Oleh Serimah Mohd Sallehuddin
serima@bharian.com.my

MICHAEL Shu (tiga dari kiri) bersama lapan selebriti menggayakan koleksi terbaru busana pengantin sentuhannya.
Sentuhan pereka, Michael Shu pikat pengunjung pameran di Hotel Prince
MICHAEL Shu nama yang bukan asing bagi pengikut dan peminat setia dunia fesyen tempatan. Namanya mula mekar dalam industri ini sejak pembabitannya dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) kira-kira dua tahun lalu.
Sejak itu, nama pereka kelahiran Bentong, Pahang ini mula meniti di bibir kebanyakan selebriti tempatan yang rata-ratanya selesa dengan sentuhan pemenang tempat kedua pertandingan Piala Seri Endon, lima tahun lalu.
Sering kali berdampingan dengan selebriti Melayu membuatkan Michael lebih selesa menghasilkan busana khusus untuk masyarakat Melayu. Malah hampir 80 peratus pelanggannya adalah orang Melayu.
Ogos lalu, dia tampil dengan persembahan solo pertama koleksi baju raya sempena sambutan Aidiladha. Michael kini mahu mencuri lagi hati lebih ramai pelanggan Melayu apabila tampil dengan koleksi pakaian pengantin yang berkonsepkan moden kontemporari.
Kali pertama Michael memperkenalkan koleksi pakaian pengantinnya kepada umum adalah ketika Malaysian Bridal Gown Desinger Showcase membabitkan lapan pereka fesyen tempatan pada April lalu. Bagaimanapun pada pameran pengantin di Hotel Prince baru-baru ini, sentuhan Michael mendapat perhatian kerana dia hanya berkongsi laluan ‘runaway’ dengan pereka yang juga tidak kurang disegani Carven Ong.

SAHABAT baik, Iqram
dan Irma tampak anggun
dengan warna ungu.
Seramai lapan selebriti popular tempatan menggayakan rekaan pengantin sentuhannya untuk koleksi 2009 iaitu Julia Ziegler, Juliana Evans, Irma Hasmie, Tengku Tiara, Remy Ishak, Iqram Dinzley, Fizzow dan Kamal.
“Sejak tahun lalu saya mula berjinak-jinak menghasilkan busana pengantin. Tahun 2009 ini juga saya akan memberikan tumpuan kepada rekaan pakaian pengantin.
“Saya sukakan busana pengantin kerana ia juga ada cabarannya. Apatah lagi tumpuan saya adalah pada rekaan bercorakkan moden kontemporari, jadi cabarannya adalah untuk menghasilkan pakaian pengantin yang kena dengan konsepnya,” kata Michael yang turut menggabungkan ciri pakaian tradisional Cina ke dalam rekaannya.
Perkahwinan impian empat selebriti muda
MEREKA memiliki nama dan juga rupa paras yang tidak jemu dipandang. Sama-sama masih muda dan banyak ranjau yang perlu dilalui kelapan-lapan personaliti yang menggayakan koleksi pakaian pengantin Michael Shu untuk tahun 2009.
Biarpun masih terlalu awal untuk merangka perjalanan hidup seterusnya iaitu ke alam perkahwinan namun setiap mereka tentunya mempunyai perkahwinan impian yang diidamkan.
Bagi si gadis, mereka lebih teruja berkongsi cerita mengenai perkahwinan impian masing-masing. Manakala Iqram dan Fizo pula, masih belum terfikir perkahwinan bagaimana yang menjadi idaman kalbu kerana masing-masing mahu mengumpul wang terlebih dulu sebelum membuat keputusan melamar ‘anak dara’ orang.
Idam perkahwinan tepi pantai
GADIS kacukan ini pada mulanya malu-malu untuk bercerita mengenai perkahwinan impiannya kerana umurnya masih muda. Juliana hanya akan memasuki 20, tahun ini. Bagaimanapun dia akhirnya tidak keberatan bercerita mengenai perkahwinan impiannya iaitu di tepi pantai atau mungkin berkonsepkan taman.
