Oleh Hartati Hassan Basri
hartati@hmetro.com.my
Rap
MALAM kelmarin saya menonton tayangan tengah malam filem terbaru lakonan Angelina Jolie, Changeling arahan Clint Eastwood yang mendapat tiga pencalonan Anugerah Academy ke-81 pada 23 Februari ini termasuk Aktres Terbaik.
Bukan mahu promosi filem Hollywood berdasarkan kisah benar berlatarkan 1920-an ini tapi tertarik dengan satu babak Angelina sebagai Christine Collins, dimasukkan ke hospital sakit jiwa oleh pegawai polis di Jabatan Polis Los Angeles (LAPD) kerana disifatkan menimbulkan masalah kepada jabatan itu.
Kenyataannya, Christine tidak gila tapi polis menyifatkan Christine bahaya kerana tindakannya disifatkan mencabar kredibiliti pihak berkuasa itu. Sebelum itu, Christine membuat laporan polis mengenai kehilangan anaknya, Walter Collins, 9. Selepas lima bulan menanti, polis membawa khabar gembira apabila anaknya dijumpai.
Dalam satu pertemuan yang mendapat liputan meluas media, Christine terkejut kerana budak lelaki berkenaan bukan anaknya dan menjelaskan kesilapan itu kepada polis. Bagaimanapun, polis memintanya membawa budak itu pulang ke rumah dan terima kenyataan dalam tempoh lima bulan macam-macam boleh berlaku terhadap anaknya hingga dia tidak lagi mengenalinya. Tapi sebagai ibu, Christine tegas mengatakan dia lebih mengenali anaknya.
Teringat pula senario industri hiburan kita apabila berita bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2), Asma Ghani, 27, atau Mas dimasukkan ke Wad Psikiatrik, Hospital Kuala Lumpur (HKL) Jumaat lalu hingga menjadi perhatian ramai.
Sehari sebelum itu, dalam laporan muka depan Harian Metro, Mas dikatakan mengamuk di balai polis apabila teman lelakinya disaman polis trafik.
Menurut laporan akhbar Jumaat lalu, polis mengambil tindakan menghantar Mas ke HKL selepas Mas dikatakan gagal mengawal emosi ketika membuat laporan mendakwa kerugian RM20,000 ditipu seseorang. Mas juga dikatakan membuat laporan itu jam 11 malam dengan berjalan kaki.
Ibu tunggal dua anak ini dikatakan mengalami tekanan perasaan yang amat berat hingga menimbulkan kekacauan di balai polis dan kini ditahan di HKL. Pihak media, teman lelakinya, Shahrul Azman Mohd Shariff atau Rock, 36, malah Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent & Management Sdn Bhd, Freddie Fernandez tidak dibenarkan melawat Mas. Hanya keluarganya saja dibenarkan berjumpa Mas.
Antara isu ditimbulkan, kemungkinan Mas tertekan kerana ketiadaan album dan hidup berjauhan dengan keluarga yang kini menetap semula di Tawau, Sabah. Ada pula mengatakan masalah peribadi dengan Rock menjadi punca
Sejak keluar AF2, kerjaya seni Mas tidak seindah diimpikan. Sudahlah album yang diharapkan jadi sandaran sebagai penyanyi seperti menanti buah tak gugur, rezekinya juga tiada dalam bidang lain seperti lakonan atau pengacaraan. Jika rakan lain yang sama-sama tiada album, mereka masih mampu menjadi pelakon tapi Mas ada juga dapat peluang berlakon tapi watak kecil saja.
Difahamkan, Maestro pernah berbincang melepaskan Mas untuk bergerak sendiri kerana masalah pasaran album tetapi Mas merayu untuk terus bersama Maestro. Bagaimanapun, pembikinan album asyik tergendala dengan pelbagai masalah dan alasan.
Kisah artis mengalami tekanan perasaan kerana masalah populariti bukan perkara baru. Ramai yang datang ke kota memburu impian menjadi bintang terkenal tetapi tidak semua bertuah berjaya mengecapi kegemilangan dan sanjugan diharapkan.
Malah ada juga yang sudah melalui zaman kegemilangan, tidak mampu menerima hakikat dunia ibarat roda, kadang di atas kadang di bawah. Ketika berada di atas, diri dipuja dan disanjung tetapi tiba masanya orang lain pula menikmati segala kemanisan yang pernah dirasai.
Ada pula yang baru melalui kemanisan, tiba-tiba berhadapan kontroversi hingga menenggelami kerjaya seninya. Saya ingin mengambil contoh pelakon dan pengarah muda, Pierre Andre yang dikatakan terjebak dengan cinta fantasi bersama wanita yang dikatakan tidak wujud.
Masalah itu dikatakan menjejaskan pembikinan filem terbaru arahannya, Jangan Tegur dan akhirnya filem itu disiapkan tanpa kehadiran Pierre.
Baru-baru ini apabila berbual dengan produser David Teo, nama Pierre turut ditanya. Apakah pengarah muda yang diberi peluang David bergelar pengarah menerusi filem 9 September diikuti I’m Not Single masih merajuk dengannya atau sudah berbaik semula?
Dengan senyuman, kata David, dia masih tidak datang menemuinya, mungkin sibuk penggambaran dengan produksi lain.
Kata David, dia tidak pernah menghalang rezeki mereka di tempat lain, tapi jangan lupa peluang besar yang diberikannya sebelum mendapat kepercayaan orang lain.
Perkara sama dilakukannya kepada pelakon Farid Kamil yang kini diberi peluang menjadi pengarah melalui filem Remp-It VS3.
Suatu masa dulu Farid melonjak naik selepas digandingkan dengan Erra Fazira dalam filem Tujuh Perhentian diikuti beberapa filem lain terbitan Metrowealth Movies Productions (MMP). Tapi dua tahun lalu nama Farid dikatakan agak tenggelam dalam industri hinggalah mengambil keputusan untuk kembali bersama MIG.
Filem Remp-it bukan asing sebenarnya bagi Farid kerana filem yang mencatat kejayaan pada 2003 itu sepatutnya diarahkan sendiri oleh Farid selain menulis skrip dan juga memegang watak utama. Namun, kerana masalah komitmen, tempatnya digantikan Ahmad Idham.
Dalam mengejar populariti, artis juga perlu sabar dan rajin berusaha. Jangan hanya mengharapkan tuah atau nasib kerana kalau gagal ditengah jalan nanti, kalau tidak tabah dan kuat iman, boleh merosakkan diri. Ingatlah, tiada manusia yang tidak berhadapan ujian dan kita perlu bersedia menerima ujian daripada-Nya.
Harian Metro