Guna Kritikan Sebagai Panduan
Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

KRITIKAN menjadikan Tom Tom Bak sebagai program yang sarat elemen pendidikan.
Aznil Nawawi percaya Tom Tom Bak mampu berperanan sebagai saluran untuk mendidik pewaris negara
TERLALU banyak yang diperkatakan, malah moral rancangan hiburan kanak-kanak, Tom Tom Bak Anmum Essential pernah menimbulkan polemik dan diperdebatkan pelbagai pihak.
Atas tanggungjawab sosial serta peranan yang perlu dimainkan sebagai anggota masyarakat, pengacara tersohor, Aznil Nawawi tekad meneruskan usahanya itu.
Apa juga kritikan dan pandangan yang diluahkan, Aznil jadikan itu sebagai panduan lalu memperkemaskan musim terbaru program itu dengan memberikan lebih fokus kepada pembangunan dan perkembangan minda si kecil.
Musim keempat program yang akan bersiaran mulai 31 Mei nanti mengambil pendekatan baru yang sarat unsur pendidikan namun tidak meminggirkan elemen hiburan yang menjadi teras rancangan itu.
Aznil berkata, awal penerbitan Tom Tom Bak lebih terarah menjadi ‘padang permainan’ kanak-kanak yang mendidik mereka mengerti aspek pembelajaran seperti role play (bermain peranan) dan perkara lain.
Bagaimanapun, usahanya itu gagal difahami malah teguran beberapa pihak yang menyifatkan apa yang dilakukannya itu mendedahkan kanak-kanak terlalu awal kepada dunia dewasa membuatkan dia melakukan sedikit rombakan untuk musim terbaru ini.
Memperkenalkan segmen baru iaitu Anmum Essential Eja, Aznil berkata, ia menguji kecekapan kanak-kanak berusia tujuh hingga sembilan tahun untuk mengeja perkataan tertentu sekali gus memperkayakan perbendaharaan kata mereka.
Katanya, pembaharuan itu diperkenalkan kerana dia memegang kepada kepercayaan program yang berjaya mampu digunakan sebagai kenderaan untuk mendidik pewaris negara.
“Dulu kami melihat Tom Tom Bak daripada sudut hiburan, memberikan kanak-kanak kebebasan untuk mencurahkan idea secara kreatif namun tetap terkawal.
“Bagaimanapun untuk musim terbaru ini, kami menetapkan garis panduan tertentu. Segala kritikan serta komen positif dan membina yang diberikan dulu diambil biarpun pada sesetengah perkara ukuran penilaian adalah sesuatu yang subjektif,” katanya.
Ditemui pada sesi rakaman program yang diadakan di Studio 9, Wisma Ali Bawal, Petaling Jaya, Aznil berkata, musim terbaru Tom Tom Bak juga memperlihatkan percubaan mereka mengetengahkan unsur kemasyarakatan menerusi pilihan lagu rakyat dan patriotik.
Aznil berkata, inisiatif itu adalah antara usaha mereka untuk mengekalkan warisan bangsa serta ingin mengkaji sejauh mana penerimaan kanak-kanak terhadap pembaharuan yang dibuat.
“Andai apa yang kami lakukan ini kurang diterima, sekurang-kurangnya program ini dapat dijadikan wadah untuk mempopularkan kembali lagu rakyat yang pernah mendapat tempat di hati masyarakat.
“Dulu kami pernah bereksperimen menerusi nama program ini sendiri yang diambil daripada satu permainan tradisional tetapi sekarang, ia sudah melekat di hati mereka,” katanya.
Di sebalik kritikan dan kecaman yang diterima sejak diperkenalkan dua tahun lalu, Aznil melihat hasil positif seiring perkembangan Tom Tom Bak.
Sesuatu yang ketara, kata Aznil, generasi kecil seawal usia tiga hingga enam tahun sudah semakin bersedia untuk menyertai uji bakat malah petah mengutarakan idea serta pandangan mereka.
“Saya akui permulaan rancangan ini dulu kami berdepan masalah untuk mencari kanak-kanak yang petah berbicara dan berani berdepan dengan kamera.