Katanya, destinasi pilihan untuk mengadakan majlis perkahwinan di tepi pantai tentulah di kawasan perairan tempatan yang juga tidak kurang menariknya.
“Mungkin masih terlalu awal untuk saya bercerita soal kahwin. Saya hanya akan berkahwin setelah habis menuntut dalam bidang Komunikasi Massa di Kolej Sunway dan setelah mendapat apa yang saya cita-citakan.
“Tetapi sejak dulu lagi memang saya impikan majlis di tepi pantai. Pantai pilihan saya tentulah di sini saja kerana negara kita juga mempunyai pantai yang menarik, tidak perlu ke luar negara untuk meraikan majlis perkahwinan,” katanya.
Fizzow mahu tema hitam putih
SESETENGAH orang berpendapat, majlis perkahwinan haruslah berwarna-warni supaya menimbulkan suasana ceria apatah lagi untuk majlis bersejarah seperti perkahwinan. Namun, bagi pendatang baru Fizzow pula, dia sukakan konsep hitam putih. Meskipun kedengaran pelik tetapi konsep sedemikian kini semakin menjadi pilihan masyarakat Melayu moden masa kini.
“Setakat ini saya masih belum memikirkan soal kahwin. Lagipun saya baru saja 24 tahun, saya sasarkan umur 30 untuk menamatkan zaman solo.
“Kalau ikutkan, saya mahu kahwin awal kerana saya sukakan bayi tetapi buat masa ini saya ingin stabilkan kewangan, dapat jaga keluarga dan buka perniagaan terlebih dulu. Selepas itu barulah saya akan fikirkan soal kahwin.
“Kalau boleh pada majlis perkahwinan nanti, saya mahukan konsep hitam putih. Tak tahu kenapa tetapi konsep itu begitu menarik di pandangan mata saya dan saya juga tidak kisah mengadakan majlis di mana saja,” katanya.
Irma ikut kemampuan
MENGIMPIKAN konsep Zaman Kesultanan Melayu Melaka, pelakon Awan Dania, Irma Hasmie bagaimanapun mahu bersederhana. Sejak dulu, dia mengimpikan perkahwinan berkonsepkan Melayu Melaka kerana ia unik. Namun, sehingga kini Irma masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk ke arah itu.
“Saya mahu kahwin sebelum usia mencecah 30 tahun. Maknanya tinggal tiga tahun saja lagi umur saya akan mencecah 30. Setakat ini saya masih belum bertemu dengan orang yang sesuai. Saya bukan jenis orang yang memandang kepada fizikal seseorang. Fizikal bagi saya adalah nombor dua kerana yang penting hati dan cara layanannya pada saya dan juga keluarga saya.
“Mengenai impian perkahwinan pula, saya sukakan konsep Kesultanan Melayu Melaka. Bagaimanapun di mana majlis itu akan dilakukan, saya tak tahu dan tidak ada perancangan. Apa yang penting bagi saya, tempat itu selesa untuk tetamu,” katanya yang kini bergelar pengacara untuk program Chopp! di TV9 bersama Iqram Dinzley.
Iqram mahu pergi Makkah dulu
SETIAP kali bertanya soal jodoh pada jejaka ini, jawapan yang diterima sama saja. Sebelum ini, Iqram pernah berkata mahu mengumpul duit untuk menyenangkan bakal isterinya nanti. Tetapi kini, jejaka kelahiran Ipoh, Perak yang bakal berusia 28 tahun tidak lama lagi itu mahu menunaikan Haji sebelum bersedia untuk berkahwin.
“Saya tidak nafikan lelaki senang dapat jodoh, bagaimanapun bukan mudah untuk mendapat wanita yang betul-betul sesuai dengan kita terutama wanita yang boleh faham dengan kerjaya saya.
“Saya juga mahu wanita yang tidak menjaja rahsia rumah tangga pada orang. Bukan apa seandainya perkahwinan itu menemui noktah, sekurang-kurangnya dia pandai menyimpan rahsia dan tidak cerita tidak tentu hala. Jadi sekarang bukanlah masanya lagi, saya mahu menunaikan Haji terlebih dulu sebelum serius memikirkan soal kahwin,” katanya.
Berita Harian