Lagenda Rock Dinanti Penonton
Oleh Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my
Rap
SEGMEN Lagenda Rock yang diperkenalkan di gerai Harian Metro ketika Karnival Jomheboh di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 20 dan 21 Disember lalu nyata menjadi tarikan utama sepanjang pesta yang berlangsung selama dua hari itu.
Ini salah satu usaha Harian Metro memberi penghargaan kepada muzik rock yang menjadi genre paling diminati ramai. Penyanyi rock zaman 90-an seperti Nash Lefthanded, Ali Mpire, Awang BPR dan pemain gitar kumpulan Sweet Charity, Rosli Mohalim dipertemukan dalam persembahan istimewa ini.
Persembahan yang bermula jam 5 petang itu tidak mematahkan semangat pengunjung untuk menunggu. Cuaca panas ketika itu bukan halangan. Bagi pengunjung, peluang menyaksikan persembahan rock ini tidak seharusnya dilepaskan kerana setiap artis ini membuat persembahan secara langsung di hadapan mereka.
Gandingan Awang BPR bersama Zack Kool tampil membuka persembahan dengan menyampaikan dua lagu iaitu Dari Sinar Mata dan Cinta Tiga Segi. Ternyata, lontaran vokal dua penyanyi ini masih mantap hingga mengundang sorakan pengunjung. Suasana bertambah gamat apabila Nash pula muncul selepas itu.
Biarpun keseorangan di pentas, Nash tetap bersemangat menghiburkan pengunjung. Mengembalikan nostalgia zaman 90-an, Nash tampil dengan dua lagu yang pernah dipopularkan iaitu Di Halaman Rindu dan Kenangan Bersamamu. Menariknya, ketika dua lagu berkenaan dinyanyikan, pengunjung juga ikut menyanyi bersama.
Bagi Nash, persembahan kali ini suatu yang istimewa kerana berpeluang mendekati peminat dalam suasana lebih santai. Sambil menyanyi, peminat juga dapat bersalaman dan mengambil gambar artis dengan lebih dekat. Nash pula tidak terkecuali mendekati pengunjung dan menjemput mereka yang bertuah naik ke pentas.
“Persembahan sebegini bukan hanya memberi kepuasan pada saya tetapi peminat yang dapat bersama artis kegemaran mereka dalam suasana santai. Untuk persembahan kali ini, saya lihat ramai peminat sanggup berpanas dan berhujan semata-mata mahu menyaksikan persembahan artis di gerai Harian Metro.
“Malah artis sendiri bersemangat untuk menyanyi apabila peminat turut menyanyi bersama. Jika boleh, saya cadangkan Harian Metro paling tidak mengadakan satu persembahan seperti ini pada setiap bulan. Ini satu bonus buat peminat dan pembaca setia akhbar ini.
“Mungkin idea yang sama seperti mengadakan gerai Harian Metro bersama persembahan artis diadakan nanti. Ini juga satu sumbangan dan penghargaan pada pembaca serta peluang artis untuk terbabit sama. Kesempatan ini, artis dapat mengadakan promosi album mereka dan peminat berpeluang mendapat autograf serta bergambar bersama artis.
“Saya percaya usaha Harian Metro ini dapat membantu artis untuk mempromosikan lagu dan album mereka. Untuk kali ini, saya bersama Awang BPR berjaya menjual 50 keping cakera padat album My Jamming. Ini satu petanda baik untuk kami,” katanya.
Bersama Rosli pula, persembahannya turut menarik perhatian ramai walaupun hanya bermain gitar. Mengalunkan intro lagu Kamelia sebelum menyampaikan Satu Malam, pengunjung kelihatan cukup terhibur dengan aksinya.
Ali Mpire tidak ketinggalan menghiburkan pengunjung dengan lagu Sakinah. Daripada persembahan solo, tumpuan pengunjung kemudian beralih artis berkumpulan.
Bagi mereka yang belum pernah menyaksikan persembahan kumpulan Butterfly, mungkin pengunjung tergamam seketika melihat aksi lima gadis remaja yang berbakat dalam muzik.
Ketika mereka bersama pengunjung, hujan mula turun. Namun, itu bukan alasan untuk pengunjung berganjak, sebaliknya sanggup bermandikan hujan demi menyaksikan persembahan artis di gerai Harian Metro.
