Oleh Ramlah Zainal dan Norhadiani Baharom
roses@hmetro.com.my dan yanie@hmetro.com.my
Rap
PERNIKAHAN penyanyi Asmawi Ani atau Mawi, 27, dengan pelakon Nora’Asikin Rahmat (Ekin), 29, pada 20 Disember lalu diikuti majlis menyambut menantu keluarga penyanyi popular itu di Felda Taib Andak, Kulai, Johor, Sabtu lalu, bukan saja digelar ‘wedding of the year’ malah menjadi penutup tirai 2008 bagi perkahwinan artis sepanjang tahun ini.
Majlis persandingan Mawi dan Ekin di Padang Awam Felda Taib Andak berlangsung dalam suasana meriah dan penuh adat bertemakan Jawa Kontemporari. Malah ada menggelarkan perkahwinan Mawi yang digelar Raja SMS itu bagaikan perkahwinan diraja.
Lebih membanggakan apabila helikopter digunakan sebagai pengangkutan membawa pasangan mempelai dari Hotel Sofitel ke Felda Taib Andak.
Sebaik mendarat di padang Sekolah Rendah Sinar Bahagia, Taib Andak tepat jam 1.30 petang, deretan motosikal berkuasa besar serta kereta antik sedia menanti untuk mengiringi kenderaan mewah, Mercedes CLK 350 yang dipandu pengantin perempuan menuju ke lokasi persandingan.
Ketibaan pengantin disambut 20,000 tetamu, sebelum pasangan sepadan ini dibawa ke pelamin terbuka di atas pentas sebelum bermula upacara persembahan Pencak Silat Sendeng Hang Tuah.
Satu jam berlalu, mempelai mengambil kesempatan bersalaman dengan peminat seterusnya dibawa ke Dewan Serbaguna Felda Taib Andak, berhampiran kawasan padang untuk melewati singgahsana yang bertema istana Jawa.
Ia diilhamkan atas permintaan Mawi yang mahu mengabadikan budaya nenek moyang pada majlis yang cukup bermakna dalam hidupnya. Persalinan Jawa yang digayakan mempelai berharga RM50,000 dan jumlah kostum bersama pelamin serta dekorasi dewan mencecah RM200,000.
Mereka yang bertanggungjawab merealisasikan impian Mawi itu terdiri daripada jurusolek terkenal, Zulfazli yang bergabung tenaga dengan sepupunya, Arma Abdul Rahman, butik Dzuldeclassique dan Adli Bridal Johor Bahru. Zulfazli juga bertindak sebagai jurusolek Ekin manakala Mawi disolek Tona.
Upacara tepung tawar oleh ahli keluarga masing-masing, makan beradab, persembahan barongan dan kuda kepang yang mencerminkan adat perkahwinan masyarakat Jawa, antara inti pati yang turut dimuatkan dalam atur cara majlis.
Difahamkan, semua 200 meja yang disediakan untuk tetamu di padang penuh termasuk dewan yang memuatkan lebih 300 tetamu. Tetamu dihidangkan makanan Jawa/Sunda antaranya ayam penyek pecal lele, ulam-ulaman, tapai dan sup soto.
Mawi yang ditemui pada sidang media selepas majlis selesai, memaklumkan dia amat berpuas hati dengan atur cara yang dijalankan. Kata Mawi, ini kali keempat dia menaiki helikopter sementara Ekin adalah pengalaman kedua.
Pasangan yang melalui liku-liku percintaan sebelum disatukan 20 Disember lalu, sempat berkongsi cerita mengenai hadiah perkahwinan mereka yang paling menarik diterima.
“Banyak hadiah yang kami dapat dan semuanya kami suka kerana ia boleh digunakan di rumah baru. Tetapi satu yang paling menarik adalah lesung batu,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi Maestro Talent and Management, Freddie Fernandez turut hadir di majlis itu manakala Along dari kumpulan Charm dan tunangnya, Zila yang juga bintang AF4, sebagai pengapit.
Pengacara majlis, Yasin (bekas anggota Senario) dan Bob KU2, dirasakan kurang sesuai mengendalikan majlis ini yang sepatutnya diacarakan pengacara yang lebih serius dan berpengalaman.
Apapun, majlis persandingan Mawi dan Ekin di Kulai, sepi daripada wajah selebriti terkenal kerana ramai yang merancang menghadiri majlis resepsi di Palace Of The Golden Horses pada 11 Januari. Ia dijangka meriah dan hebat bertemakan Arabic dan khusus bagi meraikan rakan artis serta penaja perkahwinan mereka. Jika Mawi dan Ekin menutup tirai 2008 dengan ikatan suci selepas dua tahun menyemai cinta, gerbang perkahwinan tahun itu pula dibuka pasangan Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 25 (Dynas) bersama ahli perniagaan, Mohd Hafizy Mohd Hafiz (Hafizy),36, yang berlangsung di kediaman keluarga perempuan di Shah Alam, 15 Mac lalu.
