Rekaan Hatta, Michael Paling Unggul



Oleh Ramlah Zainal
roses@hmetro.com.my

Rap
INDUSTRI hiburan dan dunia fesyen memang tidak boleh dipisahkan kerana saling berkait rapat antara satu sama lain.

Justeru tidak hairanlah, penganjuran acara berprestij, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) tidak pernah meminggirkan pembabitan pereka fesyen tanah air sekali gus memastikan selebriti popular tampil bergaya menyemarakkan acara permaidani merah saban tahun.

Lebih bermakna, penganjur ABPBH juga memperkenalkan Anugerah Pereka Fesyen Popular buat julung kalinya pada ABPBH 2007 bagi memberi pengiktirafan kepada pereka fesyen tempatan dan artis yang menggayakan rekaan khas pereka terbabit sempena malam kemuncak ABPBH 2007 yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada Mac tahun lalu.

Pada masa sama, pembaca setia Berita Harian juga berpeluang mengundi untuk menentukan pemenang bertuah itu.

Keputusan pemenang anugerah itu diumumkan pada sidang media pertama pengumuman pencalonan awal ABPBH 2008 yang berlangsung di Hotel Palace Of Golden Horses, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Ternyata, trofi Anugerah Pereka Fesyen Popular 2007 menyaksikan pereka muda, Hatta Dolmat dipilih sebagai pereka fesyen wanita popular dengan rekaan digayakan Julia Ziegler dan Kenny Loh (Lord’s Tailor) serta Michael Shu dengan hasil rekaan diperagakan Mawi memenangi kategori pereka fesyen lelaki popular.

Sempena kemenangan itu, masing-masing iaitu pereka fesyen dan artis membawa pulang trofi dan barang kemas tajaan Habib Jewels bernilai RM10,000. Bagaimanapun, Mawi tidak hadir pada acara berkenaan.

Pereka lain yang turut bertanding bagi merebut anugerah itu ialah Rizman Ruzaini, Norazura Mazarudin, Hazwani Osman, Shamsu Yusof, Erwan As, Calvin Thoo, Anizam Yusof, Kent, Faizal Azra, Zery Zamry, Nazreen Idris dan Khairy Sufi.

Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan Ketua Pengarang Kumpulan, New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP), Datuk Hishamuddin Aun.

Hadir sama, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail dan Pengarang Hiburan BHSB merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengelola ABPBH, Hanizam Abdullah.

Ketika ditemui Rap, Hatta Dolmat berkata, anugerah yang dimenanginya itu adalah penghargaan cukup besar baginya sepanjang berkecimpung dalam bidang berkenaan.

“Sebagai pereka pelapis, saya memang tidak jangka kemenangan ini kerana persaingan sengit sekali. Semua pereka bertanding juga menampilkan rekaan yang bagus cuma rezeki lebih berpihak pada saya kali ini.

“Sebenarnya, saya memang suka menyertai pertandingan fesyen kerana ia buat saya teruja untuk menghasilkan rekaan lebih bagus.

Kemenangan ini juga buat saya lebih bersemangat kerana ia undian peminat yang turut menghargai rekaan saya,” katanya.

Hatta berkata, dia sudah terbabit dengan acara permaidani merah ABPBH sejak 2005.

Antara artis popular yang pernah menggayakan rekaannya ialah Jaclyn Victor, Erra Fazira dan Julia Ziegler. Malah gaun rekaannya yang digayakan Erra juga diangkat sebagai Pakaian Terbaik pada ABPBH 2006.

“Sebenarnya saya sudah lama berkecimpung sebagai pereka fesyen tapi cuma terbabit dalam dunia glamor ini sejak terbabit dengan ABPBH,” katanya.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kepujian, Seni Reka Fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini berkata, dia juga mengambil masa tiga minggu untuk menyiapkan rekaan berkenaan.

“Ia membabitkan material dan pemilihan fabrik bagi menyiapkan gaun berkonsep ‘batik couture’ atau batik kontemporari sekali gus menepati tema ABPBH 2007 iaitu ‘batik glam’.

“Saya mendapat inspirasi dan idea untuk buat rekaan ini menerusi Internet dan kajian mendalam termasuk perbincangan dengan Julia sendiri. Batik ini saya tempah khas dari Terengganu dan ia juga batik sifon dan mempunyai warna penuh,” katanya.

Ditanya mengenai pemilihan Julia pula, Hatta berkata, dia yakin Julia artis yang tepat untuk menggayakan rekaannya itu.

“Kali pertama bertemu Julia, saya sudah nampak pelakon berdarah kacukan bertubuh tinggi lampai ini boleh menggayakan rekaan saya ini sekalipun baru kali pertama kami bekerjasama.

“Sebenarnya, saya tidak kisah untuk buat baju artis baru atau sudah popular kerana bagi saya, lebih ramai artis menggayakan rekaan saya, itu lebih bagus,” katanya. Manakala, Julia yang menumpang kegembiraan Hatta pada petang itu berkata, pereka muda itu berbakat besar dan mampu pergi lebih jauh pada masa depan.

“Hatta memang layak untuk menang kerana dia sangat bekerja keras buat gaun yang saya gayakan pada ABPBH 2007.

“Dia memang teruja bila dicalonkan bagi anugerah ini kerana kategori Pakaian Terbaik ABPBH 2007 dimenangi Nora Danish pada malam itu dan bukan saya.

“Ini kali pertama kami bekerjasama dan saya berharap dapat bekerjasama dengannya lagi pada penganjuran ABPBH akan datang.

,” katanya.

Kata Julia lagi, dia menyukai rekaan Hatta kerana menepati cita rasanya.

“Saya sukakan gaya ringkas, anggun dan selesa. Saya mementingkan keselesaan rekaan digayakan setiap kali berjalan di acara permaidani merah. Gaun rekaan Hatta ini ringan dan senang bergerak serta sesuai dengan wanita lasak seperti saya,” katanya.

Seperti Hatta, Michael Shu yang berkongsi kemenangan dengan Kenny Loh (Lord’s Tailor) juga tidak menjangka kemenangan mereka pada petang itu.

“Sekalipun sudah 11 tahun sebagai pereka fesyen, baru dua tahun saya terbabit dengan ABPBH, sejak 2006.

“Kerjasama saya dan Lord’s Tailor bermula apabila diperkenalkan Publisis Industri Hiburan dan Fesyen, Bill Bora pada ABPBH 2007.

Kenny yang diserahkan tugas membuat baju untuk Mawi inginkan sentuhan batik pada sut digayakan artis popular itu dan dia yakin saya pereka yang tepat untuk bekerjasama dengannya,” katanya.

Pemegang Diploma International Fashion Training Centre (IFTC) itu berkata, rekaan yang digayakan Mawi itu hasil perbincangannya dengan Kenny. Pada acara itu, Mawi menggayakan dua pasang sut berwarna merah dan keemasan sentuhan mereka berdua.

“Kenny yang memotong baju itu dan saya pula memberi idea membabitkan fabrik dan sentuhan batik pada sut berkenaan.

Selain Mawi, artis lain yang pernah menggayakan rekaan Michael ialah Diana Danielle, Irma Hasmie dan Lis Dawati.

Harian Metro

Leave a Reply