Israel Terus Dibidas



Oleh Nazmi Yaakub


GIMIK teater kanak-kanak Bingkas Kebayan pada Malam Puisi Di Bawah Langit Gaza.

Kemarahan umat Islam tidak reda meskipun selepas gencatan senjata

SERANGAN ganas tentera Israel ke Gaza meskipun reda, tetapi kemarahan umat dunia termasuk Malaysia terhadap kekejaman rejim Zionis itu tidak mungkin surut seperti tergambar pada Malam Baca Puisi Palestin: Di Bawah Langit Gaza.

Sentimen ini dikongsi penyair dan pengarang untuk dikongsi dengan tetamu serta khalayak majlis anjuran persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Yayasan Salam dan TV9 di Rumah Pena, Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur, Ahad lalu.

Protes rakyat di negara ini terhadap keganasan dan kebiadapan negara samseng nombor satu dunia tidak hanya mengalir di jalan raya, bahkan turut meletup di pentas puisi dalam bentuk deklamasi serta alunan lagu puisi.

Tidak ada gambaran puitis yang lengkap menceritakan penderitaan umat Islam di Gaza kecuali puisi yang dihasilkan rakyat jiran Palestin, Lubnan yang diterjemah dan dibacakan oleh pengacara TV9, Farah Adeeba Mohd Ashraff .

Episod kecil tetapi bermakna mengenai rumah yang lampunya pecah, perkelahan tanpa tawa, air mata yang tidak sempat jatuh ke bumi, susu kibash yang tidak diminum dan roti yang tidak disuap ke 10 mulut kecil sudah cukup menggambarkan kesengsaraan mereka.

Aku ingin bercerita mengenai kunci yang tidak mampu membuka pintu

sebuah bilik darjah yang tiada muridnya

sebuah taman yang kaku dan sepi

buku-buku yang tidak dibaca

sebuah ladang ditinggal sunyi dan buahnya terbiar reput.

Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan 1996, Ahmad Shukri Abdullah, membacakan puisinya, Ah… Mereka, membidas Amerika Syarikat (AS) yang bersekongkol dengan Israel untuk mengatur politik dunia demi mengelabui pandangan dunia terhadap kekejaman negara Yahudi itu.

Langit Gaza menjadi saksi

betapa Zionis Yahudi yang mereka rai

menjadi penjenayah perang sekali gus pemusnah zuriat

dari muncung senjata meledak sengketa

dari cabang lidah menjulur nista

dari ubun kepala tanpa minda menyala bara neraka.

Kemarahan Ahmad Shukri dikongsi penyair Pahang, Teo Win Sin yang meneriakkan puisi Tanggalkan Topeng Kau Itu dengan mengutuk dan menyumpah kekejaman regim Israel sehingga luahannya itu tidak berlapik lagi, seolah-olah ia kalimah terbaik bagi menggambarkan kejahatan.

Kita dahagakan aman kembali

kita sedia melihat Israel

dilaknat suatu hari nanti

tanggalkan topeng kau itu

ajal kau akan sampai tak lama lagi.

Pensyarah Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia, Raja Rajeswari Seetha Raman, membacakan puisinya, Bicara Sukma Palestina Kepada Warga Buana, dalam memecahkan tembok ras umat Palestin, bagi membuktikan simpatinya pada negara itu.

Meskipun pakaian kezaliman semakin basah

meskipun luka sukma semakin bernanah

aku masih setia memburu

sejalur pelangi muda di simpang pulang!

Presiden Dunia Melayu Dunia Islam yang juga Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam tidak ketinggalan membacakan puisinya, Tangisan Gaza, yang memberi gambaran luka pada wajah Gaza.

Langit Gaza adalah debu

dari bom dan mortar

sedang bumi jadi padang

peluru dan kereta kebal

di rumah tua yang runtuh

seorang anak kecil menangis

meminta susu dari ibu.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Datuk Othman Mohamad; Ketua Pegawai Operasi TV9, Bukhari Che Muda; Pegawai Operasi Yayasan Salam, Md Ghani Ibrahim dan Timbalan Presiden Pena, Mohamad Saleeh Rahamad.

Malam baca puisi itu turut dimeriahkan dengan bacaan puisi oleh Datuk Dr Mohd Rosli Saludin, Datuk Norbahyah Mahmud, Sutung Umar RS, Khalid Salleh, Puzi Hadi, Aziz Desa, Khairun Nasriah Abdul Salam, Nora, Siti Saerah Tarudin, Siti Saida Tarudin, Azri Zahier dan Fimie, selain persembahan teater Bingkas Kebayan serta nyanyian lagu puisi oleh Ramli Sarip, Kopratasa, Jai dan Sofaz.

Berita Harian

Leave a Reply