
Wanita Melayu manis mengenakan kimono lengkap aksesori seperti obi (ikat pinggang), terompah dan sanggul
Soalan
SAYA dan pasangan berbangsa Melayu akan menghadiri majlis malam pra-graduan di tempat pengajian bertemakan konsep pelbagai budaya di mana orang Melayu tidak dibenarkan memakai pakaian budaya sendiri seperti baju kurung dan sebagainya. Kami ingin meminta pendapat mengenai pakaian yang perlu kami pakai pada malam itu nanti.
Fazliana Ina, melalui emel.
Jawapan
SAYA bayangkan saudari pelajar tapi sukakan fesyen dan keindahan dalam berbusana. Jadi saya pasti anda ingin tampil menarik di majlis itu nanti.
Di negara ini, percampuran budaya mewujudkan keharmonian di dalam pergaulan dan juga berfesyen. Malah, saya lihat ada antara mereka mengenakan pakaian tradisi bangsa lain misalnya Melayu mengenakan cheongsam dan ada India yang memakai baju kurung.
Mahu lari daripada kebiasaan membuatkan saya terfikir, alangkah manisnya jika wanita Melayu mengenakan kimono lengkap aksesori seperti obi (ikat pinggang), terompah dan sanggul.
Lagipun, saya pasti status pelajar mengehadkan anda untuk mengeluarkan bajet yang besar untuk persalinan yang bakal dipakai sekali itu saja. Tapi, bajet rendah tidak semestinya membuahkan hasil yang tidak berkualiti kerana kebijaksanaan mencatur pilihan fabrik sudah tentu menguntungkan anda.
Justeru, saya sarankan supaya anda memilih fabrik sutera bercorak moden kontemporari namun tetap berunsurkan budaya Jepun seperti motif flora bertona terang seperti merah, biru.
Di Jepun, motif pada kimono dipilih berdasarkan musim ketika itu. Misalnya corak rama-rama atau ceri dipakai ketika musim bunga, corak berunsur air dipakai pada musim panas.
Ketika musim luruh, corak paling digemari adalah daun epal berwarna perang manakala motif berupa pokok buluh, pokok pine dan bunga plum digemari ketika musim sejuk.
Perlu diingatkan, jika anda tidak mahu membazir, pilih kain yang anda suka kerana potongan kimono adalah lurus, jadi ia boleh diguna semula bagi menghasilkan skirt atau blaus.
Perkara yang sama dibuat orang Jepun terhadap kimono yang sudah usang. Ada yang diguna semula untuk dijadikan beg atau dijadikan hiyoki (baju lapisan dalam kimono).
Bagi menampakkan keserasian gaya antara anda dan pasangan, pastikan dia memakai baju berpotongan kimono lelaki yang lebih ringkas. Warna yang biasanya menjadi pilihan lelaki Jepun moden adalah tona gelap seperti hitam, biru gelap, hijau dan coklat.
Profil
Zulkarnain Mohd Ghandi@Ijul
Usia: 31 tahun
Profesyen: Pereka fesyen dan pemilik Puri Pesona
Asal: Jakarta, Indonesia
Kelulusan: Sarjana Ekonomi Universitas Islam Jogjakarta, Indonesia
Ijul antara pereka fesyen yang menjadi pilihan ramai selebriti antaranya Nabila Huda, Sheila Rusli, Atilia, Fara Asyikin, Emelda, Umie Aida dan Que Haidar.
Jika berminat mendapatkan khidmat pereka berbakat ini, kunjungi Puri Pesona di LG-09 Emerald Plaza North, Jalan PJU 8/3A, Bandar Damansara Perdana atau hubungi 03-77132189.
Info
Jika anda mempunyai kemusykilan mengenai fesyen sesuai dengan diri atau majlis yang hendak dikunjungi, ruangan ini mungkin dapat membantu. Hantarkan masalah anda untuk dijawab pereka fesyen berlainan setiap minggu melalui emel di bminggu@bharian.com.my atau pos ke alamat Berita Minggu, Berita Harian Sdn Bhd, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau faks ke 03-22822425.
Berita Harian