Rap
WALAUPUN Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008) Untuk Gaza julung kali diadakan esok, respons yang diterima daripada artis begitu memberangsangkan.
Menurut Pengarang Hiburan Berita Harian merangkap Pengerusi ABPBH2008, Hanizam Abdullah, lebih 70 selebriti dan artis popular tanah air menyatakan persetujuan untuk menjayakan acara sehari itu.
Katanya, kehadiran mereka bukan sekadar memeriahkan acara, tetapi turut menjual koleksi peribadi seperti pakaian, kasut dan beg tangan.
Di samping koleksi peribadi yang dilelong, seramai 41 selebriti membantu menjual kek yang mendapat tajaan 10 hotel.
“Ramai selebriti akan menghadirkan diri esok untuk menjayakan acara ini. Misalnya Anita Sarawak, dia akan menjual koleksi peribadi seperti beg tangan, kasut dan jaket. Azean Irdawaty pula akan menjual spageti yang pernah mendapat pujian Che Wan (Redzuawan Ismail).
“Menariknya Den Wahab yang pernah menjahit dua baju untuk penyanyi terkenal Michael Jackson ketika penyanyi itu hadir membuat konsert di sini suatu ketika dulu mengambil kesempatan melelong satu daripada baju itu. Tidak terkecuali, Ramli MS menjual koleksi peribadi berjenama mewah seperti pakaian, kasut dan tali leher.
“Lebih istimewa Nubhan pula tampil menawar diri untuk dilelong. Mungkin pengunjung bertuah berpeluang bersama Nubhan untuk menghabiskan masa sejam. Sebagai penganjur, kami sangat berterima kasih kepada selebriti yang memberikan kerjasama baik untuk menjayakan acara ini.
“Selalunya, ada selebriti yang membuat kerja amal lebih suka berdiam diri, tetapi menerusi acara ini, ramai selebriti berpeluang tampil bersama membantu rakyat Palestin yang menjadi mangsa kejam rejim Zionis.
“Acara ini bukan hanya hiburan, tetapi akan berusaha mengumpul wang sebanyak mungkin. Penganjur tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mengisi Tabung NSTP Untuk Gaza, tetapi semua pihak sama ada selebriti dan orang ramai digalakkan menderma.
“Memandangkan cuti hujung minggu dan sambutan Hari Wilayah yang disambut pada 1 Februari, kami percaya acara ini mampu menarik perhatian orang ramai untuk hadir. Penghargaan pada selebriti seperti Azean yang bersemangat untuk hadir walaupun masih sakit.
“Terima kasih juga pada selebriti yang menaja makanan dan minuman iaitu Datuk Yusof Haslam, Linda Onn yang menyumbang 100 bungkus nasi ayam dan Sharifah Zarina dengan masakan ayam penyek,” katanya.
Di samping melelong koleksi peribadi, peminat berpeluang bergambar bersama selebriti dengan bayaran RM10 untuk saiz A4.
Penganjur turut menyatakan penghargaan kepada hotel yang menaja seperti Palace of The Golden Horses, Prince, Grand Millenium, Istana, Crown Plaza, Nikko, Berjaya Times Square, Seri Pacific dan Concorde.
Acara ini turut dimeriahkan dengan 26 persembahan nyanyian antaranya kumpulan Meet Uncle Hussain, Faizal Tahir, Aizat, Nabil, Dayang Nurfaizah, Saiful Apek, Dafi, Betty Benafe dan Sofaz. Bekas peserta Raja Lawak seperti Along, Cham, Angah dan Azrul selaku pengacara.
Harian Metro