Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus
asmaini@nstp.com.my
KELIBAT pemain biola elektrik, Dennis Lau, sering kelihatan mengiringi persembahan ramai artis popular dalam pelbagai acara.
Kemampuan jejaka yang mempunyai susuk tubuh tinggi serta tegap dalam mengalunkan pelbagai irama ini sememangnya cukup menghiburkan dan dikagumi.
Pasti ramai yang terkejut apabila diberitahu usia jejaka ini sebenarnya baru mencecah 23 tahun. Pada usia semuda itu, Lau sudah mengukir nama bukan saja di negara ini malah dikenali di pentas muzik antarabangsa.
Jejaka kelahiran Teluk Intan, Perak tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur ini anak tunggal kebanggaan pasangan Lau Chee Chuan dan Chuah Chai Eng.
Anak muda ini dikatakan mula menggesek biola ketika berusia tiga tahun selepas mendapat tunjuk ajar daripada ibunya yang juga seorang guru muzik di sebuah sekolah swasta serta Nora Kim dan Andrew Chye.
Dia turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi pemuzik termuda yang mencapai gred lapan pada usia 11 tahun.
Menurut Lau, biarpun terbabit dalam dunia muzik, ibunya tidak pernah memaksanya menceburi bidang berkenaan dan memberi kebebasan memilih kerjaya digemari.
Dia akui bukan mudah mengalun dan menjiwai sesebuah lagu dengan gesekan biola kerana ia memerlukan penghayatan jiwa yang mendalam.
Untuk itu, dia mula mengasah bakat dan memasuki sekolah muzik terkemuka serta melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan hingga ke peringkat ijazah.
“Entah mengapa saya berasakan biola sesuatu yang dekat dengan jiwa. Alunan muzik daripada gesekannya mampu menawan hati sesiapa jua.
“Berbanding alat muzik lain, biola lebih senang dibawa dan selain itu, ia dapat membawa pelbagai jenis lagu seperti jazz dan balada dengan baik,” katanya yang kini menggunakan biola elektrik 5 String Yamaha EV 205.
Sepanjang menceburi dunia muzik berkenaan, dia berkesempatan mengadakan persembahan di pelbagai acara sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Tiada apa yang paling menggembirakan hatinya selain dapat menghiburkan hadirin dengan gesekan merdu biola kesayangannya.
Kata Lau, peluang berkongsi pentas dengan beberapa artis tempatan dan antarabangsa seperti Sean Ghazi, Francesca Peters, Jaclyn Victor, Noryn Aziz, Atilia Haron, Ning Baizura, James Boyle dan The Ragged Tigersdi dalam beberapa acara sebelum ini memang membuatkan dirinya teruja.
Tetapi, apa yang lebih istimewa bagi dirinya ialah berpeluang menghiburkan tetamu penting negara seperti golongan keluarga diraja serta menteri pada majlis rasmi.
Dia yang menggemari muzik Michael Jackson, Stevie Wonder, Luther Vandross, Wang Lee Hom dan gesekan biola Christian Howes ini berkata, generasi muda terutama remaja perlu berusaha gigih untuk mencapai apa jua yang diimpikan.
Katanya, hanya keazaman tanpa mengenal jemu mampu membawa seseorang itu ke arah kejayaan.
“Bermain muzik sama juga seperti bidang lain yang memerlukan komitmen jitu serta usaha yang tidak pernah jemu.
“Berbanding sedikit masa lalu, kerjaya pemain biola hari ini memang diakui mempunyai peminat yang tersendiri.
“Jika ada yang berminat, satu pesan saya ialah mulakan sejak awal iaitu ketika kanak-kanak dan jangan lupa untuk beri tumpuan kepada kelemahan.
“Tetapi, apa yang penting, jangan malu untuk mencuba kerana siapa tahu, suatu hari nanti anda akan menjadi ahli muzik terkenal,” katanya yang menyimpan impian untuk bergelar penyanyi suatu hari nanti.
Biarpun masih bergelar remaja, jejaka yang mempunyai senyuman manis ini sebenarnya adalah pemilik dan pengasas kepada syarikat hiburan terkenal, Mossaic.
Syarikat berkenaan menyediakan perkhidmatan untuk membuat persembahan di pelbagai acara sama ada acara rasmi mahupun majlis peribadi, mengiringi persembahan, penyediaan sistem bunyi dan visual, string kuartet, persembahan solo serta perancangan muzik konsep.
Selain itu, Lau mencuri sedikit masanya untuk mengajar muzik pada kanak-kanak di rumah serta mengumpul material terakhir yang diperlukan untuk album pertamanya yang dijangka bakal berada di pasaran tahun ini.
“Saya mahu dikenali sebagai artis versatil dan bukan sekadar pemain biola. Untuk itu, saya kini berusaha ke arah itu dan harapan semoga impian berkenaan tercapai,” katanya mengakhiri perbualan. Maklumat lanjut mengenainya boleh didapati menerusi laman web www.mosaic.com.my
Harian Metro