“Bagaimanapun, suasana itu sudah berubah hingga saya terpaksa menahan mereka daripada terus bercakap ketika rakaman musim baru ini dibuat.
“Dalam kebebasan mereka menyuarakan pandangan, saya tetap tekankan kepada adab. Begitu juga dengan topik perbualan yang dipilih bersesuaian kemampuan mereka tanpa disogok dengan idea terlalu besar,” katanya.
Aznil berkata, dia bersikap terbuka dalam menerima kritikan namun berharap supaya program seperti ini tidak ‘dibunuh’ mereka yang menggunakan Tom Tom Bak untuk kepentingan diri dan mencari populariti pantas.
Katanya, setiap anggota masyarakat memainkan peranan penting mereka untuk pembangunan minda kanak-kanak justeru, tidak seharusnya kesalahan diletakkan sepenuhnya terhadap program ini.
“Dalam kemajuan teknologi, kanak-kanak mempunyai pelbagai akses untuk mendapatkan maklumat. Saya sendiri berasa bimbang apabila menonton siaran berita yang menyiarkan perbahasan di Parlimen.
“Ada kala bahasa yang digunakan agak kasar serta tidak sesuai untuk perkembangan kanak-kanak dan mungkin menjadi ikutan mereka.
“Justeru, setiap kita perlu memainkan peranan untuk membawa kanak-kanak ke destinasi yang betul. Jangan meletakkan kesalahan kepada program ini semata-mata kerana apa yang kami lakukan adalah menyediakan platform kepada kanak-kanak untuk menyuarakan pendapat mereka,” katanya.
Sarat nilai moral, pendidikan
TIGA ibu dari Seri Kembangan, Selangor yang menemani anak kesayangan mereka menyertai Tom Tom Bak turut berkongsi pandangan yang menyifatkan program itu sarat unsur pendidikan dan menceriakan.
Hazira Hamsah yang bertugas sebagai pendidik berkata, pengisian Tom Tom Bak yang semakin matang membantu membina keyakinan diri anak kesayangannya, Iffah, 11, dan Izzah, 8.
Sementelahan rakaman dibuat pada musim cuti persekolahan, Hazira melihat Tom Tom Bak mengisi kekosongan dengan adanya aktiviti berfaedah membabitkan kanak-kanak.
“Ramai melihat program ini daripada pelbagai sudut, namun setiap kita mempunyai penilaiannya yang tersendiri. Selama bersama program ini, saya dapat melihat perkembangan yang positif berlaku kepada anak saya.
“Disebabkan itu, apabila Tom Tom Bak dikecam sedikit masa lalu saya terpaksa menjelaskan kepada anak saya perkara yang sepatutnya supaya mereka tidak terkeliru.
“Alhamdulillah, dalam kesibukan menyusun jadual aktiviti anak-anak, saya melihat banyak nilai positif. Apa yang membanggakan saya, pelajaran anak-anak jarang sekali tercicir walaupun mereka aktif dalam pelbagai aktiviti,” katanya.
Suri rumah, Ruzila Mohd Khir Hadi yang menemani anaknya, Iman Iskandar, 8, berkata, pembaharuan yang diperkenalkan pada musim keempat dengan memperbanyakkan aktiviti berunsur pendidikan bertepatan dengan masa.
Katanya, Tom Tom Bak juga menerapkan nilai moral dan tidak hanya mendedahkan kanak-kanak kepada hiburan kosong semata-mata membuatkan dia menggalakkan anak tunggalnya menyertai program ini.
“Sesuatu yang ketara, penguasaan bahasa Melayu anak saya semakin baik dan keyakinannya juga bertambah sedangkan dulu dia agak takut untuk bertutur dalam bahasa Melayu,” katanya.
Bagi Teh Lah Hong yang juga bertugas sebagai pendidik, Tom Tom Bak mempromosikan integrasi sosial dan menyuburkan amalan positif di kalangan kanak-kanak menerusi aktiviti yang dianjurkan.
Berita Harian