Bual Produksi: Tidak Semudah Disangka



Oleh Rozdan Mazalan
rozdan@bharian.com.my


UMI AIDA dan Erra Fazira bersama tetamu undangan, Vanidah Imran di set penggambaran Dunia Wanita.

Dunia Wanita perlu persediaan rapi walaupun kelihatan ringan, santai

WALAUPUN dianggap sebuah program ringan, Dunia Wanita yang diterbitkan Unomedia Sdn Bhd untuk tontonan di RTM1 masih boleh memberi manfaat kepada golongan wanita mendapatkan tips dan pengetahuan semasa.

Program yang diterbitkan khas untuk kaum wanita ini akan menyelami rutin harian dunia wanita disamping temu bual dengan selebriti terkemuka tanah air.

Penerbitnya, Basree Rakijan berkata, objektif program ini diterbitkan adalah untuk mengetengahkan pelbagai panduan seharian yang praktikal kepada kaum wanita.

“Program ini bukan saja mendedahkan rutin harian wanita tetapi perkongsian pengalaman dan pengetahuan dari selebriti terkemuka yang menjadi idola masyarakat hari ini.

“Dunia Wanita yang bakal disiarkan menerusi RTM1 dalam masa terdekat ini memperkenalkan tiga segmen yang sering dikaitkan dengan wanita. Segmen itu ialah Dari Dapur, Ringan Tulang dan Tetamu Wanita,” katanya yang ditemui semasa rakaman program itu baru-baru ini.


DUA sahabat karib yang mengendalikan Dunia Wanita.

Menurut Basree, biarpun pembikinan program nampak macam senang tetapi untuk menjadikan ia sesuatu kelainan, pihaknya perlu menyajikan penonton dengan ramai penampilan artis di dalamnya.

“Perbincangan bersama selebriti ini akan menjadi lebih terbuka apabila ia berhadapan dengan pengacara yang akan bersama setiap minggu iaitu Erra Fazira yang digandingkan dengan Umie Aida.

“Inilah kelainan yang cuba kami tampilkan menerusi program ini yang saya yakin mendapat perhatian penonton,” katanya yang turut mendapat idea daripada dua hos jelita ini bagi menerbitkan program Dunia Wanita.

Satu daripada tiga segmen yang diperkenalkan iaitu Dari Dapur yang akan dikendalikan oleh Chef Zamzani. Segmen ini mengambil masa tujuh minit yang berkongsi menu dan tips yang berbeza untuk penonton bagi setiap episod.

“Bagi segmen Ringan Tulang pula, ia dikendalikan oleh seorang pakar kraftangan. Kemunculannya akan bertukar-tukar setiap episod. Segmen ini akan menunjukkan kepada penonton cara mudah untuk membuat kraftangan yang sesuai untuk kediaman kita.

“Pakar yang diundang ini juga turut memberi penonton petua yang berbeza. Ringan Tulang hanya memerlukan masa selama enam minit untuk dipaparkan kepada penonton.

“Bagi segmen Tetamu Wanita pula, akan mengundang artis terkenal setiap minggu dan mereka berkongsi pengalaman selain mengetahui perkembangan diri mereka di dalam industri hiburan ini.

“Kita memperuntukkan masa selama 10 minit untuk segmen ini yang akan berkongsi cerita dan pengalaman selebriti tanah air,” katanya.

Menurutnya, antara rakan artis atau personaliti yang diundang menjadi tetamu seperti Datin Tiara Jacquelina Vanida Imran, Maya Karin, Linda Onn, Aida Rahim, Amy Mastura, Nadia Mustafa, Maria Farida, Ruminah Sidek, Louisa Chong, Zoe Tan dan Kanchana Dewi.

Seronok kendali program wanita

BAGI Vanidah Imran, Erra Fazira dan Umie Aida semuanya mengakui mereka sudah lama merancang untuk menghasilkan atau sekurang-kurangnya terbabit secara langsung dalam program bual bicara yang secara khusus membicarakan kaum wanita.

Menurut Erra, idea menerbitkan program ini sudah dirancang bersama Umie sejak setahun yang lalu namun terpaksa ditunda atas sebab-sebab tertentu.

“Saya sudah lama teringin untuk mengendalikan program umpama ini yang dapat memberi sesuatu kepada kaum wanita. Pembabitan saya di dalam program ini hanyalah sekadar memberi idea dan menjadi hos saja.

“Walaupun program ini dilihat ringan dan santai tetapi sedikit sebanyak pendedahan yang disiarkan menerusi program ini boleh dimanfaat kepada orang ramai. Buat permulaan ini kita menyajikan penonton dengan isu-isu dan topik yang ringan agar penonton dapat mengenali objektif asal.

“Tetapi penonton akan seronok mengetahui perkembangan terkini selebriti terkenal tanah air yang diundang di dalam program ini,” katanya.

Bagi Umie yang digandingkan dengan Erra dalam program ini menyatakan seronok dapat menjayakan program yang sudah lama dirancangkan.

“Idea menerbitkan program ini saya dan Erra sudah rancang lama dan akhirnya berjaya juga diterbitkan.

“Sebenarnya bukan ini saja program yang saya rancang bersama Erra tetapi ada beberapa lagi program seperti talkshow dan drama yang membabitkan kami. “Perancangan nak berganding bersama itu sudah lama tetapi tertunda sebab Erra mendapat khabar gembira yang dia mengandung dan kami terpaksa tangguh sehingga dia bersalin.

“Selain Erra, kami juga merancang untuk terbabit sama dengan Vanida Imran dalam drama yang juga akan diusahakan kembali sebaik saja Erra bersalin nanti,” katanya.

Menurut Umie, program itu bukan saja mengupas mengenai wanita tetapi kaum lelaki turut boleh menyaksikannya kerana ia juga memberi mendedahkan di sebalik pandangan wanita.

“Sedikit sebanyak pengetahuan yang saya dapat hasil temubual dengan selebriti jemputan ini boleh saya jadikan panduan sebelum saya mendirikan rumah tangga.

“Siapa yang tidak mahu mendirikan rumah tangga, tapi bagi saya selagi belum sampai seru apa yang mampu kita buat. Insya-Allah di suatu hari yang bahagia dan ditunggu-tunggu itu nanti akan sampai juga sekiranya jodoh saya sudah dipanggil,” katanya yang akan mengendalikan segmen Dari Dapur, sementara Erra menerusi segmen Ringan Tulang.

Manakala Vanida pula berpendapat segmen Tetamu Wanita agak penting kerana ia banyak menyelami kehidupan selebriti.

“Memang program ini santai saja dan ia menjadi seronok kerana hos yang mengendalikan program ini adalah kenalan. Jadi saya berasakan seolah bersembang-sembang saja. Apa yang saya rasa kurang dalam program ini hanyalah masa saja, jika boleh program seumpama ini diberi masa sekurang-kurangnya sejam kerana topik perbualan itu terlalu pendek.

“Program seumpama ini tidak banyak menerusi stesen televisyen kita dan sekiranya program ini disambung untuk musim kedua ia boleh diperkuatkan lagi dengan mengundang tokoh-tokoh yang boleh memberi panduan yang lebih formal kepada penonton,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply