Hani, Sazzy Saling Melengkapi



Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


Sazzy (kiri) dan Hani, makin serasi menjadi pengacara program hiburan.

Pengacara Ria Sentral mengaku tak pernah wujud perasaan cemburu di antara mereka

SALING memberi dan menerima bahkan sentiasa menghulur tangan untuk memantapkan program kendalian mereka membangkitkan keserasian dua pengacara wanita popular, Sazzy Falak dan Yasmin Hani Richardson ketika mengacara program hiburan siaran Astro Ria, Ria Sentral.

Disatukan sejak siaran itu menemui penonton secara langsung 14 Februari tahun lalu, Sazzy dan Hani sentiasa menyenangi antara satu sama lain malah sepakat mengakui mereka berdua bagaikan saling melengkapi.

Tiada langsung perasaan cemburu bertunas di hati mereka, sebaliknya Sazzy dan Hani jujur menjalani persahabatan sekali gus menyanggah pandangan sesetengah pihak yang kurang menyenangi keakraban mereka berdua.

Jujur kata Sazzy, 24, dia berterima kasih kepada Hani kerana gadis itu mencadangkan namanya apabila pengurusan Astro Ria merangka untuk menerbitkan Ria Sentral.

“Dari segi kelebihan, Hani menimba jauh lebih banyak pengalaman dan ia memberikan saya cabaran kerana perlu berusaha memberikan persembahan sebaik dia.

“Bagaimanapun, semua itu tidak pernah memberikan tekanan kerana Hani sentiasa di sisi untuk membantu. Seronoknya apabila bekerja dengan pengacara yang lebih berpengalaman, ia secara tidak langsung memberi motivasi untuk bekerja keras supaya tidak mengecewakan kepercayaan yang diberikan itu,” kata pengacara bertubuh kecil molek yang juga menyinar nama sebagai pelakon.

Hani sendiri mengakui, pengalaman bekerja dengan Sazzy yang juga teman baiknya selain Aishah Sinclair banyak mematangkan dirinya untuk memantapkan mutu pengacaraannya.

Disebabkan persahabatan yang akrab serta sudah saling memahami kekurangan dan kelebihan masing-masing, jika berlaku ketidakpuasan hati mereka akan meluahkannya secara berdepan.

Telus dan tidak berselindung, malah tidak pernah menyimpan dendam di hati setiap kali menerima teguran membantu kru produksi untuk menjalankan kerja di lokasi dengan licin.

“Setiap kami punya kelebihan dan kekurangan masing-masing, jadi menjadi tanggungjawab kami berdua untuk berusaha menutup kelemahan antara satu sama lain supaya apa yang dipersembahkan kelihatan sempurna di mata penonton.

“Mungkin saya lebih berpengalaman berbanding Sazzy tetapi itu tidak bermakna saya sudah sempurna. Saya juga banyak belajar daripadanya dan mungkin kerana sentiasa meletakkan diri dalam situasi yang sama membuatkan kami berdua mudah mencari keserasian,” kata Hani.

Saat nama sedang meniti di bibir pencinta seni, populariti yang dikecapi isteri kepada Nazril Idris atau Nash turut membuka pintu rezekinya untuk mempelbagaikan kemampuan sebagai pengacara.

Namun, semua itu tidak pantas membuatnya leka. Sazzy selesa memusatkan tugasannya kepada Ria Sentral sebelum beralih menjayakan program lain.

“Sudah lima tahun saya bersama Astro hingga menyebabkan ada pihak keliru apabila wajah saya mula menghiasi saluran televisyen lain. Sebenarnya saya bukan wajah eksklusif Astro, cuma mungkin kekeliruan timbul kerana saya terlebih dulu membina nama bersama mereka.

“Andai ditanya keinginan memang saya ingin memperluaskan kebolehan dalam bidang pengacaraan cuma bukan dalam masa terdekat ini. Biar saya selesaikan satu persatu sebelum saya memikirkan perancangan lain,” katanya.

Menyelak helaian diarinya sepanjang tahun lalu, akui Sazzy, dia diburu kesibukan berganda apatah lagi tawaran lakonan untuknya berterusan hingga sesekali hatinya menjerit mahu bercuti kerana terlalu penat bekerja.

Dalam kesibukan itu, dia tetap mencuri masa menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan tuturnya jujur, menggalas dua peranan serentak bukan sesuatu yang mudah untuk disempurnakan terutama apabila sentiasa mengejar waktu.

Melihat kesungguhan Sazzy yang tidak pernah kenal erti putus asa juga memberi dorongan kepada Hani untuk meraih peluang yang sama.

Andai dulu Hani lebih senang menyendiri, malah permintaan media untuk menemubual dirinya kerap ditolak tetapi hari ini, bekas penyampai Pagi @ Era itu sudah jauh berubah.

Dia menganggap media umpama teman rapat, tempat untuk berkongsi aspirasi dan pada masa sama, membantu memacu namanya ke tangga pentas seni yang lebih tinggi.

“Dulu saya terlalu terikut-ikut dengan kakak kerana kami berdua kurang selesa apabila terlalu diberi tumpuan. Rasa tak selesa apabila keluar, orang pandang-pandang.

“Mungkin orang takkan percaya jika saya cakap saya ini sebenarnya pemalu. Sazzy juga banyak membantu saya, malah mengingatkan saya akan pentingnya peranan media untuk membawa seseorang anak seni itu ke puncak karier.

“Dulu saya tak fikir semua itu tetapi sekarang, media umpama kawan baik saya. Tanpa mereka, kerja keras bagaimanapun kita tidak akan ke mana,” katanya.

Turut mencipta nama sebagai pelakon, Hani yang membintangi drama bersiri Ampang Medikal serta filem Gentayangan berharap penerbit akan memberinya peluang untuk memainkan peranan mencabar.

Katanya, banyak pihak yang tidak berani memberikan watak mencabar kepadanya kerana berpendapat wajah jelitanya hanya sesuai membawakan peranan gadis kota yang cantik.

“Kebanyakan pengarah memilih jalan selamat kerana takut saya tidak mahu kelihatan buruk di kamera. Hakikatnya, saya tidak pernah kisah semua itu kerana sebagai pelakon, saya ingin mencuba pelbagai watak.

“Wajah boleh diubah dengan solekan dan kerana itu saya menerima tawaran membintangi Duyung untuk membuktikan kepada umum, saya sedia membawakan apa saja peranan. Kepercayaan itu penting kerana jika tidak selamanya kami tidak akan keluar daripada label yang diberikan terhadap kami,” kata Hani.

INFO: Sazzy Falak

NAMA PENUH: Sazlini Shamsul Falak

TARIKH LAHIR: 10 Mac 1984

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik

DARAH CAMPURAN: Melayu-Arab

PENDIDIKAN: Diploma Komunikasi Media dari Kolej Lim Kok Wing, Kelana Jaya

PROGRAM TV: Pengacara Muzik-Muzik (TV3) dan Beat TV (Astro Ria)

FILEM: Gol & Gincu

INFO: Yasmin Hani

NAMA PENUH: Yasmin Hani Richardson

TARIKH LAHIR: 11 Jun 1979

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Anak ketiga daripada empat beradik

DARAH CAMPURAN: Inggeris-Melayu

IKLAN PERTAMA: Coca-Cola, ketika itu baru berusia 14 tahun

PROGRAM TV: Pengacara pertama Muzik@Ria (Astro Ria) sejak 1999 hingga Februari 2008. Kini bersama Sazzy Falak mengacarakan Ria Sentral (Astro Ria) secara langsung setiap Khamis jam 5 hingga 6 petang dan ulangan 10.30 malam.

FILEM: Bilut, Cicak-Man, Duyung dan terbaru Gentayangan

Berita Harian

This entry was posted in Sazzy Falak, Yasmin Hani. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>