Ramai artis dan personaliti terkenal tanah air memilih 2008 untuk membina mahligai bahagia mereka. Malah tarikh angka 8.8.08 menjadi tarikan untuk mengabadikan percintaan mereka dengan ikatan perkahwinan.
Mereka ialah Mohammad Khairulnizam Mohammad Wahi (Khai)/Rosmayati Sidik, Adam Corie Lee Abdullah/Fazima Mohamed Fuad, Nazrudin Habibur Rahman/Sheahnee Iman Lee, Nik Nor Azura Nik Mahmood/Shaffique Ahmad Zehnun, Mazlan Ahmad (Lan Pet Pet)/Robithoh Che Wan, Sharifah Hadijah Wan Mos (Deja Moss)/Azfendy Azzuddin Ahmad, Natasha Aimee Hashim/Mohd Azril Fikry Abidin dan Nor Azlina Redzuan/Datuk Yusof Annuar Yaacob.
Selain itu, Datin Hamidah Hamzah/Datuk Ramlan Othman, Maskiran Jaskiran (Kieran)/Yang Azliyang Mohd Yunus, Maya Karin Roelcke/Muhammad Ali Abdullah (Steven David Shorthose), Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya/Iskandar Ezzahuddin Ahmad Zulkifli, Nuriylia Jailani (Nieyl Mentor)/Dazma Shah Daud, Sharifah Shahora Syed Agil/Raja Mukhriz Raja Ahmad Kamaruddin, Ashraf Sinclair/Bunga Citra Lestari, Rusdi Ramli/Sharon Anne Paul Abdullah dan Nabila Huda Suhaimi/Zaidy Zailani.
Pasangan yang memilih tarikh keramat 8 Ogos 2008 pula ialah Nor Azzura Azizul Azman/Zain Azrai Za’aba, Noor Hafifi Saharuddin (Fifi)/Feriz Omar, Nurhaizi Rani/Ahmad Fazlan Abd Aziz dan anggota Ruffedge, Mohd Kamarulzaman Zain Abdul Hamid (Zain)/Khazmira Anuar.
Namun, ada juga segelintir artis yang memilih berkahwin secara senyap-senyap dengan alasan tersendiri. Pelakon cantik, Rita Rudaini, 32, berkahwin dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Aidil Zafuan, 21 di selatan Thailand Februari lalu tetapi hanya diketahui media 10 bulan selepas itu.
Selain itu, vokalis kumpulan Estranged, Richael Datuk Lawrence Gimbang, 26 (Rich) dan Velvet Lawrence Aduk, 21; Cico Harahap dan pasangannya Elle, anggota Too Phat, Malique Ibrahim, 31 dan model dan pelakon jelita, Melissa Maureen Rizal, 28 di Nusa 2, Bali, Indonesia turut memilih 8 Ogos.
Penerbit, pelakon dan pengarah terkenal, Aziz M Osman, 46, dengan pasangannya Nor Radhiah Ramli, 22, melangsungkan pernikahan di Masjid Padang Nenas, Tepuh, Kuala Terengganu pada 16 Ogos lalu.
Dynas-Mohd Hafizy
PERCINTAAN selama dua tahun antara model, pelakon dan pengacara Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 25 (Dynas) dan pasangannya, usahawan sukan bermotor, Mohd Hafizy Mohd Hafiz, 36, (Mohd Hafizy) diakhiri dengan ikatan perkahwinan pada 15 Mac lalu.
Dengan sekali lafaz, tepat jam 11.30 pagi, pelakon yang dikenali menerusi siri Susuk itu sah bergelar isteri kepada Mohd Hafizy pada majlis akad nikah yang diadakan di kediaman orang tuanya di Seksyen 9, Shah Alam.
Majlis persandingan di sebelah perempuan berlangsung pada waktu malamnya manakala resepsi berlangsung dengan penuh meriah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 22 Mac.
Mereka berbulan madu di Pulau Boracay, Filipina dan Dynas kini mengandung tiga bulan.
Khai-Rosma
SELAMA lima tahun menyemai cinta walaupun dengan pelbagai penafian, akhirnya dua bintang yang dicungkil menerusi program realiti TV Akademi Fantasia (AF), Khai, 29 dan Rosma, 23, selamat dinikahkan di Masjid Putrajaya, 26 April lalu.
