Koleksi Jovian Kutip RM5,000



Oleh Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Rap
KEGIGIHAN Anita Sarawak dan Umie Aida bukan hanya bertungkus-lumus menjayakan Jualan dan lelong amal ABPBH 2008 Untuk Gaza di Amcorp Mall, 31 Januari lalu dan Karnival Demi Mu Palestin serta Kempen Doa Buat Palestin anjuran Yayasan Seni Karya Prihatin di Istana Budaya, pada 1 dan 2 Februari lalu.

Malah pada 3 Februari lalu, dua wanita ini bersama beberapa artis popular lain, Ning Baizura, Zahida Rafik dan Linda Onn membantu acara lelong koleksi pakaian pereka terkenal, Jovian Mandagie di butiknya di Bangsar, Kuala Lumpur.

Hasil sokongan mereka, acara itu mampu mengutip RM5,000 bagi mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza.

Lebih menarik majlis yang dirancang hampir sebulan lalu dirasmikan Anita dan tetamu kehormat, Tan Sri Othman Merican. Ditemui di majlis diadakan, Jovian yang dikenali sejak mereka busana pernikahan Erra Fazira, merakamkan ucapan terima kasih kepada mereka yang sudi hadir dan menjayakan acara kutipan derma.

“Saya terpanggil mengadakan majlis amal ini bagi membantu penduduk Islam yang menjadi kekejaman Zionis di Gaza selepas melihat laporan media setiap hari.

“Walaupun peperangan sudah berakhir, kesengsaraan dirasai masyarakat Gaza belum tamat kerana mereka yang cedera memerlukan bantuan perubatan secara berterusan dan kanak-kanak kehilangan ibu bapa perlu diberikan perhatian.

“Selain itu sewaktu menunaikan solat Jumaat baru-baru ini, khutbahnya berkisar mengenai penderitaan dialami masyarakat Palestin. Mendengarnya membuatkan saya sebak serta menangis dan pada saya tiada jalan lain untuk bantu mereka kecuali dengan cara ini,” katanya.

Jelas Jovian lagi, ada beberapa koleksi pakaian dihasilkan seperti kebaya hasil jualannya diberikan sepenuhnya kepada Tabung NSTP Untuk Gaza.

“Tidak kurang ada tetamu seperti Linda Onn yang hadir memberikan sumbangan ikhlas kerana pada waktu sama kami menyediakan tabung khas.

“Pada hari itu tetamu kehormat, Tan Sri Othman Merican dan isteri, Puan Seri Siti Aishah membeli busana dengan harga paling tinggi iaitu RM1,500,” katanya.

Pada waktu sama jelas Jovian dia turut melakukan acara lelongan pakaian dijual secara senyap kepada rakan selebriti dan pelanggan tetapnya.

“Pada majlis lelongan itu ada antara tetamu saya tidak dapat hadir, tetapi sudah memberikan pengesahan mahu membeli koleksi yang dilelong.

“Bagi memastikan mereka turut serta, saya melakukan bidaan secara senyap, iaitu kami menghubungi mereka menerusi senarai nama tetamu yang mahu membida. Ia dilakukan menerusi telefon. Siapa yang memberikan harga tinggi bermakna mereka berjaya,” katanya

Kata Jovian lagi, majlis tidak lengkap jika tidak disertakan dengan sembahyang hajat dan doa, kerana jelas pereka fesyen muda itu selain wang ringgit masyarakat Islam di Gaza memerlukan doa daripada semua bagi memastikan kehidupan mereka selepas ini lebih sejahtera.

“Acara lelongan diadakan bermula jam 4.30 petang sehingga 8.30 malam. Selepas mengadakan solat Isyak secara berjemaah kami mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin.

“Doa kami pada hari itu semoga masyarakat Islam di Gaza kuat dan tabah menghadapi dugaan dan Allah senantiasa bersama mereka,” katanya.

Harian Metro

Leave a Reply