Mengejar Bintang Harapan Sakti



Oleh Zul Husni Abdul Hamid
zhusni@bharian.com.my


SAKTI dibarisi (dari kiri) Amirin Rasydan (Boy), Wan Abdul Rahim (Wan), Ahmad Nazree (Ajee), Ashraf (Ash), dan Wan Abdul Rahman (Man).

Tujuh tahun menanti impian hasil album sendiri akhirnya tercapai

BERMULA tujuh tahun lalu dengan tiga teraju utama menjadi pengasasnya iaitu Ashraf Ishak, 25; Wan Abdul Rahim Razak, 26 dan Amirin Rasydan, 25 ketika menuntut di Pernas School Of Hotel Management, Kuala Lumpur.

Membentuk Sakti – perkataan yang terlintas tatkala menyelak helaian akhbar untuk mencari nama bersesuaian bagi kumpulan itu dan Januari 2009 menjadi titik permulaan untuk membina tapak sebenar dalam bidang seni.

Menerusi Mengejar Bintang, Sakti yang turut disertai dua anggota lain iaitu Wan Abdul Rahman Razak, 18 dan Ahmad Nazree Ibrahim, 23, terbitan Kartel Records menyandar harapan kepada genre indie pop rock – satu irama yang pastinya pantas mendapat perhatian peminat.

“Sakti ialah kumpulan yang mempertaruhkan ciptaan dengan bunyian segar yang akan memuaskan kehendak khalayak tempatan,” kata Ashraf yang bertindak sebagai vokalis ketika ditemui pada sesi pra dengar album Mengejar Bintang, baru-baru ini.

Mengejar Bintang yang diangkat sebagai judul album seperti menggambarkan segenap rasa yang menjadi impian setiap anak muda.

Sakti juga tidak ketinggalan apabila menyusun harapan untuk terus melangkah, memahat nama menerusi 10 sentuhan mereka dipersembahkan dengan harapan akan diterima umum.

“Merakamkan lagu untuk sesebuah album adalah sesuatu yang kami kejar sejak Sakti mula ditubuhkan tujuh tahun lalu. Ia menceritakan mengenai mimpi kami dan Sakti akhirnya berjaya menggapai apa yang dimimpikan itu dengan kelahiran Mengejar Bintang.

“Proses penghasilan album ini bermula dengan lagu Aku, perlahan-lahan dihasilkan dan diakhiri dengan Mengejar Bintang yang menjadi pelengkap produksi sebagai lagu terakhir dicipta.

“Proses melengkapkan 10 lagu ini mengambil masa dua tahun dan kebanyakan lagu ciptaan kami mendapat inspirasi daripada kumpulan terkenal seperti The Beatles, Sheila On 7 dan Maroon 5,” kata Ashraf.

Bentuk identiti sendiri

Seperkara yang menarik mengenai Sakti, kesemua 10 lagu yang dimuatkan dalam produksi perdana diilhamkan mereka sendiri.

Menerusi sesi jamming, mereka meluahkan idea dan dibentangkan untuk diperbincangkan lalu disusun menjadi sebuah sentuhan yang menggambarkan identiti muzik Sakti.

“Kami selesa dengan indie pop rock kerana ketika mula bertapak, banyak bermain lagu yang pernah dipopularkan Sheila On 7.

“Bermula daripada situ, kami mencari kekuatan sendiri dan menggali di mana kelebihan Sakti untuk membentuk identiti muzik kumpulan ini,” kata Ashraf lagi.

Menerusi sesi pra dengar itu, pihak media diperkenalkan dengan dua single permulaan yang akan memacu nama Sakti di persada seni.

Yang Terindah, sebuah sentuhan rancak dilengkapi lirik jujur dan ikhlas dijangka membantu Sakti untuk mendekati impian mereka.

Sementara itu, Mengejar Bintang pula menyuakan pendengar kepada sentuhan bercirikan balada rock dengan identiti Sakti lalu meninggalkan kesan kepada khalayak.

“Kami serius menceburi bidang ini atas kecintaan yang mendalam, bersama harapan untuk mencari rezeki menerusi seni.

“Kami mahu terus melangkah, mencari ruang untuk mencipta kelompok peminat yang kukuh seterusnya melebarkan pengaruh kami di negara luar.

“Itu impian panjang kami dan sudah pasti, kami berharap apa yang dicita-citakan ini akan menjadi kenyataan,” kata Ahsraf.

Ashraf yang juga adik kepada penyanyi hip hop dari duo terkenal, Too Phat iaitu Joe Flizzow memberitahu, pesanan abangnya yang terlebih dulu merasai asam garam kehidupan sebagai insan seni sentiasa tersemat di sudut ingatannya.

Pesan Joe sejak mereka serius mencipta lagu dua tahun lalu adalah supaya terus menghasilkan lagu dan mencuba untuk meyakinkan peminat.

Akui Ashraf, Joe banyak memberikan kata semangat malah tiupan kekuatannya itu juga memacu mereka untuk menghasilkan sehingga 20 lagu sebelum memilih 10 terbaik untuk Mengejar Bintang.

“Joe juga membuka mata kami untuk melihat perspektif seni itu daripada kaca mata sendiri dan itu yang dipersembahkan dalam Mengejar Bintang.

“Segala perspektif muzik yang kami impikan dicurahkan dalam album ini dan berharap khalayak juga dapat menerimanya dengan hati terbuka,” katanya.

Berita Harian

This entry was posted in Joe Flizzow. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>