Saiz fizikal Calvin Thoo mungkin kecil dan comel, tetapi kreativiti dan semangatnya sentiasa besar dan istimewa.
izyanliyana.mdarif@kosmo.com.my”>

CALVIN berbincang dengan pelanggan sebelum membuat lakaran di atas kertas.
![]()
CALVIN Thoo ialah satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia fesyen tempatan. Dia sering muncul di pentas peragaan dengan diiringi model yang menggayakan rekaan terkini fesyennya. Anak kelahiran Kuala Lumpur itu sentiasa tampil dengan koleksi busana yang menawan.
Walaupun menggunakan fabrik ringkas, himpunan pakaian Calvin, 37, tetap manis dan cantik digayakan. Dihiasi dengan butiran manik dan batu-batu kecil membuatkan setiap pakaian rekaannya memiliki signatur tersendiri.
Justeru, bukanlah menghairankan bekas graduan dalam program pengajian ijazah fesyen dari RMIT, Australia itu sering mendapat tempahan daripada pelbagai peringkat penggemar fesyen terutama golongan ternama dan selebriti tempatan seperti Sazzy Falak, Erra Fazira, Anita Sarawak, Siti Nurhaliza, Adibah Noor, Jacklyn Victor dan ramai lagi.

SALAH satu rekaan dres labuh ilham Calvin Thoo.
Rekaannya ringkas tetapi elegan dan sofistikated. Ia sesuai digayakan pada majlis formal, koktel atau majlis perkahwinan.
“Jadual harian saya pada tahun 2009 begitu padat. Tempahan demi tempahan diterima. Namun begitu, sebanyak mana pun tempahan yang datang, saya akan pastikan kualiti, mutu dan rekaan yang dihasilkan menepati cita rasa pelanggan.
“Lagipun ia bersesuaian dengan moto label Calvin Thoo, yang mereka busana mengikut personaliti dan gaya hidup individu tersebut. Biasanya, sebelum melakar rekaan, saya akan berbual seketika dengan pelanggan bagi mengetahui latar belakang mereka supaya pakaian itu padan dengan empunya diri,” ujar pereka berwajah comel dan bersaiz genit itu.
Katanya lagi, kadangkala disebabkan saiz badannya yang kecil, segelintir pelanggan kurang yakin untuk menempah pakaian daripadanya.
“Mungkin mereka berkata bolehkah budak kecil ini melakar dan menjahit baju,” ujarnya sambil ketawa.

SELAIN menghasilkan pakaian, Calvin Thoo juga mampu mereka bentuk kasut.
Calvin yang baru selesai menguruskan pakaian pengantin pelakon Ako Mustafa kini dalam proses menyiapkan gaun pengantin Linda Jasmine.
Calvin yang pernah menuntut di Sekolah Menengah St. John, Kuala Lumpur merupakan anak sulung daripada dua beradik. Dia mencintai dunia fesyen sejak berusia lapan tahun.
Semuanya tercetus gara-gara Calvin kurang gemar melihat trend fesyen yang ditampilkan pada satu masa dahulu.
“Tak payah sebut bila masa itu. Saya dapati rekaan dan koleksi pakaian yang ditawarkan ketika itu tidak enak dipandang,” ujarnya.
Bermula saat itu, Calvin melahirkan hasrat kepada ibunya untuk bergelar pereka fesyen apabila meningkat dewasa.
Ketika di bangku sekolah, dia kerap membeli buku tulis bagi memudahkannya melakar pakaian. Malah, halaman buku teks juga sentiasa dipenuhi dengan lukisan busana.

“Malangnya, kesemua koleksi buku dan hasil lakaran pertama telah hilang dan dibuang ketika saya melanjutkan pelajaran di luar negara. Barangkali ibu menyangka saya tidak memerlukannya lagi.
“Sekarang ia hanya tinggal kenangan. Biarpun tiada lagi koleksi buku lakaran itu, saya kini mampu tersenyum kerana sudah mempunyai butik sendiri pada tahun 2005,” tambahnya yang sibuk melayan pelanggan mengenakan gaun malam di butiknya di Lot 10, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Kosmo