Tidak Mengecewakan



Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my

Raja Lawak musim ketiga melepasi ujian episod pertama dengan membanggakan

BERBANDING dua musim pertama yang memperlihatkan peserta cuba mengadaptasi diri dengan pentas pertandingan pada episod pertama pertandingan, musim ketiga Raja Lawak Astro yang membuka gelanggangnya, Jumaat lalu memperlihatkan hampir kesemua peserta sudah bersedia untuk memulakan cabaran mereka.

Hal itu diakui pengkritik tetap, Zaibo yang bersama program itu untuk ketiga-tiga musim yang melihat semua peserta Raja Lawak musim ketiga ini sudah selesa di pentas biarpun ia adalah kemunculan pertama mereka di hadapan khalayak.

Petanda positif itu katanya, dapat dirasai apabila penonton turut memberi reaksi menggalakkan membuatkan suasana di Studio 1, Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil, gamat dengan gelak ketawa.

“Kebanyakan peserta kelihatan selesa di pentas dan situasi itu agak mengejutkan kerana biasanya pada minggu pertama persaingan, peserta masih dalam proses untuk menyesuaikan diri.

“Tetapi apa yang saya lihat, kebanyakan peserta sudah berjaya mengatasi perasaan gugup dan membuat persembahan seperti pelawak profesional. Saya dapat berasakan permulaan yang baik untuk musim terbaru ini,” katanya.

Pandangan yang sama turut dikongsi aktres dan aktivis teater berpengalaman, Fauziah Nawi yang menyifatkan kesemua peserta menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik sekali.

Bagaimanapun, katanya, situasi selesa itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk bersenang lenang sebaliknya peserta perlu bekerja lebih keras membuat khalayak terhibur dengan persembahan yang diberikan.

“Mujur juga tiada yang tersingkir pada minggu pertama ini. Nasib mereka seterusnya ditentukan sama ada penonton menyukai atau tidak apa yang mereka bakal persembahkan pada minggu berikut nanti,” katanya.

Shamsul Ghau Ghau yang cukup kritis dalam penilaiannya berkata, ada di antara peserta sudah bersedia untuk memulakan perjuangan mereka manakala sebahagiannya masih takut dan gagal mengatasi rasa gentar berdepan dengan khalayak.

Baginya, ada di antara peserta yang tercabar dengan pujian diterima peserta yang terlebih dulu membuat persembahan hingga menjejaskan tumpuan mereka ketika di pentas.

“Kalau terasa kekurangan itu, mereka seharusnya berusaha keras untuk menawan hati penonton yang akan memberikan undi kepada mereka dan tidak seharusnya terus mengaku kalah.

“Ada di antara peserta sudah memberikan persembahan yang cukup membanggakan seperti Mohd Amirullah Azmi atau Amir pada minggu pertama. Cuma satu yang membimbangkan saya, jika minggu pertama persembahan sudah memberikan yang terbaik bagaimana nanti untuk minggu berikutnya?

“Mereka seharusnya bijak merencana persembahan supaya tidak kehabisan modal. Buat sesuatu perlahan-lahan, jangan terus memberi sepenuhnya kerana takut nanti penonton akan mempertikai jika gagal mempersembahkan yang lebih baik,” katanya.

Hasilkan identiti tersendiri

Mempertaruhkan 12 peserta, termasuk tiga daripadanya tampil secara berkumpulan, manakala dua peserta wanita memulakan cabaran awal mereka undian minggu pertama dilihat lebih berpihak kepada pelawak lelaki.

Seakan-akan satu stigma dalam program realiti yang memperlihatkan undian penonton jarang menyebelahi peserta wanita, perkara itu turut membimbangkan Zaibo.

“Saya tidak mahu apa yang berlaku di Akademi Fantasia turut berlaku dalam Raja Lawak Astro. Perkara seperti ini ada kalanya mengganggu kerana mereka yang mempunyai kelebihan diketepikan.

“Namun daripada proses uji bakat bermula lagi, saya sentiasa mengingatkan dua peserta wanita iaitu Nuur Jihan Musa (Jihan) dan Rafizzan Yaacob (Yann) supaya berbangga kerana mereka berjaya membolosi gelanggang yang selama ini dikuasai peserta lelaki.

“Berada dalam gelanggang ini saja sudah membanggakan wanita dan saya cuma berharap mereka akan terus memberikan yang terbaik. Sama ada bertahan atau sebaliknya, itu semua bergantung kepada rezeki,” katanya.

Harapan Zaibo lagi, peserta musim terbaru Raja Lawak Astro dapat keluar daripada kepompong persembahan komedi yang pernah dicetuskan juara musim kedua, Nabil serta tampil dengan identiti tersendiri.

Disebabkan itu katanya, mereka cukup mengawasi hal itu malah daripada awal lagi peserta diingatkan supaya tidak terikut dengan gaya persembahan Nabil.

“Raja Lawak Astro sudah mempunyai asas yang kuat. Saya tidak salahkan mereka jika terikut dengan cara Nabil kerana kejayaannya menjadi inspirasi kepada orang lain.

“Cuma dalam pertandingan ini, peserta harus mempunyai cara sendiri kerana kita bukan mencari Nabil kedua sebaliknya menggilap bakat baru untuk menyerlah di pentas komedi,” katanya.

Zaibo juga berharap, Raja Lawak Astro musim ketiga akan meletakkan piawaian pelawak di negara ini pada satu tahap yang lebih tinggi.

Katanya, petanda positif sudah mula menampakkan cahayanya dan kini tanggungjawab besar itu diletakkan kepada peserta untuk menjadikan seni persembahan komedi sebagai satu bidang yang dihormati.

“Mereka harus tanamkan dalam diri untuk melakukan yang terbaik supaya khalayak menghormati kerjaya ini, sekali gus meletakkan artis komedi berada pada kedudukan yang setimpal.

“Peserta juga perlu berusaha ke arah itu kerana semua anak seni menyumbang untuk memeriahkan industri hiburan. Jangan anggap penampilan pelawak hanya sebagai nasi tambah atau tempelan semata-mata kerana kami juga mempunyai peranan yang tersendiri,” katanya.

Berita Harian

This entry was posted in Akademi Fantasia, Fauziah Nawi. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>