SEDANG artis-artis baru muncul bak cendawan tumbuh selepas hujan, nama penyanyi dan pelakon bertubuh kecil molek ini tidak pernah terpadam dalam diari perjalanan hiburan tanah air.
Masih bertahan popularitinya, dalam diam, usia penglibatannya sebagai insan seni sudah pun mencecah 15 tahun. Biarpun ada yang melihat dirinya bagai tenggelam dek peredaran zaman lantaran kurang cerita mengenainya terpampang di akhbar atau majalah, rezekinya tidak pernah putus.
Menyanyi dan memperoleh tawaran berlakon, si genit berusia 37 tahun itu kini diberikan kepercayaan untuk mengacarakan program Apa Apa Aje di TV3, menggantikan Sheila Rusly.
Dalam lakonan pula, dia bakal muncul di saluran Prima (saluran 105, Astro) menerusi drama bersiri komedi romantik berjudul Kasut Tumit Tinggi bermula 22 Januari ini. Cukup membanggakan, sepanjang tempoh bergelumang dalam dunia hiburan, personaliti kecil molek ini mencatat rekod sebagai artis yang bersih daripada kontroversi. Begitulah empunya diri bernama Amy Mastura, yang satu ketika cukup terkenal dengan lagu-lagu antaranya Akan Datang, Bintang Hati, Jawapan Kasih dan Bukakanlah Pintu.
Ibu dua orang cahaya mata, Adriana, tujuh tahun, dan Adalia, tiga tahun itu, memberitahu yang dia mempunyai buah tangan terbaru khusus untuk peminatnya. Buah tangan berbentuk album berjudul Happy yang telah menjalani rakaman beberapa bulan lalu itu akan dipasarkan tidak lama lagi dengan mempertaruhkan 10 buah lagu baru.
Antara lagu yang dimuatkan adalah Happy, Dingin Malam, Fiesta, Bahasa Langit, Mencapai Bintang, Ini Kasihku, Satu Kucupan, Jangan Cintakan Aku dan Langkah Di Hatimu. Membabitkan barisan komposer seperti Panji dan Lah VE, Amy tidak ketinggalan menghasilkan sendiri lima buah lagu iaitu Happy, Dingin Malam, Ini Kasihku, Mencapai Bintang dan Langkah Di Hatimu.
‘Album ini sudah lama disiapkan iaitu pada bulan Ogos tahun lalu. Bagaimanapun, ia tidak dapat dipasarkan awal kerana kulit album belum disiapkan atas masalah tertentu. Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, ia akan berada di pasaran tidak lama lagi,’ katanya yang ditemani pengurusnya, Nana Ahmad.
Cyberita