Ketika kumpulan ini menyanyikan lagu popular Inul Daratista iaitu Goyang Inul, ada pengunjung bergelek sakan. Diikuti dengan persembahan kumpulan The Girls, mereka turut menghiburkan dengan persembahan lagu Rock Sampai Pagi dan Mat Rempit.
Sebelum lagu kedua, Mat Rempit dinyanyikan, tiga gadis ini sempat menjemput dua pengunjung lelaki untuk melakonkan aksi Mat Rempit membawa motosikal. Aksi mereka ini mencetuskan gelak tawa pengunjung.
Semakin persembahan menghampiri kemuncak, hujan bertambah lebat. Bagaimanapun, pengunjung masih setia untuk bersama. Kehadiran bekas peserta program realiti Mentor, Siti Khatijah Hassan atau Kat selepas itu menghangatkan lagi suasana.
Kat tetap memberikan sokongan pada Harian Metro dan pengunjung walaupun terpaksa berhimpit dengan pengunjung yang ingin berteduh daripada hujan.
Kat tampil dengan lagu single baru, Chiki disusuli lagu popular Ella, Permata Biru. Ketika persembahan, Kat sanggup menggunakan payung untuk menyanyi sambil mendekati pengunjung. Persembahan Kat menghiburkan hingga pengunjung juga menyanyi bersama.
Kata Kat, dia tidak menyangka sambutan hebat pengunjung untuk persembahan dua hari itu. Malah atas sambutan itu, dia bersemangat untuk menghiburkan pengunjung. Hujan yang turun ketika mengadakan persembahan tidak memberikan masalah kepadanya.
“Perasaan saya makin seronok apabila ramai pengunjung hadir memenuhi gerai Harian Metro. Ini kali keempat saya terbabit dengan Harian Metro untuk persembahan di Jomheboh. Berbanding persembahan lalu, saya melihat ada peningkatan pada sambutan pengunjung terhadap Harian Metro, apatah lagi akhbar ini terus kekal popular sebagai akhbar bahasa Malaysia nombor satu negara.
“Sebagai artis, saya sentiasa menyokong persembahan seperti ini dan tentunya saya berbangga dengan kejayaan Harian Metro. Walaupun ada artis yang lebih memilih persembahan besar tetapi pada saya, persembahan ini memberi banyak kelebihan bukan hanya bertemu peminat tetapi artis berpeluang mempromosikan single dan album baru. Saya berharap untuk terus terbabit dalam persembahan di Harian Metro pada masa akan datang,” katanya.
Menutup tirai persembahan, Ezlynn yang mengenakan skirt kembang menunaikan janji untuk menyanyi di depan pengunjung. Hujan bukan penghalang untuk Ezlynn untuk mendekati peminat. Membawakan lagu Jikalau Aku dan Hi Hi Bye Bye, persembahannya turut mengundang peminat cilik yang naik ke pentas dan menari bersama-sama.
Seperti Kat, Ezlynn juga gembira apabila diberi peluang untuk terbabit dalam persembahan kali ini. Katanya, ia adalah peluang keemasan untuk artis beramah mesra dengan peminat dalam suasana lebih santai. Selain berhibur, ia menjadi kenangan manis buatnya dan peminat.
“Lebih ramai artis terbabit dengan persembahan seperti ini, ia menjadi bertambah meriah. Harapan saya, persembahan ini diteruskan dan Harian Metro terus dekat di hati pembaca setianya,” katanya.
Pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di booth Harian Metro seperti permainan rakyat, peraduan, cabutan bertuah, Mini Pencarian Gadis Metro dan karaoke Metro Idol. Namun yang lebih dinantikan adalah persembahan bersama artis jemputan yang tampil memeriahkan gerai Harian Metro.
Apa yang pasti, destinasi terakhir Jomheboh yang diadakan di pekarangan Kompleks Sukan Bukit Jalil, mendapat sambutan yang sangat menggalakkan. Ramai pengunjung meluangkan masa pada cuti hujung minggu dari jam 9 pagi hingga 8 malam dengan pelbagai aktiviti menarik disediakan khusus untuk pengunjung dan pembaca setia akhbar bahasa Malaysia nombor satu negara ini.
Harian Metro