Bukan sengaja menyembunyikan jalinan cinta yang mekar, namun ada tembok pemisah yang menghalang mereka berterus terang. Semuanya atas permintaan keluarga dan demi menjaga privasi mereka.
Majlis persandingan pula berlangsung di Dewan Persidangan Kompleks Perbadanan Putrajaya pada 27 April. Pasangan yang menyertai program Sehati Berdansa musim kedua ini menanti kelahiran cahaya mata apabila Rosma kini mengandung dua bulan dan dijangka melahirkan awal Ogos ini.
Nik Nor Azura-Shaffique
HAMPIR empat tahun menyulam cinta, akhirnya bekas atlit negara yang juga penyampai Hot FM, Nik Nor Azura, 27 (Zura) selamat dinikahkan dengan jejaka pilihan hati, Shaffique (Shafiq), 30, di Masjid Tengku Tengah Zahrah, Kuala Terengganu pada jam 12 tengah hari, 12 Julai lalu.
Ia diikuti majlis resepsi pihak perempuan di Terengganu Aquestrian Resort pada hari sama manakala pihak keluarga lelaki pula mengadakan majlis menyambut menantu di Hotel Sheraton & Towers, Subang Jaya, Selangor yang dihadiri sanak-saudara, sahabat dan rakan sekerja pada 20 Julai lalu.
Nor Azlina-Yusof
PERSONALITI yang juga pembaca berita Buletin Utama TV3, Nor Azlina Redzuan, 37, menamatkan zaman bujangnya apabila diijabkabulkan dengan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan TM International, Datuk Yusof Annuar Yaacob, 43, di pekarangan rumah keluarga mereka di Bintong, Perlis, jam 9.35 malam, 23 Ogos lalu. Majlis persandingan pula berlangsung di Dewan Wasasan pada hari sama.
Nor Azlina berkenalan dengan Yusof Annuar, sejak tujuh tahun lalu menerusi seorang kenalan ketika Nor Azlina masih menjadi hos Majalah Tiga. Pasangan itu mengadakan majlis persandingan di Kuala Lumpur pada 29 Ogos.
Maya Karin-Muhammad Ali Abdullah
PELAKON Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-21, Maya Karin memilih guru Matematik, Muhammad Ali Abdullah, 38 atau Steven David Shorthose sebagai suami walaupun heboh digosipkan dengan golongan kenamaan.
Maya berkenalan dengan guru Sekolah Antarabangsa Alice Smith, Kuala Lumpur ini tujuh tahun lalu dan memilih 14 Ogos untuk memeterai percintaan mereka. Pasangan sejoli ini diijabkabulkan di Tasik Como, Bellagio, Itali pada 14 Ogos lalu.
Sebelum itu, pada 9 Ogos, pasangan ini turut menjalani satu majlis perkahwinan sivil di Dewan Bandaran di daerah sama dan berbulan madu di Venice.
Manakala majlis persandingan ringkas berlangsung di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), jam 8 malam, 29 Ogos lalu.
Ashraf-Bunga
DENGAN sekali lafaz, pelakon dan pengacara Ashraf Sinclair, 29, sah bergelar suami kepada penyanyi dan pelakon popular negara jiran, Indonesia, Bunga Citra Lestari, 25, (Bunga) di majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Al Bina, Senayan, Jakarta pada jam 4 petang, 8 November lalu.
Selepas majlis pernikahan dan resepsi di Indonesia, majlis persandingan bagi pihak keluarga Ashraf pula berlangsung selama dua hari iaitu bertemakan persandingan ala Inggeris di dewan besar Hotel Saujana Subang dengan menaiki kereta mewah, Rolls Royce antik pada 14 November dan di Kelab Golf Perkhidmatan Awam, Bukit Kiara, berkonsepkan ‘pulang ke kampung’ pada 15 November lalu.
Rusdi-Sharon
PELAKON popular, Rusdi Ramli, 38, memilih komposer Sharon Anne Paul Abdullah, 31, (Sharon) sebagai pasangan hidupnya.
Majlis pernikahan dan persandingan mereka berlangsung di Banglo Galeri Creative Elements, Seksyen 2, Shah Alam, 16 November lalu.
Nabila Huda-Zaidy
SUASANA penuh emosi mengiringi majlis pernikahan pelakon dan pengacara, Nabila Huda Suhaimi, 24, dengan Zaidy Zailani, 27, di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, Kuala Lumpur, 2 Disember lalu.
Liku-liku perhubungan selama enam tahun antara Nabila dan Zaidy akhirnya diakhiri dengan ikatan perkahwinan. Majlis persandingan anak rocker Amy Search itu berlangsung pada sebelah malamnya di Pusat Komuniti Bukit Damansara.
Harian Metro