi siri terbitannya, Intan Asmara yang disiarkan menerusi slot Samarinda turut mencatat rating yang membanggakan, dengan 2.8 juta penonton. Sementara Biarlah Rahsia yang ditayangkan menerusi slot Astaka di RTM, menarik perhatian kira-kira 1.5 juta penonton.
Sementara itu, bermula 1 Januari lalu, David dilantik sebagai Anggota Lembaga Finas buat tahun kedua berturut-turut. Perlantikan itu dilihat David sebagai peluang terbaik untuknya sama-sama membangunkan lagi industri perfileman tempatan.
Berita Harian