Koleksi Terkini Harga Rendah



Rap
KEMELUT yang berlaku di bumi Palestin turut mendapat perhatian Casa Impian Holdings Sdn Bhd (Casa Impian) apabila turut memeriahkan jualan amal dan lelong sempena Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 Untuk Gaza, Sabtu lalu.

Dalam majlis yang berlangsung di Amcorp Mall, Petaling Jaya itu, Casa Impian menampilkan koleksi menariknya merangkumi pelbagai aksesori dekorasi dan peralatan dapur. Antaranya jam dinding, cermin hiasan, kole serba guna, penyepit dan pisau dengan pelbagai warna.

Pengarah Urusan Casa Impian, Datin Noorlinda Abd Talib turut turun padang menjual barangan itu dengan semangat mengumpul sebanyak mungkin dana untuk membantu insan dalam kesengsaraan di Semenanjung Gaza.

Apa yang menarik, pendekatan digunakan ialah jual dan derma sebagai etika beramal Casa Impian. Malah barangan yang dijual adalah koleksi terbaru tetapi dengan harga rendah.

Noorlinda berkata, sambil menderma pembeli juga boleh merebut peluang ini mendapatkan barangan terkini Casa Impian.

“Walaupun barangan jenama Casa Impian ini adalah koleksi terbaru untuk 2009, harga yang ditawarkan tetap rendah sejajar konsep jualan amal dianjurkan.

“Meskipun nama Casa Impian tidak sepopular artis dan selebriti yang hadir memberi sokongan tetapi populariti program dekor Casa Impian di TV3 berjaya menarik ramai pengunjung untuk membeli barangan Casa Impian.

“Malah kehadiran pengacaranya, Faizal Ismail menghangatkan lagi suasana di tapak jualan Casa Impian,” katanya.

Selain Faizal, artis dan selebriti lain turut singgah untuk membantu dan menjual di tapak jualan Casa Impian, Ally Iskandar, Chef Redzuawan Ismail (Chef Wan), Chef Florence, Sharifah Amani, Sharifah Aleya, Misha Omar, Nabil, Rosyam Nor dan Ikwan (Bong).

“Kami turut mempromosikan barangan terkini Casa Impian iaitu peralatan dapur yang terdiri daripada warna ceria seperti pemukul dan pemotong telur, pengasah pisau dan pembuka botol.

“Sumbangan Casa Impian ini adalah tanggungjawab sosial syarikat dalam membantu meringankan penderitaan rakyat Palestin dari kekejaman rejim Zionis.

“Keceriaan yang kami bawakan ini sememangnya bersesuaian acara diadakan apabila pengunjung begitu bersemangat dengan wajah ceria tampil untuk menderma,” katanya.

Di karnival jualan amal itu juga, Casa Impian melelong barang jualannya. Paling mendapat perhatian dan menjadi rebutan, set cawan bersama piring yang dijual hanya dengan harga RM2. Selain harga murah dan cantik, ia juga boleh digunakan sehari-hari.

Walaupun ada di antara barangan yang dilelong itu terdiri daripada barangan terbaru koleksi Casa Impian, demi membantu rakyat Palestin, Casa Impian prihatin dan teruja untuk membuat lelongan demi amal.

Casa Impian menerusi jualan aksesori dekorasi dan peralatan dapur berjaya mengumpul dana mencecah RM4,000. Kutipan itu diserahkan ke Tabung NSTP Untuk Gaza.

Harian Metro

This entry was posted in Ally Iskandar, Misha Omar, Rosyam Nor, Sharifah Amani. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>