Yakin Konsep Muzik 40 Minit



Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Memainkan lagu tanpa henti antara strategi baru Suria FM tarik pendengar

KETUA Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin yakin konsep 40 minit muzik tanpa henti setiap jam yang diperkenalkan stesen radionya sejak awal Disember lalu dapat membantu mengukuhkan kedudukan stesen radio berkenaan.

Engku Emran yang ditemui ketika Parti Klik VIP Suria 2008 bagi meraikan ulang tahun pertama stesen radio itu menembusi pendengar seluruh negara berkata, konsep berkenaan bukan dilakukan secara suka-suka tetapi berdasarkan kaji selidik yang dilakukan stesen radio itu Oktober lalu.

Katanya, kaji selidik selama dua hari itu tidak dilakukan kepada pendengar Suria FM sebaliknya buat secara menyeluruh.

Hasil daripada kaji selidik dijalankan itulah dijadikan panduan untuk operasi Suria FM.

“Daripada kaji selidik yang dilakukan, kami dapati pendengar mahukan stesen radio mengurangkan celoteh penyampainya sebaliknya mahukan lebih banyak lagu dimainkan. Kaji selidik yang kami lakukan ini bukanlah ke atas pendengar Suria FM tetapi ia dilakukan secara menyeluruh.

“Jadi konsep 40 minit muzik tanpa henti setiap jam dari jam 10 pagi hingga 10 malam dari Isnin hingga Jumaat yang kami perkenalkan adalah suara hati rakyat Malaysia. Apa yang Suria FM lakukan sekarang bukanlah berdasarkan kehendak kami tetapi kehendak pendengar.

“Lagu yang diputarkan di Suria FM juga adalah berdasarkan kehendak pendengar ketika kaji selidik dijalankan. Selepas kaji selidik, kami turut mainkan 900 lagu yang diinginkan pendengar.

“Dalam setiap jam juga, kami memutarkan lagu-lagu lama sekitar 80 hingga 90an secara berselang-seli kerana ini juga berdasarkan kehendak pendengar. Konsep yang kami perkenalkan ini ternyata mendapat maklum balas positif di mana hampir 80 peratus daripada mereka suka dengan konsep ini,” kata Emran.

Berikutan konsep baru 40 minit muzik tanpa henti yang diperkenalkan, Suria FM turut mengubah tagline Hidup Pasti Rancak yang digunakan sejak lebih dua tahun lalu kepada tagline baru Muzik Terbaik Tanpa Henti.

Walaupun memperbanyakkan lagu, namun kata Engku Emran khidmat penyampai radio masih lagi relevan.

Perubahan itu tidak menjejaskan tenaga tujuh penyampainya iaitu Tuah, Zizie, Zaff, Aktar, Myra, Haril dan Bob kerana mereka masih memainkan peranan penting kepada stesen.

“Khidmat penyampai radio kami tidak akan dikurangkan kerana mereka masih mempunyai peranan penting untuk menyampaikan lagu dan membuat sebarang pengumuman. Cuma mereka lebih kurang berceloteh berbanding dulu.

“Sempena 2009, Suria FM tidak bercadang untuk mengambil penyampai radio baru. Setakat ini kita kekalkan penyampai yang ada dan kami selesa dengan keadaan sekarang. Bagaimanapun bagi memantapkan stesen radio Suria FM, kami perlu mencari pembaharuan seperti yang dilakukan sekarang untuk bersaing dengan stesen radio lain,” kata Emran lagi.

Parti Klik Suria FM yang berlangsung di Red Box Ria, Sogo meraikan 25 ahli Klik Suria. Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis terkenal seperti Amy Mastura, Farahwahida, Imran Ajmain dan Faradhiya.

Menyentuh mengenai perancangan stesen radio itu pada tahun 2009, Engku Emran berkata Suria FM akan mengadakan kembali siri jelajah yang katanya antara faktor yang membantu meningkatkan jumlah pendengar. Bagaimanapun tidak seperti tahun sebelumnya, siri jelajah kali ini juga akan membabitkan aktiviti lelongan barangan artis bagi didermakan kepada jabatan kebajikan.

“Apa yang kita ada sekarang sudah cukup untuk menguatkan stesen radio Suria FM,” katanya.

Berita Harian

This entry was posted in Amy Mastura, Imran Ajmain. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>