Manbelon Tak Kecewa Tersingkir



Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my

Rap
PESERTA berkumpulan ternyata lebih menonjol berbanding aksi solo menerusi program Gelanggang Raja Lawak musim ketiga yang berlangsung di Studio Astro, Jumaat lalu.

Persembahan minggu kelima dengan tema Tiru Watak Filem menyaksikan Manbelon atau nama sebenarnya Sutarmin Tukichan, 35, gagal meneruskan persaingan selepas diumum tersingkir.

Penampilan Manbelon dengan lawak jenaka pontianak ternyata kurang menarik sehingga mendapat kritikan negatif juri. Walaupun gagal meneruskan persaingan dalam program itu namun Manbelon tetap berpuas hati dengan pencapaiannya dan berazam untuk meneruskan cita-cita menjadi penghibur serba boleh pada masa akan datang.

“Saya tidak kecewa kerana tersingkir. Saya mengakui persembahan kurang mantap. Begitupun saya bersyukur kerana banyak pengalaman dan benda baru yang saya pelajari sepanjang lebih sebulan menyertai program ini walaupun kurang bimbingan.

“Menurut pemerhatian saya setiap peserta perlu menguasai teknik gerakan badan dan kreatif ketika melakukan persembahan. Saya tidak akan mengalah untuk membabitkan diri dalam bidang seni. Saya akan meneruskan perniagaan menjual belon, badut dan memperkembangkan bakat silap mata suatu hari nanti,” katanya.

Manbelon berada pada kedudukan terbawah di samping Aman Shah Azmi (Am) dan Rafizzan Yaacop (Yann). Persembahan itu menyaksikan dominasi peserta berkumpulan dengan Sepah yang dianggotai Shahmira Muhamad, Mohd Nadzri Zainal dan Mohd Noor Murad serta LNJ oleh Afzan Saffuzn Ahmad dan Wan Sharizon Rahim.

Trio daripada Johor Bharu yang menampilkan lawak jenaka dengan meniru gaya filem Gila-Gila Remaja, Rock dan Pontianak Harum Sundal Malam memungut peratusan tertinggi sebanyak 20.01 peratus. Manakala persembahan ala Castello oleh LNJ berjaya meraih 19.98 peratus.

Biarpun sukar dijangka peserta mana yang mampu merangkul gelaran jaguh Raja Lawak untuk musim ketiga berbanding edisi sebelumnya yang menyaksikan persembahan konsisten Nabil sejak dari awal sehingga dinobatkan juara. Peserta kumpulan dan solo masih mempamerkan persembahan kurang menyengat dan kadang kala dibawah kemampuan sebenar.

Perkara itu diakui juri profesional, Zaibo ketika ditemui berkata peserta berkumpulan lebih menonjol berbanding solo walaupun belum dapat melihat peserta yang sentiasa menampilkan aksi konsisten sepanjang persembahan.

“Memang saya akui ada dikalangan peserta menunjukkan peningkatan setiap minggu. Begitupun, saya tidak mengharapkan persembahan mereka menyerlah awal kerana bimbang peserta ketandusan idea pada masa akan datang. Daripada pemerhatian saya juga persembahan peserta masih pada tahap sederhana dan tidak terlalu menonjol pada setiap minggu.

“Mungkin disebabkan teknik penyampaian untuk menghiburkan penonton kurang berkesan. Perkara ini juga mungkin disebabkan kurang bimbingan dari segi asas untuk menjadi seorang penghibur.

“Perkara asas seperti bagaimana mencari bahan untuk persembahan bermula daripada idea sehingga penulis skrip, menyusun bahan dan bagaimana cara yang berkesan untuk melakukan persembahan perlu dititik beratkan.

“Bimbingan dan panduan ada. Cuma belum memadai. Program ini seolah-olah mengeksplotasi bakat peserta seratus peratus,” katanya.

Mengakui bakat peserta program itu, sebagai pengkritik dia hanya menilai. Bakat dan ilmu bergantung sepenuhnya kepada peserta. Mengulas mengenai nasib peserta wanita yang kerap berada dalam kedudukan goyah dari segi undian khidmat pesanan ringkas (SMS) terendah, Zaibo berkata program yang semakin mendapat tempat dikalangan peminat termasuk Brunei itu turut menjadi mangsa SMS.

“Pengundi SMS kebanyakannya golongan wanita yang mengundi lelaki. Secara tidak langsung SMS mempengaruhi kedudukan peserta wanita menerusi program realiti televisyen. Tidak dinafikan kadang kala peserta wanita lebih menonjol persembahannya berbanding peserta lelaki namun sayang masih berada pada kedudukan terendah dari segi SMS.

“Saya puji persembahan peserta wanita malah kagum dengan mereka yang masih bertahan. Malah saya pasti kecewa jika tidak dapat melihat salah seorang peserta wanita berada di peringkat akhir nanti,” katanya.

Turut menilai persembahan peserta ialah pelakon dan pengarah teater, Fauziah Nawi, Shamsul Ghau Ghau dan Ahmad Idham sebagai juri jemputan. Pemarkahan peserta dinilai seratus peratus menerusi undian SMS penonton.

Kini tujuh peserta bersaing merebut tempat ke pusingan akhir antaranya Am, Mohammad Amirullah Azmi (Amir) manakala peserta wanita, Jihan dan Rafizzan Yaacob (Yann). Sementara berkumpulan Sepah, LNJ manakala Chot dianggotai Hazmeer Hassan dan Muhd Shaiful Bakri.

Harian Metro

This entry was posted in Fauziah Nawi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>