Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

FAIZAL mahu memberi
keadilan untuk dua lagu
ciptaannya bersama Audi
Mok pada Malam AJL23
nanti.
Faizal Tahir tak mahu berlebihan buat persediaan, pentas dan corak persembahan adalah satu bonus
BERCAMPUR baur perasaan Faizal Tahir ketika ini namun keterujaan kerana pertama kali beraksi sendiri pada kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-23, 18 Januari ini, mengatasi segala-galanya.
Tahun lalu, penyanyi yang menempa populariti menerusi program realiti, One In A Million itu terpaksa memendam kekecewaan gara-gara digantung tiga bulan daripada muncul di kaca televisyen kerana membuka baju ketika mengadakan persembahan sempena ulang tahun keempat 8TV.
“Siapa yang tidak teruja lebih lagi membawakan sendiri dua lagu yang dipertandingkan, namun saya tidak mahu terlalu memikirkannya.
“Bukan bermakna saya langsung tidak mengambil kisah, cuma saya tidak mahu apabila terlalu memikirkan soal pertandingan ia akan memberikan tekanan dan itu tidak membawa apa-apa kebaikan,” kata penyanyi yang mempertaruhkan dua sentuhannya bersama Audi Mok untuk kategori Balada.
Menyentuh persediaan, penyanyi yang menghasilkan idea kreatif untuk Sampai Syurga dan Cuba itu berkata, dia tidak mahu melakukannya berlebihan.

GAYA persembahan Faizal.
Pengalaman yang dilalui, terutama ketika berdepan kontroversi hingga lagu nyanyiannya, Kasih Tercipta dan Mahakarya Cinta terpaksa dibawakan penyanyi lain membuatkan Faizal lebih berhati-hati.
“Apa yang penting adalah mempersiapkan mental dan fizikal selain mempertingkatkan mutu persembahan untuk berdepan saat mencabar itu.
“AJL23 adalah malam untuk mengiktiraf komposer, justeru tumpuan diberikan lebih kepada susunan lagu dan persembahan vokal.
“Aspek lain seperti pentas dan corak persembahan hanya bonus, disebabkan itu saya tidak mahu berlebihan dalam melakukan persediaan kerana apa saja boleh terjadi pada malam itu,” katanya.
Dua lagu dipertandingkan untuk kategori sama, namun setiap satu bagi penyanyi berusia 30 tahun itu, mempunyai kekuatan tersendiri walaupun dari segi keselesaan, dia lebih menyenangi Cuba kerana corak penyampaiannya yang agak santai.
Sampai Syurga kata Faizal, memberikan cabaran besar kepadanya kerana lagu itu menuntut penghayatan mendalam membuatkan dia perlu berusaha keras.
Namun, katanya, dia tetap akan berlaku adil dalam memberikan persembahan kerana kedua-dua lagu itu memberi kebanggaan dan makna tersendiri kepadanya dan Audi Mok.
“Saya tidak akan lebihkan mana-mana lagu kerana kedua-duanya adalah berbeza. Cuma mungkin, kepuasan itu saya dapat lebih pada Sampai Syurga kerana penyampaiannya yang agak menguji,” katanya yang pernah melahirkan album penuh, Aku.Muzik.Kamu pada 22 November 2007.
Suatu prinsip yang terus menjadi pegangan bapa kepada Mikaeel Zidane dan Siti Nur Raudhah, apa saja yang berlaku dalam hidup ini mempunyai hikmah dan pengajarannya yang tersendiri.
Disebabkan itu, kata penyanyi yang bernaung di bawah syarikat rakaman Monkey Bone Records itu, dia tidak menyalahkan sesiapa atas apa yang berlaku tahun lalu kerana semuanya berpunca daripada kekhilafannya sendiri.
“Jujurnya saya memang kecewa dengan apa yang berlaku tahun lalu, tetapi saya tidak mahu menuding jari kepada sesiapa kerana saya yang mencipta sendiri masalah itu.
“Namun prinsip saya, setiap apa yang terjadi dalam hidup ini pasti mempunyai sebab tertentu. Disebabkan itu, saya menerima apa yang ditakdirkan dulu dengan reda.
“Mungkin jika terus mengambil bahagian ketika itu, saya sendiri belum bersedia sepenuhnya untuk menempuh pertandingan besar ini.
“Saya akui agak takut dan gemuruh tahun lalu namun untuk AJL23 ini saya mula yakin. Selepas dua tahun, mengharungi cabaran dan pelbagai dugaan membuatkan saya semakin selesa dan bersedia untuk menghadapinya,” katanya.
Ramalan Faizal:
MELIHAT kekuatan 14 lagu yang bertanding, penyanyi yang turut terbabit dalam penciptaan lagu ini meramalkan peluang cerah untuk bergelar juara berpihak kepada kumpulan Meet Uncle Hussain.
Kumpulan yang mempertaruhkan Lagu Untukmu sentuhan Taja, Tass dan Lan manakala lirik nukilan Taja dan Tass itu katanya, menghidangkan ciptaan yang segar, bernuansa baru dan berbeza untuk industri hiburan.
Katanya, keberanian mereka membawa pembaharuan adalah sesuatu yang dimahukan dalam industri, apatah lagi ketika ini pasaran muzik yang terbuka membuatkan khalayak mempunyai pelbagai pilihan cita rasa.
“Secara peribadi, saya melihat Lagu Untukmu mempunyai banyak kelebihan dan kekuatan untuk diangkat sebagai Juara Lagu edisi ke-23 ini,” katanya.
Faizal juga melihat potensi besar pada sentuhan Azlan Abu Hassan menerusi Dingin yang bakal dipersembahkan penyanyi berpengalaman, Ziana Zain untuk mengungguli kategori Balada.
Malah, katanya, dia turut meletak harapan tinggi terhadap lagu itu kerana komposisinya yang tersendiri dan diperindahkan lagi dengan nyanyian menyentuh perasaan daripada Ziana.
Selain itu, Faizal juga memuji sentuhan Aizat yang menyandarkan harapan kepada Lagu Kita kerana penyanyi muda terbabit kreatif mencorakkan perjalanan serta arah muzik yang dibawanya.
Kata Faizal lagi, Aizat ialah contoh kepada angkatan penyanyi generasi muda yang mempunyai bakat besar serta mampu membawa industri hiburan ke satu tahap baru yang membanggakan.
INFO: Faizal Tahir
Nama Penuh: Ahmad Faizal Mohammad Tahir
Tarikh Lahir: 26 Oktober 1978
Umur: 30 tahun
Tahun mula aktif: 2004
Label: Monkey Bone Records
Pencapaian: Anugerah Planet Muzik 2008: Artis Lelaki Baru Terbaik dan Artis Lelaki Paling Popular; Anugerah Industri Muzik 15 – Persembahan Vokal Terbaik dalam Album (Lelaki), Artis Baru Terbaik, Album Rock Terbaik dan Album Terbaik.
Berita Harian